Tag: Mahdzir Khalid

  • Malaysia ambil serius kepentingan pembangunan infrastruktur

    Malaysia ambil serius kepentingan pembangunan infrastruktur

    MALAYSIA mengambil serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting dalam pemulihan masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

    “Ini termasuk pengenalan dan latihan kepada penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital, kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena Persidangan African-Asian Rural Development Organization (The 20th Conference of AARDO) secara dalam talian hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    AARDO
    Peserta Persidangan AARDO hari ini.

    Persidangan tahunan di peringkat Menteri ini diadakan bagi membincangkan isu-isu penbangunan luar bandar dan hubungan kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO dari benua Afrika dan Asia.

    Pada persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama tiga tahun mulai 2018 sehingga 2021.

    Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan oleh Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika mempengerusikan Persidangan AARDO Ke-19 pada tahun 2018 yang telah diadakan di Kuala Lumpur.

    Selain itu, seramai 2,700 orang peserta telah terlibat dalam aktiviti pembangunan sumber manusia seperti kursus dan latihan, perkongsian pakar dan juga khidmat nasihat.

    AARDO juga turut memperkenalkan latihan secara atas talian selepas wabak COVID-19 melanda dunia.

    “AARDO boleh memainkan peranan lebih aktif untuk membantu negara-negara ahli dalam usaha pemulihan pasca COVID-19,”k ata Mahdzir.

  • KPLB berjaya capai KPI Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia

    KPLB berjaya capai KPI Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai kesemua empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia merangkumi aspek mempertingkat infrastruktur dan menstruktur semula ekonomi luar bandar.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara empat pencapaian tersebut ialah pembinaan 100.56km jalan perhubungan desa sebagai akses perhubungan yang lebih cepat dan selamat yang memanfaatkan 20,095 penduduk kampung.

    “KPI kedua yang berjaya dicapai ialah pembinaan 114 projek baharu, menaik taraf atau membaik pulih kemudahan awam asas di bawah program ameniti sosial.

    “Antara projek yang dilaksanakan ialah membina jambatan kecil baharu, membaik pulih dewan, balai raya dan surau di kampung serta menaik taraf longkang tanah di kampung kepada longkang konkrit.

    “Kesemua projek ini memberi manfaat kepada 22,800 penduduk di kawasan luar bandar di seluruh negara,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM hari ini.

    Menurut Mahdzir, KPI ketiga yang berjaya dicapai KPLB ialah membina 800 unit rumah baharu serta membaik pulih 10,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Kedua-dua projek melibatkan peruntukan lebih RM186.6 juta yang memberi manfaat kepada 54,000 isi rumah luar bandar, katanya.

    Mahdzir berkata, KPI keempat yang berjaya dicapai ialah pelaksanaan pelbagai program keusahawanan desa melibatkan skim pembiayaan perniagaan khas wanita (Dananita), pembangunan keusahawanan belia Mara, program transformasi pembangunan usahawan dan bantuan insentif kepada usahawan yang terjejas kesan pandemik COVID-19.

    Beliau berkata, sebanyak 5,487 usahawan menerima manfaat daripada pelbagai program itu yang turut melibatkan bantuan modal, peralatan pemasaran dan latihan.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, antara tarikan di ruang KPLB pada pameran Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia esok ialah kumpulan Orang Asli yang dibawa oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dan pameran keusahawanan digital. – BERNAMA

  • PRU-15: Masa depan gagasan MN tidak dapat dijangka

    PRU-15: Masa depan gagasan MN tidak dapat dijangka

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan, hanya masa yang akan menentukan sama ada gagasan Muafakat Nasional (MN) akan mampu terus bertahan dan bergandingan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, setakat ini tiada pihak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku terhadap gagasan MN.

    Namun bersandarkan seni kepada segala kemungkinan (art of possibility) dalam dunia politik, segalanya tidak mustahil untuk berlaku.

    “Seni politik ini macam-macam boleh berlaku. Ada benda yang dirasakan mustahil boleh terjadi dan begitu juga perkara yang dirasakan tidak mustahil berlaku, akan menjadi kenyataan.

    “Kalau tengok kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sesetengah kepimpinan UMNO, mungkin ada yang nampak seolah-olah MN sudah tidak ada. Tetapi bersandarkan kepada segala kemungkinan ini, rasanya hanya masa akan menentukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan buku bacaan dan topi keledar kepada pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam daerah Padang Terap di sini, hari ini.

    Tambahnya, dalam berdepan segala kemungkinan itu, semua pihak harus bersikap dan berfikiran terbuka dalam mendepani setiap perkara yang akan terjadi.

    “Berkaitan MN ini, pandangan daripada luar turut diperlukan mengenai kepimpinan UMNO dan PAS.

    “Setakat ini tiada kata putus mengenai bagaimana UMNO dan PAS akan berdepan PRU-15. Kalau ada gandingan itu, kita terimalah tetapi kalau tak ada kita nak buat macam mana,” katanya.

  • Urus pandemik dahulu, PRU-15 bukan keutamaan – Mahdzir

    Urus pandemik dahulu, PRU-15 bukan keutamaan – Mahdzir

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu diadakan secara tergesa-gesa, sebaliknya kerajaan perlu mengutamakan pengurusan pandemik COVID-19 serta memulihkan ekonomi rakyat dan negara terlebih dahulu.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Mahdzir Khalid berkata, walaupun momentum Barisan Nasional (BN) kini memuncak berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, gabungan itu perlu berbincang terlebih dahulu demi kepentingan rakyat.

    “Apabila kita sudah mendapat satu pandangan yang tepat dan kita rasa pada waktu itu perlu untuk mengadakan PRU-15, kita buatlah dan saya rasa kita masih ada waktu untuk berbincang,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today, hari ini.

    Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan BN bersedia untuk menghadapi PRU-15 dalam masa terdekat.

    Mahdzir menambah, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan rakyat yang akan keluar mengundi pada PRU-15.

    “Yang pertama, kita perlu mengambil kira masyarakat di luar sana, bukan parti, sebab mereka yang akan keluar mengundi. Mereka melihat kerajaan ini serius untuk melandaikan lagi kes COVID-19…rakyat hendak tengok kes menurun, jadi biarlah nampak (kes menurun).

    “Keduanya, pemulihan ekonomi perlu dilakukan segera kerana pengusaha kecil, pengilang, pekerja dan golongan profesional yang terjejas dengan pandemik mahu memulakan kehidupan,” jelasnya,

    Beliau memberitahu, waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU-15 adalah selepas pandemik COVID-19 reda dan ekonomi semakin pulih.

  • PSP 2021-2025 rangka pelaksanaan ICT luar bandar

    PSP 2021-2025 rangka pelaksanaan ICT luar bandar

    PELAN Strategik Pendigitalan (PSP) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2021-2025 dilancarkan hari ini untuk merangka pelaksanaan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi masyarakat di luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM28 juta.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PSP, yang merangkumi empat teras strategik lima tahun serta disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan, akan dipantau KPLB dari semasa ke semasa agar pelaksanaannya berada pada landasan tepat.

    “Pelan ini bersifat ‘living document’ (dokumen yang berkembang) dan dinamik yang harus ditambah baik serta dinilai secara berkala oleh KPLB menerusi semakan semula secara berjadual,” katanya pada sidang media selepas melancarkan PSP itu dan menghadiri majlis perhimpunan bulanan KPLB, di Putrajaya, hari ini.

    Mahdzir Khalid menyampaikan Anugerah Kualiti dan Inovasi KPLB 2021 di Putrajaya, hari ini.

    Empat teras PSP adalah pemantapan perkhidmatan digital bersepadu dan inklusif; pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat; pemerkasaan pembudayaan dan profesionalisme Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta tadbir urus ICT tuntas dan mampan.

    “PSP menjadi terjemahan komitmen KPLB terhadap usaha menggariskan strategi pelaksanaan transformasi digital bagi menjayakan agenda Luar Bandar Sejahtera,” katanya.

    Melalui PSP, katanya KPLB menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 sebagai pemacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital dan memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dalam era pendigitalan.

    Mahdzir Khalid beramah mesra dnegan penerima-penerima Anugerah Kualiti & Inovasi KPLB di Putrajaya, hari ini.

    Mahdzir berkata menerusi pelan itu, KPLB akan menumpukan usaha penambahbaikan 191 pusat komuniti desa di seluruh negara melalui peruntukan sebanyak RM8.5 juta agar setiap pusat itu dilengkapi dengan perkhidmatan Internet yang pantas.

    Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi membincangkan cadangan meningkatkan capaian Internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

    “Sekiranya proses berjalan lancar, ia akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

    Ketika ini terdapat 10,301 Tabika dan 544 Taska Kemas beroperasi di seluruh negara termasuk di luar bandar.

  • Semua Tabika, Taska operasi sepenuhnya Januari 2022

    Semua Tabika, Taska operasi sepenuhnya Januari 2022

    SEMUA Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), akan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari tahun depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini 10,301 kelas Tabika dan 544 kelas Taska itu, beroperasi mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Semua institusi pendidikan awal kanak-kanak itu ketika ini beroperasi mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan ditetapkan, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak, kerana KEMAS mengambil semua langkah yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

    “Kami menjangkakan awal tahun depan semua tadika dan taska Kemas akan beroperasi sepenuhnya. Apapun, kita telah bersedia (jika operasi taska dan tabika Kemas dibuka sepenuhnya nanti). Guru-guru pun semua telah lengkap divaksin ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia), di Butterworth, malam tadi.

    Hadir sama Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini, dan pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang turut hadir, menerima anugerah penghargaan khas di atas sumbangannya terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, agensi atau jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ketika ini, bersedia memberi ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO termasuk Alumni 4B Malaysia, demi membangunkan negara dan kesejahteraan rakyat.

    Katanya, matlamat penting menerusi hasil kerjasama itu ialah untuk mencapai kejayaan untuk semua dan ia boleh dilakukan sama ada menerusi kajian, kerjasama keusahawanan atau sebarang program berkaitan demi kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya, seperti Alumni 4B Malaysia merupakan antara NGO yang mempunyai keahlian yang ramai ketika ini, iaitu sehingga 75,000 ahli dan pertubuhan itu juga sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kesukarelawanan dan sebagainya.

    “Alumni 4B Malaysia ini adalah sebuah alumni NGO yang telah berada di ‘ground’. Oleh itu, mereka boleh tengok macam mana nak bantu, contohnya mungkin mereka dapat salurkan maklumat dan berikan latihan atau khidmat kepada Keluarga Malaysia kita, dengan kerjasama daripada agensi serta jabatan dibawah KPLB,” katanya.

    Beliau berkata, Alumni 4B Malaysia juga merupakan kesinambungan daripada Gerakan Belia 4B, dan ini akan memberi kelebihan kepada pertubuhan itu kerana mereka terdiri daripada dua generasi iaitu muda dan lebih dewasa.

    “Saya berharap lebih banyak NGO seperti ini, akan bersama-sama kerajaan dan menyokong serta mendokong dasar selaras dengan mesej yang dibawa oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) iaitu untuk Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA

  • KEDA belanja RM2.5 juta projek ameniti sosial

    KEDA belanja RM2.5 juta projek ameniti sosial

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah ( KEDA) membelanjakan RM2.5 juta bagi projek ameniti sosial di seluruh Kedah tahun ini.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu lebih tinggi berbanding tahun 2020 iaitu hanya RM1.5 juta.

    “KEDA telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada 77 kategori kerja. Sebanyak 67 kategori kerja telah siap manakala selebihnya dalam pelaksanaan.

    “Antara projek ameniti sosial itu termasuk menaik taraf dan baik pulih longkang, baik pulih dewan serbaguna dan surau serta menurap ruang parkir dewan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh di Sungai Petani, hari ini.

    Pembinaan dewan serbaguna itu kata Mahdzir, memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk di kawasan berkenaan.

    “Pembinaan dewan berkeluasan 264 meter persegi dan infrastruktur berkaitan menelan belanja lebih RM400 ribu dan mampu memuatkan kira-kira 200 orang dalam satu masa.

    Pembinaan dewan ini susulan permintaan daripada masyarakat setempat yang memerlukan tempat bagi menjalankan pelbagai aktiviti,” katanya.

    KPLB tegas Mahdzir, akan terus melaksanakan mandat dan naratif utamanya menyediakan segala keperluan asas demi kesejahteraan masyarakat luar bandar sebagai satu Keluarga Malaysia.

  • Vaksinasi Orang Asli sudah capai 67 peratus

    Vaksinasi Orang Asli sudah capai 67 peratus

    PROGRAM vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli sudah mencapai 67 peratus atau 115,516 orang, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Menurut beliau, jumlah itu berdasarkan data terkini sehingga petang semalam.

    “Ada lagi yang belum mendapat vaksin ni dalam lebih kurang 56,000, jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai caralah.

    “Salah satu yang kita buat di peringkat kementerian ini adalah kita buat melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), kita ada bas MARA Liner, kita tukar bas MARA Liner tu jadi macam PPV bergerak,” katanya.

    Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau menambah, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.

    Secara keseluruhannya, 172,155 Orang Asli layak divaksin serta membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

    Jelas Mahdzir, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir November tahun ini.

    “Insya-Allah kita akan teruskan program outreach ini untuk membolehkan kita dapat semua sekali.”

    Ditanya mengenai adakah 56,639 Orang Asli yang belum divaksin itu menolak untuk divaksin, beliau berkata, masyarakat Orang Asli menerima baik Program Vaksinasi Kebangsaan.

    “Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang Yang Berhormat Timbalan Menteri terpaksa pergi dengan helikopter,” jelasnya.

    Mengenai bekalan vaksin pula, Mahdzir berkata, bekalan untuk keseluruhan Orang Asli yang layak divaksin sudah mencukupi termasuk vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima satu dos di kawasan jauh di pedalaman dan sukar dimasuki.

    Sementara itu, beliau menyeru masyarakat luar bandar agar meraikan sambutan Hari Sukan Negara setiap tahun dengan aktif bersukan setiap masa.

    “Ayuh seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga luar bandar dan keluarga KPLB, kita laksanakan aktiviti riadah hari ini dan teruskan bersukan pada hari-hari akan datang bagi membudayakan gaya hidup sihat,” katanya dalam ucapan.

  • MARA Liner sedia bantu pulih industri pelancongan negara – Mahdzir

    MARA Liner sedia bantu pulih industri pelancongan negara – Mahdzir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menerusi syarikat pengangkutannya, MARA Liner Sdn Bhd akan membantu memulihkan industri pelancongan di negara ini dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke destinasi di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pada masa ini, MARA Liner menyediakan sebanyak 174 trip perjalanan seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, Perlis bagi menyokong gelembung pelancongan Langkawi yang dilancarkan 16 Sept lepas.

    “Sudah ada penggunaan bas kita untuk pelancongan tetapi dalam gelembung pelancongan. MARA boleh membantu meningkatkan pelancongan negara kita dan untuk tujuan itu, kita juga telah mewajibkan bahawa semua pemandu bas MARA Liner mendapatkan dua dos vaksin COVID-19.

    “Saya kira dengan keadaan COVID-19 di peringkat negara semakin menurun dan ada negeri telah ke Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, saya yakin bahawa akhirnya nanti sekiranya dapat merentas negeri, kita dapat memulihkan pelancongan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bas MARA Liner di Kuala Nerang, hari ini.

    Beliau berkata, apabila industri pelancongan negara pulih ia sekali gus akan memberi nafas baharu kepada industri pengangkutan terutama bagi syarikat perkhidmatan bas seperti MARA Liner untuk kembali beroperasi seperti sedia kala.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, walaupun terjejas dengan penularan COVID-19 dan sekatan rentas negeri, perkhidmatan bas MARA Liner tetap beroperasi seperti biasa bagi membantu menyediakan pengangkutan terutama di kawasan luar bandar.

    Beliau berkata, pada 2019, MARA Liner mencatatkan jumlah penumpang mencecah 83,000 seluruh negara sebelum menurun kepada 52,000 pada tahun lepas dan mencatatkan seramai 12,000 penumpang hingga Ogos lepas.

    “Yang paling penting sekali ialah bagaimana kita dapat membantu untuk masyarakat di luar bandar ini mendapat perkhidmatan pengangkutan yang boleh setanding dengan kawasan bandar.

    “Kita menyediakan perkhidmatan untuk rakyat. Bukan sahaja di Padang Terap tetapi seluruh negara. Maknanya, kawasan-kawasan yang sukar dari segi pengangkutan, MARA Liner ambil tanggungjawab itu,” katanya.

    Mengulas mengenai penyerahan dua bas baharu kepada bengkel MARA Liner di sini, Mahdzir berkata, ia akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk setempat dan menambah baik operasi bagi laluan Kuala Nerang-Terminal Bas Naka, di sini. – BERNAMA

  • MRSM: Keputusan Mahdzir berwibawa, cakna rakyat

    MRSM: Keputusan Mahdzir berwibawa, cakna rakyat

    KEPUTUSAN berwibawa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk membuka kembali ruang buat semua pelajar memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tanpa mengira aliran termasuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera membuktikan beliau seorang cakna rakyat.

    Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor berpandangan, keputusan itu juga bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

    Mereka turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mahdzir dan kepimpinan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah mengambil keputusan bijak lagi prihatin bagi mengekalkan syarat asal layak memohon kemasukan ke MRSM seraya membatalkan perubahan pada syarat yang diumumkan baru-baru ini.

    “Kami terhutang budi dengan MARA yang selama ini telah banyak melahirkan modal insan yang telah menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional juga separa profesional dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara.

    “Pengumuman YB Menteri berkaitan pengekalan syarat lama serta membatalkan perubahan pada syarat telah memberi kelegaan malah menyuntik kembali semangat buat ibu bapa dan murid-murid khususnya yang telah lama menanam impian melanjutkan pelajaran ke MRSM,” kata jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan media, hari ini.

    Kenyataan itu ditandangani oleh YDP PIBG SRAI Seksyen 19 Shah Alam, Taqiyuddin Amini Abdul Satar; YDP PIBG SRAI Sungai Manggis, Banting, Hasnul Baharuddin; YDP PIBG SRAI Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin, Seksyen 7 Shah Alam, Dr Shahrizan Adzham Ahmad; YDP PIBG SRAI Bandar Baru Bangi, Ir Md Jaffry Masat dan YDP PIBG SRAI Tengku Ampuan Fatimah, Klang, Shamsudin Ali.

    Mereka yang lain ialah YDP PIBG SRAI Taman Keramat, Mohd Nasir Babas; YDP PIBG SRAI Bandar Baru Kuala Selangor, Abdul Aziz Mohd Ali; YDP PIBG SRAI Sungai Chinchin Gombak, Dr Mohamad Hakim Hamzah; YDP PIBG SRAI Salak Tinggi, Prof Dr Azman Ab Rahman; YDP PIBG SRAI Pekan Beranang, Ir Mohd Zamri Mohamud dan YDP PIBG SRAI Muhammadiah, Pekan Sabak, Mohamad Hairi Keliwon.

    Mereka selaku wakil ibu bapa, guru serta murid SRAI mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mahdzir yang telah membuat keputusan yang tepat, adil lagi bijaksana.

    “Kami juga akan terus membantu murid-murid SRAI khususnya untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah.

    “Kami menzahirkan terima kasih kami kepada semua pihak terutamanya pengamal media dan portal-portal berita yang membantu menyampaikan mesej kami. Serta doa-doa dari orang ramai,” jelas mereka.

    Semalam, Mahdzir mengumumkan, dasar dan syarat pengambilan pelajar ke MRSM dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.

    Beliau berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat Keluarga Malaysia.