Tag: Kedah

  • 3 beranak antara ditahan dalam kes dadah RM2.19 juta

    3 beranak antara ditahan dalam kes dadah RM2.19 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 54.72 kilogram dadah bernilai hampir RM2.19 juta dirampas polis menerusi tiga siri tangkapan terhadap empat individu Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang warga emas berusia 70 tahun dan anak lelaki serta anak perempuannya yang masing-masing berumur 30 dan 36 tahun.

    Selain katanya, seorang lagi lelaki yang merupakan kenalan mereka berusia 41 tahun turut ditahan.

    “Pada pukul 8.10 pagi Isnin lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kenderaan jenis Mistubishi Triton di depan sebuah rumah di Bandar Amanjaya. Pemandunya cuba melarikan diri dengan keluar dari kereta tetapi berjaya ditahan.

    “Selain itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang menaiki kereta Honda City di sebelah Mitsubishi Triton tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua guni dan satu plastik hitam di bahagian penumpang belakang Mitsubishi Triton berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua guni dan plastik itu mengandungi bungkusan plastik hijau berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.  

    “Dadah itu disyaki dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri-negeri utara tanah air. Jika terlepas di pasaran, dadah tersebut boleh digunakan oleh kira-kira 540,000 penagih,” katanya.

    Susulan penangkapan dan rampasan dadah itu katanya, polis membuat serbuan di sebuah rumah dalam kawasan perumahan sama kira-kira pukul 8.30 pagi.

    “Di situ, kami menahan seorang wanita berusia 36 tahun dan setengah jam kemudian kami menyerbu pula sebuah premis di Pusat Komersial Saujana dan menahan warga emas terbabit.

    “Bagaimanapun tiada barangan yang menyalahi undang-undang ditemukan di rumah serta premis tersebut,” katanya.

    Tambahnya ujian urin dijalankan terhadap kesemua individu tersebut didapati negatif dadah.

    “Dua lelaki berusia 30 dan 41 tahun itu memiliki rekod jenayah manakala wanita dan warga emas berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod.

    “Enam kenderaan disita bagi membantu siasatan. Selain itu kami turut menyita duit sebanyak RM5,466 yang ditemui ketika serbuan serta lima akaun bank yang memiliki wang berjumlah RM411,121,” katanya.

    Katanya, keempat-empat individu tersebut direman antara tiga hingga tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

    RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak RM13 juta wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah didakwa dipindahkan ke dalam akaun di luar negara ketika Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau sehingga kini masih lagi menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut yang didakwa berpangkalan di Kanada.

    Bagaimanapun beliau tidak langsung mendedahkan siapa pemilik akaun tersebut dan tujuan ia dipindahkan ke luar negara.

    “Saya tak ungkitkan hal lama tetapi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai membangkitkan hal lama. Rasanya selama ini saya tak pernah bangkitkan hal beliau.

    “Ada hal lama pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) ke satu akaun luar negara di Kanada. Berlaku pada zaman Mukhriz jadi Menteri besar, saya tak pernah sebut pun mengenainya sebelum ini, hari ini baru sebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Mengulas kenyataan Mukhriz dalam Sidang DUN mengenai kehadiran penasihat yang didakwa membantu dirinya membuat keputusan semasa menjadi Menteri Besar, Muhammad Sanusi secara sinis menegaskan selama ini Mukhriz bukanlah dikelilingi oleh penasihat sebaliknya ‘punah sihat’.

    “Saya bawa satu cerita saja iaitu apabila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk dibayar satu perbelanjaan yang dibuat oleh penasihat-penasihat Menteri Besar pada masa itu, untuk membekalkan kuih raya. Saya dapati harga beg untuk bekalan itu lebih mahal daripada harga kuih.

    “Sebab itu saya katakan, beliau bukan dikelilingi penasihat sebaliknya dikelilingi ‘punah sihat’,” ujarnya.

    Sementara itu Mukhriz ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut dalam sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang pada petang ini mendakwa, beliau mengharapkan Menteri Besar dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.

    “Ini satu dakwaan yang cukup serius dan kita mengharapkan Muhammad Sanusi dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi. Tak bolehlah lontar dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘hit and run’.

    “Ini pertama kali saya dengar mengenai dakwaan tersebut. Jadi saya ingin sarankan supaya Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau dia betul percaya benda itu berlaku,” katanya.

  • Seleweng wang: SPRM tahan bekas pegawai Ahli Parlimen

    Seleweng wang: SPRM tahan bekas pegawai Ahli Parlimen

    RIZQI ZABIDI

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai kepada Ahli Parlimen di Kedah bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan wang berjumlah RM140,600.

    Menurut sumber, lelaki berusia 43 tahun itu dan pernah memegang jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas ditahan kira-kira pukul 4.30 petang tadi di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.

    “Lelaki itu ditahan susulan aduan dibuat terhadapnya yang mendakwa dia menggunakan tujuh invois palsu untuk menuntut bayaran bagi pelbagai kerja dan pembekalan.

    “Tuntutan dibuat itu bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000,” katanya.

    Tambah sumber itu lagi, wang yang diseleweng itu dipercayai merupakan peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen tersebut.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku antara Ogos 2019 hingga Januari 2020.

    “Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dilakukan pihaknya.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

  • [VIDEO] Kepala air kaki Gunung Jerai, banyak lokasi banjir

    [VIDEO] Kepala air kaki Gunung Jerai, banyak lokasi banjir

    LEBIH 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan banyak taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok di Kedah dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohmad, 36, yang tinggal di kawasan itu berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan tidak dijangka.

    “Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat.

    “Secara tiba-tiba, dalam pukul 3 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu.

    “Kampung yang berada di kaki Gunung Jerai juga dinaiki air. Paling teruk yang berdekatan sungai. Malah pekan Yan turut dilanda banjir. Ini kerana lokasinya yang terletak di tepi laut.

    “Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati. Jadi ia menyebabkan banjir lambat surut,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap bomba berkata, mereka menerima banyak laporan dan sedang menjalankan operasi.

  • Kluster Telaga 2: 93 individu didapati positif

    Kluster Telaga 2: 93 individu didapati positif

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEHINGGA semalam, seramai 93 individu didapati positif Covid-19 kesan daripada Kluster Telaga 2 yang didapati menular di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar, Kedah.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, kluster yang mula dikenal pasti sejak 4 Ogos lalu turut menyebabkan 10 kematian setakat ini.

    Katanya, Kluster Telaga 2 dipercayai bermula apabila seorang pesakit buah pinggang di Wad Nefrologi HSB, disahkan positif Covid-19 setelah melalui ujian saringan sebelum menjalani satu prosedur kesihatan.

    Berikutan itu katanya, siasatan dan saringan kontak rapat dilakukan terhadap pesakit lain, peneman, petugas kesihatan serta petugas sokongan hospital yang bertugas di wad berkenaan.

    “Hasil saringan mendapati 72 individu didapati positif Covid-19 terdiri daripada 31 pesakit di wad tersebut, 23 petugas kesihatan, empat pekerja sokongan hospital dan 14 waris pesakit.

    “Siasatan dan saringan terhadap kontak selanjutnya telah mengesan 21 kes positif lagi di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik dan Yan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam kes melibatkan 32 individu di wad nefrologi tersebut katanya, 11 kes didapati berada dalam kategori satu iaitu tidak bergejala manakala dua kes lagi berada dalam kategori dua di mana individu terlibat hanya mengalami gejala ringan.

    “Selebihnya terdapat satu kes berada dalam kategori tiga, 15 kes dalam kategori empat dan tiga kes dalam kategori lima.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa 10 kes telah meninggal dunia dengan 22 lagi masih berada di wad. Siasatan lanjut berkenaan kematian itu sedang dijalankan,” katanya.

    Bagi membendung jangkitan Covid-19 di HSB, beliau memaklumkan beberapa tindakan segera telah diambil termasuk menutup wad nefrologi sebaik kes pertama disahkan positif.

    “Semua pesakit dipindahkan ke wad Covid-19 secara berperingkat dengan wad nefrologi akan dibuka semula selepas disanitasi.

    “Perkhidmatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dipindahkan ke Pusat Sumber Diabetes manakala pesakit nefrologi baharu yang tidak menghidapi Covid-19, dimasukkan ke wad bukan Covid-19 yang lain,” katanya.

    Beliau menjelaskan, sehingga kini tiada wad atau perkhidmatan lain ditutup berkaitan kluster ini.