Tag: Dr Mahathir

  • PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    GERAKAN Tanah Air (GTA) terbuka untuk berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalinkan ‘tidak tahu lagi’, kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang mengulas saranan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN berkata, kerjasama dengan PN perlu dibincangkan dengan semua parti gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam gerakan itu.

    “Dia (Muhyiddin) boleh datang bincang tapi keputusan (untuk kerjasama) kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘flag off’ Program Semangat Merdeka anjuran GTA di sini hari ini.

    Dr Mahathir berkata Muhyiddin ada datang bertemu dengannya baru-baru ini, namun ia hanya pertemuan biasa dan bukan perbincangan mengenai kerjasama politik.

    Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

    Dr Mahathir berkata GTA yang dianggotai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta NGO berjuang berpaksikan kepada penentangan salah guna kuasa, rasuah dan memperjuangkan hak kaum Melayu bagi membina sebuah kerajaan yang bersih.

    Beliau berkata GTA akan mengemukakan permohonan pendaftaran gerakan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 6 Sept ini.- BERNAMA

  • Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    TINDAKAN mengurangkan jurang pendapatan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak permusuhan ganas antara golongan miskin dan kaya di negara ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejarah manusia menunjukkan permusuhan antara kedua-dua golongan itu berakhir dengan rusuhan berdarah.

    Menurutnya, contoh yang jelas ialah perang saudara yang berlaku di Perancis dan Rusia apabila kemenangan puak yang miskin akan membunuh puak yang kaya.

    “Di United Kingdom (UK) puak miskin tidak mengganas. Dengan mengguna mogok atau strike, pekerja yang rata-rata miskin memaksa masyarakat memberi kuasa kepada puak pekerja. Dan wujudlah parti buruh.

    “Masyarakat manusia perlu ambil iktibar dari peristiwa rusuhan antara miskin dan kaya. Jika masyarakat ingin elak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam entri di akaun media sosialnya bertajuk “Mengurangkan Jarak”.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, di Malaysia, masyarakat sedar ada perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya.

    Beliau menjelaskan, yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum apatah lagi ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina.

    “Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

    “Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, beliau sedar ada pihak yang akan berkata perkara ini tidak patut disuarakan kerana kononnya menyuarakan perkara ini sama seperti menggalak isu ini disedari dan dijadikannya sebagai isu yang boleh membakar perasaan kaum-kaum.

    Beliau menegaskan, jika isu ini tidak ditangani dengan bijak ia akan jadi lebih teruk dan apabila ia meletup, permusuhan akan jadi lebih buruk dan lebih sukar ditangani.

    “Justeru, adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan,” katanya.

    Tambahnya, beliau mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikatakan gagal namun dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.

    “Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,”jelasnya.

  • Tun M umum pelancaran Gerakan Tanah Air

    Tun M umum pelancaran Gerakan Tanah Air

    BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan gagasan baharu berasaskan Melayu dan Islam serta badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Tanah Air.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, gerakan itu akan memperjuangkan kaum Melayu untuk mempertahan Malaysia.

    “Kita pilih nama sesuai gerakan iaitu dipersetujui Gerakan Tanah Air. Ini gerakan rakyat untuk tentukan nasib mereka lebih baik dengan tukar kerajaan yang ada kepentingan diri.

    “Kita akan berjuang untuk rakyat dan agama, itu tujuan kita. Nama ini dah dipersetujui dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan dalam talian.

    Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan berkenaan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan

  • Tarik semula tuntutan Batu Puteh, Dr Mahathir jawab tuduhan

    Tarik semula tuntutan Batu Puteh, Dr Mahathir jawab tuduhan

    MALAYSIA menarik balik tuntutannya dalam kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ialah bagi menghormati perjanjian terdahulu dengan Singapura.

    Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perjanjian dengan Singapura dengan ICJ
    ialah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak.

    Katanya, perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

    “Jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa bahawa keputusan mesti diterima oleh kedua-dua pihak, Indonesia juga boleh buat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

    “Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti,” katanya.

    Beliau menyatakannya dalam entri di Facebooknya bertajuk “Empat Soalan Apandi”.

    Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan Sipadan dan Ligitan milik Malaysia pada 2002.

    Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, kesalahan bermula dengan pegawai kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Batu Puteh bukan milik Johor.

    “Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

    “Fakta baharu, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia,” katanya.

    Mengenai tuntutan Sulu, Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Najib Razak telah bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran dan tiada bukti tindakannya dipersetujui oleh Peguam Negara pada masa itu atau Kabine.

    “Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan BN (Barisan Nasional) bawah Najib. Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak kuasa perundangan mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan,” katanya.

  • Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

    “Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

    “Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

    Pada soalan mengenai slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, Dr Mahathir berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

    “Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

    “Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

    Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

    Ahli Parlimen Bera itu diberi perkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat pencalonan rahsia.

  • Dr Mahathir: Isytihar darurat bendung Covid-19

    Dr Mahathir: Isytihar darurat bendung Covid-19

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa supaya perintah darurat diisytiharkan bagi menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

    Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi terbabit antara lain meminta agar badan yang mengawal pandemik Covid-19 diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menurutnya, sekarang Malaysia ada kerajaan baharu yang mungkin sibuk dengan urusan lain. Sebaliknya wabak ini memerlukan pelbagai tindakan segera.

    “Jika badan yang mereka cadang diletak di bawah kerajaan, politik akan mengganggu tindakan mereka. Adalah lebih baik jika mereka dilantik dan diletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi entri terbaharunya di dalam chedet.cc.

    Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sebilangan pakar yang ingin menyumbang dalam membendung pandemik Covid-19 sebelum ini ditolak dan tidak diberi pengiktirafan oleh kerajaan, meskipun mereka sanggup bekerja secara sukarela.

    Ujar beliau, pakar-pakar itu merangkumi mereka terbabit dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi yang boleh membantu negara melawan Covid-19.

    “Saya khuatir wabak ini akan melanda negara dan ratusan yang akan meninggal dunia. Ekonomi tidak boleh pulih dan penderitaan orang ramai akan meningkat.

    “Percayalah wabak ini tidak mudah dikawal. Ia tidak akan pergi dengan sendirinya. Di waktu ini keadaan sudah jadi amat serius. Ia boleh jadi lebih serius dalam masa yang terdekat.

    “Kita perlu bertindak sekarang ini juga. Janganlah utama politik dan undang-undang pun. Sebenarnya inilah masa isytihar darurat kerana tindakan luar biasa perlu diambil. Kita tidak boleh tunggu kerajaan disusun sebelum bertindak,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia kini disenaraikan sebagai negara terburuk mengawal wabak Covid-19 seperti dilaporkan majalah The Economist.

    Selain itu kata beliau, angka harian menyaksikan 23,000 rakyat yang dijangkiti Covid-19 dengan 233 kematian direkodkan.

    “Tekanan jiwa yang dipikul oleh semua rakyat amatlah berat. Ramai yang kehilangan ahli keluarga, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa, yang dengan tiba-tiba jadi yatim piatu, kehilangan ketua rumah, kehilangan kawan dan keluarga.

    “Penderitaan mereka amatlah teruk sehingga ada yang bunuh diri,” katanya lagi.