Tag: diesel

  • Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    HARGA runcit RON97 turun 10 sen kepada RM3.85 seliter berbanding RM3.95, manakala harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini dari 1 hingga 7 Dis.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga siling RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran kedua-dua produk itu meningkat melebihi harga siling semasa.

    Harga runcit RON97 telah diturunkan sejajar dengan pergerakan harga pasaran.

    Penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Bayar RON95, diesel ikut harga pasaran tahun depan – laporan

    Bayar RON95, diesel ikut harga pasaran tahun depan – laporan

    PENGGUNA dijangka perlu membayar harga bahan api RON95 dan diesel mengikut harga pasaran apabila subsidi bersasar berkemungkinan besar akan dilaksanakan tahun depan, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

    “Kami menjangkakan harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api.

    “Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan. Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini,” kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan sebagaimana lapor Berita Harian.

    Nota disediakan oleh tiga penganalisis bank pelaburan itu iaitu Dr Zamros Dzulkafli, Suhaimi Ilias dan Fatin Nabila Mohd Zaini.

    Maybank IB berkata, pihaknya mengubah unjuran kadar inflasi 2022 kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, manakala kadar inflasi tahun depan diunjurkan pada 4.0 peratus berbanding 4.1 peratus sebelumnya.

    Bank pelaburan itu menjelaskan, unjuran berkenaan turut mempertimbangkan kesan rasionalisasi subsidi harga yang telah diumumkan dan dijangka akan dilaksanakan oleh kerajaan.

    “Sebagai contoh, kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi harga minyak masak (tulen, tidak dicampur) dalam botol dua kilogram (kg), tiga kg dan lima kg berkuat kuasa 1 Julai lalu, tetapi mengekalkan subsidi minyak masak dalam polibeg satu kg berharga RM2.50 sepeket.

    “Unjuran kadar inflasi kami untuk 2023 termasuk andaian beberapa pelarasan dalam harga bahan api dan tarif elektrik berikutan kajian semula subsidi pada 2023,” katanya.

    Maybank IB berkata, unjuran inflasi turut mengambil kira pelaksanaan 10 peratus Cukai Jualan ke atas barangan import bernilai rendah yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa Januari 2023.

    Unjuran juga, katanya berikutan pelaksanaan penuh kenaikan gaji minimum ke atas semua majikan tahun depan berbanding pengecualian ke atas perniagaan kecil yang mempunyai kurang daripada lima pekerja tahun ini.

    Dengan trajektori menaik dalam kadar inflasi tahunan, ditambah dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua 2022 dan tahun ini, Maybank IB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini.

    Jangkaan itu, katanya membabitkan kenaikan sebanyak 25 bps setiap satu iaitu semasa dua lagi Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini iaitu pada 7 hingga 8 September 2022 dan 2 hingga 3 November 2022.

    “Kami juga menjangkakan kenaikan 25 bps lagi awal tahun depan untuk menjadikan OPR kembali ke tahap sebelum COVID-19 sebanyak 3.00 peratus menjelang akhir suku pertama 2023,” katanya.

  • KPDNHEP NS tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi

    KPDNHEP NS tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjumlah 31,215 liter dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Bemban Hilir di Seremban, semalam.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, menerusi serbuan hampir lapan jam bermula 5.30 petang itu, turut dirampas sebuah motolori tangki, lori ‘bonded’ diubah suai, tangki gelongsor, tangki petak dan peralatan untuk kerja pemindahan diesel dengan keseluruhan rampasan bernilai RM269,912.25.

    Beliau berkata ketika serbuan, empat lelaki tempatan dalam lingkungan umur 29 hingga 42 tahun sedang memindahkan minyak diesel daripada sebuah motolori tangki dan lori ‘bonded’ ke dalam tangki minyak yang berada di kawasan stor berkenaan.

    “Mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa namun berjaya ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut mendapati 11 unit tangki petak dan sebuah tangki gelongsor berisi minyak diesel dipercayai dipindahkan daripada lori berkenaan melalui hos.

    “Semakan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil risikan mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan di sekitar bandar Seremban, selain dipercayai terdapat aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi berkenaan.

    Menurutnya, lokasi stor yang agak terpencil menjadikan sindiket berkenaan sukar dikesan pada peringkat awal penjejakan dan mereka disyaki menjadikan kawasan itu sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak enam bulan lepas.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) Akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat tidak dilesenkan.

    “KPDNHEP negeri akan terus menjalankan pemantauan dan pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317,” katanya. – BERNAMA

  • 13 lelaki ditahan seludup diesel di Kota Tinggi

    13 lelaki ditahan seludup diesel di Kota Tinggi

    SERAMAI 13 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 138,000 liter dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia 18 hingga 62 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam menerusi Op Bersepadu Kontraban.

    Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli diesel di sekitar negeri ini sebelum menjualnya untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk kapal dagang asing dengan harga kira-kira RM3.50 seliter.

    “Mereka menjalankan sindiket (seludup minyak) ini tiga hari sekali dengan menjualnya ke pasaran gelap dengan harga lebih tinggi.

    “Sindiket ini dikesan sebulan lepas dan premis (diserbu) merupakan tempat transit penyeludupan minyak diesel bersubsidi,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di Kota Tinggi hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu kapal tangki asing, empat tangki lori treler, empat pam penyedut minyak, dua generator dan sebuah kereta Toyota Vios melibatkan nilai keseluruhan rampasan RM14.4 juta.

    Beliau berkata seorang individu yang ditahan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

  • Sindiket seludup diesel bersubsidi tumpas

    Sindiket seludup diesel bersubsidi tumpas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menumpaskan satu sindiket yang didapati giat melakukan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang didapati bergiat aktif di sekitar bandar raya Johor Bahru setelah berjaya menahan lima suspek, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, suspek yang ditahan melibatkan tiga warganegara dan dua warga asing itu berusia antara 34 hingga 42 tahun.

    Kelima-lima suspek terbabit ditahan dalam serbuan yang dijalankan terhadap sebuah premis beralamat di No.11, Jalan Perak, Taman Wawasan, Kulai, pada pukul 2 petang, semalam.

    “Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya beberapa tangki berisi minyak bersubsidi sebanyak 40,000 liter, dua buah lori dan lima unit pam dengan anggaran nilai RM300,300.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya, di sini hari ini.

    Tambah Dimin, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Tangkapan dan rampasan ini dipercayai berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang aktif di sekitar daerah Johor Bahru,” ujarnya.

    Dimin berkata, orang awam diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan mereka.

    Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Pejabat Risik/ Gerakan Batalion 5 PGA di nombor 07-7557280.

  • Lelaki dicekup semasa leka pindah 2,800 liter diesel bersubsidi

    Lelaki dicekup semasa leka pindah 2,800 liter diesel bersubsidi

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori tangki warga tempatan ketika sedang leka mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori.

    Lelaki itu ditahan dalam serbuan lima pegawai penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah awal pagi semalam.

    Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, ketika ditahan pemandu lori itu sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan selama kira-kira 40 minit.

    Kata beliau, siasatan lanjut terhadap resit belian mendapati lori tersebut telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM 6,582.85.

    “Selain pemandu lori tangki itu, turut ditahan seorang lagi warga tempatan dan kita turut menyita sebanyak 2,800 liter minyak diesel, sebuah lori serta dua unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

    Menurut beliau, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama kira-kira sebulan susulan aduan orang awam.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan itu adalah RM52,520 dan kes itu  disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    diesel bersubsidi
    Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa lori tangki yang digunakan.

    Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    “Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, jumlah denda yang dikenakan tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda yang dikenakan ialah tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan mengingatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

    Pada masa sama, pihaknya mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan bawang kawalan bersubsidi.

    “Orang awam boleh memyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 019-2794317 atau menghubungi bilik gerakan PPDNHEP negeri di talian 04-3840245,” katanya.

  • Pemandu lori bawa 7 tong dram diesel secara haram

    Pemandu lori bawa 7 tong dram diesel secara haram

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemandu lori ditahan kerana gagal mengemukakan permit khas sewaktu membeli minyak diesel dari sebuah stesen minyak mini di Mukim Terap, Serdang, Kedah hari ini dipercayai untuk kegunaan jentera di kawasan pembinaan.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kulim, Mohd. Fazly Edros berkata, pihaknya menahan lelaki itu kira-kira pukul 10.30 pagi ketika dia sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram di atas sebuah lori di stesen minyak tersebut.

    Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat tujuh tong dram berkapasiti 200 liter di atas lori tersebut.

    “Ketika ditahan, jumlah minyak diesel yang sempat dibeli lelaki itu berjumlah kira-kira 1,205 liter bernilai RM2,590.

    “Pemandu lori itu gagal mengemukakan permit khas iaitu surat kebenaran bertulis dikeluarkan pengawal bekalan KPDNHEP sedangkan minyak yang digunakan oleh jentera bagi kerja-kerja pembinaan, sepatutnya adalah minyak komersial yang dibeli dari pemborong sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Mohd Fazly menambah, kesemua barangan termasuk lori satu tan dipandu lelaki tersebut dirampas dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM12,590.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan.

    “Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dibaca secara bersama dengan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah satu lesen dikeluarkan di bawah peraturan 4,” katanya.

    Tambahnya, tindakan juga turut diambil terhadap stesen minyak tersebut di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974 kerana melanggar syarat lesen iaitu membenarkan pembeli untuk membeli minyak dengan memasukkannya selain daripada tangki kenderaan.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula, boleh didenda tidak lebih RM2 juta,” katanya.

  • Harga RON95, diesel kekal RON97 naik dua sen

    Harga RON95, diesel kekal RON97 naik dua sen

    HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter sehingga 29 Sept, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.75 mulai esok sehingga 29 Sept.

    Menurut Kementerian Kewangan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” katanya.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA

  • Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

    Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

    HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh mulai esok hingga 15 Sept, manakala harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.72 kepada RM2.73.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA

  • Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

    Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

    HARGA runcit petrol RON95, RON97 serta diesel kekal, masing-masing pada paras RM2.05, RM2.72 dan RM2.15 seliter, bagi tempoh bermula esok hingga 8 Sept ini.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada peningkatan harga minyak, kerajaan mengekalkan harga siling RON95 dan diesel sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat, melebihi harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

    Kementerian itu menyatakan kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah-langkah sewajarnya, bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat.- BERNAMA