SERAMAI 13 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 138,000 liter dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia 18 hingga 62 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam menerusi Op Bersepadu Kontraban.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli diesel di sekitar negeri ini sebelum menjualnya untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk kapal dagang asing dengan harga kira-kira RM3.50 seliter.

“Mereka menjalankan sindiket (seludup minyak) ini tiga hari sekali dengan menjualnya ke pasaran gelap dengan harga lebih tinggi.

“Sindiket ini dikesan sebulan lepas dan premis (diserbu) merupakan tempat transit penyeludupan minyak diesel bersubsidi,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di Kota Tinggi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu kapal tangki asing, empat tangki lori treler, empat pam penyedut minyak, dua generator dan sebuah kereta Toyota Vios melibatkan nilai keseluruhan rampasan RM14.4 juta.

Beliau berkata seorang individu yang ditahan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here