SELEPAS Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman menunaikan nazar dengan membotakkan kepala.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau menunaikan nazar itu demi integriti, rakyat dan negara.

“Ya. Demi integriti, rakyat dan negara,” katanya ringkas melalui pesanan dalam aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan terdahulu berhubung kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menggesa agar khidmat polis pengiring kepada Najib ditamatkan segera.

“Najib telah memalukan Malaysia, memalukan nama besar Almarhum Tun Abdul Razak, memalukan agama dan bangsa.

“Satu saja, perkhidmatan polis pengiring kepada Najib harus ditamatkan dengan serta merta.

“Jangan terus menerus aibkan polis kita dengan memaksa mereka mengiring penjenayah seolah-olah dia VVIP. Jaga maruah polis,” katanya dalam hantaran Facebook.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here