Tag: Israel

  • Normalisasi Arab-Israel perlihat kerapuhan kesatuan negara Islam

    Normalisasi Arab-Israel perlihat kerapuhan kesatuan negara Islam

    DEWAN Pemuda Pas Malaysia menegaskan, langkah normalisasi hubungan antara negara Arab dengan Israel adalah tidak sihat, selain menunjukkan kesatuan negara Islam yang rapuh dalam mengecam kezaliman rejim zionis.

    Menurut Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, kesatuan ialah kata kunci untuk memastikan tekanan berterusan kepada Israel.

    “Kita telah melihat sebahagian daripada yang telah Malaysia tunjukkan kita tidak pernah ada hubungan diplomatik dengan negara haram israel dan tidak mengiktiraf kewujudan negara haram itu.

    “Kita juga konsisten dalam perkara itu sehingga hari ini. Kata kunci ialah kesatuan. Suara mesti satu, senada dan konsisten membela Palestin.

    “Contoh kalau ini ambil daripada negara-negara Arab, negara-negara yang bukan majoriti orang Islam sekalipun, sepatutnya suara-suara ini disatukan dan mesti menjadi titik kepada persamaan untuk kita duduk semeja dan berunding dan memastikan israel tidak merasakan dirinya satu kewujudan yang disanjungi atau diiktiraf,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Abdul Malik merujuk ketegasan Perdana Menteri yang kini Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan yang menyatakan bantahan secara terbuka dan bersemuka dengan pemimpinan Israel pada tahun 2009.

    “Contoh nama Erdogan, Presiden Turkiye yang telah berjaya melonjakkan nama beliau. Beliau beri amaran dalam satu forum ekonomi kepada (Presiden Israel) Shimon Peres. Ia telah menggemparkan dunia walaupun dunia menyatakan, apalah sangat kata dua yang diberikan oleh Erdogan kepada Peres.

    “Dia besar kepala kerana dia beranggapan masih ada negara yang menyokong kebiadaban yang dibuat,” katanya, lapor Astro AWANI.

  • Beritahu Israel jika bercinta di Tebing Barat

    Beritahu Israel jika bercinta di Tebing Barat

    SEBUAH badan tentera Israel semalam, mengeluarkan senarai peraturan bagi warga asing yang ingin memasuki kawasan Palestin di Tebing Barat perlu memaklumkan jika mana-mana daripada mereka memulakan hubungan dengan warga Palestin.

    Memetik laporan Berita Harian, peraturan baharu itu dibuat selepas tekanan berhubung perkara berkenaan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kerajaan Eropah.

    Badan Kementerian Pertahanan bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin, Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) pada asalnya menerbitkan draf ‘Prosedur kemasukan dan kediaman warga asing di kawasan Judea dan Samaria’, pada Februari lalu.

    Penguatkuasaan peraturan itu ditetapkan pada Julai lalu, tetapi ditangguhkan oleh petisyen kepada Mahkamah Agung.

    Dokumen yang disemak akan berkuat kuasa pada 20 Oktober ini.

    Dokumen dikemas kini itu mengeluarkan peruntukan bagi warga asing yang memulakan hubungan dengan penduduk Tebing Barat selepas memasuki wilayah itu memaklumkan kepada pihak berkuasa Israel dalam tempoh 30 hari selepas pertunangan, perkahwinan, permulaan hidup bersekedudukan atau ‘mana-mana yang berlaku dahulu’.

    “Warga asing yang berkahwin dengan penduduk di kawasan kediaman atau menjalinkan hubungan dengan seseorang perlu membuat pemakluman sebelum tiba di situ.

    “Jika hubungan bermula selepas warga asing itu tiba di situ, maka pegawai COGAT yang diberi kuasa perlu dimaklumkan secara bertulis dalam tempoh 30 hari dari permulaan perhubungan.

    “Pada masa sama, permohonan perlu dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Palestin untuk memformalkan status terbabit,” kata draf asal.

    COGAT mengeluarkan draf secara dalam talian pada Februari lalu dan semalam menggantikannya dengan versi 90 halaman baharu bertarikh 4 September 2022.

    Draf baharu itu juga membenarkan perlanjutan visa warga asing daripada 90 kepada 180 hari. Selain itu, COGAT menghapuskan kuota pensyarah dan pelajar pelawat di universiti Palestin yang pada asalnya ditetapkan kepada 100 guru dan 150 pelajar.

  • Gaza diserang: Kematian penduduk Palestin meningkat 24 orang, 203 lagi cedera

    Gaza diserang: Kematian penduduk Palestin meningkat 24 orang, 203 lagi cedera

    SERANGAN udara tentera rejim Zionis meranapkan rumah penduduk Palestin di Gaza manakala serangan roket kumpulan pejuang Palestin menyasarkan selatan Israel buat dua hari berturut-turut.

    Ketegangan itu menimbulkan kebimbangan satu lagi perang besar-besaran akan meletus selepas 14 bulan.

    Menurut laporan Al Jazeera, jet tempur Israel menyasarkan empat bangunan kediaman di Gaza City yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Jihad Islam.

    Satu lagi serangan udara semalam memusnahkan sebuah kereta membunuh seorang wanita warga emas berusia 75 tahun manakala enam lagi cedera.

    Ini setelah jet tempur Israel mengebom dua rumah penduduk yang didakwa didiami anggota Jihad Islam.

    Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban serangan Israel di Gaza meningkat kepada sekurang-kurangnya 24 orang termasuk enam kanak-kanak.

    Seramai 203 penduduk pula cedera pada hari kedua konflik.

    Lebih 400 roket dilancarkan ke arah Israel degan kebanyakannya dipintas, memaksa pihak berkuasa membunyikan siren dan penduduk menyelamatkan diri di tempat perlindungan bom.

    Bagaimanapun, menurut perkhidmatan ambulans Israel, tiada laporan kecederaan mahupun kematian setakat ini.

    Konflik kembali tercetus selepas tentera Israel dilaporkan membunuh seorang komander kanan jihad Islam.

  • Peluasan penempatan haram Zionis, Palestin rayu bantuan antarabangsa

    Peluasan penempatan haram Zionis, Palestin rayu bantuan antarabangsa

    PALESTIN pada Khamis menggesa campur tangan antarabangsa untuk menghentikan peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat dan melindungi penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, lapor Xinhua.

    Masyarakat antarabangsa perlu campur tangan untuk menghalang Israel daripada merampas tanah, merobohkan rumah, membakar pokok, dan memusnahkan infrastruktur di wilayah Palestin, menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan.

    “Tindakan Israel telah mengubah perbincangan, kedudukan, atau visi yang berkaitan dengan keamanan berdasarkan penyelesaian dua negara kepada satu khayalan dan impian tidak realistik, yang sukar dicapai,” menurut kenyataan itu.

    Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan membina berpuluh-puluh penempatan di wilayah Palestin yang diduduki.- BERNAMA

  • [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    POLIS Mekah menahan seorang lelaki rakyat tempatan yang didakwa terlibat dalam membantu urusan seorang wartawan bukan Islam yang memegang kerakyatan Amerika Syarikat untuk memasuki tanah suci Mekah.

    Media antarabangsa melaporkan wartawan itu ialah Gil Tamary daripada saluran siaran bebas Israel, Channel 13.

    Laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pula memetik jurucakap Polis Mekah sebagai berkata; “Mereka menggunakan laluan yang dikhaskan kepada orang Islam, hal ini jelas melanggar undang-undang yang melarang kemasukan orang bukan Islam ke tanah suci Mekah”.

    Pihak polis Mekah menegaskan bahawa segala undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu dihormati dan dipatuhi oleh setiap pengunjung tanah suci, khususnya di Masjidil Haram di Mekah dan Madinah.

    “Sebarang pelanggaran seperti ini dianggap sebagai jenayah yang tidak boleh diterima dan hukuman akan dikenakan terhadap pelaku jenayah berdasarkan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Kes wartawan itu telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    PESAWAT pejuang Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas dua kubu kuat kumpulan Hamas yang terletak di Semenanjung Gaza.

    Serangan udara itu menyasarkan kilang roket Hamas dan kemudahan pengeluaran senjata lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tentera Israel.

    Kilang itu merupakan pusat pengeluaran roket terbesar di Semenanjung Gaza.

    Menurut kenyataan berkenaan serangan itu sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

    Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat serangan itu.

    Tentera Israel sebelum ini mendakwa satu daripada dua roket yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Ashkelon baru-baru ini berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Iron Dome. – BERNAMA

  • Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    Tentera rejim Zionis Israel tembak mati wanita Palestin

    SEORANG wanita Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat pada Rabu, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.

    Ghufran Harun Warasneh, ditembak di dada berhampiran kem Al-Aroub, utara Hebron.

    Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, tentera Israel menghalang pegawai perubatan untuk sampai ke tempat kejadian selama kira-kira 20 minit.

    Wanita Palestin itu dimasukkan ke hospital Al-Ahly dalam “keadaan kritikal” sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

    Tentera Israel bagaimanapun mendakwa wanita itu bersenjatakan pisau dan cuba menyerang seorang anggotanya, menyebabkan tentera bertindak melepaskan tembakan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Iron Dome bocor, roket pejuang Palestin tembusi langit Israel

    [VIDEO] Iron Dome bocor, roket pejuang Palestin tembusi langit Israel

    SEBUAH pangsapuri di Sderot yang terletak dalam wilayah Palestin diduduki Israel mengalami kerosakan akibat serangan roket dilancarkan pejuang Palestin, malam tadi.

    Palestinian Information Center yang memetik media Israel melaporkan, empat warga Israel mengalami trauma akibat serangan roket tersebut.

    Serangan tersebut telah menyebabkan siren amaran dibunyikan di Sderot dan Kibbutz Nir Am.

    Belum ada puak pejuang Palestin di Gaza yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket ketika ketegangan memuncak di Jerusalem dan keganasan yang dilakukan polis rejim Zionis di Masjid al-Aqsa.

    Pada malam Isnin, pesawat tempur Israel melancarkan serangan di selatan Gaza sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari wilayah itu pada hari yang sama.

    Roket yang kali pertama dilancarkan dari Gaza dalam tempoh empat bulan itu dapat dipintas sistem pertahanan antipeluru berpandu Israel atau Iron Dome.

    Ketegangan yang berterusan dan tindakan ganas polis rejim Zionis sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan konflik baharu akan tercetus di wilayah bergolak itu.

    Pada 15 April lalu, sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin dilaporkan cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

    Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.

    Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.

    Bulan Sabit Merah Palestin membantu berpuluh-puluh mangsa yang cedera, sambil memindahkan lebih 60 orang ke hospital Baitulmuqaddis. Majoriti mangsa mengalami kecederaan pada badan.

    Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu sebelumnya, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.

    Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

  • Polis rejim Zionis serbu Al-Aqsa lagi, 10 rakyat Palestin cedera

    Polis rejim Zionis serbu Al-Aqsa lagi, 10 rakyat Palestin cedera

    POLIS Israel menyerbu pekarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada Ahad mencetuskan lagi pertempuran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 lagi rakyat Palestin cedera, lapor Xinhua.

    Rakyat Palestin yang berada di pekarangan masjid telah diusir menyebabkan berlaku pertempuran antara jemaah dengan polis Israel.

    Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan polis Israel telah menyekat rakyat Palestin daripada memasuki masjid untuk memberi laluan kepada beratus-ratus pendatang Yahudi.

    Menurut akhbar Haaretz, seramai 728 pendatang masuk ke kawasan masjid sambil diberi perlindungan yang ketat daripada polis Israel.

    Menurut saksi, polis menutup pintu Kota Lama Baitulmaqdis untuk menghalang penduduk Palestin dari luar bandar memasuki masjid.

    Bagaimanapun, sekatan itu kemudiannya dilonggarkan.

    Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ketegangan memuncak di seluruh wilayah Palestin selepas tentera Israel pada Jumaat menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa yang menyebabkan ratusan jemaah cedera. – BERNAMA

  • Zionis semakin ganas cemar Ramadan, Al-Aqsa

    Zionis semakin ganas cemar Ramadan, Al-Aqsa

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    UMAT Islam di Palestin terus menyaksikan keganasan Zionis di bumi mereka apabila serangan terbaharu bukan sahaja mencemari bulan Ramadan al-Mubarak, tetapi juga Masjidil Aqsa tempat suci umat Islam.

    Jumaat baru-baru ini merekodkan kebiadaban dan kekejaman Zionis yang memulakan serangan ke atas umat Islam di dalam Masjidil Aqsa.

    Mereka turut merosakkan Musolla Al Qibli yang berada di kawasan Masjidil Aqsa tersebut.

    Umat Islam di seluruh dunia diseru memanjatkan doa kepada Allah SWT pada larut malam, sebagai senjata jarak jauh untuk membantu umat Islam Palestin bagi menumpaskan Zionis dan menyelamatkan Al-Aqsa.

    rundingan nasrudin hassan
    NASRUDIN HASSAN (Gambar: Facebook)

    Kesempatan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, jangan ada dalam kalangan kita umat Islam terlepas masa untuk menitipkan doa buat saudara seakidah kita di bumi muqaddasah.

    Mudah-mudahan mereka tabah dan dipelihara oleh Allah dari keganasan Zionis yang tidak kunjung selesai.

    Semoga Allah SWTmembuka pintu hati pemimpin-pemimpin umat Islam sehingga menemukan cara dan tindakan terbaik untuk menangani penindasan yang sering terjadi ke atas umat Islam Palestin.

    Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)