Tag: DAP

  • Mengejutkan! DAP mahu batal projek Transit Aliran Autonomi Kuching

    Mengejutkan! DAP mahu batal projek Transit Aliran Autonomi Kuching

    prn sarawak

    TEKAD Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membatalkan cadangan pembinaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini amat mengejutkan dan dikesali, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

    Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Stampin, Chieng Jen pastinya tahu bahawa kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching semakin bertambah buruk selaras dangan pertambahan penduduk, dan jumlah kenderaan di kawasan kota.

    “Tidakkah Chieng Jen tahu bahawa jumlah penduduk Kuching dan juga kenderaan berdaftar masing-masing meningkat tiga dan lapan peratus setiap tahun, sekali gus mengakibatkan peningkatkan kesesakan di bandar raya?

    “Berdasarkan trend pertumbuhan semasa bagi trafik kawasan bandar raya Kuching, pertumbuhan jumlah kenderaan dijangka menjangkau 41 peratus dari 317,400 pada tahun 2015 kepada 449,200 pada tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Kui Hian merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dalam PRN12 ini.

    Semalam Chieng Jen, yakni adalah calon DAP bagi kerusi DUN Padungan dilaporkan berkata PH tidak akan meneruskan projek mega yang dianggap ‘projek gajah putih’ seperti projek ART, sekiranya ia berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan.

    Dr Kui Hian seterusnya menggesa pengundi di Sarawak menyokong GPS sekiranya mereka percaya bahawa Kuching, malah seluruh Sarawak, berhak mengecap nikmat pembangunan. – BERNAMA

  • Pemimpin DAP tolak Anwar, hubungan dengan PKR tegang

    Pemimpin DAP tolak Anwar, hubungan dengan PKR tegang

    HUBUNGAN antara PKR dan DAP semakin tegang berikutan timbul dakwaan mengenai beberapa pemimpin DAP menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, dakwaan itu dibuat oleh bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

    Situasi semakin panas apabila Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Cheng Hau tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

    “Saya menggesa Boo untuk tampil dan mengambil tanggungjawab mengemukakan penjelasan lanjut kepada Pengerusi PH (Anwar) sendiri dan tidak melemparkan tuduhan dan melakukan serangan menggunakan media,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Semalam, portal The Vibes melaporkan Cheng Hau mendakwa beberapa pemimpin DAP menggesa Anwar berundur sebagai ketua blok pembangkang.

    Beliau berkata, mereka adalah individu yang mesra dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berharap dapat kembali berkuasa suatu hari nanti.

    Cheng Hau berkata, beliau tidak bersetuju dengan beberapa rakan partinya yang menjadikan Anwar sebagai kambing hitam untuk prestasi buruk PH dalam pilihan raya negeri Melaka bulan lepas.

    Tanpa menamakan pemimpin DAP itu, katanya, kumpulan yang mahu Anwar berundur ialah bekas menteri dan timbalan menteri ketika PH mentadbir negara sebelum ini.

    Dalam pada itu, Shamsul berkata, Deklarasi Port Dickson selepas pemukiman PH awal tahun ini mencapai konsensus untuk Anwar mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

    Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Cheng Hau itu sekadar pandangan peribadi yang tidak mewakili pendirian DAP.

    Katanya, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut untuk mengulas dakwaan itu yang melibatkan isu dalaman PH.

  • Cheng Hau tuduh Guan Eng jadi pak turut Mahathir

    Cheng Hau tuduh Guan Eng jadi pak turut Mahathir

    PERTIKAMAN lidah antara bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memakai tudung di masjid menjadi semakin panas.

    Dalam catatan Facebook miliknya, Cheng Hau menuduh Guan Eng sebagai ‘pak turut’ kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Menteri Kewangan era rejim Pakatan Harapan (PH) dahulu.

    Beliau mengungkit perkara itu ekoran keengganan Guan Eng meluluskan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

    “Saudara Setiausaha Agung, sehingga kini anda masih tidak faham mengapa kaum Cina masih tidak dapat menerima keengganan anda meluluskan dana untuk TAR UC semasa anda menjadi Menteri Kewangan.

    “Kaum Cina kecewa dengan anda kerana mengutamakan sentimen kepartian mengatasi pendidikan dan menjadi ‘pak turut’ kepada Tun Mahathir,” katanya.

    Baru-baru ini, Cheng Hau membidas pakaian Hannah pada hari terbuka masjid di kawasannya dalam perbualan kumpulan WhatsApp DAP Johor yang bocor.

    “Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

    “Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua,” soalnya pada perbualan itu.

    Cheng Hau mempertahankan kenyataannya ketika bercakap kepada Malaysiakini, berkata walaupun sensitiviti budaya adalah penting, DAP mesti melampaui cara ‘dangkal’ dalam mendekati masyarakat Melayu, sambil berlaku adil kepada semua masyarakat.

    Berikutan itu, Guan Eng membela Hannah dan menempelak Cheng Hau secara terbuka.

    Pada masa yang sama, Cheng Hau tetap mempertahankan pendiriannya mengecam tindakan Hannah memakai tudung yang disifatkannya sebagai gimik politik.

    Menurut beliau, gimik politik yang dibuat-buat hanya mampu meraih keuntungan politik yang sementara.

    “Perbuatan mengambil hati mana-mana kumpulan etnik secara keterlaluan tidak akan memberi kesan politik jangka panjang.

    “Kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan amaran yang membimbangkan kepada DAP dan PH,” jelasnya.

  • ADUN Elopura kecewa isu dalaman melanda DAP Sabah

    ADUN Elopura kecewa isu dalaman melanda DAP Sabah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong secara terbuka menyatakan perasaan tidak puas hati dengan isu dalaman yang melanda DAP.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Calvin turut tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan beliau dan beberapa wakil rakyat DAP yang lain tidak dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP Sabah.

    Beliau yang kini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura selama dua penggal tidak pula menyatakan sama ada akan meninggalkan DAP.

    “Buat masa ini saya masih dengan DAP. Bagaimanapun, saya ingin melihat sama ada parti akan mengambil langkah bagi memperbetulkan isu terbabit dan sejauh mana jawatankuasa itu menunjukkan prestasi mereka.”

    “Jika tiada tindakan dilakukan, saya perlu memikirkan langkah yang seterusnya,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong mengumumkan keluar DAP pada 22 November lalu kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.

    Selain Calvin, beberapa lagi yang gagal dipilih semula ke dalam jawatankuasa negeri termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan bekas Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin; ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang dan bekas Senator, Adrian Lasimbang.

    ADUN Tanjong Papat, Frankie Poon dilantik sebagai Pengerusi DAP Sabah.

    Jimmy, yang pernah menyandang jawatan pembantu menteri dalam kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini, mendakwa Frankie mengabaikan ‘pemikir parti’ yang telah lama berjuang untuk DAP.

    Katanya, beliau telah lama memendam kekecewaan terhadap kepimpinan negeri dan keputusan pemilihan itu adalah titik terakhir.

    Frankie dilaporkan menafikan bahawa wujudnya puak atau sebarang perpecahan dalam parti terbabit.

  • Guan Eng fikir orang Sabah ini siapa? Soal Naib Presiden Star

    Guan Eng fikir orang Sabah ini siapa? Soal Naib Presiden Star

    DAP diingatkan supaya tidak menabur politik kebencian dan mengapi-apikan sentimen antikerajaan dalam kalangan rakyat Sabah.

    Peringatan itu disuarakan oleh Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Air (Star), Kenny Chua.

    “Lim Guan Eng datang sini dan memberitahu bagaimana kami tidak dilayan secara adil oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    “Dia fikir orang Sabah ini siapa? Adakah kami ini hanya oksigen yang diperlukan bagi membolehkan DAP bernafas dan kekal relevan dalam landskap politik di negara ini,” katanya seperti dilaporkan Daily Express.

    Beliau mengulas tentang dakwaan Setiausaha Agung DAP itu kononnya Sabah diberi layanan lebih buruk di bawah PN dan PN memandangkan negeri itu hanya menerima sebanyak 6.9 peratus daripada peruntukan pembangunan dalam Bajet 2022, berbanding 9.3 peratus di bawah Pakatan Harapan (PH).

    Kenny menambah, rakyat di negeri itu takkan lupa bahawa Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan dalam rejim PH dua tahun lalu menyampaikan berita buruk.

    Menurut beliau, Guan Eng menyatakan bahawa janji PH untuk menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus berbanding lima peratus yang sebelum itu dinikmati oleh Sabah dan Sarawak tidak dapat ditunaikan.

    Janji tersebut ditabur PH kepada rakyat Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Rejim PH turut berjanji untuk menyalurkan semula separuh daripada nilai cukai yang dikutip.

    “Sejak sekian lama, rakyat Sabah dan Sarawak dinafikan hak untuk menikmati hasil sumber asli di negeri sendiri. Tetapi untuk melihat janji dimungkiri begitu sahaja menyebabkan kami rasa kami telah ditipu dua kali.

    “Jadi, bagaimana Guan Eng boleh bercakap tentang ketidakadilan sedangkan dia dan PH juga memberi layanan yang sama kepada rakyat Sabah dan Sarawak? soalnya.

    Kenny memberitahu, rakyat Sabah juga tidak akan lupa bahawa Guan Eng telah melaksanakan cukai baharu ke atas rakyat seperti Cukai Berlepas, Cukai Digital serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

  • Bapa Pengerusi DAP Sarawak pun pernah lompat parti

    Bapa Pengerusi DAP Sarawak pun pernah lompat parti

    PENGERUSI DAP Sarawak, Chong Chieng Jen diberi ‘peringatan mesra’ bahawa bapanya, Chong Siew Chang pernah melompat parti satu ketika dahulu.

    Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh berkata, Siew Chang meninggalkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menubuhkan DAP Sarawak pada tahun 1978.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan Chieng Jen agar tidak bersikap terlalu kritikal dengan mereka yang melompat parti.

    “Kami ingin secara mesra mengingatkan Chieng Jen agar tidak terlalu meletakkan dirinya atau DAP di kedudukan tinggi dengan menolak ‘katak’ dan mengaggap dia mempunyai moral yang tinggi, atau bersikap menghukum terhadap sesiapa yang menukar parti politik.

    “Pada masa sama, kami juga tidak menafikan ada beberapa contoh yang boleh memburukan imej semua yang berbuat demikian. Mengapa Chieng Jen begitu bersungguh untuk menyamakan setiap pemimpin atau ahli politik?

    “Mungkin dia juga perlu mengkritik bapanya sendiri yang lompat daripada SUPP, sebuah parti Sarawak, untuk menyertai DAP iaitu parti dari semenanjung dan dituduh SUPP melakukan sabotaj terhadap Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Rahman Yakub,” kata Wong seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Soon Koh berkata, beliau tidak mahu ‘membuka luka lama’ dan menghormati Siew Chang kerana meninggalkan SUPP kerana prinsip.

    “Ia memang soal prinsip dan PSB turut berpegang kepada perjuangan sama dengan senior Chong, menerusi platform politik berbeza tanpa berkompromi dengan prinsip kami,” katanya lagi.

    Terdahulu, Chieng Jen ketika mengulas berkenaan kemungkinan kerjasama dengan PSB, membayangkan DAP Sarawak tidak akan bekerjasama dengan ‘katak politik’.

    Terdapat dua penyandang kerusi DUN daripada PSB yang sebelum ini keluar daripada PH, iaitu See Chee How (Batu Lintang) dan Baru Bian (Ba’kelalan).

    “Bagi DAP, di kawasan kami, ada seorang ‘katak’ yang merupakan penyandang dan kami bertegas yang dia tidak patut dicalonkan semula. Inilah cara kami berpegang kepada prinsip dan keputusan parti,” katanya.

    PSB adalah parti serpihan SUPP yang ditubuhkan pada 2014. Parti itu memiliki enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu.

    Parti itu dijangka mencalonkan ramai ahli politik veteran dalam PRN yang akan dilaksanakan Disember ini.

    Kata Soon Koh, Chieng Jen patut menghargai Baru dan Chee How yang berpegang dengan prinsip yang sama seperti bapanya berkaitan hak orang Sarawak, dan membayangkan mereka meninggalkan PKR untuk membebaskan diri daripada kawalan bekas ketua mereka di Kuala Lumpur.

  • DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

    DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

    TINDAKAN DAP mengheret isu pengharaman judi di Kedah ke mahkamah boleh menyebabkan kerajaan negeri tiada kuasa mengekang kegiatan yang menimbulkan pelbagai masalah sosial itu.

    Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, mereka mengambil tindakan tersebut ketika orang ramai menumpukan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Menurut beliau, mereka menggunakan alasan kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyalahgunakan kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

    “Biasanya isu-isu rakyat yang lain, mereka akan setakat bermain di media. Tetapi dalam situasi ini, sebegitu sekali serius judi dibela; iaitu ke mahkamah.

    “Apa yang diusahakan mereka di mahkamah ini bukan perkara kecil sekadar ‘pejudi vs Menteri Besar Kedah’ tetapi jauh lebih besar dari itu. Implikasinya boleh sehingga ke tahap semua kerajaan negeri tiada kuasa mengekang judi di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada 18 November lalu, DAP telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi mencabar keputusan kerajaan negeri Kedah tidak memperbaharui lesen judi di negeri itu.

    Terdahulu, pada 14 November, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Beliau berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

    “Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

    “Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah di Alor Setar.

    Aminuddin berpandangan, kerajaan negeri Kedah harus diberikan sokongan solidariti oleh rakyat yang mahu melihat Malaysia sejahtera dari gejala tidak sihat ini.

    :Alhamdulillah, kita lihat bukan sahaja orang Melayu yang menyokong agar judi disekat dan dikawal kerana ianya isu sejagat selain ianya adalah suatu yang diharamkan dalam Islam.

    “Ia memang terbukti bahawa perjudian merosakkan masyarakat dan institusi kekeluargaan dari pelbagai sudut.

    “Tahniah Menteri Besar Kedah atas usaha ini. Saya harap negeri-negeri lain juga mampu mengambil langkah sebegini demi kesejahteraan rakyat melangkaui kepentingan para taikun pemilik syarikat judi yang tidak patut dilayan,” jelasnya.

  • DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

    DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

    BERIKUTAN prestasi buruk lagi memalukan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tey Kok Kiew meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Melaka hari ini.

    Keputusan semalam menyaksikan parti cauvinis itu gagal mempertahankan 50 peratus daripada kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    DAP tumbang di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bemban, Gadek, Duyong dan Pengkalan Batu.

    Kok Kiew sendiri gagal mempertahankan penguasaan DAP di DUN Bemban yang dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub.

    Hanya empat kerusi yang mampu dikekalkan oleh DAP iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

    Walau bagaimanapun, jumlah undi majoriti yang diperoleh DAP di keempat-empat kerusi terbabit jatuh mendadak berbanding PRU-14.

    Memetik laporan Malaysiakini, Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatan dalam sidang media di Melaka.

    Namun, beliau masih lagi kekal sebagai ahli DAP.

    DAP bertanding pada PRN Melaka dalam keadaan dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada keputusan PKR dan PAN menerima dua bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah.

    Penyokong-penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) dikatakan memprotes tindakan menerima bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyuarakan bantahan keras terhadap pencalonan dua bekas pemimpin UMNO terbabit namun seperti tidak diendahkan oleh sekutu-sekutunya iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

    Idris bertanding atas tiket PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman mewakili PAN di Pantai Kundor.

    Strategi mengutip Idris dan Nor Azman sebagai calon hanya menikam diri sendiri kerana mereka bukan sahaja tewas, malah menjadi faktor yang mencetuskan keretakan dalam PH.

    Mungkin Guan Eng juga patut meletak jawatan ekoran kegagalan memalukan DAP di Melaka itu.

    Beliau sudah kehilangan taringnya dan kata-katanya tidak dipedulikan lagi oleh sekutu-sekutunya dalam PH.

    Lebih dari itu, kepimpinan DAP memerlukan nafas baharu bagi membuang stereotaip cauvinis yang melekat kuat sebagai identitinya sehingga menyebabkan parti itu ditolak oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

  • PRU-15: DAP Selangor minta tambah 2 kerusi DUN, 1 Parlimen

    PRU-15: DAP Selangor minta tambah 2 kerusi DUN, 1 Parlimen

    DAP Selangor telah memohon kepada Pakatan Harapan (PH) negeri itu untuk mendapat tiga kerusi tambahan termasuk satu kerusi Parlimen bagi pilihan raya akan datang.

    Memetik laporan Bernama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata demikian dalam ucapan aluan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2021 di Shah Alam, hari ini.

    “Untuk perkara ini saya perlu memberitahu semua di sini bahawa perbincangan sedang diadakan dengan PH Negeri Selangor, setakat sekarang kita telah pun meminta untuk mendapat tiga kerusi tambahan.

    “Setakat ini kita ada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita telah pun menyatakan kesediaan untuk bertanding dan satu kerusi Parlimen tambahan. Dengan ini kita (akan) meningkatkan bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

    Pada masa ini, DAP menguasai 16 kerusi DUN Selangor yang mempunyai jumlah keseluruhan 56 kerusi.

    Sekutu-sekutunya dalam PH iaitu PKR mempunyai 19 kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) pula hanya menduduki enam kerusi dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) cuma ada tiga kerusi.

    Di blok pembangkang, Barisan Nasional (BN) mempunyai lima kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (4 kerusi) dan PAS (1 kerusi).

    Baki dua kerusi lagi disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

    Bagi kawasan Parlimen pula, DAP kini menyandang sebanyak empat kerusi iaitu Bangi, Damansara, Puchong, Klang manakala PKR mempunyai tujuh kerusi, masing-masing di Hulu Selangor, Pandan, Subang, Selayang, Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Kapar.

    PAN mempunyai lima kerusi Parlimen di Selangor iaitu Kuala Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Kota Raja dan Sepang.

    Bersatu pula menduduki lima kerusi Parlimen di negeri tersebut iaitu Sabak Bernam, Gombak, Ampang, Kuala Langat dan Sungai Besar, manakala BN hanya ada satu kerusi di Tanjung Karang.

    Tidak dapat dipastikan kerusi-kerusi tambahan yang ingin ditandingi DAP adalah dari kawasan yang secara tradisinya ditandingi oleh PKR atau PAN.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan pembukaannya berkata, partinya telah membuat keputusan untuk mengguna pakai logo PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurut beliau, penggunaan logo PH tersebut hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sementara Sabah dan Sarawak pula akan diputuskan oleh negeri-negeri tersebut kerana mereka mempunyai kuasa autonomi.

    “Kita telah mula di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka (penggunaan logo PH), kita akan pakai di seluruh Semenanjung Malaysia untuk PRU ke-15 kecuali Sabah dan Sarawak.

    “Kerana mereka ada (kuasa) autonomi, mereka akan putuskan (untuk gunakan) logo apa sama ada parti DAP Roket ataupun logo bersama,” katanya.

  • DAP masih sentap, tolak Norhizam jadi calon PH

    DAP masih sentap, tolak Norhizam jadi calon PH

    PRN Melaka

    DAP nampaknya masih belum dapat memaafkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Saya nak tegaskan bahawa DAP tolak sama sekali YB Pengkalan Batu (Norhizam) sebagai calon dalam PRN ini. Itu sahaja,” katanya pada sidang media yang diadakan di Melaka hari ini.

    Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan, termasuk kemungkinan Norhizam bertanding menggunakan tiket parti lain dalam pembangkang.

    Guan Eng berkata, beliau menegaskan hal itu agar tiada sebarang kekeliruan atau pertanyaan ditimbulkan lagi selepas ini.

    “Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tak terima dia sebgai calon dalam pilihan raya ini,” tegasnya.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

    Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.

    Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu, PH akan menggunakan lambang gabungan tersebut dalam PRN Melaka.

    “Kami akan bertanding dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan dalam PH. Oleh kerana kami bertanding dalam satu pasukan, sudah tentu kami bertanding di bawah khemah besar PH dengan logo PH,” katanya.

    Beliau menambah, DAP juga mahu Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dinamakan sebagai calon Ketua Menteri bagi PH.

    “Saya harap tak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini, bahawa DAP dengan semua parti komponennya memang sokong Adly sebagai ketua menteri,” katanya.