Tag: Langkawi

  • Kepala air: 40 terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh

    Kepala air: 40 terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh

    Oleh BADLISHAH MAT

    SERAMAI 40 pendaki yang berkunjung ke kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh, di Langkawi dilaporkan terperangkap dalam kejadian kepala air yang mengakibatkan arus deras susulan hujan lebat pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 mengenai kejadian itu pada pukul 10.16 pagi ini.

    “PGO mengarahkan sebuah jentera K1-31 dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), serta sebuah RRV ke lokasi kejadian.

    “Pasukan Keluaran Operasi membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai bagi membolehkan anggota penyelamat bergerak ke lokasi mangsa terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan, 15 daripada mereka telah berjaya diselamatkan setakat ini.

    Sehingga kini, kerja-kerja menyelamat masih giat dilakukan.

  • Tiket feri ke Langkawi naik antara RM3 ke RM11.50

    Tiket feri ke Langkawi naik antara RM3 ke RM11.50

    BADLISHAH MAT

    TAMBANG pengangkutan feri dari Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis ke Terminal Feri Kuah di Pulau Langkawi, di sini naik antara RM3 ke RM11.50 berkuatkuasa esok.

    Bagaimanapun, harga tiket yang lebih murah dinikmati penduduk pulau pelancongan itu selama ini masih kekal iaitu RM15 untuk dewasa bagi perjalanan dari Kuala Perlis dan RM20 dari Kuala Kedah selain penumpang warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

    Mengikut kadar baharu, bagi penumpang warganegara yang melalui laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis, harga RM18 bagi dewasa dan RM13 kanak-kanak sebelum ini masing-masing naik RM3 menjadi RM21 dan RM16.

    Penumpang bukan warganegara pula akan dikenakan caj baharu RM27 (dewasa) dan RM19.50 (kanak-kanak) selepas tiket feri itu naik sebanyak RM9 dan RM6.50 berbanding RM18 dan RM13 sebelum ini.

    Sementara itu, untuk perjalanan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah yang mengenakan tambang RM23 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak) mengalami kenaikan sebanyak RM3.50 menjadi RM26.50 dan RM20.50.

    Pelancong asing dewasa pula perlu membayar RM34.50 untuk harga baharu berbanding RM23 sebelum ini selepas ia naik sebanyak RM11.50 untuk laluan itu, manakala bagi kanak-kanak kenaikan RM8.50 dicatatkan menjadi RM25.50 daripada RM17 sebelum ini.

    Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, kali terakhir tambang feri berkenaan dinaikkan adalah pada 15 Disember 2007 iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

    “Kadar kenaikan itu adalah RM5 bagi laluan Kuala Kedah dan RM3 bagi Kuala Perlis. Ini menjadikan kadar tambang feri di Langkawi adalah yang terendah di Malaysia ketika ini,” katanya di sini hari ini.

    Baharin berkata, kadar tambang baharu itu melibatkan tujuh buah syarikat feri yang beroperasi di kedua-dua laluan berkenaan yang bernaung di bawah Ferry Line Ventures.

  • Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah mengharapkan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlaku lagi kes-kes buli seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

    Ketua Wira Perkasa Kedah, Mohd. Alif Sani berkata, jalinan kerjasama itu juga turut perlu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak yang menularkan video-video buli yang tular tersebut.

    Menurutnya, penularan video sedemikian menimbulkan persoalan sama ada pelajar-pelajar terlibat bangga dengan sikap dan sifat gengsterisme ditonjolkan.

    “Kami dengan penuh harapan menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan dan kebijaksanaan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam menyelesaikan masalah tersebut.

    “Dalam masa sama, kami juga mengajak kalangan pelajar agar berfikir panjang sebelum mengambil tindakan yang akan memalukan bangsa, selain berusaha menjaga hati serta perasaan keluarga yang menaruh harapan tinggi kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    MOHD ALIF SANI

    Beliau mengulas kejadian melibatkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Langkawi yang dibelasah beramai-ramai hingga tular di media sosial semalam.

    Berikutan laporan polis dibuat mangsa, seramai 13 pelajar tingkatan empat sekolah tersebut telah ditahan dan diambil keterangan.

    Sementara itu katanya, kejadian buli yang tidak berkesudahan selama ini turut menimbulkan persoalan sama ada pendidikan moral dan sivik perlu diberi perhatian di sekolah-sekolah dalam negara ini.

    “Dalam masa sama, kita memahami kegusaran ibu bapa mengenai kemungkinan pihak sekolah lepas tangan atau cuba menyembunyikan kes seumpama ini bagi mengelakkan rekod sekolah tercalar,” katanya.

  • Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Mayat seorang nelayan ditemui dalam bot yang karam di kedudukan kira-kira lima batu nautika barat laut Pulau Payar di Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui penyelam bebas kira-kira pukul 12.05 tengah hari tadi di bilik jentera bot berkenaan.

    “Usaha mencari dan menyelamat diteruskan seawal pukul 8.00 pagi tadi dengan penglibatan sebuah aset Maritim Malaysia, bot Perkasa 1225 dan lima buah bot nelayan tempatan.

    “Keluasan sektor operasi pencarian merangkumi kawasan seluas 2.8 batu nautika. Pada pukul 11 pagi, seramai empat penyelam bebas melakukan kerja-kerja menyelam ke dasar laut untuk menjejaki mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam bot karam dan satu mayat ditemui di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi semalam, seramai 16 kru bot nelayan tempatan Kelas A atau bot bilis terselamat manakala seorang lagi hilang selepas bot tersebut tenggelam akibat kerosakan pada hos salur masuk air laut.

    Kesemua mangsa berusia antara 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang berada berhampiran kawasan kejadian.

    Salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan.

    Mohd Zawawi berkata, mayat tersebut dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut menggunakan bot Perkasa 1225.

    “Sejurus tiba di jeti pada pukul 1.10 tengah hari, pengecaman mayat dilakukan oleh pihak majikan dan diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.

    “Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 2.00 petang,” katanya.

  • Feri rosak, air surut punca penumpang terkandas 7 jam di Langkawi

    Feri rosak, air surut punca penumpang terkandas 7 jam di Langkawi

    KEROSAKAN feri dan fenomena air laut surut di perairan Kuala Perlis, Perlis menyebabkan seramai 423 penumpang terkandas lebih tujuh jam di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi semalam.

    Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, kesemua penumpang tersebut dijadualkan menaiki Feri Star City 6 dari Langkawi ke Kuala Perlis, namun perjalanan tidak dapat diteruskan kerana feri berkenaan mengalami kerosakan.

    Beliau berkata, pihak pengurusan konsortium kemudian telah bertindak menyediakan feri lain iaitu Bahagia 99 bagi membawa kesemua penumpang ke Terminal Kuala Perlis, bagaimanapun keadaan air laut pada masa itu sudah mulai surut.

    “Pihak konsortium telah berbincang dan mengambil kata putus bahawa perjalanan feri perlu dilewatkan ke 10 malam memandangkan keadaan air laut mulai pasang kembali.

    “Jika feri bergerak pada 3.30 petang bermakna feri akan sampai di Terminal Kuala Perlis ketika air laut sudah surut dan boleh berlaku kecelakaan di laut yang boleh membahayakan penumpang dan anak kapal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau membuat penjelasan itu susulan penularan video sejak semalam mengenai keadaan tegang dan kecoh di Terminal Feri Penumpang Kuah apabila penumpang dikatakan tidak berpuas hati kerana jadual perjalanan feri dilewatkan.

    Mengulas lanjut, Baharin berkata, kekecohan bermula sebaik sahaja pihaknya mengumumkan bahawa perjalanan feri dilewatkan ke 10 malam menyebabkan ada segelintir penumpang yang memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas di terminal dan kru feri.

    “Kekecohan masih berlaku sampai ke malam, ada penumpang yang tidak berpuas hati dan tidak boleh menerima keadaan itu sedangkan kita lewatkan feri kerana faktor keselamatan. Ramai yang bertempik dan mengeluarkan kata kesat,” katanya.

    Difahamkan keadaan air laut surut di perairan Kuala Perlis menyebabkan semua perjalanan feri Langkawi-Kuala Perlis pada 10 hingga 13 Feb ini terpaksa dibatalkan, namun orang ramai masih boleh ke pulau peranginan itu dengan menaiki feri di Terminal Kuala Kedah. – BERNAMA

  • Budak perempuan jatuh dari tingkat empat bangunan

    Budak perempuan jatuh dari tingkat empat bangunan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Mahawangsa 1, Kuah, Langkawi hari ini.

    Ketua Bomba Zon Langkawi, Mohd Fadzlullah Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 8.23 pagi.

    “Sebaik anggota tiba di lokasi, didapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari tingkat empat bangunan. Anggota bertugas terus memberi rawatan awal kepada mangsa.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kemudian dibawa ke Hospital Langkawi dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata ketika kejadian bapa mangsa mendakwa dia dan keluarga sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. – BERNAMA

  • Pengotor! 5 premis, satu gudang makanan diarah tutup

    Pengotor! 5 premis, satu gudang makanan diarah tutup

    Oleh: RIZQI ZABIDI

    Sebanyak lima premis di Langkawi diarahkan tutup kerana didapati memiliki tahap kebersihan rendah menerusi ‘Ops Helang’ yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, selain itu terdapat satu gudang makanan yang turut diarahkan tutup kerana terdapat infestasi tikus.

    Katanya, semua premis yang diarahkan tutup itu diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.

    “Sekiranya pengusaha mematuhi kesemua arahan pembersihan, mereka boleh memohon agar premis itu diperiksa semula sebelum dibenarkan kembali beroperasi.

    “Selain itu pelbagai kesalahan melibatkan pengendali makanan dan kebersihan premis makanan turut dikenal pasti. Sebanyak 73 notis dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja premis dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM21,250,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Ops Helang itu diselaras bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) serta Bahaian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Kedah selain turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Pelaksanaan operasi itu selaras dengan peningkatan bilangan pelancong ke Langkawi menjelang pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi yang bermula pada 15 November depan.

    Othman menambah, sebanyak 20 notis kesalahan merokok di kawasan larangan turut dikeluarkan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

    “Notis-notis itu dikeluarkan di dua premis makanan, dua di kompleks membeli-belah, enam di Jeti Feri Kuah dan 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM5,000.

    “Sebanyak 18 notis pula dikeluarkan dengan jumlah kompau mencecah RM36,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard. Antara kesalahan itu adalah pemilik premis gagal mempamerkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala saja di pintu masuk premis,” katanya.

    Beliau menambah, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuaan sedemikian secara berkala di seluruh negeri ini bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang.

    “Orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi JKD atau PKD berdekatan sekiranya mempunyai sebarang aduan berkaitan kebersihan atau aktiviti merokok di premis makanan, di negeri ini,” katanya.

  • MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

    Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

    “Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

    “Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

    Terdahulu, Nancy berkata, dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

    Katanya, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

    Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini. – BERNAMA

  • Tidak perlu lagi ujian COVID-19 ke Langkawi

    Tidak perlu lagi ujian COVID-19 ke Langkawi

    Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19 bagi individu yang ingin melancong ke Langkawi, berkuat kuasa hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif semasa saringan yang sangat rendah, malah tiada kluster COVID-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi.

    “Ia juga selaras dengan kebenaran rentas negeri bagi Keluarga Malaysia, termasuk perjalanan pulang ke kampung dan tempat pelancongan bermula Isnin lepas,” katanya.

    Khairy berkata syarat wajib vaksinasi COVID-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa yang mengembara ke pulau itu masih perlu dipatuhi, selain menggalakkan pelancong untuk melakukan ujian kendiri COVID-19, sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi.

    “Bagi individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, mereka tidak dibenarkan melancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahad lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19, melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula Isnin.

    Keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), telah mencapai 90 peratus.

    Sehingga Ahad lepas, Khairy berkata seramai, 54,341 pelancong telah menjalani ujian saringan COVID-19 dengan hanya 216 atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif, manakala hanya seorang pelancong yang mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif COVID-19 melalui ujian RT-PCR.

    “Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi,” katanya.

    Sebelum ini, Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi telah dilaksanakan mulai 16 Sept lepas, dengan kerajaan mewajibkan setiap pelancong menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memasuki pulau itu.

  • Covid-19: Sektor pelancongan Langkawi tak terjejas

    Covid-19: Sektor pelancongan Langkawi tak terjejas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEKTOR pelancongan di Langkawi yang kembali dibuka di bawah projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu dijangka tidak akan terjejas dek penularan Covid-19 melibatkan lebih 50 pekerja pekerja di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penularan virus tersebut hanya melibatkan pekerja dan ahli keluarga mereka tanpa membabitkan mana-mana pelancong yang berkunjung ke hotel tersebut.

    “Saya difahamkan penularan Covid-19 di situ berlaku di tempat tinggal pekerja hotel tersebut tanpa melibatkan pelancong. Semua pihak telah pun mengambil langkah perlu untuk menghentikan penularannya.

    “Jadi perkara itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan di Langkawi. Alhamdulillah, sekarang ini Langkawi sudah ‘bernafas’ semula,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkunjung ke pejabatnya di Wisma Darul Aman di, Alor Setar hari ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo semalam mengesahkan bahawa pihak pengurusan sebuah hotel mengambil langkah menutup operasi secara sukarela buat sementara waktu setelah 59 pekerjanya serta ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19.

    Kesemua mereka termasuk dalam Kluster Dah Nibung yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober lalu dengan ia dikenal pasti sebagai kluster tempat kerja.

    Sementara itu Mahdzir memaklumkan, kementeriannya akan berganding bahu bersama kerajaan negeri untuk menjadikan Tanjung Dawai di Kuala Muda sebagai kawasan tarikan pelancong.

    “Di pihak kementerian, kami sedia memberi perhatian kepada perkara berkaitan seperti bekalan air luar bandar serta naik taraf jalan-kalan kampung. Namun usaha ini juga memerlukan kerjasama dari kementerian lain.

    “Oleh itu kerajaan negeri selepas ini akan turut mengadakan rundingan bersama kementerian lain bagi tujuan tersebut. Kita mahu menjadikan Tanjung Dawai sebagai kawasan yang boleh menarik kedatangan pelancong lebih ramai selepas ini,” katanya.