Tag: Kemalangan

  • Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    PERBUATAN seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus membawa padah apabila dia cedera parah selepas terlibat kemalangan dengan dua kereta pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, kejadian tersebut berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan menghala ke Gombak.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, sebuah Proton Saga dan sebuah motosikal Honda Wave.

    “Hasil siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dipercayai ditunggang secara melawan arus di lorong tengah MRR2 dan berlanggar dengan Proton Saga yang berada di lorong tengah.

    “Kejadian mengakibatkan Perodua Bezza yang berada di belakang tidak sempat brek dan melanggar belakang Proton Saga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau memberitahu, akibat kemalangan itu penunggang motosikal yang berusia 22 tahun parah di muka serta kaki dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Ampang.

    Tambahnya, pemandu kedua-dua kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • HRV terbakar ada kaitan aktiviti tarik kereta?

    HRV terbakar ada kaitan aktiviti tarik kereta?

    POLIS belum dapat mengenal pasti sama ada kejadian melarikan kenderaan dan kebakaran yang mengorbankan tiga individu di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang, Tumpat Kelantan awal pagi semalam mempunyai kaitan dengan aktiviti tarik kereta.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya masih lagi melakukan siasatan termasuk memburu seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai rakan mangsa terbabit dengan kejadian tersebut.

    Menurut beliau, pihaknya sudah mengenal pasti lelaki berkenaan dan percaya dia masih ada di sekitar Kelantan.

    “Siasatan juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk laporan dibuat lelaki berusia 28 tahun yang mendakwa kenderaan utiliti sukan (SUV) Ford Ranger miliknya yang dilarikan ketika kejadian,” katanya, hari ini.

    Mohd Azmir berkata, identiti dua mangsa rentung masih dalam proses pengenalpastian menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA), manakala seorang lagi mangsa yang maut tercampak berusia 33 tahun.

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, tiga individu meninggal dunia selepas Honda HRV dinaiki terbakar selepas terbabas akibat dikejar sebuah kereta BMW dipandu lelaki berumur 28 tahun.

    Sebelum itu, semua mangsa bersama seorang lelaki yang masih belum ditemui ke sebuah rumah di Sungai Pinang di sini dan melarikan Ford Ranger.

  • 4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    KEGEMBIRAAN lima beranak untuk menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi selepas empat daripada mereka maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu merah di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian pada 3.10 petang itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki Toyota Vellfire maut di tempat kejadian.

    Mereka ialah suri rumah, Raihan Mohamad, 43, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, tujuh tahun; dan Ahda Imtinan, empat tahun manakala suami Raihan, Mohd Nazri Hamid, 43, seorang guru cedera di tangan kiri.

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Guru Felda Aring 1 di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

    “Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah tiba-tiba datang dari arah hadapan lalu merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan Toyota Vellfire itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata, impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pacuan empat roda itu rosak di bahagian hadapan.

    Pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun dari Karak, Bentong pula cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk rawatan.

    Ujian awal saringan air kencingnya di Hospital Bentong mendapati dia positif dadah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperolehi dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Lelaki terbakar, ibu dan anak kecil maut kemalangan 2 kereta

    Lelaki terbakar, ibu dan anak kecil maut kemalangan 2 kereta

    TIGA individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, di Kuantan malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan pada kira-kira 11.30 malam itu mengakibatkan pemandu kereta jenis Proton Iswara, Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33, meninggal dunia akibat terbakar di seluruh badan.

    Beliau berkata turut maut adalah penumpang hadapan kereta jenis Proton Saga, Azura Iskandar Mohamad, 32, dan anak perempuannya, Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, akibat kecederaan di kepala.

    “Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata suami Azura, Mohd Fairus Md Yusof, 40, dan tiga lagi anak mereka iaitu Mohamad Al Hafiz Ikram,11, Nurul Al Aziana Ashikin, 10, dan Mohamad Al Alif Ikmal, 9, yang cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati Adzarul Fadzlie yang merupakan pekerja kilang, hilang kawalan ke atas keretanya yang sedang dipandu dari arah Gambang menghala Kuantan lalu bergesel dengan Proton Saga dipandu Mohd Fairus yang berada di sebelah kiri jalan.

    Katanya, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbabas ke bahu kiri jalan lalu menyebabkan Proton Iswara itu remuk dan terbakar.

    Beliau berkata, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani dalam kenyataan berkata 16 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Indera Mahkota, Taman Tas dan Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam.

    Katanya, mayat wanita yang tersepit telah dikeluarkan dengan menggunakan Hydraulic Power Unit dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala kereta tersebut mengalami kebakaran 100 peratus. – BERNAMA

  • Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    TIMBALAN Ketua MIC Bahagian Tapah, D Sivabalan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Km 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira 12.45 tengah malam dan menyebabkan Sivabalan, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa (Sivabalan) yang memandu kereta jenis Proton Iswara memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

    “Kereta mangsa kemudian terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju ke arah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala pemandu Proton Exora tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

  • Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    SEORANG pelajar tahfiz meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal yang dibawa oleh seorang mekanik di Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

    Pelajar tahfiz berkenaan, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 17, dan Mohd Aizat Abdul Ghani, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

    Memetik laporan BH hari ini, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Mohd Aizat yang menunggang dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu, manakala Muhammad Amirul dari arah bertentangan.

    “Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah laluan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar ketika itu, terjatuh di tengah jalan dan cedera parah di kepala.

    “Mohd Aizat yang tinggal di Kampung Kedondong Kubang Gadong, Pasir Mas dan Muhammad Amirul beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai akibat daripada kecuaian kedua-dua penunggang yang menunggang dalam keadaan laju di lokasi yang gelap dan jalan lurus,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua motosikal remuk di bahagian hadapan dan kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

    Siasatan terhadap kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tular: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dirempuh kereta

    Tular: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dirempuh kereta

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di Johor Bahru, petang semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supt Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.

    Menurut beliau, ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal bersama isteri bersama dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

    “Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jit Huey berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.

    Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.

    Akibat dari rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.

    Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut. – BERNAMA

  • 10 maut dalam nahas lebuh raya, berbelas lagi cedera

    10 maut dalam nahas lebuh raya, berbelas lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 10 orang maut dan berbelas lagi cedera dalam nahas di lebuh raya Ahvaz-Khorramshahr, di wilayah Khuzestan, Iran pada Sabtu.

    Nahas itu melibatkan beberapa kenderaan berat dan ringan termasuk sebuah bas mini yang membawa pekerja syarikat minyak, bertembung antara satu sama lain, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik pihak berkuasa tempatan.

    Ketua polis trafik wilayah itu, Reza Dolatshahi, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut kira-kira 7 pagi waktu tempatan.

    Antara yang terbunuh ialah pekerja Yadavaran, satu daripada syarikat minyak terbesar di negara itu.

    Dolatshahi berkata punca kejadian sedang disiasat.

    Banyak kematian akibat nahas jalan raya dilaporkan berlaku di lebuh raya antara Ahvaz dan Khorramshahr.

    Menurut Dolatshahi, seramai 442 telah kehilangan nyawa dalam nahas jalan raya di wilayah itu dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. – BERNAMA

  • 2 gadis maut motosikal bertembung sesama sendiri

    2 gadis maut motosikal bertembung sesama sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua gadis maut apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Paya Besar, Kulim, Kedah, petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 4.57 petang dengan mangsa, Nor Syamimi Amira Mohd. Suhaimi dan Nur Aleesya Md. Anuar yang kedua-duanya berusia 20 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila Nor Syamimi Amira yang menunggang motosikal motosikal jenis Honda Beat, bergerak keluar dari simpang Taman Sederi untuk masuk ke laluan utama.

    “Akibat jarak terlalu dekat, Nur Aleesya yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sedang bergerak lurus di jalan utama tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran antara mereka.

    “Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Difahamkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dengan cuaca juga pada ketika itu berada dalam keadaan cerah.

    Tambahnya, sehingga kini kejadian itu masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    DUA beradik maut, manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi tadi. 

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan. 

    Mangsa yang maut ialah Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal, 12, dengan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

    Ibu bapa mereka Mohd Hairy Ahmad dan Zuraini Zolkifli kedua-duanya berusia 44 tahun, cedera manakala anak bongsu pasangan itu Fahmi Eyman, 10, dilaporkan parah di kepala. 

    Mohd Hairy, pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dilaporkan cedera tulang belakang manakala Zuraini yang merupakan guru sekolah rendah retak tangan kanan. 

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menghadiri majlis pertunangan ahli keluarga apabila kenderaan itu terbabas semasa pemandu cuba untuk memotong kenderaan di hadapan berhampiran selekoh.  

    “Keadaan jalan yang licin juga dipercayai menyebabkan pemandu berhadapan kesukaran mengawal kenderaan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

    Kamarulzaman berkata mangsa yang cedera dan mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan dan bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan saringan COVID-19 diperoleh.  – BERNAMA