UMNO mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi menyelesaikan krisis politik yang melanda negeri berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu di Melaka.

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti saya, tetapi tunggulah, saya fikir elok adakan pilihan raya negeri (PRN) baru supaya DUN Melaka dibubarkan.

“Dan kita beri mandat semula pada rakyat untuk rakyat memilih manakah kerajaan terbaik untuk mentadbir negeri dan juga negara kita insya-Allah,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Idris menjelaskan, kesemua ADUN terbabit telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, satu sidang media akan diadakan petang ini, dijangka bagi mengumumkan mengenai pembubaran DUN Melaka.

“Dimaklumkan akan ada sidang media petang ini oleh Speaker dan Ketua Menteri. Kita tunggu keputusan yang betul akan diambil.

“Presiden sentiasa berhubung dengan Pengerusi UMNO Melaka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here