JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor merampas 627,510 liter minuman keras bernilai lebih RM20 juta di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang dalam beberapa siri rampasan dalam dua bulan ini.

Rampasan minuman keras melibatkan arak, wain dan bir itu dirampas menerusi operasi pada 21 dan 27 Septermber serta 8 Novermber lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, jumlah nilai rampasan tersebut termasuk duti dan cukai.

“Kes pertama yang berlaku pada 21 September lalu membabitkan serbuan yang dibuat oleh pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) ke atas sebuah gudang yang disyaki.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua gudang berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM18.5 juta membabitkan kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 494,373 liter termasuk jumlah duti dan cukai.

“Kes kedua pada 27 September lalu melibatkan serbuan ke sebuah gudang yang disyaki dan hasil semakan rekod pengimportan mendapati pihak syarikat mengikrar enam kontena bermuatan minuman keras membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM2.11 juta termasuk duti serta cukai.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, hari ini.

Abdul Wabahi berkata, kes ketiga pada 8 November lalu pula melibatkan serbuan menahan tiga kontena apabila pihak pengimport menggunakan Borang Zon Bebas 1 (ZB1) dengan mengemukakan permit import yang tidak sepadan dengan kelulusan semasa pengikraran.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua kontena berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus kastam dengan nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM1.6 juta termasuk duit dan cukai,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahabi berkata, kesalahan bagi kes bertarikh 21 September dan 8 November sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan serta tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kes bertarikh 27 September pula disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Zon Bebas 1990,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here