Tag: Kelantan

  • PRU-15: PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

    PRU-15: PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) berhasrat untuk menang di kesemua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jentera perlu bekerja keras dan berpegang teguh kepada ajaran Islam untuk memastikan kemenangan dapat diraih.

    “Fikirlah macam mana sekalipun, perlu menang kesemua 14 kerusi di Kelantan. Menang banyak kerusi negeri ini seterusnya Malaysia.


    “Insya-Allah di peringkat nasional, PN akan menjadi kerajaan baharu selepas PRU15 nanti,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Mohd Amar juga memberi contoh, sebuah kerajaan yang dapat bertahan lama seperti kerajaan Pas di Kelantan kerana integriti dan rekod bebas daripada rasuah.

    “PN juga perlu kerja keras untuk buktikan terutama kepada UMNO bahawa beberapa pimpinan dalam parti itu sudah tidak relevan,” katanya.

    Pada PRU lalu, Pas menyandang sembilan kerusi Parlimen, dua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala tiga BN.
    Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas negeri itu berbangga dilabel sebagai parti ‘pak lebai’ oleh seorang pemimpin politik, dua hari lalu.

    “Kalau dulu orang anggap Pas parti kampung, parti pak lebai. Sehari dua ini ada presiden sebuah parti sebut Pas sebagai parti pak lebai.

    “Alhamdulillah bagi kami parti pak lebai bukan gelaran yang hina malah gelaran penyamun politik lebih hina daripada pak lebai,” katanya.

    Dalam pada itu, program bertemakan Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera itu diadakan di Stadium Sultan Muhamamd ke-IV bagi meraikan pentadbiran kerajaan Kelantan sejak tahun 1990.

    Sambutan terhadap program begitu meriah dengan kehadiran lebih 1,000 hadirin walaupun dalam keadaan hujan lebat.

  • Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    SEORANG pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 20 kali sebatan, selepas gagal dalam rayuan mengenepikan sabitan atas dua pertuduhan merogol adik iparnya.

    Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah, menolak rayuan lelaki itu selepas mendapati rayuannya itu tidak mempunyai merit.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan lelaki berusia 33 tahun itu untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 15 tahun kepada 10 tahun bagi setiap sabitan.

    Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Kamaludin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 10 kali terhadap lelaki itu bagi setiap sabitan dan mengarahkan hukuman itu dijalankan secara berturut-turut, menjadikan lelaki itu dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

    Sebelum ini Mahkamah Sesyen pada 3 Julai 2019 mendapati lelaki itu bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan 20 sebatan kerana merogol seorang remaja berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan pada Februari 2018 dan 19 April 2018.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan dan mengarahkan beliau menjalaninya secara berturut-turut.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, iaitu barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

    Sebelum Mahkamah Tinggi pada 23 Nov tahun lepas, juga menolak rayuan lelaki itu.

    Mengikut bukti dikemukakan pihak pendakwaan, lelaki tersebut merupakan bekas suami kepada kakak mangsa dan pasangan itu telah bercerai enam tahun selepas kejadian rogol itu dilaporkan kepada polis.

    Dalam penyataan pembelaannya, lelaki itu berkata beliau ada bertemu dengan mangsa pada kedua-dua tarikh tersebut, namun menafikan telah merogol remaja itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, manakala pembelaan oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Eu Kah Mun. – BERNAMA

  • Rakyat Kelantan lebih bahagia daripada rakyat Selangor – Mohd Amar

    Rakyat Kelantan lebih bahagia daripada rakyat Selangor – Mohd Amar

    RAKYAT Kelantan terbukti lebih bahagia dan berpuas hati dengan kehidupan mereka jika dibandingkan dengan rakyat Selangor.

    Memetik laporan BH, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kelantan beroleh markah 7.0 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 sekali gus mengatasi Selangor, negeri yang termaju di Malaysia.

    Kelantan juga menduduki tempat kelima dalam indeks tersebut.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Kelantan agar berfikir dengan baik dan tidak mengikut perasaan ketika ada pihak mahu menukar pucuk pimpinan negeri itu.

    “Kelantan termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang walaupun adalah masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia.

    “Kita dapat skor 7.0. Berbanding Selangor mendapat markah 5.0 iaitu jauh berbeza memandangkan negeri itu kaya, hasil bumi banyak namun rakyatnya tidak bahagia,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi ceramah pasca sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, malam tadi.

    Media sebelum ini melaporkan, laporan MHI 2021 yang julung kali dikeluarkan Jabatan Perangkaan meletakkan tahap bahagia Keluarga Malaysia pada skor 6.48 iaitu bahagia.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, MHI 2021 itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

    Mohd Uzir berkata, tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 – 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01 – 4.00 tidak bahagia; 4.01 – 6.00 sederhana bahagia; 6.01 – 8.00 bahagia dan 8.01 – 10.00 sangat bahagia.

  • Pemuda disyaki hina Islam, Nabi Muhammad direman

    Pemuda disyaki hina Islam, Nabi Muhammad direman

    SEORANG penganggur yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu hantaran video, direman empat hari bermula hari ini.

    Lelaki berusia 35 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Kuala Krai kira-kira 9.45 pagi diiringi anggota polis.

    Perintah reman sehingga 22 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias bagi siasatan mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Semalam lelaki itu ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, selepas polis menerima laporan suspek menghina agama Islam menerusi akaun Facebook Saidinar Dina (Bos Dina). – BERNAMA

  • Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    ISTERI kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, meninggal dunia, petang tadi.

    Allahyarham Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, menghembuskan nafas terakhir jam 6.55 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Pengawai Khas Wan Roslan, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, arwah sebelum ini menghidap penyakit jantung dan baru sahaja menjalani pembedahan pintasan (bypass) di sebuah hospital swasta.

    “Arwah mengalami masalah paru-paru berair selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital swasta selama 26 hari sebelum dipindahkan ke HUSM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Anas Karimi berkata jenazah Allayarham akan dikebumikan di Kampung Kutan, di Tumpat, malam ini.

    Terdahulu pengendali laman Facebook Wan Roslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, turut memaklumkan mengenai pemergian Wan Norihan. – BERNAMA

  • Bersatu diterima rakyat Kelantan, tohmahan UMNO tidak benar

    Bersatu diterima rakyat Kelantan, tohmahan UMNO tidak benar

    KEHADIRAN lebih 30,000 orang pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Kelantan 2 Julai lalu menjawab segala tohmahan yang dilemparkan UMNO kepada Bersatu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kehadiran orang ramai pada majlis pelancaran tersebut menunjukkan bahawa Bersatu diterima rakyat Kelantan.

    “Kita lihat apa yang disebut oleh UMNO bahawa Bersatu itu lemah, kecil tidak kuat dan hubungan dengan PAS masih longgar serta tiada kesefahaman kerana sifat cemburu mereka malah majlis Pelancaran PN baru-baru ini menjawab persoalan yang dilemparkan mereka.

    “Kita (Bersatu) tidak perlu bercakap banyak kerana mereka boleh lihat sendiri bagaimana kehadiran penyokong PN berkumpul di Tanah Merah pada 2 Julai lalu,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Bersatu yang memetik Journal Malaysia.

    Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu berkata, apa yang ditunjukkan rakyat di Tanah Merah adalah manifestasi yang cukup jelas kekuatan PN di Kelantan.

    Katanya, untuk itu, dalam usaha bergerak menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), program sedemikian akan diadakan lagi.

    “Ia bukan semata-mata untuk menterjemahkan sokongan masyarakat dan pengundi kepada PN tetapi untuk menggarap jentera di seluruh negeri Kelantan apabila menghadapi PRU15 nanti kita dalam keadaan yang cukup bersedia.

    “Kita (PN) sedia untuk bertembung atau berlawan dengan sesiapa sahaja di negeri Kelantan ini dan Insya-Allah kita akan mencapai kemenangan yang besar dalam PRU-15 nanti di sini,” katanya.

    Mohamed Farid berkata, kenyataan beberapa pemimpin UMNO tentang pelancaran PN baru-baru ini menunjukkan mereka takut dan cemburu.

    “UMNO boleh buat sebarang kenyataan tentang pelancaran PN, kita dengar kenyataan yang dibuat berbentuk rungutan dan keluhan… itu mencerminkan secara keseluruhan bahawa mereka dalam ketakutan menghadapi realiti sokongan yang begitu besar terhadap PN.

    “Biasalah… orang takut ni akan cakap macam-macam tetapi lebih kepada berbohong kepada diri sendiri,” katanya.

  • Ikmal Hisham nafi 30,000 hadirin Majlis Pelancaran PN Kelantan terima jam G-Shock

    Ikmal Hisham nafi 30,000 hadirin Majlis Pelancaran PN Kelantan terima jam G-Shock

    AHLI Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan orang ramai yang hadir pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan pada 2 Julai lalu diberi jam tangan G-Shock dan payung.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan hari ini:

    Saya ingin menjelaskan laporan sebuah portal berita yang membangkitkan persoalan sama ada orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu lalu (2 Julai 2002) disebabkan pemberian jam tangan G-Shock dan payung atau penyokong tulen PN.

    Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung tersebut seperti mana didakwa.

    Untuk makluman, seminggu sebelum acara tersebut, saya sudah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir bagi melancarkan PN Peringkat Negeri Kelantan.

    Dan pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut, terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.

    Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa.

    Saya percaya kehadiran mereka adalah bagi menghargai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

    Berhubung hadiah cabutan bertuah, dalam banyak program melibatkan rakyat kebiasaannya ada acara seumpama itu bagi memeriahkan majlis namun perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besarpun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir.

    Sehubungan itu saya mempelawa mana-mana pihak menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

    Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Kelantan tersebut.

    Saya mencabar mereka yang membuat tuduhan mengemukakan bukti mana-mana individu yang menerima pemberian jam tangan atau payung itu ketika hadir di majlis berkenaan.

  • Takiyuddin, Radzi, Mustapa antara 13 Ketua Badan Perhubungan PN Kelantan

    Takiyuddin, Radzi, Mustapa antara 13 Ketua Badan Perhubungan PN Kelantan

    TIGA menteri Kabinet antara 13 yang baru dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Kelantan.

    Mereka adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin (Ketereh) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Turut dilantik ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagi kawasan Pengkalan Chepa dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ketua-Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN itu dilantik oleh Pengerusi perikatan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Fasal 22.2 (I) Perlembagaan PN.

    “Pelantikan Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN bagi Tumpat pula akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam masa terdekat.

    “PN merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan ini dan percaya mereka akan memperkasa gerak kerja dan jentera organisasi pilihan raya PN di peringkat akar umbi di seluruh Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berikut senarai penuh Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Kelantan:

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (Pengkalan Chepa)

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu)

    Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad (Pasir Mas)

    Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun (Rantau Panjang)

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunus (Kubang Kerian)

    ADUN Tawang, Datuk Hassan Mohamood (Bachok)

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (Ketereh)

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah)

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pasir Puteh)

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Machang)

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli)

    Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai)

    Ketua Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) – BERNAMA

  • Tiada pemimpin, kakitangan terlibat rasuah sejak PAS perintah Kelantan

    Tiada pemimpin, kakitangan terlibat rasuah sejak PAS perintah Kelantan

    TIADA individu dalam kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri Kelantan didakwa atas kesalahan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah sejak pemerintahan PAS di Kelantan setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa pegawai atau kakitangan telah disiasat berhubung perkara tersebut selepas menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu.

    “Sejak zaman pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi pernah disebut sekiranya ada penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan, maka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dibuat.

    “Jika laporan sudah dibuat, kami sedia untuk disiasat dan itu memang pendirian kami kerana dari segi demokrasi sesiapa sahaja boleh bercakap atau memberi komen tetapi sebarang dakwaan mestilah ada bukti dan itu adalah asasnya,” kata beliau.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, di Kota Bharu semalam, yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. – BERNAMA

  • Kalau BN perintah Kelantan pun, masalah air tak selesai

    Kalau BN perintah Kelantan pun, masalah air tak selesai

    MASALAH air dijangka masih berlaku di Kelantan walaupun Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah kembali negeri itu.

    Kemungkinan itu dibayangkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan hari ini.

    Menurut beliau, jika ada pihak yang mahu menyalahkan kerajaan negeri Kelantan dan mahu agar parti pemerintah ditukar, mereka perlu berfikir dengan wajar.

    Andainya PAS digantikan dengan BN Kelantan, katanya, orang ramai perlu menyedari bahawa masalah air juga berlaku di negeri ditadbir parti terbabit.

    “Nak bagi kepada PH (perintah) pun sama. Selangor tu negeri PH. Maka nak tukar kerajaan ini tak boleh selesai masalah (air),” katanya.

    Mohd Amar menambah, masalah bekalan air sebenarnya tidak terhad kepada Kelantan semata-mata, bahkan turut dialami negeri-negeri lain termasuk di Selangor yang lebih maju.

    “Kita akui ada masalah air tetapi di Malaysia ini adakah Kelantan saja yang hadapi masalah air?

    “Sebab itu sepatutnya kena ada keseimbangan (semasa menilai). Lihat Selangor yang ada duit banyak dan maju pun berlaku gangguan-gangguan dan masalah air.

    “Negeri-negeri yang diperintah BN sendiri pun ada masalah air.

    “Justeru kalau kita fikir hanya kerana PAS memerintah Kelantan maka wujud masalah air – itu tak betul,” jelasnya.

    Dalam pada itu, berhubung dakwaan PAS bersikap menyalahkan Umno dalam isu tersebut, Mohd Amar berkata, beliau hanya menceritakan sejarah di sebalik masalah dan kekangan yang timbul.

    Beliau tidak bermaksud mahu menyalahkan BN, namun perlu menceritakan sejarah selepas BN memainkan isu berkenaan.

    “Sedangkan punca daripada UMNO. Dia (UMNO) katak (pukul) kaki kita hingga patah, lepas itu dia kata kita kewek (cacat). Padahal dia jadi punca kaki kita kewek.

    “Itu masalahnya, orang kata kenapa tak pasang besi di kaki kewek, (jawabnya) sebab duit tak ada nak beli besilah,” ujarnya secara berseloroh.

    Sehubungan itu, Mohd Amar berharap agar rakyat dapat melihat isu bekalan air di Kelantan melalui persepsi yang betul dan mengkritik secara adil.

    Beliau berkata, kerajaan Kelantan dan PAS bukanlah tidak boleh dikritik langsung.

    “Orang kata 30 tahun cari alasan… (sebenarnya) bukan cari alasan tetapi kita ini dah 30 tahun mengalami masalah, tiba-tiba nak suruh kita berlari dalam masa segera, memang tak boleh.

    “Kelantan sekarang memanglah sebahagian daripada kerajaan pusat tetapi baru berapa bulan, berapa tahun? Takkan penyakit 30 tahun boleh selesai dalam masa dua tahun.

    “Kalau nak selesai semua tapi tak ada peruntukan memang lambatlah, kalau turun peruntukan dengan anggaran kasar RM7 bilion diperlukan pun tak boleh selesai dalam satu hari,” katanya.