Tag: Kemalangan

  • Motosikal bertembung, dua remaja Orang Asli maut

    Motosikal bertembung, dua remaja Orang Asli maut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA remaja lelaki berketurunan Orang Asli maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di Kota Tinggi malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kedua-dua mereka yang berusia 13 dan 15 tahun mengalami kecederaan parah di kepala akibat pelanggaran secara berhadapan.

    Remaja berumur 13 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang menunggang Demak 110 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

    Lokasi kemalangan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di Kota Tinggi malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal jenis Demak 110.

    “Siasatan awal mendapati mangsa berumur 13 tahun berketurunan Orang Asli menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kota Tinggi menghala ke Kluang.

    “Semasa tiba di lokasi kejadian iaitu kawasan jalan lurus dan gelap tanpa lampu, mangsa telah berlanggar dengan sebuah lagi motosikal dinaiki remaja berusia 15 tahun yang juga keturunan Orang Asli dari arah bertentangan.

    “Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal Honda EX5 mengalami cedera parah
    pada bahagian kepala dan kaki telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hussin berkata, mangsa kedua yang turut mengalami cedera parah pada bahagian kepala telah dibawa ke hospital oleh ambulans sebelum disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan.

  • Motosikal bertembung, pelajar sekolah dan lelaki Rohingya maut

    Motosikal bertembung, pelajar sekolah dan lelaki Rohingya maut

    SEORANG pelajar sekolah menengah dan seorang buruh etnik Rohingya maut manakala dua lagi parah selepas motosikal yang mereka tunggangi bertembung dalam kemalangan di Ulu Melaka, di Langkawi, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kemalangan kira-kira pukul 10.22 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha LC yang datang dari arah bertentangan.

    Pelajar yang maut dikenal pasti sebagai Ku Nur Shahrizal Ku Nor Sazali, 16 tahun manakala lelaki Rohingnya, Anas Ali, 28 tahun, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    Dua yang parah pula merupakan isteri Anas, Artiyah Lashidullah, 20 tahun, dan anak mereka Nadiyah, 5 tahun, yang membonceng motosikal terbabit.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi pelajar tingkatan 4 itu, yang datang dari arah Ulu Melaka menghala ke Air Hangat, memasuki laluan bertentangan.

    “Di tempat kejadian, motosikal dinaiki tiga beranak etnik Rohingya itu berada di laluannya, lalu bertembung secara berhadapan,” katanya seperti dipetik dari laporan Astro Awani.

    Shariman berkata, akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa yang maut jatuh di atas jalan manakala dua pembonceng tercampak hampir 10 meter ke atas jalan.

    Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.

    Manakala dua yang parah dihantar ke bahagian kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Wanita mati lemas kereta terbabas masuk parit

    Wanita mati lemas kereta terbabas masuk parit

    SEORANG pekerja pusat kecantikan dan kesihatan dipercayai mati lemas selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam parit di Bandar Bukit Raja, Klang awal pagi tadi.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, rakannya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena terselamat.

    Mangsa yang merupakan wanita berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadiaan dalam kejadian kira-kira pukul 2.22 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Persiaran Batu Belah dari Lorong Sungai Puloh.

    Beliau berkata, kenderaan dipandu lelaki berusia 37 tahun itu kemudiannya hilang kawalan di laluan selekoh tajam sebelum merempuh pokok.

    “Ia terus terbabas ke dalam parit menyebabkan mangsa wanita tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, menurut laporan Kosmo!.

    Katanya, mangsa lelaki yang terselamat itu hanya mengalami cedera ringan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.23 pagi dan tiba 11 minit kemudian.

    “Tugas menyelamat mangsa mengambil masa hampir 30 minit kerana kenderaan tenggelam di dalam parit,” katanya.

  • Remaja lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan

    Remaja lelaki maut, rakan parah dalam kemalangan

    Oleh RIZQI ZABIDI  

    SEORANG remaja lelaki maut manakala rakannya mengalami kecederaan parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) 4 di Kulim, Kedah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.12 petang mengakibatkan mangsa, Mohammad Shaharuddin Shah Iran, 17, yang menunggang motosikal tersebut, menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

    Katanya, pembonceng motosikal tersebut, Mohamad Daniel Haikal Kasturi, 17, pula mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan patah kedua-dua kakinya.

    “Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja lelaki itu yang datang dari arah Kulim Utama menghala ke Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) untuk pulang ke Penanga, Pulau Pinang, telah melanggar lampu isyarat merah.

    “Keadaan tu mengakibatkan motosikal tersebut telah dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang datang dari arah Hospital Kulim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    remaja lelaki maut
    Kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan bersama sebuah motosikal dinaiki dua remaja di KHTP, Kulim.

    Tambahnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai seorang mekanik bagaimanapun tidak cedera.

    “Semakan rakaman kamera litar tertutup di situ mengesahkan lampu isyarat di laluan motosikal tersebut, memang berwarna merah sewaktu kejadian itu berlaku.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke jabatan kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 3 lelaki maut dalam kemalangan 3 kenderaan

    3 lelaki maut dalam kemalangan 3 kenderaan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lelaki maut manakala seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan berhampiran Jalan Kampung Melayu Raya, Segamat, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

    Mereka yang maut ialah Thomas Tio Jia Wang, 19, dan Tio Kah Yong, 20, serta Ab. Razak A. Ghani, 64, manakala V. M. Mahendran, 22, cedera dalam insiden kemalangan terbabit.

    Jia Wang dan Kah Yong yang menaiki kereta jenis Ford Fiesta disahkan mati di tempat kejadian sementara Ab. Razak meninggal dunia ketika berada di Hospital Segamat untuk menerima rawatan.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, berdasarkan siasatan awal, kenderaan dinaiki dua pemuda itu dipercayai berlanggar dengan motosikal ditunggang Mahendran yang bergerak dari arah sama iaitu dari Labis ke pekan Segamat.

    “Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut kemudiannya telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar Mitsubishi Storm dinaiki warga emas yang bergerak dari arah bertentangan menghala ke Tenang,” katanya di sini hari ini.

    Jia Wang dan Kah Yong mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala Ab. Razak cedera di bahagian dalaman perut.

    Mahendran yang merupakan operator kilang mengalami cedera ringan di bahagian pinggang dan motosikalnya rosak di bahagian ekzos yang patah, lampu belakang pecah dan lampu isyarat belakang sebelah kanan patah.

    Manakala, kedua-dua kereta dan pacuan empat roda itu remuk teruk di bahagian depan akibat pelanggaran yang berlaku.

    Dalam pada itu, Bahrin berkata, keadaan jalan raya adalah lurus di tempat kejadian dan memiliki garisan putih berkembar di tengah-tengah jalan sebagai pemisah lorong selain aliran trafik lancar.

    “Permukaan jalan licin kerana cuaca baru lepas hujan sewaktu kejadian dan pencahayaan di kawasan kejadian adalah gelap selain tiada lampu jalan,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, PKPgB Marzuki Ismail berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) yang dikejarkan ke lokasi kejadian bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kereta.

    Katanya, sebanyak dua jentera EMRS dari BBP Bandar Baru Segamat dengan kekuatan keseluruhan seramai 10 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian diketuai Pegawai Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd Rahman.

    Operasi melibatkan pasukan bomba ditamatkan pada pukul 10.35 malam setelah mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.

  • 2 motosikal konvoi rentung, seorang lelaki maut

    2 motosikal konvoi rentung, seorang lelaki maut

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 39.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 30-an, manakala rakannya yang cedera pula dianggarkan berusia dalam 20-an.

    “Mereka dipercayai sedang berkonvoi motosikal dari Melaka pulang ke Perak.

    “Punca kemalangan masih dalam siasatan bagaimanapun impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua motosikal itu terbakar 90 peratus,” katanya.

    Norazam berkata mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala rakannya pula telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.05 petang tadi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian. – BERNAMA

  • Jurutera mabuk pandu lawan arus rempuh 2 kereta

    Jurutera mabuk pandu lawan arus rempuh 2 kereta

    SEORANG jurutera yang memandu secara melawan arus hingga menyebabkan kemalangan dengan dua kereta dan mencederakan seorang pemandu, ditahan di Kilometer 26 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di Port Dickson, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil ujian dilakukan di Balai Polis Trafik Port Dickson mendapati lelaki berusia 29 tahun itu di bawah pengaruh alkohol.

    Jelasnya, kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu suspek manakala dua lagi adalah kereta mangsa iaitu Proton Saga dan Toyota Vios.

    “Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, lelaki berkenaan telah memandu secara melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban, kereta suspek kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan.

    “Susulan kejadian itu, suspek tidak cedera namun seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan iaitu patah paha kaki kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Vios berusia 24 tahun bersama dua orang penumpang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Aidi Sham berkata lelaki berusia 31 tahun yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

    Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 42 (1) APJ 1987. – BERNAMA

  • Kereta remuk dirempuh perisai Gempita, guru menang tuntutan ganti rugi

    Kereta remuk dirempuh perisai Gempita, guru menang tuntutan ganti rugi

    LEBIH dua tahun lalu, tular dalam media sosial rakaman video memaparkan sebuah kenderaan perisai Gempita milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Tengah, Seremban.

    Dalam kejadian pada 4 Ogos 2019 itu, kelihatan kereta jenis Proton Wira mengalami kerosakan namun pemandu dan penumpang di dalamnya dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

    Hari ini, pemandu kereta berkenaan yang juga seorang guru, R Santhi, 52, menang dalam kes tuntutan sivil terhadap pemandu kenderaan perisai Gempita AV8 di Mahkamah Majistret Seremban.

    Memetik laporan Harian Metro, Majistret Naziah Mohd Alias membenarkan tuntutan sivil R Santhi dengan sepenuhnya bagi ganti rugi khas dan am termasuk faedah dan kos.

    Beliau memutuskan bahawa defendan cuai sepenuhnya dalam kemalangan yang berlaku pada 4 Ogos 2019 selepas meneliti segala keterangan yang dibicarakan.

    Santhi turut menamakan ATM sebagai defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

    Walaupun kereta mengalami kerosakan teruk, pemandu dan penumpang dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius. – Gambar: Tangkap layar video tular media sosial

    Peguam yang mewakili Santhi, N Naresh berkata, keputusan itu memberi keadilan kepada anak guamnya selepas lebih dua tahun terbabit dengan kemalangan berkenaan.

    Menurut beliau, keputusan yang memihak anak guamnya itu bukan semata-mata kemenangan berkaitan ganti rugi yang dituntut tetapi keadilan dapat dipertahankan.

    “Saya berpendapat, kenderaan berat seperti kereta perisai yang mempunyai sudut pandangan terhad perlu diiringi pengawal trafik daripada ATM atau dibantu polis trafik untuk kawalan lalu lintas.

    “Ia supaya kenderaan berat ini tidak memberi risiko kepada pengguna jalan yang lain dan juga kerosakan harta benda,” katanya ketika ditemui media.

    Menurut Naresh, sekiranya tidak dapat memperuntukkan pengawal lalu lintas untuk konvoi seperti itu, sekurang-kurangnya, jalan raya yang digunakan untuk konvoi seharusnya ditutup bagi kegunaan kenderaan awam.

    Beliau menambah, sudah tiba masanya ATM meneliti semula prosedur konvoi yang membabitkan kenderaan besar seperti kereta perisai Gempita supaya tidak mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

    “Sekiranya ada kawalan trafik daripada polis ataupun ATM sendiri, kemalangan itu semestinya tidak akan berlaku,” katanya.

    Sementara itu, Santhi berkata, kemenangan itu sekali gus memberi keadilan kepadanya.

    “Selama 17 tahun, itulah kenderaan yang saya gunakan untuk berulang alik dan menjadi kereta kesayangan keluarga saya.

    “Saya bersyukur kerana selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja,” jelasnya.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dilaporkan berkata, kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika kenderaan perisai berkenaan dalam perjalanan dari Kem Batu 10, Kuantan, Pahang menuju ke Port Dickson.

  • SUV terhumban dalam laut, lelaki diperintah bela diri

    SUV terhumban dalam laut, lelaki diperintah bela diri

    SEORANG pemuda yang terlibat dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut.

    Keputusan ke atas bekas pekerja salon, M. Vaitheswaran, 23, itu dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam keputusannya itu, Ahzal Fariz yang turut bertindak sebagai Majistret mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

    Malah, beliau turut berpuas hati yang mana terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk menunjukkan adanya unsur-unsur kecuaian melibatkan tertuduh dalam kemalangan yang menggemparkan negara pada 20 Januari 2019 itu.

    Sehubungan itu, Ahzal Fariz menetapkan 28 dan 29 Oktober depan sebagai tarikh prosiding pembelaan.

    Dalam pada itu, peguam K. Paramanathan berkata, beliau akan memanggil seramai tiga saksi pembelaan terdiri daripada tertuduh sendiri, ibu tertuduh dan seorang pakar perubatan dari Hospital Seberang Jaya di sini.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim.

    Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

    Pada 2019, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej yang juga rakannya, Moey Yun Peng.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira jam 3 pagi 20 Januari 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

    Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan kenderaan yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV jenis Mazda CX-5 tersebut hilang kawalan dan terhumban ke laut.

  • Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang juga pemandu lori penghantar barangan maut selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di jalan berhadapan stesen televisyen RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, di sini pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 11.46 pagi itu mengorbankan nyawa pemandu lori, Muhammad Mustaqim Ismandi, 23, yang ditemukan rentung selepas kenderaan itu terbabas lalu terbakar di tempat kejadian.

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori seberat lima tan milik sebuah syarikat penghantar barangan.

    Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit terperangkap di dalam lori ketika pihak bomba tiba di lokasi.

    pemandu lori rentung
    Mangsa yang terperangkap dalam lori yang terbakar disahkan meninggal dunia.

    “Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dalam lori tersebut, anggota bomba segera membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa.

    “Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.

    Seramai 10 anggota bomba dari BBP Larkin bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), unit bermotor bomba dan pacuan empat roda Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

    Kata Mohd. Suhaimi, pasukan keluaran operasi bertindak menggunakan satu aliran salur bantu bagi memadamkan kebakaran yang menyebabkan 70 peratus kemusnahan pada lori tersebut.

    Menurutnya, kerja-kerja pemadaman masih lagi dilakukan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, difahamkan mangsa yang memandu lori berkenaan berkonvoi dengan sebuah lagi lori sebelum kejadian berlaku.

    Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak kon yang berada di atas jalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan.