PELAKSANAAN inisiatif Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan  (KSKK) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diharap mampu mengurangkan stigma dan membantu mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah kekal pulih, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Beliau berkata sokongan keluarga terbukti berkesan membantu bekas klien AADK apabila tahap pengekalan kepulihan berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September lepas, selepas komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur diperkenalkan pada 2020. 

Peratusan itu lebih baik berbanding hanya 20 peratus pada 2015. 

“Menerusi KSKK, klien AADK boleh memilih seorang individu dipercayai sama ada ahli keluarga atau rakan, untuk menyertai instrumen sokongan yang menyediakan ruang berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan mereka tidak kembali menagih atau relaps. 

“Selain itu, penyertaan dalam program seperti ini juga memberikan isyarat positif bahawa klien terlibat berazam untuk berubah dan komuniti disarankan untuk menerima kembali mereka yang telah pulih serta mengiktiraf keupayaan mereka untuk berfungsi secara produktif dalam masyarakat,” katanya. 

Hamzah berkata demikian semasa berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, turut melibatkan pelancaran KSKK disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.  

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan  Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon. 

Mengulas mengenai program keluarga aspirasi kepulihan, Hamzah berkata ia adalah sebahagian daripada komponen dalam model rawatan dan pemulihan digunakan AADK, yang dilaksanakan sejajar dengan perubahan trend penyalahgunaan dadah. 

“Perubahan trend daripada dadah jenis organik kepada sintetik menyebabkan AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan tough and rugged kepada pendekatan lebih holistik dan prihatin,” katanya. 

Pendekatan itu, menurut Hamzah merangkumi aspek biologi, psikologi sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarga, dikenali sebagai Model i – Pulih AADK. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here