Tag: Kemalangan

  • Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    DUA rakan maut apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbabas dan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan di Pekan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, insiden pada 3 petang itu menyaksikan Hasyim Amin, 29, dan Dolah Muhtar, 39, maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta.

    “Siasatan awal mempercayai kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Hasyim dari arah Chini menghala ke Kuantan terbabas ke jalan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux yang tidak dapat mengelak disebabkan jarak terlalu dekat,” menurutnya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux turut cedera dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chini untuk rawatan.

    Mayat kedua-dua mangsa, yang merupakan Orang Asli, dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Polis siasat konvoi kereta mewah halang lalu lintas

    Polis siasat konvoi kereta mewah halang lalu lintas

    POLIS menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, sehingga menghalang lalu lintas, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 6.10 petang, Jumaat lepas.

    Susulan daripada itu, satu laporan telah dibuat di Balai Trafik Iskandar Puteri pada 10.11 malam, hari yang sama, kata Tok.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tok berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

    Terdahulu, video berdurasi 45 saat itu memaparkan aksi pemanduan secara berbahaya oleh sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong kumpulan konvoi kereta mewah berkenaan di lorong kiri sebelum melanggar salah sebuah daripadanya. – BERNAMA

  • Pelajar kolej dituduh memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

    Pelajar kolej dituduh memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

    SEORANG penuntut sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lepas.

    Mengikut pertuduhan, Lo Yen Hue, 24, didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Sienta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 184 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

    Ia melebihi 134mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Yap Kwee Chee, 74, di Jalan Kuching menghala ke Batu Caves di sini, pada 3.15 pagi, 12 Mac lepas.

    Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam K.A Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes.

    Pada 12 Mac lepas, media melaporkan pekerja subkontraktor DBKL itu yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok maut dirempuh pemandu mabuk dan mangsa yang berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • 2 maut, 9 cedera SUV rempuh restoran

    2 maut, 9 cedera SUV rempuh restoran

    DUA wanita maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah kenderaan merempuh ruang makan terbuka sebuah restoran di barat laut Washington, D.C. pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas SUV yang dipandu seorang lelaki warga emas hilang kawalan sebelum merempuh restoran berkenaan, kata Komander Duncan Bedlion, Jabatan Polis Metropolitan kepada pemberita.

    “Bukti menunjukkan ia kemalangan yang tidak disengajakan,” kata Bedlion.

    Lapan mangsa cedera dibawa ke hospital dan lima daripadanya dalam keadaan kritikal, termasuk dua wanita yang kemudian disahkan meninggal dunia.

    Nahas berlaku sekitar 12:18 tengah hari (1718 GMT) ketika kebanyakan pelanggan sedang menjamu selera di luar Parthenon, sebuah restoran Greek dan ruang rehat bersebelahan kejiranan Chevy Chase berhampiran negeri Maryland. – BERNAMA

  • Pemandu lori rempuh 9 motosikal direman tiga hari

    Pemandu lori rempuh 9 motosikal direman tiga hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemandu lori direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan sembilan motosikal yang mengakibatkan dua kematian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), dekat Gurun, Kedah, semalam.

    Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Ainna Ahmad terhadap suspek yang berusia 28 tahun itu di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

    Individu berkenaan yang memakai pakaian serba hitam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada pukul 10.10 pagi tadi dengan diiringi beberapa anggota polis dan tangan bergari.

    Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika dia bersama kelindannya sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghantar set sofa kepada pelanggan.

    Mereka dipercayai datang dari Kelantan dan terlebih dahulu pergi ke Kuala Nerang, Kedah sebelum bertolak ke destinasi terakhir iaitu di Pulau Pinang.

    Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.40 petang semalam, dua penunggang motosikal iaitu Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 maut di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) apabila mereka yang sedang berlindung dari hujan lebat di bawah jambatan, dirempuh dari belakang oleh lori yang dipandu individu berkenaan.

    Selain kedua-dua mangsa itu, seramai tujuh lagi penunggang motosikal yang berlindung di bawah jambatan di lokasi yang sama turut cedera.

  • Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    SEORANG lelaki ditemukan rentung di dalam kereta dipandunya yang terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong, dekat Seremban, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai memandu sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah ketika nahas berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi,

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan raya itu.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, kereta mangsa mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan sehingga menyebabkan dia tersepit dan gagal keluar daripada kereta sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nanda berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – BERNAMA

  • Hilux terjunam dalam sungai, pemandu hilang, isteri selamat

    Hilux terjunam dalam sungai, pemandu hilang, isteri selamat

    SEORANG pemandu pacuan empat roda dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Tembila, Besut, hari ini.

    Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi ketika mangsa, Shukri Wahab, 52, bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, dalam perjalanan dari Tawang Bachok, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu, lapor Berita Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7.25 pagi dan berdasarkan maklumat, pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika sampai di jambatan Tembila lalu terlanggar besi penghadang sebelum ia terjatuh ke dalam sungai.

    Menurut beliau, sehingga kini, pemandu kenderaan itu masih belum ditemui manakala penumpang yang juga isteri mangsa berjaya diselamatkan.

    Abdul Rozak ketika dihubungi berkata, sebaik diselamatkan isteri mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan terus dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

    Saksi kejadian, Zulkifli Kassim, 51, dari Kampung Pengkalan Kubur mengaku terdengar bunyi seakan benda jatuh yang kuat dari arah sungai sekitar 500 meter dari rumahnya, ketika dia bersiap menunaikan solat subuh.

    Katanya, selepas solat, dia keluar ke tepi sungai, namun tidak nampak sebarang kesan lalu balik semula ke rumah.

    “Ketika di rumah, saya terdengar ada suara memanggil dari arah sungai dan menyangka ia hanya kera. Selepas mendapati suara itu berterusan, saya minta anak melihatnya dan mendapati seorang wanita tersangkut dan berpegang pada pokok.

    “Pihak bomba yang dihubungi membantu menyelamatkan wanita itu dengan membawanya menaiki bot ke seberang sungai.

    “Wanita itu memaklumkan dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh keluar daripada kenderaan dan tersangkut pada pokok. Dia cuma tanya bagaimana keadaan suaminya,” katanya.

    Anak mangsa, Mohamad Sollahudin, 22, berkata ketika kejadian kedua-dua orang tuanya dalam perjalanan untuk mengambil keropok di Kuala Terengganu.

    “Mereka biasa berulang-alik melalui laluan ini untuk mengambil stok keropok. Kali terakhir saya jumpa mereka semalam dan mengetahui kejadian ini daripada doktor yang merawat ibu pagi tadi,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Besut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.52 pagi dan 24 anggota termasuk dari Jertih terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

    “Mangsa wanita ditemui selamat berpegang pada pokok pada pukul 9 pagi dan dibawa menaiki bot untuk ke tepi sungai sebelum dia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “Operasi mencari pemandu kenderaan masih diteruskan,” ujarnya.

  • Bas terjunam masuk gaung, 4 mangsa maut 22 cedera

    Bas terjunam masuk gaung, 4 mangsa maut 22 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang maut dan 22 cedera selepas sebuah bas yang dinaiki terjunam ke dalam gaung awal pagi Ahad di Chuquisaca selatan Bolivia, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.

    Bas berkenaan dipandu laju sehingga mengakibatkan kemalangan di bandar Monteagudo, kata Pendakwa Raya Chuquisaca Mauricio Nava kepada akhbar tempatan.

    Menurut laporan awal, bas itu menggunakan laluan Sucre-Monteagudo dan jatuh ke dalam gaung ketika melalui selekoh.

    Nava berkata, anggota polis dan kakitangan Kementerian Awam dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa yang cedera. – BERNAMA

  • Ejen hartanah dituduh langgar anggota polis dalam sekatan jalan raya

    Ejen hartanah dituduh langgar anggota polis dalam sekatan jalan raya

    SEORANG ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar seorang anggota polis sehingga cedera parah dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR), awal bulan ini.

    Yap Kah Wai, 29, didakwa melanggar Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, menggunakan kereta di SJR Jalan Besar Seri Kembangan, menghala ke Pekan Seri Kembangan pada 1.50 pagi, pada 5 Feb lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat tidak menawarkan jaminan kerana mangsa mengalami cedera parah selain tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau antaranya dadah, samun dan mencuri kenderaan.

    Peguam Kailash Sharma memohon jaminan mengambil kira faktor anak guamnya itu belum dibuktikan bersalah, namun Hakim Jamaludin Mat tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

    Pada 5 Feb lepas, Bernama melaporkan seorang anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika bertugas dalam SJR dan akibat kejadian itu, mangsa patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua tangan. – BERNAMA

  • Bayi 5 bulan maut kereta dipandu bapa terbabas

    Bayi 5 bulan maut kereta dipandu bapa terbabas

    SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 33, Jalan Jerantut-Temerloh, Temerloh, Pahang malam tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, dalam kemalangan pada pukul 8 malam itu, mangsa, Miszara Amira Jaffery disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian dada.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, pemandu kereta, Jaffery Abdullah, 54, dilaporkan patah kaki serta cedera di muka dan dada manakala isterinya, Noor Azlina Mohd Shariff, 42, pula cedera di perut.

    Katanya, dua lagi anak pasangan berkenaan, Miszara Husna, 6, dan Miszara Halisya, 5, turut cedera.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke arah Temerloh.

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran jambatan Kuala Krau, kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan laluan yang licin lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di tengah laluan.

    “Akibat kejadian, kenderaan berkenaan remuk pada bahagian hadapan menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya.

    Menurut Kamarulzaman, bayi berkenaan yang berada dalam pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

    Ujarnya, mayat mangsa serta semua yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

    Tambah beliau, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.