Oleh: RIZQI ZABIDI

Sebanyak lima premis di Langkawi diarahkan tutup kerana didapati memiliki tahap kebersihan rendah menerusi ‘Ops Helang’ yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, selain itu terdapat satu gudang makanan yang turut diarahkan tutup kerana terdapat infestasi tikus.

Katanya, semua premis yang diarahkan tutup itu diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.

“Sekiranya pengusaha mematuhi kesemua arahan pembersihan, mereka boleh memohon agar premis itu diperiksa semula sebelum dibenarkan kembali beroperasi.

“Selain itu pelbagai kesalahan melibatkan pengendali makanan dan kebersihan premis makanan turut dikenal pasti. Sebanyak 73 notis dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja premis dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM21,250,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ops Helang itu diselaras bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) serta Bahaian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Kedah selain turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelaksanaan operasi itu selaras dengan peningkatan bilangan pelancong ke Langkawi menjelang pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi yang bermula pada 15 November depan.

Othman menambah, sebanyak 20 notis kesalahan merokok di kawasan larangan turut dikeluarkan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Notis-notis itu dikeluarkan di dua premis makanan, dua di kompleks membeli-belah, enam di Jeti Feri Kuah dan 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM5,000.

“Sebanyak 18 notis pula dikeluarkan dengan jumlah kompau mencecah RM36,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard. Antara kesalahan itu adalah pemilik premis gagal mempamerkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala saja di pintu masuk premis,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuaan sedemikian secara berkala di seluruh negeri ini bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi JKD atau PKD berdekatan sekiranya mempunyai sebarang aduan berkaitan kebersihan atau aktiviti merokok di premis makanan, di negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here