Tag: Hari ATM

  • Peranan besar warga ATM bantu urus pandemik

    Peranan besar warga ATM bantu urus pandemik

    PERANAN yang dimainkan warga Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) dalam membantu pengurusan pandemik COVID-19 negara sebagai barisan hadapan keselamatan adalah amat besar sekali.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dari penglibatan dalam operasi sekatan jalan raya ke memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP), membantu proses pengurusan logistik vaksinasi dan mengatur pembinaan hospital medan untuk merawat pesakit yang dijangkiti COVID-19, warga ATM sentiasa terus menyumbang kepada usaha memerangi COVID-19 di seluruh pelusuk negara.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap, keutuhan ATM sebagai institusi yang merupakan salah satu tiang seri utama negara dapat terus diperkukuh dan diperkasa terutamanya dalam kita sama-sama menempuh proses pemulihan negara yang amat mencabar.

    “Saya juga yakin dan percaya bahawa sebagai instituisi pertahanan yang disegani di rantau Asia Tenggara, ATM akan terus meningkatkan kesiapsiagaan untuk terus mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air kita yang tercinta dalam apa jua keadaan.

    “Marilah kita juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan al-Fatihah kepada wira dan wirawati negara yang sudah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

    “Semoga Allah swt sentiasa melindungi warga ATM dalam melaksanakan tugas dan amanah melindungi ibu pertiwi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sempena Hari ATM ke-88, Muhyiddin menyatakan penghargaan terhadap semua pegawai dan anggota tentera sebagai wira dan wirawati bangsa dalam memelihara keselamatan negara amat dihargai.

    “Dalam waktu aman dan ketika kita berhadapan ancaman, ATM tetap teguh menjadi benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya.

  • Hari Malaysia perkukuh Kesatuan Dalam Kepelbagaian

    Hari Malaysia perkukuh Kesatuan Dalam Kepelbagaian

    HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September sentiasa sarat dengan nilai dan makna serta mengingatkan tentang betapa bertuahnya dapat terus menghela nafas di tanah air tercinta ini.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia juga mengukuhkan lagi tekad untuk terus memaknai Kesatuan Dalam Kepelbagaian sesama Keluarga Malaysia.

    “Demi menghargai pengorbanan pejuang terdahulu. Demi kesejahteraan kita hari ini. Dan demi kebanggaan generasi seterusnya. Insya-Allah. Selamat Hari Malaysia!!” katanya dalam hantaran Facebook sempena Hari Malaysia, hari ini.

    Dalam hantaran berasingan, beliau menyatakan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

    Hishammuddin memberitahu, sepanjang hampir sembilan dekad ini, terlalu banyak, teramat mendalam dan tersangat besar jasa Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Tentera Udara Diraja Malaysia demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air.

    Hari ATM
    Hishammuddin Hussein mengucapkan selamat Hari ATM Ke-88 kepada semua pegawai dan anggota tentera di negara ini.

    “Tanpa ragu dan gentar, sanggup terasing di belantara, belayar jauh di samudera dan terbang tinggi di udara. Nyawa dipertaruhkan, kudrat dikerah, berjauhan dari keluarga – tiada satu pun pengorbanan ini mampu dibalas dengan apa jua yang setimpal.

    “Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap perwira ATM kerana sentiasa menjadi perisai negara dan rakyat termasuk di era COVID-19 yang serba menguji ini. Selamat Hari ATM ke-88,” katanya.

  • Agong, Permaisuri ucap selamat Hari Malaysia

    Agong, Permaisuri ucap selamat Hari Malaysia

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Malaysia 2021 hari ini.

    Seri Paduka berdua menzahirkan titah ucapan tersebut menerusi poster yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Istana Negara.

    “Selamat menyambut Hari Malaysia 2021 daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,” jelas poster berkenaan.

    Seri Paduka turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari ATM ke-18 melalui laman Facebook Istana Negara hari ini.

    Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88 kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran angkatan tentera dan semua yang pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

    Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 sejak awal tahun ini.

    Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.