Tag: Kementerian Pendidikan

  • Kes Cikgu Fadli: PM harap keputusan menang-menang dicapai

    Kes Cikgu Fadli: PM harap keputusan menang-menang dicapai

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap situasi menang-menang dapat dicapai dalam isu melibatkan guru Mohd Fadli Mohamed Salleh dengan Kementerian Pendidikan, yang tular di media sosial Facebook sejak semalam. 

    Beliau berkata dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pagi tadi dan telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkhairuddin Ghazali pada petang ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut. 

    Jawatankuasa disiplin kementerian juga, menurut Ismail Sabri akan bersidang esok, berhubung isu tersebut,  yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof. 

    “Surat tunjuk sebab adalah perkara biasa dalam jabatan kerajaan, namun saya berharap keputusan positif akan dicapai pada mesyuarat esok. Insya-Allah apa yang digambarkan dalam surat itu atau di media sosial seperti akan dipecat, diturunkan pangkat dan sebagainya tidak akan berlaku. 

    Pihak kementerian tidak boleh melepaskan kakitangan yang mengeluarkan komen (di media sosial) namun dalam masa sama, hukuman yang terlalu keras kepada pegawai dan kakitangan juga tidak wajar, selain pegawai dan kakitangan juga perlu menghormati kementerian,” katanya.

    Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Dewan Kompleks UMNO Bera di sini hari ini. 

    Beliau juga berpandangan kementerian dalam menjaga integriti mereka, juga perlu mendengar pandangan bukan hanya daripada guru, tetapi juga masyarakat dan berdasarkan reaksi yang diterima selepas isu tersebut tular, ramai yang memberikan maklum balas negatif. 

    Semalam, Mohd Fadli guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa beliau akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

    Bagaimanapun menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat itu untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan untuk membela diri.  

    Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan menyatakan kesediaan untuk berjumpa guru tersebut menerusi hantaran di akaun Facebook beliau. Mohd Fadli juga menerusi status terbarunya di akaun media sosial menyatakan akan berjumpa Radzi pada suatu hari nanti.  — BERNAMA 

     

  • KPM cari pendekatan sesuai atasi tahap literasi murid

    KPM cari pendekatan sesuai atasi tahap literasi murid

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan kaedah pengajaran bersesuaian untuk menangani tahap penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar di negara ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu perlu diberi perhatian kerana terdapat segelintir murid masih tidak berupaya membaca dengan baik walaupun sudah memasuki sekolah menengah.

    Katanya, isu berkenaan terdedah apabila pihaknya bertemu sendiri dengan guru sekolah menengah di lapangan bagi mendengar permasalahan murid dalam menguasai literasi.

    Beliau berkata, permasalahan itu bukan perkara baharu malah telah wujud sejak sebelum pandemik COVID-19.

    Justeru, katanya, beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah Pendidikan untuk merangka pendekatan berbeza bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan berkesan serta program intervensi literasi awal.

    Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), di Genting Highlands, hari ini.

    Sementara itu, Radzi, berkata pihaknya maklum tentang dakwaan terdapat guru yang terpaksa ‘menipu’ dalam memberi pemarkahan kepada murid atau pelajar semata-mata untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka tercapai.

    Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat harus faham bahawa tindakan guru itu adalah satu perkara yang subjektif kerana mereka kadang-kadang berdepan dengan tekanan.

    “Kita kena faham, ulasan (pemarkahan) diberikan guru itu adalah berdasarkan justifikasi mereka. Jadi untuk kita kata bahawa guru ini menipu, guru itu tidak menipu, ia merupakan satu perkara yang agak subjektif.

    “Tetapi saya tidak nafikan perkara ini mungkin ada berlaku dan kita juga sedar bahawa terdapat keperluan untuk kita bergerak bersama dengan kepimpinan pendidikan bagi memahami perkara sebenarnya yang ingin kita capai daripada sistem pendidikan,” katanya. – BERNAMA

  • Hampir 14,000 guru one-off telah ditempatkan

    Hampir 14,000 guru one-off telah ditempatkan

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan hampir 14,000 guru telah ditempatkan setakat ini menerusi pengambilan secara one-off yang dilaksanakan kementerian itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kira-kira lebih 4,000 guru lagi sedang dalam proses untuk ditempatkan, berdasarkan 18,702 jumlah guru yang diperuntukkan bagi pengambilan tersebut.

    “Dengan pengambilan baharu (one-off) ini, kami akan beri keutamaan pergerakan kepada guru-guru yang telah lama (untuk dipindahkan) sebelum kami bawa masuk guru-guru baharu di kawasan yang mana permohonan untuk pertukaran itu tinggi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah (SMK) Bandar Saujana Putra, di Kuala Langat hari ini.

    Radzi berkata, susulan pengambilan guru baharu tersebut, permohonan pertukaran guru adalah antara yang tertinggi pernah diluluskan dalam sejarah iaitu lebih daripada 55 peratus.

    Mengulas berhubung takwim pembelajaran akademik bagi penggal 2022/2023, Radzi berkata, setakat ini kalendar tersebut masih dikekalkan walaupun negara bakal memasuki fasa endemik 1 April ini.

    Mengulas berhubung pengoperasian SMK Bandar Saujana Putra, Radzi berkata, seramai 988 pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dijadualkan memulakan persekolahan di sekolah tersebut pada 21 Mac depan.

    Media sebelum ini melaporkan SMK Bandar Saujana Putra yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019, telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

    Radzi berkata, sejak dua tahun lepas, kementerian telah memberi keutamaan untuk konteks infrastruktur pendidikan, termasuk usaha menyiapkan pembangunan sekolah terbengkalai. – BERNAMA

  • Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    SEMAKAN tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

    “Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Radzi, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.

    “Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April manakala pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my,” kata Radzi. – BERNAMA

  • KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited melakukan terbaik bagi merealisasikan pelbagai pendekatan strategik yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha melahirkan golongan belia cemerlang termasuk memajukan sukan negara.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan telah menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan melibatkan murid serta guru di bawah KPM.

    “Dalam pertemuan tadi, kami bincangkan tentang usaha dan pendekatan untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan murid dan juga kaedah mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan KPM dan KBS.

    “Selain itu, pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan KPM-KBS. Kini, Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) KPM-KBS antara yang sedang diusahakan,” kata Radzi menerusi hantaran itu, hari ini.

    Beliau berkata, aspek pembangunan belia perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa.

    “Semoga usaha KPM-KBS melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia yang cemerlang serta memajukan sukan dapat direalisasikan sepertimana dirancang,” katanya. – BERNAMA

  • Guru, pelajar SK Assumption disurai ke sekolah lain

    Guru, pelajar SK Assumption disurai ke sekolah lain

    KEMENTERIAN Pendidikan membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Seberang Perai Utara ke sekolah lain yang berhampiran memandangkan bangunan dan tapak sekolah itu adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

    Menurut kementerian, sekolah-sekolah tersebut adalah SK Kuala Perai, Butterworth yang terletak 350 meter dari situ serta SK Kuala Nyior (1.7 km), SK St Mark, Butterworth (2.1 km), SK Khir Johari, Perai (5.5 km) dan SK St Mark, Perai (5.8 km).

    Jelas Kementerian Pendidikan, penyuraian itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.

    “Ketetapan itu diambil berdasarkan justifikasi trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.

    “Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.

    “Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 km hingga 5.8 km,” jelas Kementerian Pendidikan dalam kenyataan media, hari ini.

    Kementerian Pendidikan merujuk kepada laporan media berhubung pengosongan tapak SK Assumption yang merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Sri Avenue sejak 2008.

    Pada 3 November 2021, Sri Avenue telah memaklumkan bahawa syarikat telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.

    Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya Kementerian Pendidikan mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin.

    Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, Kementerian Pendidikan telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan Mac 2022.

    “Kementerian Pengangkutan akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023,” jelasnya.

  • SPP percepat pengambilan guru, AKP di sekolah

    SPP percepat pengambilan guru, AKP di sekolah

    SURUHANJAYA Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang diperlukan sekolah di seluruh negara, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, ia susulan pertemuan beliau dengan pengerusi SPP yang baharu, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff hari ini yang antara lain membincangkan beberapa perkara penting berkaitan usaha kementerian memperkasa sektor pendidikan, khususnya tentang pengambilan guru baharu.

    Radzi dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini berkata, komitmen diberikan itu penting bagi membolehkan pengoperasian sekolah, khususnya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan lancar demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.

    “Antara tumpuan Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini adalah untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Ini adalah penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada,” katanya.

    Menurut Radzi, biarpun SPP telah selesai menjalankan temu duga bagi pengambilan khas pegawai perkhidmatan pendidikan itu dengan sebahagian daripada calon berjaya menerima tawaran lantikan namun KPM mahu baki pengambilannya diselesaikan segera bagi membolehkan penempatan dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.

    Selain itu, beliau juga memohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temu duga kumpulan calon bagi guru lantikan secara Contract of Service (Guru Kontrak) dan guru interim yang akan tamat kontrak pada tahun ini, bermula April.

    Mereka melibatkan guru interim bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris lantikan tahun 2019, guru interim bagi mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak.

    Radzi berkata, KPM dan SPP juga akan meneliti mengenai keluhan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) berhubung pengambilan khas guru kerana berdasarkan maklum balas, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu termasuk graduan PAKK.

    “Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan AKP yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah,” katanya. – BERNAMA

  • Pelajar sekolah menengah hadir bersemuka jika vaksinasi capai 90%

    Pelajar sekolah menengah hadir bersemuka jika vaksinasi capai 90%

    PENGOPERASIAN sekolah menengah bagi penggal 3, 2021/2022 melibatkan murid kelas peralihan, Tingkatan 4 hingga 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap mencapai 90 peratus atau lebih.

    Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM bagi Penggal 3, 2021/2022 berkata pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih, adalah kekal secara penggiliran.

    “Senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan pada setiap Rabu.

    “Mana-mana institusi yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan boleh mula beroperasi pada Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran,” katanya.

    Bagi murid Tingkatan 1 hingga 3 pula, kehadiran mereka adalah secara penggiliran, manakala murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran, katanya.

    Pada 24 Dis lepas, KPM mengumumkan tarikh persekolahan penggal 3 bermula 9 Jan bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan 10 Jan bagi kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

    Menurut KPM, bagi pengoperasian sekolah berasrama sepenuhnya melibatkan murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, kehadiran adalah secara bersemuka tanpa penggiliran.

    Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), katanya.

    Bagi pengoperasian sekolah rendah melibatkan MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), mereka perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

    “Murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran,” katanya.

    KPM berkata sekolah harian dan sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

    “Namun, bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya. KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan,” katanya.

    Pengoperasian kolej vokasional bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Jan 2022.

    “Bagi pengoperasian Kolej Matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Jani 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester,” katanya.

    Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, KPM berkata semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Feb 2022 mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.

    “Murid KM dan IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0,” katanya.

    KPM berkata murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

    Sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin, namun ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.

    KPM dalam pada itu berkata kesediaan institusi pendidikan yang terlibat dengan banjir atau pusat pemindahan sementara (PPS) untuk beroperasi akan dimaklumkan pada 3 Jan depan. – BERNAMA

  • Lebih ramai pelajar berhenti sekolah 2018 berbanding semasa pandemik

    Lebih ramai pelajar berhenti sekolah 2018 berbanding semasa pandemik

    JUMLAH pelajar yang berhenti sekolah bagi 2018 adalah lebih tinggi berbanding dalam tempoh pandemik iaitu Mac 2020 hingga Julai tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sejumlah 34,074 pelajar direkodkan berhenti sekolah pada 2018 manakala hanya 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

    “Maksudnya, untuk tahun sebelumnya, angka itu (pelajar berhenti sekolah) adalah lebih tinggi daripada apa yang diberikan kepada Kangar (Noor Amin Ahmad),” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang membangkitkan jawapan bertulis Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kepada Noor Amin yang bertanyakan jumlah pelajar berhenti persekolahan dari Mac 2020 sehingga kini.

    Dalam jawapan bertulis itu, Radzi memaklumkan seramai 11,301 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac hingga Disember 2020, manakala bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, seramai 10,015 murid direkodkan berhenti sekolah.

    Semalam Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang juga bekas Menteri Pendidikan, di Twitter rasminya meluahkan rasa terkilan dengan jumlah pelajar yang berhenti sekolah bagi tempoh itu.

    Sehubungan itu, Hang Soon berkata Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pelbagai langkah bagi menurunkan kadar keciciran pelajar termasuk menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan pelajar yang tidak hadir semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan semasa sesi pembelajaran di sekolah ketika sekolah dibuka semula.

    Selain itu, katanya, KPM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah serta mengadakan perbincangan antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar untuk mengenal pasti sebab dan langkah untuk menangani pelajar yang kurang minat untuk belajar.

    “… pada waktu sama kita melaksanakan intervensi murid risiko cicir PdP di peringkat JPN dan PPD. Kita juga menyediakan garis panduan mengurus murid berisiko cicir di sekolah (GPMBC) sebagai rujukan PPD, JPN dan sekolah,” katanya.

    Sementara itu, menjawab soalan Prabakaran a/l M Parameswaran (PH-Batu) mengenai pelan memperkenalkan mata pelajaran perpaduan bagi murid sekolah rendah dan menengah menggantikan pendidikan moral, Hang Soon berkata, buat masa ini kementerian tiada perancangan berhubung perkara itu.

    Beliau berkata, bagaimanapun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 mengesyorkan bahawa kurikulum pendidikan moral bagi murid bukan Islam memberi lebih tumpuan tentang nilai universal, perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

    “KPM telah melaksanakan penambahbaikan secara bersepadu dengan memberi lebih tumpuan kepada elemen perpaduan dalam aspek kurikulum, strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta bahan sokongan,” katanya.

    Menjelas lanjut Hang Soon berkata, elemen perpaduan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral juga diterjemahkan secara eksplisit dan diperkembangkan melalui tema dan bidang yang khusus dan dikaitkan juga dengan konstruk perpaduan.

    KPM juga katanya, menghasilkan bahan sokongan untuk memantapkan amalan perpaduan dalam kalangan murid iaitu ‘Buku Panduan Pelaksanaan Memperkukuh Perpaduan Melalui Mata Pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam Kurikulum’ yang menjadi rujukan guru Pendidikan Moral untuk memperkukuh perpaduan secara terancang melalui pelbagai cadangan aktiviti PdP dalam dan luar bilik darjah. – BERNAMA

  • Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah – Radzi

    Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mendapati sebahagian besar murid sudah biasa melakukan ujian kendiri saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Radzi yang meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 di sini hari ini bagi melihat pengoperasian sekolah dan hari pertama pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah berpuas hati dengan proses berkenaan.

    “Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini mula memahami tentang kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah.

    “Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik, murid dapat mematuhi arahan yang diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada media.

    Sehubungan itu, Radzi berkata KPM yakin proses tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya hingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Dis ini.

    Mengenai pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran dilaksanakan pada setiap minggu pada Rabu, Radzi berkata seramai 28 daripada 280 murid di SK Bandar Sri Damansara 3 dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

    Pada 27 Nov lepas, KPM memaklumkan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

    Sehari sebelum itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula 29 Nov. – BERNAMA