Oleh RIZQI ZABIDI

SEKTOR pelancongan di Langkawi yang kembali dibuka di bawah projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu dijangka tidak akan terjejas dek penularan Covid-19 melibatkan lebih 50 pekerja pekerja di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penularan virus tersebut hanya melibatkan pekerja dan ahli keluarga mereka tanpa membabitkan mana-mana pelancong yang berkunjung ke hotel tersebut.

“Saya difahamkan penularan Covid-19 di situ berlaku di tempat tinggal pekerja hotel tersebut tanpa melibatkan pelancong. Semua pihak telah pun mengambil langkah perlu untuk menghentikan penularannya.

“Jadi perkara itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan di Langkawi. Alhamdulillah, sekarang ini Langkawi sudah ‘bernafas’ semula,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkunjung ke pejabatnya di Wisma Darul Aman di, Alor Setar hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo semalam mengesahkan bahawa pihak pengurusan sebuah hotel mengambil langkah menutup operasi secara sukarela buat sementara waktu setelah 59 pekerjanya serta ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19.

Kesemua mereka termasuk dalam Kluster Dah Nibung yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober lalu dengan ia dikenal pasti sebagai kluster tempat kerja.

Sementara itu Mahdzir memaklumkan, kementeriannya akan berganding bahu bersama kerajaan negeri untuk menjadikan Tanjung Dawai di Kuala Muda sebagai kawasan tarikan pelancong.

“Di pihak kementerian, kami sedia memberi perhatian kepada perkara berkaitan seperti bekalan air luar bandar serta naik taraf jalan-kalan kampung. Namun usaha ini juga memerlukan kerjasama dari kementerian lain.

“Oleh itu kerajaan negeri selepas ini akan turut mengadakan rundingan bersama kementerian lain bagi tujuan tersebut. Kita mahu menjadikan Tanjung Dawai sebagai kawasan yang boleh menarik kedatangan pelancong lebih ramai selepas ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here