Tag: Melaka

  • Tidak akan ada tindakan khianat mandat rakyat – Ab Rauf

    Tidak akan ada tindakan khianat mandat rakyat – Ab Rauf

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Beliau berkata, mandat yang diperolehi ketika Pilihan Raya Negeri pada November tahun lepas perlu dihormati.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya artikel sebuah portal berita hari ini bahawa politik Melaka kembali bergolak. Artikel tersebut berniat jahat serta bertujuan menganggu gugat kestabilan politik Melaka.

    “Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, saya tidak akan sekali-kali mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan rakyat Melaka,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Menurut laporan portal itu, Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual bermula 25 Julai ini.

    Ab Rauf berkata barisan kepimpinan BN negeri itu akan terus berusaha memberikan kemakmuran kepada rakyat serta fokus memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    “Saya juga menyeru semua kepimpinan BN di semua peringkat tidak terpengaruh dengan tohmahan ini serta kekal fokus demi mencapai kemenangan pada PRU akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan UMNO Melaka bergolak? Sulaiman mungkin berdepan undi tak percaya?

    Kerajaan UMNO Melaka bergolak? Sulaiman mungkin berdepan undi tak percaya?

    APAKAH kerajaan UMNO Melaka sedang bergolak sekali lagi dan mungkin menyebabkan berlaku pertukaran Ketua Menteri?

    Spekulasi itu timbul ekoran timbul desas-desus kononnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mungkin berdepan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang mulai 25 Julai ini.

    FMT yang memetik Sin Chew Daily melaporkan, sumber mendakwa, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhasrat mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman.

    Menurut laporan, beliau dikatakan mendekati beberapa wakil rakyat kerajaan untuk meraih sokongan bagi mengusulkan undi tidak percaya.

    Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara sudah beberapa kali menafikan pembabitannya dalam spekulasi merampas jawatan Ketua Menteri Melaka yang beberapa kali timbul sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu.

    Pada 21 Mei lalu, Sulaiman menafikan sudah melepaskan jawatannya selepas seorang ketua bahagian Umno mendakwa ADUN Lendu itu dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan.

    Sulaiman berkata, dakwaan itu tidak benar dan berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri pimpinannya sejak Barisan Nasional (BN) memenangi PRN pada November 2021.

    Sulaiman pernah dilantik sebagai Exco ketika BN menerajui kerajaan negeri Melaka dari 2013 hingga 2018 dan menjadi Ketua Menteri pada Mac 2020, sebagai ketua kerajaan UMNO-PN yang dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Majlis mengangkat sumpah beliau sebagai Ketua Menteri Melaka diadakan pada awal pagi selepas BN memenangi PRN Melaka.

    Tindakan itu dikatakan diambil bagi mengelakkan berlaku ‘episod rampasan kuasa’ pada minit terakhir.

    Pada hari yang sama, Ab Rauf dalam sidang media menyatakan beliau menyokong kepimpinan Sulaiman.

  • [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh di Alor Gajah awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, dalam kejadian pada kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Allahudin Abd Hamid, 51, dan anaknya, Mohamad Badrul, 5 tahun.

    “Allahudin ditemukan anggota bomba di bilik air manakala anaknya di bilik utama rumah separa papan dan batu itu. Tubuh kedua-dua mangsa terbakar keseluruhannya.

    “Siasatan di tempat kejadian turut disertai anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar patologi dari Hospital Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 1.56 pagi sebelum sebuah jentera dan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran 13 minit kemudian, rumah separa kekal itu didapati terbakar 70 peratus dan orang awam memaklumkan terdapat dua mangsa di dalam premis berkenaan.

    Katanya, operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya lebih tiga jam kemudian dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • [VIDEO] Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

    [VIDEO] Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

    BEBERAPA jemaah di Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai, Melaka terselamat daripada terkena serpihan batu konkrit puncak menara, yang terjatuh di ruang solat utama masjid berusia 169 tahun itu akibat dipanah petir awal pagi ini.

    Timbalan pengerusi masjid berkenaan, Zakaria Abu Bakar berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6.45 pagi itu berlaku semasa beliau bersama imam dan beberapa jemaah sedang meneruskan aktiviti mengaji dan berwirid selepas lebih 30 jemaah lain beredar dari ruangan berkenaan sesudah menunaikan solat Subuh.

    Bercakap kepada pemberita di Jasin hari ini, beliau berkata, pada mulanya mereka terdengar dentuman guruh kuat serta sedikit gegaran yang disusuli dengan bekalan elektrik terputus, dan kemudian barulah tempias air hujan mulai terasa selepas puncak menara itu disambar petir.

    Bahagian atas menara azan Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai musnah disambar petir pagi tadi. (Gambar: Facebook Zakaria Abu Bakar)

    Bagaimanapun katanya, beliau amat bersyukur kerana tiada kecederaan yang menimpa mana-mana jemaah dalam kejadian itu.

    Sementara itu salah seorang penduduk, Mohd Sufian Hashim, 43, berkata ,selepas solat Subuh, beliau berada di rumahnya dan secara kebetulan menyaksikan kejadian itu menerusi tingkap rumahnya yang berhampiran dengan masjid.

    Kredit video: Saluran YouTube Astro Awani

    “Saya terdengar dentuman yang sangat kuat dan kali kedua saya dari jauh ternampak petir memanah puncak menara masjid menyebabkan percikan api dan mengeluarkan kepulan asap,” katanya. – BERNAMA

  • Bayar RM50 sahaja, boleh makan durian sampai puas

    Bayar RM50 sahaja, boleh makan durian sampai puas

    PENGUNJUNG Melaka River Cruise (MRC) berpeluang makan durian selepas menaiki bot menelusuri Sungai Melaka dengan membeli pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ yang ditawarkan selama dua bulan sempena musim raja buah itu bermula hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, menerusi pakej itu, pengunjung berpeluang makan durian sampai puas dengan hanya membayar RM50 untuk tiket dewasa dan kanak-kanak (RM30).

    Beliau berkata, pakej berkenaan menawarkan durian kampung yang berkualiti tinggi selain turut menawarkan durian tembaga serta musang king, dengan bekalan diperoleh dari Jementah dan Segamat di Johor selain Melaka sendiri.

    “Pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ adalah produk baharu MRC khususnya bagi musim durian yang baru menjelang tiba ini dan pakej ini amat murah dan berbaloi terutama untuk penggemar durian.

    “Sebagai contoh, untuk harga pakej dewasa, harga tiket menaiki bot adalah RM25 manakala harga makan durian sampai puas adalah RM25 dan ia adalah sangat murah lebih-lebih lagi harga durian ketika ini masih mahal,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

    Beliau berkata, pengunjung MRC boleh menikmati raja buah itu di bawah khemah yang disediakan di jeti mereka menaiki bot iaitu sama ada di Jeti Taman Rempah di Pengkalan Rama atau di Jeti Samudera di Bandar Hilir.

    Katanya, pengunjung akan diberi masa kira-kira 40 minit untuk makan durian sambil bersantai di tepi Sungai Melaka selepas menaiki MRC dan pakej itu ditawarkan setiap hari bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

    Murad berkata pakej berkenaan tertakluk kepada bekalan durian yang diperoleh daripada pembekal yang dilantik iaitu Pokok Besar Gulai Kawah Enterprise, bagaimanapun pihaknya komited memastikan bekalan tidak terjejas dalam tempoh dua bulan itu.

    Beliau berkata orang ramai yang ingin makan durian tanpa menaiki bot MRC juga dialu-alukan dengan membayar harga RM35 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak) dan mereka boleh membeli durian tersebut untuk dibawa pulang pada harga yang ditetapkan pembekal.

    Katanya, kira-kira lima peratus daripada 115,000 pengunjung MRC yang disasarkan dalam tempoh Jun dan Julai ini membeli pakej ‘Cruise dan Makan Durian’ dan setakat ini, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak berkaitan pakej berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 253,892 pelancong telah menaiki MRC dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat menerusi pelbagai produk baharu lain yang ditawarkan seperti pakej makan di atas Kapal Mendam Berahi, bot loncat-loncat dan bot ‘everlasting love’. – BERNAMA

  • Rauf nafi kepimpinan UMNO Melaka akan bertukar

    Rauf nafi kepimpinan UMNO Melaka akan bertukar

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus mendakwa kepimpinan UMNO negeri berkenaan bakal bertukar dalam masa terdekat.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata, tiada isu yang timbul berkaitan kepimpinan UMNO Melaka, ketika ini.

    “Tiada isu. Takde isu pun. Sehingga hari ini parti berada dalam keadaan yang terbaiklah,” kata Ab Rauf ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Badan Perhubungan UMNO Melaka di rumahnya di Kampung Pulau, Masjid Tanah malam tadi.

    Majlis yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam turut disertai Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ab Rauf, yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menganggap khabar angin yang timbul sebagai sebahagian daripada asam garam dunia politik.

    “Saya tak anggap benda (khabar angin) tu sebagai satu ancaman kepada kedudukan UMNO negeri pun. Masing-masing boleh meluahkan perasaan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Khabar angin Sulaiman dipaksa letak jawatan KM adalah fitnah

    Khabar angin Sulaiman dipaksa letak jawatan KM adalah fitnah

    KHABAR angin yang mendakwa Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka, adalah fitnah dan tidak berasas.

    Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.

    “Pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan lima Ketua UMNO Bahagian di Melaka iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah, telah setuju menjadikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

    “Kami berharap Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis tempoh jawatannya iaitu selama lima tahun,” katanya kepada pemberita di Melaka.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu yang berakhir lewat malam tadi.

    Semalam, terdapat dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman telah dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Dalam pada itu, Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, UMNO Melaka akan terus menyokong dan mempertahankan Sulaiman daripada diganggu pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.

    “Saya berharap mulai hari ini, tidak akan timbul lagi desas-desus yang mengatakan ada orang akan menggantikan Sulaiman seperti mana yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

    Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pada 21 Nov tahun lepas, selepas Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018. – BERNAMA

  • Pegawai kerajaan tukar 24 jam perkara biasa – Sulaiman

    Pegawai kerajaan tukar 24 jam perkara biasa – Sulaiman

    PERTUKARAN Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dalam masa 24 jam adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya dianggap sesuatu yang pelik.

    Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata demikian bagi menjawab isu yang ditimbulkan pembangkang berhubung pertukaran bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamad ke Putrajaya berkuat kuasa semalam.

    Beliau menyatakan, situasi sedemikian lazim berlaku membabitkan penjawat awam.

    “Tukar SUK itu perkara biasa kerana datang, masuk, pergi dalam setiap jawatan itu (kerana ia) merupakan suatu proses dan tidak ada yang pelik.

    “Kalau dia diperlukan dalam satu-satu tempat yang lebih baik, dia pergilah jadi tidak timbul isu kemelut ke apa ke sebab saya sendiri tahu dah lama dia akan berpindah,” katanya seperti dilaporkan Melaka Hari Ini.

    Sulaiman turut menafikan kenyataan Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari kononnya pertukaran tersebut dibuat secara tergesa-gesa,

    “Terpulang dia (Adly) nak cakap apa, mungkin zaman dia tidak berlaku, zaman saya berlaku dan saya sendiri sudah tahu lama, sebulan atau tiga bulan lalu.

    “Saya sudah tahu kerana itu perkara biasa kepada mana-mana ketua jabatan dan SUK ditukarkan ke satu kementerian yang lebih memerlukan beliau di sana,” jelasnya.

    Semalam, Sulaiman mengumumkan pelantikan Datuk Zaidi Johari sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.

    Zaidi sebelum ini memegang jawatan Pegawai Kewangan Negeri Melaka.

  • Warga emas nyaris tenggelam dalam banjir semasa tidur

    Warga emas nyaris tenggelam dalam banjir semasa tidur

    TERSEDAR daripada lena selepas kakinya terkena air yang membanjiri ruang tamu rumah, menyelamatkan seorang warga emas apabila tilam tempat tidurnya hampir ditenggelami air dalam kejadian banjir di Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai di Jasin.

    Osman Samad, 71, berkata, mereka sekeluarga yang baru selesai mengemas dan membersihkan rumah selepas air surut sepenuhnya tiga hari lepas, kini terpaksa menghadapi situasi sama selepas hujan lebat sejak Jumaat menyebabkan air sungai berhampiran melimpah.

    Katanya, beliau dan isterinya sebelum ini menumpang di rumah anak mereka juga baru sempat tidur semalaman di rumahnya dan tidak menyangka banjir yang berulang itu lebih teruk daripada kejadian dua minggu lepas.

    “Waktu itu lebih kurang pukul 5 pagi, saya tersedar ketika berkalih kaki dan terkejut melihat air mula memenuhi rumah. Air juga naik dengan cepat, namun alhamdulillah saya dan keluarga sempat keluar dari rumah itu.

    “Kali ini air naik hampir satu meter berbanding minggu lepas yang hanya separas lutut, belum habis penat mengemas kini terpaksa berdepan dengan ujian banjir lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di Jasin hari ini.

    Osman berkata, beliau telah berdepan dengan masalah banjir hampir 80 kali sepanjang tempoh tinggal di rumah tersebut sejak 50 tahun lepas.

    Katanya, beliau juga sudah lali dengan situasi tersebut dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai rumah lain untuk berpindah dari kawasan berkenaan.

    “Kawasan rumah saya memang rendah berbanding kawasan lain di situ dan juga dekat dengan sungai, tiap kali hujan lebat saya sudah jangkakan perkara ini akan berlaku selain akan menyelamatkan dokumen penting terlebih dahulu.

    “Kalau mahu berpindah ke tempat lain saya tidak mempunyai rumah atau tanah untuk buat rumah lain, saya hanya reda dan terima keadaan ini sebagai ujian dalam kehidupan,” katanya. – BERNAMA

  • 7 ADUN tak hadir sidang DUN Melaka sebab COVID-19

    7 ADUN tak hadir sidang DUN Melaka sebab COVID-19

    TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka tidak hadir ke Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 hari ini disebabkan COVID-19.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mengesahkan perkara itu berkata, ujian saringan Jumaat lepas mendapati empat ADUN disahkan positif COVID-19, dan tiga lagi yang tidak hadir hari ini merupakan kontak rapat kepada pesakit.

    “Kali ini kita bermesyuarat dalam keadaan yang berbeza, tidak mengikut peraturan-peraturan seperti mana notis yang telah pun kita berikan tempoh hari, disebabkan pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Melaka hari ini.

    Tujuh ADUN yang tidak hadir ialah Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek), Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

    Dalam perkembangan berkaitan, Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini, dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15.

    Usul melantik Ibrahim dikemukakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

    Usul pelantikan Ibrahim diterima selepas mendapat sokongan majoriti 15 daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala lima ADUN berkecuali dan lapan ADUN tidak hadir pada sesi sidang DUN berkenaan.

    Sementara itu ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka dan beliau merupakan wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu di Melaka.

    Seramai 20 ADUN mengangkat sumpah pada persidangan sidang DUN hari ini, dengan tujuh yang tidak hadir ialah ADUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

    ADUN Bandar Hilir Leng Chau Yen pula tiba lambat dan terlepas sesi mengangkat sumpah berkenaan. – BERNAMA