KRISIS politik di Melaka semakin panas apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menuduh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai penderhaka.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kesal dengan sikap pemimpin terbabit yang didakwa membelakangkan perjuangan parti.

“Saya cerita tentang prinsip perjuangan seorang tokoh yang dilahirkan daripada perjuangan UMNO, akhirnya menderhaka kepada UMNO dan menderhaka kepada bangsanya sendiri.

“Dan kita akan tolak pemimpin ini, kita pertahankan bumi ini,” tegasnya dalam sidang media bersama Sulaiman di Melaka, hari ini.

Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Berhubung dengan tindakan selanjutnya selepas Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti mudah di DUN Melaka, Ab Rauf memberitahu, UMNO Melaka menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membuat pertimbangan dalam menyelesaikan kemelut politik tersebut.

“Mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan negeri, Tuan Yang Terutama Tun Yang Dipertua Negeri Melaka boleh memprorog atau membubarkan DUN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here