SEORANG ibu tunggal menangis dan melakukan sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya atas dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6 kilogram.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, yang juga ibu kepada empat orang anak.
“… selepas meneliti dan mengambil kira laporan forensik dan analisis DNA pada sikat dan tuala mendapati bukan saja DNA tertuduh dan orang kena tuduh dua tetapi terdapat orang lain yang tidak dikenali.
“Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di apartmen tersebut adalah bersambung dengan bilik yang dijumpai dadah tersebut. Didapati juga beberapa orang dan set kunci dijumpai yang mempunyai akses ke bilik utama tersebut, ” kata Anselim.
Mahkamah turut membebaskan wanita itu daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun.
Bagaimanapun mahkamah mendapati Huda Humairah bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah seberat 20.25 gram dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2018.
Penjual buah itu didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di kawasan meletak kenderaan dan di sebuah unit apartmen di Pinggiran Bunga Raya di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12 (2) ADB dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Perbicaraan bermula pada 15 Sept 2020 dengan 19 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilarif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping. – BERNAMA
SEORANG warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Elmy Arif Hamid, 40, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mohd Elmy Arif didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).
Nurulhuda Nur’aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd Elmy Arif diwakili peguam Zameri Mat Nawang. – BERNAMA
PELBAGAI jenis mercun dan dadah bernilai RM408,943 berjaya dirampas polis Pulau Pinang dalam dua serbuan di Batu Maung, bermula pukul 11 malam, Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan penjualan mercun turut ditahan.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta selepas didapati membawa dadah jenis ketamin seberat 6.40 gram bernilai RM960 dan 18 biji eramin 5 bernilai RM2,700.
Pemeriksaan lanjut, tambah beliau, turut menjumpai sebanyak 81 kotak serta 527 pek pelbagai jenis mercun dipercayai untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina.
”Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis di kawasan Batu Maung dan merampas 44 guni dan 333 kotak pelbagai jenis mercun di premis itu” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas dua tangkapan mendapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi tangkapan negatif dadah, namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
TIGA lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines dengan berat keseluruhan 585.1 gram (g) dalam sebuah bangsal lembu di Rawang, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman itu terhadap C. Peter Yesudas, 55; V. Kasinathan, 43, dan K. Nagaraj, 57, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Beliau berkata keterangan ketiga-tiga tertuduh didapati lebih berkisar kepada penafian dan ‘after thought’ (pertimbangan semula), selain gagal disokong dengan bukti yang konkrit.
“Mereka juga didapati mempunyai milikan secara langsung iaitu perbuatan memproses dadah dan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah di dalam bangsal.
“Terdapat juga bukti asid deoksiribonukleik (DNA) setiap tertuduh yang dirampas di tempat kejadian dan keterangan secara keseluruhan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan serta jagaan terhadap bangsal itu,” katanya.
Hakim juga memerintahkan pertuduhan serupa terhadap seorang lagi tertuduh, M. Radakrishnan, 52, dibatalkan kerana lelaki itu telah meninggal dunia semasa dalam tahanan.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama dengan S. Balaguhan, 50, yang masih bebas dengan niat bersama didakwa telah mengedar dadah jenis heroin dengan berat bersih 432.5g dan Monoacetylmorphines seberat 152.6g di Rawang kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pada 26 Nov 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan selain sebanyak 317 eksibit telah dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 15 Nov 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir. – BERNAMA
TAKTIK empat lelaki yang menjadi penjual buah dengan bergerak sekitar Lembah Klang untuk memantau keadaan sebelum mencuri kenderaan akhirnya terbongkar, selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata keempat-empat suspek berusia antara 41 dan 59 tahun, yang dikenali sebagai Geng Harrier Putih itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian curi kenderaan di tepi jalan Bandar Kinrara 3/1, Puchong, Selangor, pada hari sama tangkapan dibuat.
“Siasatan mendapati kesemua suspek berselindung sebalik pekerjaan mereka iaitu menjual buah menggunakan kenderaan seperti kereta dan van sekitar Lembah Klang untuk mencuri kenderaan yang diparkir di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan perumahan.
Anggota polis menunjukkan peralatan untuk mencuri kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Geng ini akan menggunakan kereta jenis Harrier berwarna putih milik seorang daripada suspek untuk melakukan aktiviti curi kenderaan pada waktu pagi dengan menyasarkan pelbagai jenis kereta mengikut permintaan pembeli yang dipercayai dalam kalangan pemilik bengkel kenderaan di luar kawasan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.
Siasatan lanjut mendapati setiap suspek memperoleh RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kereta yang berjaya dicuri.
Anbalagan berkata hasil semakan kesemua suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes curi kenderaan yang direkodkan pada tahun ini di Serdang, Kajang, Brickfields, Cheras dan Subang Jaya dan tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan dadah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (kiri) menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki dalang dalam kes tersebut, dipercayai turut mempunyai kaitan keluarga dengan seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.
Kesemua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada Rabu lepas, selepas disyaki memiliki 33.56 gram dadah jenis syabu dan sepucuk pistol jenis revolver.
Katanya, suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun itu dipercayai mengedar dadah sekitar Serdang dan membeli pistol tersebut daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019 untuk melindungi diri.
Sepucuk pistol yang berjaya dirampas selepas polis menahan empat suspek bersama peluru dan dadah ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Semakan mendapati wanita warga asing itu merupakan teman wanita seorang daripada suspek, tidak memiliki pasport dan telah berada di dalam negara ini sejak tiga tahun lepas.
“Tiga lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine hasil saringan ujian air kencing,” katanya.
Semua suspek direman tujuh hari sehingga 4 Jan 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA
POLIS menahan seorang bekas pemandu e-panggilan bersama sejumlah 170.58 kilogram (kg) dadah bernilai RM6.14 juta di sebuah rumah sekitar Subang Jaya, pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata suspek berusia 49 tahun itu, ditahan pada jam 3 petang di rumah sewa yang dijadikan sebagai tempat simpanan dadah, dan kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu.
“Kita mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan rumah judi dan lelaki itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sasikala Devi berkata dadah yang dirampas itu terdiri daripada 166 bungkus plastik dengan 111 bungkusan berlabel teh cina manakala 55 bungkusan plastik lutsinar, yang kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000.
Sasikala Devi berkata suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan pihaknya masih menyiasat sama ada suspek tersebut terlibat dengan sindiket dadah lain.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan kerja di media sosial yang menawarkan pendapatan lumayan, tetapi proses pengambilan dan urusan kerja dibuat tanpa berjumpa dengan majikan.
Beliau berkata ini kerana terdapat laporan yang diterima pihaknya menunjukkan ia merupakan salah satu strategi untuk merekrut pengedar dadah dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 ke RM8,000 sebulan. – BERNAMA
PELAKSANAAN inisiatif Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSKK) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diharap mampu mengurangkan stigma dan membantu mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah kekal pulih, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata sokongan keluarga terbukti berkesan membantu bekas klien AADK apabila tahap pengekalan kepulihan berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September lepas, selepas komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur diperkenalkan pada 2020.
Peratusan itu lebih baik berbanding hanya 20 peratus pada 2015.
“Menerusi KSKK, klien AADK boleh memilih seorang individu dipercayai sama ada ahli keluarga atau rakan, untuk menyertai instrumen sokongan yang menyediakan ruang berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan mereka tidak kembali menagih atau relaps.
“Selain itu, penyertaan dalam program seperti ini juga memberikan isyarat positif bahawa klien terlibat berazam untuk berubah dan komuniti disarankan untuk menerima kembali mereka yang telah pulih serta mengiktiraf keupayaan mereka untuk berfungsi secara produktif dalam masyarakat,” katanya.
Hamzah berkata demikian semasa berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, turut melibatkan pelancaran KSKK disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.
Mengulas mengenai program keluarga aspirasi kepulihan, Hamzah berkata ia adalah sebahagian daripada komponen dalam model rawatan dan pemulihan digunakan AADK, yang dilaksanakan sejajar dengan perubahan trend penyalahgunaan dadah.
“Perubahan trend daripada dadah jenis organik kepada sintetik menyebabkan AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan tough and rugged kepada pendekatan lebih holistik dan prihatin,” katanya.
Pendekatan itu, menurut Hamzah merangkumi aspek biologi, psikologi sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarga, dikenali sebagai Model i – Pulih AADK. – BERNAMA
SEPASANG suami isteri yang menjadi dalang memproses serta mengedar dadah jenis heroin ditahan polis dalam dua serbuan di Gelugor dan Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Selasa lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut membongkar makmal memproses heroin yang didalangi pasangan suami isteri berkenaan di sebuah rumah kampung yang disewa suspek di Kampung Bukit, Bayan Lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu polis turut merampas heroin seberat 4,530 gram; pil yaba (309.54 gram); kafein (14,880 gram) dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM81,330.
Menurut beliau, pasangan suami isteri warga tempatan dan warga asing berusia 43 dan 30 tahun itu di tepi jalan di Gelugor pukul 8.30 malam.
Ketika ditahan katanya, polis menjumpai empat peket plastik berisi dadah seberat 1,810 gram bernilai RM24,250 bersama suspek.
“Hasil soal siasat kemudiannya membongkar makmal memproses dadah di rumah yang disewa suspek yang mana pelbagai jenis dadah, bahan kimia dan peralatan untuk menghasilkan heroin dijumpai di rumah berkenaan.
“Makmal itu sudah beroperasi sejak Januari lalu dan suspem juga disyaki menambah pil yaba di dalam heroin yang diproses ini untuk meningkatkan kekuatan heroin yang dihasilkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.
Tambahnya, siasatan mendapati sindiket itu memasarkan heroin yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat bagaimana mereka boleh menghasilkan dadah tersebut.
Ujar beliau, ujian awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau manakala isterinya negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Kedua-dua tangkapan ditahan reman enam hari dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada formula dadah serta bahan mentah bagi menghasilkan heroin itu diperoleh daripada sindiket lain,” katanya.
Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita sebuah kenderaan menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM108,330.
PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengemukakan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.
Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat bahawa pihaknya memfailkan representasi tersebut pada 26 Sept lepas.
“Saya memohon maaf kerana representasi tersebut diserahkan sedikit lambat iaitu pada 26 Sept 2022. Ini memandangkan beberapa dokumen perubatan penting yang kami terpaksa pohon baharu diperoleh dalam dua minggu lepas.
“Dokumen-dokumen ini (perubatan) kami masukkan di dalam representasi yang agak komprehensif agar pihak pendakwaan mengkaji pertuduhan tersebut,” kata Ariff Azami pada pengurusan kes hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha berkata pihak pendakwaan telah menerima representasi itu dan masih dalam pertimbangan.
Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk pihak pendakwaan memaklumkan keputusan representasi.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.
Pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.
Pertuduhan memiliki dadah adalah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
ANAK bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam hari ini kekal bebas atas tuduhan penyalahgunaan dadah, tiga tahun lepas.
Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Ahmad Saiful Islam, 34.
“Mahkamah telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang kerana membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.
“Mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan dan mahkamah ini mendapati tiada keraguan terhadap keputusan hakim itu yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful Islam.
“Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.
Pada 27 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad Saiful Islam atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata pengambilan hanya satu botol air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.
Beliau berkata mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.
Sebelum ini, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai manakala Ahmad Saiful Islam diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.- BERNAMA