SERANGAN udara tentera rejim Zionis meranapkan rumah penduduk Palestin di Gaza manakala serangan roket kumpulan pejuang Palestin menyasarkan selatan Israel buat dua hari berturut-turut.

Ketegangan itu menimbulkan kebimbangan satu lagi perang besar-besaran akan meletus selepas 14 bulan.

Menurut laporan Al Jazeera, jet tempur Israel menyasarkan empat bangunan kediaman di Gaza City yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Jihad Islam.

Satu lagi serangan udara semalam memusnahkan sebuah kereta membunuh seorang wanita warga emas berusia 75 tahun manakala enam lagi cedera.

Ini setelah jet tempur Israel mengebom dua rumah penduduk yang didakwa didiami anggota Jihad Islam.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban serangan Israel di Gaza meningkat kepada sekurang-kurangnya 24 orang termasuk enam kanak-kanak.

Seramai 203 penduduk pula cedera pada hari kedua konflik.

Lebih 400 roket dilancarkan ke arah Israel degan kebanyakannya dipintas, memaksa pihak berkuasa membunyikan siren dan penduduk menyelamatkan diri di tempat perlindungan bom.

Bagaimanapun, menurut perkhidmatan ambulans Israel, tiada laporan kecederaan mahupun kematian setakat ini.

Konflik kembali tercetus selepas tentera Israel dilaporkan membunuh seorang komander kanan jihad Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here