Tag: bomba

  • [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    DERETAN sembilan premis rumah sewa satu tingkat musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, di Dengkil malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam dan anggota tiba di lokasi pada 10 malam dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.

    “Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    https://www.tiktok.com/@rosenieja90/video/7102798888322485531?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=rumah%20sewa%20jenderam%20hilir&t=1653797169712

    Difahamkan, seramai 25 individu tinggal di rumah sewa berkenaan iaitu 20 dewasa dan lima kanak-kanak termasuk warganegara Indonesia dan Pakistan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Kaki budak 11 tahun tertusuk tongkat basikal

    [VIDEO] Kaki budak 11 tahun tertusuk tongkat basikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak lelaki cedera apabila tongkat sebuah basikal, tertusuk ke kakinya di Taman Mawar, Alor Setar pagi tadi.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.54 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati kaki kanak-kanak tersebut yang berusia 11 tahun, tertusuk tongkat basikal yang dibuat daripada besi.

    “Pihak bomba kemudian memotong tongkat basikal itu menggunakan peralatan khas sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya hari ini.

    Sementara itu menerusi gambar dan klip video yang tersebar di media sosial, tongkat besi berkenaan dilihat masih berada di kaki kanak-kanak itu semasa dibawa ke hospital.

  • Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    PETUGAS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menyelamatkan kira-kira 80 pengunjung Air Terjun Lama Tiga Budaya, Asahan selepas terperangkap akibat fenomena kepala air hari ini berikutan hujan lebat.

    Komander Operasi Mohd Rizuan Suliman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengunjung pada pukul 1 tengah hari tadi sebelum tiba ke tempat kejadian 27 minit kemudian bersama sebuah jentera dan empat anggota.

    “Setakat ini, 60 pengunjung berjaya dibawa ke tempat selamat manakala 20 pengunjung lagi masih berada di kawasan air terjun berikutan mahu meneruskan aktiviti berkhemah di tempat tersebut.

    “Namun anggota bomba dan polis yang berada di lokasi menasihatkan mereka untuk menangguhkan aktiviti tersebut sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, kesemua mangsa diselamatkan dengan menyeberang kawasan sungai yang cetek dengan bantuan anggota bomba dan tiada pengunjung yang cedera dalam kejadian kepala air terbabit. – BERNAMA

  • Pemandu lori lari lepas langgar dua kenderaan lain

    Pemandu lori lari lepas langgar dua kenderaan lain

    LIMA individu termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.55 malam dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dengan kekuatan enam pegawai serta anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

    MPV Nissan Grand Livina yang dinaiki tujuh warga Bangladesh mengalami kerosakan teruk selepas dilanggar treler di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang malam tadi. (Gambar: Ihsan JBPM)

    Beliau berkata, saksi memaklumkan insiden tersebut membabitkan tujuh kenderaan namun apabila pihaknya tiba di tempat kejadian, hanya tiga kenderaan berada di lokasi iaitu lori yang melanggar kereta Perodua Axia dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki tujuh warga Bangladesh.

    “Lima mangsa yang cedera ringan masing-masing tiga mangsa menaiki kereta iaitu lelaki berusia 42 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 13 dan 10 tahun manakala dua lagi mangsa menaiki MPV iaitu wanita berusia 59 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian. (Gambar: Ihsan JBPM)

    Beliau berkata, kesemua mangsa terbabit dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dipercayai menghilangkan diri dari lokasi kejadian.

    Sementara itu, polis menyatakan, masalah brek dialami sebuah lori bermuatan getah beku menjadi punca kenderaan itu terbabas sebelum merempuh sembilan kenderaan lain dalam kemalangan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang di sini, malam tadi.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, DSP Ahmad Izuddin Mohd Juhari berkata, kemalangan kira-kira 11.44 malam itu menyebabkan tiga individu cedera.

    Beliau berkata, mereka yang cedera terdiri daripada dua warga Bangladesh iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia 10 tahun.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori dari arah Slim River, Perak menghala Tampin, Negeri Sembilan itu terbabas dan merempuh sembilan kenderaan yang berhenti di lorong tengah serta paling kanan kerana terdapat kerja-kerja pembinaan jalan.

    “Dua kanak-kanak yang tersepit cedera di kepala dan peha serta diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya lalu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Izuddin berkata, pemandu lori berusia 54 tahun itu memberikan kerjasama yang baik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    SEORANG remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam insiden kebakaran sebuah bilik di rumahnya di tingkat lapan Pangsapuri Desa Bayan, Bayan Lepas dekat George Town hari ini.

    Muhammad Nur Iqmal Aiman Mohd Shakrisham, 18, ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan 80 peratus bahagian belakang badannya melecur.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi dan jentera pertama dari Bayan Baru tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah di tingkat lapan berlaku kebakaran dan kediaman itu dalam keadaan berkunci, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah bagi menjalankan operasi pemadaman di situ.

    “Sebaik pintu berjaya dipecahkan, kami mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik berkeluasan 9.3 meter persegi dan selepas operasi pemadaman, kami menemukan seorang mangsa lelaki dalam keadaan tertiarap di bucu bilik tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia selepas dipercayai lemas akibat asap kebakaran itu dan berdasarkan siasatan, mangsa adalah seorang yang hiperaktif.

    “Kami dimaklumkan jika bapanya keluar ke tempat kerja, mangsa akan ditinggalkan sendirian dalam bilik tersebut dan mereka memang tinggal berdua sahaja di rumah itu… seorang lagi adik perempuan si mati tidak tinggal bersama,” katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Bapa mangsa, Mohd Shakrisham Mohamad, 40-an, pula berkata dia masih terkejut dengan insiden yang telah meragut nyawa anaknya itu.

    “Saya pergi kerja pada 6.40 pagi dan tutup pintu seperti biasa… ketika sedang bekerja, ada orang beritahu rumah terbakar dan saya terus pergi lihat, tengok-tengok itu rumah saya dan dimaklumkan anak saya turut terlibat,” katanya sambil menahan sebak.

    Pekerja kedai runcit itu yang kematian isteri pada 9 Mac lepas akibat kanser juga berkata sebelum keluar bekerja, dia memeluk serta meminta maaf kepada anaknya dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Memang itu yang saya lakukan setiap hari dan dia juga sebelum tidur setiap malam peluk serta minta maaf dengan saya, dia juga cakap sayangkan saya,” katanya. – BERNAMA

  • Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    SEORANG pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pukul 6.14 pagi daripada orang awam yang melaporkan kemalangan di susur keluar klia2 membabitkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada 6.24 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan pukul 6.50 pagi.

    “Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan menyebabkan pemandu teksi jenis Toyota Innova berumur 38 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian…seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • 8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

    8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

    LAPAN unit rumah kedai dua tingkat yang menempatkan bengkel kereta, bengkel kimpalan, unit kediaman serta ruang ternakan burung walit, musnah dalam kebakaran di Jalan Industri di Sarikei semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, tindakan pantas pihak bomba membolehkan empat unit rumah kedai yang terletak bersebelahan berjaya diselamatkan dalam insiden pada kira-kira pukul 7 malam itu.

    Beliau berkata, api marak dengan pantas berikutan dinding pemisah ruang dan lantai bangunan rumah kedai itu diperbuat daripada kayu, selain terdapat pelbagai bahan mudah terbakar disimpan di bengkel kereta berkenaan.

    “Satu pasukan dari BBP Sarikei dan satu dari BBP Bintangor telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja pihak kami menerima panggilan pada pukul 7.31 malam. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.33 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 2.48 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, sebuah lori skylift milik seorang pengusaha bengkel berdekatan turut sama membantu dalam usaha pemadaman api bagi menghalang kebakaran itu merebak.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Asrama sekolah agama didiami 43 pelajar terbakar

    [VIDEO] Asrama sekolah agama didiami 43 pelajar terbakar

    SEBUAH asrama Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin Sungai Berteh di Klang terbakar pada pukul 9.30 malam tadi.

    Namun kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kehilangan jiwa kerana semua 43 penghuninya menunaikan solat tarawih.

    Sinar Harian melaporkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 29 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang dikejarkan ke lokasi kejadian

    “Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

    “Operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.

    Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.09 malam dan tidak membabitkan sebarang mangsa.

    “Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

  • Pekerja balak warga Indonesia amuk bakar kereta peronda polis

    Pekerja balak warga Indonesia amuk bakar kereta peronda polis

    SEORANG pekerja balak warga Indonesia dikatakan secara tiba-tiba mengamuk dan membakar sebuah kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Kampung Silicon, Nenasi, Pekan, malam tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, panggilan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 11.47 malam.

    Menurut beliau, sebaik sahaja menerima panggilan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, Pekan bersama sebuah jentera terus bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan, kebakaran dipercayai dilakukan seorang pekerja ladang yang mengamuk apabila sengaja membakar kereta peronda polis tersebut.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita tidak dapat melakukan operasi pemadaman serta-merta kerana faktor keselamatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Menurut Ismail, atas arahan Ketua Balai Polis Nenasi, anggota bomba akhirnya dibenarkan menjalankan operasi pemadaman setelah keadaan didapati selamat.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemusnahan akibat kebakaran adalah 100 peratus.

    Ujarnya, pasukan bomba meminta bantuan Unit K9 untuk membantu siasatan kebakaran.

    Sementara itu memetik laporan Bernama,

    Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam apabila pihaknya menerima maklumat daripada penjaga tanah matau balak yang mengatakan terdapat seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi.

    Beliau berkata, tiga anggota polis ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta peronda berkenaan dan sejurus tiba suspek berada seorang diri di kawasan rumah kongsi tersebut.

    “Semasa pemeriksaan dilakukan suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

    “Seorang anggota yang masih berada di dalam kenderaan bertindak keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri manakala suspek terus lari ke dalam kawasan hutan berhampiran dan sehingga kini masih belum dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, dua anggotanya hanya hanya mengalami kecederaan ringan akibat bergelut dan kini Op Tutup dilaksanakan untuk mengesan suspek di sekitar lokasi kejadian.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan terkini, pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis terbabit telah ditahan polis.

    Mohd Zaidi berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan berhampiran lokasi kejadian pada 4.20 petang tadi dan polis turut merampas sebatang tukul dan sebatang kayu daripada suspek.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk pemohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Pusat karaoke terbakar di bulan Ramadan, tiga maut

    Pusat karaoke terbakar di bulan Ramadan, tiga maut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI dua lelaki dan seorang wanita ditemukan maut akibat kebakaran yang berlaku di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong dekat Alor Setar, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Mak Barry, 30, Kim Mei Ki, 31 dan Jeffry Tan Wui, 30.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syufaat Kamaron, ketika kejadian premis itu tidak beroperasi namun ketiga-tiga mangsa yang merupakan pelanggan pusat hiburan berkenaan, dikatakan bermalam di situ.

    “Kami dimaklumkan terdapat 11 individu ketika kejadian itu berlaku dengan lapan daripadanya sempat menyelamatkan diri.

    “Mayat ketiga-tiga mangsa tersebut ditemui dalam dua bilik ‘VVIP’ di tingkat bawah premis tersebut,” katanya.

    pusat karaoke
    Anggota bomba cuba masuk ke dalam pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, Kedah yang terbakar dan dipenuhi asap tebal bagi mencari mangsa.

    Beliau menambah, pihak bomba berdepan kesukaran untuk mencari mangsa berikutan asap yang tebal selain terdapat terlalu banyak bilik dalam pusat karaoke itu.

    Syufaat berkata setakat ini pihak polis dan pemilik mengesahkan tiada mangsa lain yang berada di dalam premis dan kerja-kerja akhir sedang dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang dibimbangi akan menyebabkan berlaku kebakaran lagi.

    “Kerja-kerja untuk mengeluarkan asap dari premis berkenaan sedang dilakukan dan pasukan forensik kebakaran bomba juga telah masuk untuk menjalankan siasatan.

    “Mayat pertama hanya dapat dikeluarkan pada pukul 12.39 tengah hari manakala mangsa kedua dan ketiga ditemui pada pukul 12.58 tengah hari dan 1.13 petang.

    “Punca kejadian dan jumlah kerugian setakat ini masih disiasat,” katanya lagi.