Tag: Melaka

  • PN Melaka masih teruskan Gerai Prihatin Rakyat

    PN Melaka masih teruskan Gerai Prihatin Rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka masih meneruskan pelaksanaan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barang dapur pada harga yang sangat murah.

    Walau bagaimanapun, kata Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, jualan tiga barang pada harga RM10 seperti sebelum ini tidak lagi dapat diteruskan.

    Menurut beliau, jualan seekor ayam, sepapan telur dan dua kilogram (kg) kentang pada harga tersebut adalah sangat luar biasa dan menelan kos yang sangat besar.

    Mohd Rafiq memberi jaminan, Gerai Prihatin Rakyat inisiatif PN Melaka akan berusaha sedaya upaya mungkin untuk memberikan harga jualan yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

    “Pada minggu ini, Gerai Prihatin Rakyat menawarkan enam barangan dapur iaitu seekor ayam, dua papan telur, 1 kg minyak masak, 1.5 kg bawang besar dan 2 kg kentang dengan harga serendah RM31 walaupun harga pasaran enam barangan dapur ini mencecah RM45.

    “Ini bermaksud, bagi setiap pembelian, rakyat masih jimat RM14.

    “Pada minggu ini, 200 pembeli terawal di Taman Tangga Batu Perdana akan mendapat 1 pek Milo 200 gram secara percuma dan 200 pembeli terawal di Emerald Park Bukit Beruang (berhampiran MMU Melaka) akan mendapat 1 tin susu pekat secara percuma. Jumpa anda hujung minggu ini” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau menjelaskan, idea asal Gerai Prihatin Rakyat pada peringkat awal hanya akan dianjurkan enam kali di enam kawasan Parlimen di Melaka ketika semua sektor ekonomi ditutup untuk membantu rakyat Melaka yang sangat terjejas ketika itu.

    “Namun begitu, memandangkan ada permintaan yang tinggi dari rakyat Melaka untuk PN Melaka meneruskan lagi inisiatif Gerai Prihatin Rakyat dalam tempoh-tempoh yang mendatang walaupun sektor-sektor ekonomi sudah mula dibuka, harga barang keperluan Gerai Prihatin Rakyat yang dijual perlu diselaraskan berdasarkan kemampuan PN Melaka dan kemampuan pihak-pihak swasta yang sanggup menyumbang kepada rakyat untuk inisiatif ini,” jelasnya.

  • Melaka belum ‘buka pintu’ pada pelancong, keputusan Okt ini

    Melaka belum ‘buka pintu’ pada pelancong, keputusan Okt ini

    PEMBUKAAN sektor pelancongan di Melaka akan diputuskan pada pertengahan bulan depan berikutan beberapa faktor penting yang perlu diteliti. 

    Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak tercetusnya kluster pelancongan sekali gus menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di Melaka.

    Katanya antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi sektor berkenaan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Kerajaan negeri mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berhubung pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

    “Bagaimanapun, kita tidak akan tergesa-gesa membuka sektor pelancongan negeri ini dalam masa terdekat kerana menunggu SOP khusus daripada MKN,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga sedang memantau perkembangan semasa berkaitan kes COVID-19 di Langkawi, selepas sektor pelancongan pulau itu dibuka menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan minggu lepas.

    Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Okt ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman.- BERNAMA

  • Negeri Sembilan, Melaka beralih Fasa PPN Sabtu ini – PM

    Negeri Sembilan, Melaka beralih Fasa PPN Sabtu ini – PM

    NEGERI Sembilan dan Melaka masing-masing beralih kepada Fasa 3 dan Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Sabtu ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan oleh Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

    “Saya ingin memaklumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri berikut iaitu Melaka beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3.

    “Peralihan fasa bagi negeri-negeri di atas akan bermula pada 4 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau yakin Malaysia berada di landasan tepat ke arah pemulihan negara.

    Menurutnya, ini kerana, buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, hari ini kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0.

    “Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” katanya.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

    “Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” tambahnya.

  • Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    SEORANG wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

    Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi menunggu fakta kes dan menetapkan 29 Sept depan sebagai tarikh jatuh hukum.

    Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir di sini, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.- BERNAMA

  • Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    POLIS Melaka menerima 48 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM700,000 dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Ogos lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata penipuan berkenaan melibatkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp.

    Beliau berkata suspek penipuan juga menggunakan nama syarikat terkenal seperti Lazada dan Shopee bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

    “Modus operandi penipuan berkenaan ialah suspek menawarkan kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan, menaikkan ‘rating’ perniagaan dan membantu mempromosikan peniaga secara dalam talian.

    “Mangsa akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata selain itu, sindiket juga menawarkan kerja sebagai ejen pembelian yang berperanan membuat pembelian barangan dan mangsa akan diberi komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

    Katanya kebanyakan mangsa mula menyedari diperdaya oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima.

    Sundra Rajan berkata kes terbaru dilaporkan melibatkan seorang eksekutif perniagaan yang mengalami kerugian sebanyak RM8,000 akibat terpedaya dengan tawaran komisen sebanyak lapan peratus sebagai ejen pembelian barang di Facebook.

    Beliau berkata wanita berusia 23 tahun yang tinggal di Ayer Keroh di sini telah membuat pembayaran berkenaan sebagai modal pembelian ke akaun yang diberikan suspek membabitkan transaksi sebanyak lima kali sejak 10 Ogos lepas.

    “Menerusi tawaran kerja itu, mangsa berperanan menaikkan ‘rating’ peniaga kecil dengan membuat pembelian barang syarikat itu untuk mendapatkan komisen sebanyak lapan peratus namun sehingga laporan dibuat pada 13 Ogos lepas, mangsa masih belum menerima semula wang modal pembelian dan komisen yang dijanjikan,” katanya.

    Beliau berkata sehubungan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 13 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Katanya orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial atau laman sesawang dan semak nombor telefon serta nombor akaun yang diragui di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA

  • Polis Melaka selamatkan kanak-kanak perempuan mangsa dera

    Polis Melaka selamatkan kanak-kanak perempuan mangsa dera

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diselamatkan polis daripada menjadi mangsa dera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di rumahnya di Banda Hilir di sini malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak berkenaan disyaki didera menggunakan tangan dan tali pinggang sebelum diselamatkan pada jam 10.45 malam hasil maklumat orang awam sejam 20 minit sebelum itu.

    Pemeriksaan awal polis ke atas tubuh anak sulung suspek wanita itu mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai didera dan mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, wanita dan teman lelakinya itu mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia setahun namun tiada unsur penderaan ditemui pada tubuh kanak-kanak tersebut.

    Mohd Sukri berkata susulan itu, wanita berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Hilir pada 12.45 tengah malam tadi, iaitu kira-kira 30 minit selepas teman lelakinya berusia 38 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Banda Hilir.

    Beliau berkata kedua-dua suspek  direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA