Oleh RIZQI ZABIDI  

Sebanyak 1,016 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan di Kedah bermula awal tahun ini hingga 7 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 46.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum kedatangan pandemik Covid-19.

Katanya, pada minggu epidemiologi ke-18 iaitu antara 1 hingga 7 Mei 2022, Kedah telah mencatatkan sebanyak 102 kes HFMD.

“Trend peningkatan HFMD di negeri ini amat ketara bermula minggu epidemiologi ke-13 dan telah melepasi paras ambang epidemik (epidemic treshold).

“Bagi minggu epidemiologi ke-18, bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda iaitu sebanyak 29 kes diikuti Kota Setar 22 kes dan Padang Terap 17 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan (mild) seperti demam, diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh (7) ke 10 hari.

Orang ramai bagaimanapun diminta berhati-hati kerana jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (jangkitan paru-paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung).  

Susulan itu katanya, orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, diminta mengambil langkah berjaga-jaga apatah lagi dalam suasana hari raya bagi mengurangkan risiko dijangkiti.

“Sentiasa amalkan kebersihan diri dan cuci tangan dengan kerap. Dalam masa sama, sentiasa jaga kebersihan persekitaran.

“Pihak terlibat diminta menjalankan pemeriksaan atau saringan di pintu masuk taska, tadika, tabika, pra-sekolah atau sekolah. Selain itu, lakukan disinfeksi atau nyah kuman pada permukaan yang tercemar,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga dinasihati untuk membawa anak mereka ke klinik atau hospital terdekat jika mempunyai tanda mahu pun gejala jangkitan seperti demam mahu pun ruam di tangan, kaki serta mulut.

“Jangan bawa anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas. Elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here