Tag: HFMD

  • 1,178 kes HFMD dicatatkan di Kedah

    1,178 kes HFMD dicatatkan di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 1,178 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan di Kedah sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi ke-21 (ME21) yang bermula 22 Mei hingga 28 Mei lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, angka itu mencatatkan pertambahan sebanyak 388 kes atau 49 peratus berbanding minggu sebelumnya.

    Katanya, terdapat lima wabak baharu dilaporkan melibatkan tiga pra-sekolah, satu taman asuhan kanak-kanak (taska) dan satu tadika.

    “Empat daripada premis berkenaan diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala satu lagi premis tidak ditutup kerana didapati berisiko rendah daripada penyebaran jangkitan.

    “Semua kes dilaporkan itu menunjukkan gejala ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, dengan pertambahan kes dicatatkan sepanjang minggu itu, jumlah kes HFMD di Kedah setakat 28 Mei lalu secara keseluruhannya berjumlah 3,403 kes.

    Angka itu katanya, jauh mengatasi catatan kes dalam tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum kedatangan pandemik Covid-19 yang mencatatkan hanya 2,628 kes.

    Menurutnya, sepanjang tahun ini daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 785 kes diikuti Kubang Pasu sebanyak 494 kes dan Kulim 451 kes.

    “Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 45 wabak HFMD dilaporkan di Kedah dengan 44 daripadanya berlaku di pusat jagaan serta pendidikan awal kanak-kanak seperti Taska, Tadika dan pra-sekolah.

    “Sebanyak 43 premis telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi serta pencegahan jangkitan,” katanya.

  • KKM tak galak guna serbuk kunyit, daun semambu rawat HFMD

    KKM tak galak guna serbuk kunyit, daun semambu rawat HFMD

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan kaedah rawatan alternatif seperti menggunakan serbuk kunyit atau daun semambu bagi merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

    Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sebaliknya orang ramai diminta berjumpa doktor sekiranya mempunyai simptom jangkitan.

    “KKM memang tidak galakkan rawatan alternatif kerana ia tidak ditentukan kesahihannya lagi dari sudut sains malah tiada rawatan khusus dari sudut sains bagi merawat penyakit tersebut.

    “Kita juga bimbang gejala dehidrasi. Jadi kanak-kanak yang terkena HFMD perlu dipastikan minum air secukupnya. Jika langsung tidak boleh minum air, memang perlu diberikan secara intravenous (suntikan ke dalam salur darah) dan dibawa ke hospital,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri di kediamannya di Taiping hari ini.

    Pada 17 Mei lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, jumlah kes HFMD di negara ini meningkatkan pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan.

    Dr Noor Hisham berkata, 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir pada 14 Mei lepas yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara. – BERNAMA

  • Kes HFMD di Pulau Pinang naik lebih 8 kali ganda

    Kes HFMD di Pulau Pinang naik lebih 8 kali ganda

    KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang meningkat sebanyak 8.4 kali ganda iaitu 959 kes sepanjang tahun ini setakat 7 Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya 102 kes.

    Selain itu, sebanyak 54 kluster HFMD turut dilaporkan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini berbanding hanya tujuh kluster pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, setakat ini juga jumlah kumulatif premis yang ditutup akibat HFMD adalah 54 premis, namun telah beroperasi seperti biasa yang mana pembukaan semula premis terakhir adalah pada 3 Mei lalu.

    Menurut Norlela, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutama kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan prasekolah.

    ”Penyakit HFMD adalah antara penyakit yang biasa dan sering kali berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

    ”Namun, ia merupakan salah satu masalah kesihatan awam di Malaysia amnya dan di Pulau Pinang khususnya kerana cenderung untuk menyebabkan berlakunya wabak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Norlela, setakat ini tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD sekali gus apsek pencegahan adalah amat penting.

    “Sehubungan itu, kita menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

    ”Antara langkah yang perlu diambil ialah basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

    Dalam masa sama, Norlela turut menasihatkan mereka yang terlibat dengan institusi penjagaan kanak-kanak supaya sentiasa mengekalkan kebersihan di pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah serta persekitarannya.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, kes HFMD di Kelantan meningkat 553 peratus kepada 1,548 kes dalam tempoh Januari hingga awal bulan ini, berbanding hanya 237 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 75.8 peratus.  

    “Secara keseluruhan 87.9 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dr Zaini berkata, dari segi kejadian wabak, sebanyak 18 wabak HFMD telah dilaporkan dalam tempoh Januari hingga awal Mei, berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh sama pada 2021.

    “Sebahagian besar wabak yang dilapor adalah melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya.

    Dr Zaini menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan kes HFMD di negeri itu.

  • 1,016 kes HFMD di Kedah, meningkat 46 peratus

    1,016 kes HFMD di Kedah, meningkat 46 peratus

    Oleh RIZQI ZABIDI  

    Sebanyak 1,016 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan di Kedah bermula awal tahun ini hingga 7 Mei lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 46.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum kedatangan pandemik Covid-19.

    Katanya, pada minggu epidemiologi ke-18 iaitu antara 1 hingga 7 Mei 2022, Kedah telah mencatatkan sebanyak 102 kes HFMD.

    “Trend peningkatan HFMD di negeri ini amat ketara bermula minggu epidemiologi ke-13 dan telah melepasi paras ambang epidemik (epidemic treshold).

    “Bagi minggu epidemiologi ke-18, bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda iaitu sebanyak 29 kes diikuti Kota Setar 22 kes dan Padang Terap 17 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

    Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan (mild) seperti demam, diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh (7) ke 10 hari.

    Orang ramai bagaimanapun diminta berhati-hati kerana jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (jangkitan paru-paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung).  

    Susulan itu katanya, orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, diminta mengambil langkah berjaga-jaga apatah lagi dalam suasana hari raya bagi mengurangkan risiko dijangkiti.

    “Sentiasa amalkan kebersihan diri dan cuci tangan dengan kerap. Dalam masa sama, sentiasa jaga kebersihan persekitaran.

    “Pihak terlibat diminta menjalankan pemeriksaan atau saringan di pintu masuk taska, tadika, tabika, pra-sekolah atau sekolah. Selain itu, lakukan disinfeksi atau nyah kuman pada permukaan yang tercemar,” katanya.

    Tambahnya, ibu bapa juga dinasihati untuk membawa anak mereka ke klinik atau hospital terdekat jika mempunyai tanda mahu pun gejala jangkitan seperti demam mahu pun ruam di tangan, kaki serta mulut.

    “Jangan bawa anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas. Elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah,” katanya.