Tag: Melaka

  • Keahlian UMNO Idris, Nor Azman gugur automatik

    Keahlian UMNO Idris, Nor Azman gugur automatik

    KEAHLIAN dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO di Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) gugur secara automatik.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengguguran keahlian secara automatik itu berlaku kerana mereka terlibat dalam gerakan menumbangkan kerajaan negeri Melaka.

    “Kedua-dua mereka sudah secara terbuka menyatakan tidak lagi bersama kerajaan negeri.

    “Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka, hari ini.

    Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Selain Idris dan Nor Azman, dua lagi wakil rakyat ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

    Rauf yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka turut menyelar Idris dan Norhizam yang semalam menyatakan mereka tidak terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan negeri.

    “Saya ingin melihat apakah tokoh-tokoh yang sedemikian, yang pagi cakap lain, petang cakap lain dan akhirnya bersama dengan parti pembangkang untuk meruntuhkan kerajaan yang selepas merdeka, inilah satu-satu kerajaan yang dibina yang mana dalam DUN 100 peratus diwakili ADUN-ADUN berbangsa Melayu.

    “Kita tidak rasis, malang MCA kalah, malang MIC kalah, maka kerajaan yang dibentuk untuk kita bersama-sama membina sebuah negeri Melaka tidak mengetepikan kepentingan mana-mana kaum,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, beliau berkata, dalam kenyataan dibuat oleh Idris dan Norhizam hari ini menyatakan perkara yang lain daripada komen mereka semalam.

    “Wallahualam, saya tak nak komen lebih, tetapi saya berhak komen kerana dia telah terpapar dalam media sosial dan juga untuk tatapan umum.

    “Maka saya bercakap untuk melihat antara kenyataan yang dinyatakan semalam dan hari ini bercanggah dengan sifat keperibadian seorang pemimpin,” katanya.

  • Mereka runtuhkan usaha pulih Melaka – Sulaiman

    Mereka runtuhkan usaha pulih Melaka – Sulaiman

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali kecewa dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kem kerajaan yang menarik sokongan terhadapnya hari ini.

    Beliau menganggap tindakan mereka itu telah menjejaskan usaha memulihkan situasi ekonomi dan kesihatan di Melaka yang kini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Kecewalah, sudah pastilah dalam keadaan agak sukar ketika ini, masing-masing kita tahu berusaha memulihkan kerajaan ini bersama ekonomi dan kesihatan.

    “Mereka juga buat kerja yang sama tetapi akhirnya mereka juga yang meruntuhkan,” katanya dalam sidang media bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Melaka, hari ini.

    Sulaiman berkata demikian ketika ditanya tentang perasaannya berikutan tindakan empat ADUN terbabit iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Beliau yang juga ADUN Lendu mengakui bahawa hubungannya dengan keempat-empat wakil rakyat berkenaan adalah baik.

    Sulaiman memberitahu, beliau sentiasa berusaha melaksanakan permintaan mereka sebaik mungkin.

    “Apabila mereka cakap kerajaan ini kerajaan yang sebaliknya maka saya pun tak tau apa nak cakaplah,” jelasnya.

    Sulaiman turut menafikan berlaku campur tangan daripada pihak luar dalam segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka.

    “Dalam mesyuarat Exco keputusan adalah persetujuan bersama, tiada sebarang bantahan, masing-masing memberi komitmen yang cukup baik ketika mesyuarat.

    “Setiap keputusan melibatkan DUN atau kawasan masing-masing saya tanya sendiri kalau beliau setuju,” katanya.

  • Rauf tuduh ADUN UMNO tarik sokongan sebagai ‘penderhaka’

    Rauf tuduh ADUN UMNO tarik sokongan sebagai ‘penderhaka’

    KRISIS politik di Melaka semakin panas apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menuduh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai penderhaka.

    Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kesal dengan sikap pemimpin terbabit yang didakwa membelakangkan perjuangan parti.

    “Saya cerita tentang prinsip perjuangan seorang tokoh yang dilahirkan daripada perjuangan UMNO, akhirnya menderhaka kepada UMNO dan menderhaka kepada bangsanya sendiri.

    “Dan kita akan tolak pemimpin ini, kita pertahankan bumi ini,” tegasnya dalam sidang media bersama Sulaiman di Melaka, hari ini.

    Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

    Berhubung dengan tindakan selanjutnya selepas Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti mudah di DUN Melaka, Ab Rauf memberitahu, UMNO Melaka menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membuat pertimbangan dalam menyelesaikan kemelut politik tersebut.

    “Mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan negeri, Tuan Yang Terutama Tun Yang Dipertua Negeri Melaka boleh memprorog atau membubarkan DUN,” katanya.

  • UMNO cadang bubar DUN Melaka, mandat kepada rakyat

    UMNO cadang bubar DUN Melaka, mandat kepada rakyat

    UMNO mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi menyelesaikan krisis politik yang melanda negeri berkenaan.

    Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu di Melaka.

    “Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti saya, tetapi tunggulah, saya fikir elok adakan pilihan raya negeri (PRN) baru supaya DUN Melaka dibubarkan.

    “Dan kita beri mandat semula pada rakyat untuk rakyat memilih manakah kerajaan terbaik untuk mentadbir negeri dan juga negara kita insya-Allah,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

    Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, satu sidang media akan diadakan petang ini, dijangka bagi mengumumkan mengenai pembubaran DUN Melaka.

    “Dimaklumkan akan ada sidang media petang ini oleh Speaker dan Ketua Menteri. Kita tunggu keputusan yang betul akan diambil.

    “Presiden sentiasa berhubung dengan Pengerusi UMNO Melaka,” katanya.

  • Kerajaan tumbang, PH Plus bakal kuasai Melaka?

    Kerajaan tumbang, PH Plus bakal kuasai Melaka?

    SERAMAI 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka termasuk dari Pakatan Harapan (PH) yang tidak menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

    Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, langkah itu adalah susulan penarikan sokongan empat ADUN yang sebelum ini bersama kerajaan terhadap Sulaiman.

    Menurut beliau, kumpulan itu terdiri daripada empat ADUN terbabit serta 11 lagi wakil rakyat PH.

    “Memandangkan kita masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat, keutamaan PH Negeri Melaka pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.

    “Sehubungan itu, sebelas ADUN Pakatan Harapan bersama empat ADUN Bebas ini berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Walau bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada pertemuan dengan Mohd Ali itu adalah berkaitan cadangan pembentukan kerajaan negeri Melaka yang baharu.

    Adly juga tidak menyatakan bila pertemuan itu akan berlangsung.

    Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

    Adly menambah, selaras dengan peruntukan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang berbunyi “Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Undangan Negeri maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri”.

    “Kestabilan politik merupakan perkara penting yang menjadi asas utama dalam kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan usaha ke arah pemulihan ekonomi negara.

    “Tanpa kestabilan politik adalah sukar untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, khususnya dalam era ke arah endemik COVID-19,” jelasnya.

  • Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN hilang kepercayaan terhadap KM

    Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN hilang kepercayaan terhadap KM

    KERAJAAN negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

    “Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan kami hilang kepercayaan kepaa kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan kerajaan negeri Melaka hari ini.

    “Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan hari ini, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini untuk ditubuhkan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dengan penarikan sokongan empat ADUN terbabit, Sulaiman hanya mempunyai sokongan daripada baki 13 ADUN yang lain di Melaka, manakala Pakatan Harapan (PH) di negeri itu menguasai 11 kerusi;

    Secara keseluruhan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi sekali gus menjadikan Sulaiman tidak lagi beroleh majoriti mudah untuk terus mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

  • Krisis politik Melaka: Anwar nafi mohon menghadap Tun Ali

    Krisis politik Melaka: Anwar nafi mohon menghadap Tun Ali

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau memohon untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, berhubung spekulasi yang mendakwa kerajaan Melaka bakal tumbang.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau juga tidak menerima sebarang maklumat terperinci mengenai situasi sebenar yang berlaku di negeri itu, termasuk ada gerakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dikatakan tidak menyokong kerajaan negeri ketika ini.

    “Ada laporan media yang menyatakan saya akan menghadap TYT (Tuan Yang Terutama), tetapi saya tidak…belum ada permohonan untuk saya menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka.

    “Orang ramai memaklumkan tetapi tiada yang konkrit (kukuh), saya hanya mengetahui melalui laporan, setahu saya tiada konkrit,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke pantai Teluk Kemang di sini, hari ini.

    Sejak semalam, spekulasi mengenai kepimpinan kerajaan Melaka yang diterajui UMNO didakwa bakal tumbang bertiup kencang, susulan empat ADUN kerajaan dikatakan melompat ke Pakatan Harapan (PH). – BERNAMA

  • Kerana nafsu serakah, pemimpin UMNO tergamak tinggal parti

    Kerana nafsu serakah, pemimpin UMNO tergamak tinggal parti

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENGKHIANATAN terhadap parti amat jelas boleh dilihat apabila ada pemimpin UMNO yang tidak tahan dengan nafsu serakah mereka ingin mendapatkan kuasa dan pangkat, kata Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

    Dalam hantaran di Facebooknya, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, pemimpin seperti itu sanggup melompat dan meninggalkan parti demi mendapatkan kedudukan, yang tidak ubah seperti pelacur politik melacurkan diri demi habuan.

    “Pemimpin seperti ini tindakan mereka tidak senada dengan kata-kata mereka. Katanya kurangkan jurang perbezaan, cari titik persamaan dan seperkara lagi yang sering dilaungkan biduk berlalu kiambang bertaut. (Tetapi) semuanya hanya hipokrit semata-mata.

    “Jika ada pemimpin seperti ini ia perlu dijauhkan kerana mereka tidak ada sifat setia kepada parti dan mereka tidak boleh buat kawan, kerana sifat seperti ini mereka bila-bila masa boleh tikam belakang dan mengkhianati perjuangan yang telus,” katanya merujuk dengan perkembangan semasa yang berlaku di Melaka.

    Kata Mohamad Ali, sebagai ahli dan pemimpin UMNO, mereka wajib berjuang untuk membela untung nasib rakyat, agama dan negara. Malah perjuangan yang dibawa wajar mengenepikan kepentingan peribadi semata-mata.

    Menurut beliau, perjuangan yang dibawa perlu telus dan ikhlas agar segala matlamat perjuangan untuk rakyat tercapai, selain agama Islam terbela dan kedaulatan negara terus unggul disamping tanah yang berdaulat terus membangun dengan pesat.

    “Akan tetapi apabila perjuangan itu berteraskan kepentingan peribadi untuk mendapatkan kuasa, kedudukan dan laba, maka perjuangan itu akan terpesong sehingga mewujudkan akhlak dan peribadi yang tidak baik.

    “Seperti mempunyai sikap hasad dengki, berhati busuk, menipu, memfitnah serta sanggup menjadi pengkhianat dengan mengkhianati parti sendiri,” katanya.

    Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu turut mengakui, perkara yang berlaku semalam menyebabkan beliau sukar melelapkan mata, tetapi bukan kerana takut atau gusar namun memikirkan mengenai erti sebuah perjuangan di dalam arena politik pada masa kini.

    “Dari pagi sampai ke malam, seusai urusan kerja di Kuala Lumpur, saya pulang ke Melaka. Setiba di Melaka saya mendapat berita yang sangat tidak enak untuk didengari, malah saya menerima banyak panggilan daripada sahabat saya serata negeri,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Sulaiman Md. Ali terus kukuh dan stabil dalam memberi fokus kepada pembangunan dan kemajuan negeri Melaka demi keselesaan rakyat.

    “Buat semua ahli dan pemimpin UMNO, bulatkan tekad agar terus setia bersama UMNO, ketepikan mereka yang mengkhianati parti. Kita terus melangkah memperjuang agama, bangsa dan negara,” katanya.

  • Siapa cukup SD boleh jumpa pucuk pimpinan

    Siapa cukup SD boleh jumpa pucuk pimpinan

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta pihak yang didakwa memiliki bilangan akuan bersumpah (SD) yang boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu untuk berjumpa dengan pucuk pimpinan.

    Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu menyifatkan kemelut yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini sebagai perkara biasa dalam dunia politik.

    Malah ujar beliau, desas-desus itu langsung tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri yang masih memiliki 17 kerusi antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bebas.

    “Siapa hendak jadi ketua menteri datanglah, boleh jumpa pihak kepimpinan, itu sahaja. Kalau SD sudah cukup 20 ke sekalipun, silakan.

    “Saya lebih fikir masalah rakyat, saya tidak mahu bercakap soal politik kerana rakyat akan menilai dan menghukum kita apabila tiba masanya. Sampai masa nanti kita berperanglah dalam Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Kemelut politik di Melaka kembali diperkatakan selepas sekurang-kurangnya empat ADUN dikaitkan akan menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan UMNO termasuk dua daripadanya wakil rakyat parti itu sendiri.

    Empat pemimpin yang disebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

    Bagaimanapun, Norhizam yang sebelum ini Timbalan Pengerusi DAP Melaka menafikan laporan berkenaan.

    Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri masih memimpin dan menguruskan Melaka seperti biasa.

    “Ini adalah perkara biasa dalam dunia politik ataupun kancah politik. Tetapi apapun selagi saya terus diberi mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan Melaka ini, saya akan berjalan seperti biasa, dan apabila diminta turun, saya akan turun lah.

    “Sama ada usaha untuk menggugat perjalanan kerajaan negeri itu terarah kepada kebaikan atau untuk kepentingan, saya tidak peduli. Dalam dunia politik itu normal,” katanya.

  • Rafiq nafi terlibat krisis politik Melaka, sokong Sulaiman

    Rafiq nafi terlibat krisis politik Melaka, sokong Sulaiman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menafikan beliau terlibat dengan pergolakan politik di Melaka.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk menyokong Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    “Saya ada terbaca berita-berita di media arus perdana dan media sosial tentang desas-desus pergolakan politik yang berlaku di Negeri Melaka ketika ini.

    “Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Melaka ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Spekulasi politik negeri Melaka kembali bertiup selepas terdapat dakwaan sekurang-kurangnya empat ADUN di negeri itu bakal menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan UMNO.

    Meskipun nama Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak dikaitkan kali ini, namun beliau pemimpin kedua yang tampil menafikan perkara itu selepas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Dua daripada pemimpin UMNO turut dikatakan terlibat dalam gerakan itu, namun tiada pengesahan mana-mana pihak dibuat setakat ini.

    Justeru, Mohd. Rafiq berpendapat, segala fokus ketika ini harus tertumpu kepada usaha pemulihan negara dan Melaka terutama bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Saya berharap, segala kemelut politik yang dicetuskan dapat dihentikan dengan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Melaka,” tegasnya.