Tag: Bersatu

  • Dakwaan 1,000 ahli Bersatu Perlis keluar parti cuma propaganda

    Dakwaan 1,000 ahli Bersatu Perlis keluar parti cuma propaganda

    BERSATU Perlis masih belum menerima surat rasmi daripada mana-mana ahlinya yang mendakwa telah keluar dari parti tersebut sebelum ini.

    Sehubungan itu, Ketuanya, Abu Bakar Hamzah menyifatkan dakwaan kononnya 1,000 ahli Bersatu Perlis keluar parti cuma satu propaganda.

    “Bersatu bahagian Kangar masih dipertahankan. Dakwaan 1,000 ahli keluar parti adalah propaganda.

    “Saya belum terima satu surat rasmi mengatakan individu itu letak jawatan.

    “Sekadar umum tetapi tidak sampai sebarang surat yang mengatakan mereka isytihar keluar parti,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Beliau mengulas dakwaan Bersatu Bahagian Kangar lumpuh selepas hampir semua ahli jawatankuasa serta ketua di lapan cawangannya meletak jawatan, seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

    Sementara itu, Abu Bakar yakin 3,000 ahli Bersatu Perlis yang ada masih setia dan semua 36 cawangan parti itu masih aktif.

    Menurut beliau, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) akan menerajui kerajaan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Dengan bantuan PAS dan (parti komponen) PN (boleh tawan Perlis). Apa yang penting ahli Bersatu sedar ini parti baru yakin mempunyai jentera yang mampu memberi satu kejutan pada PRU-15,” katanya.

    Abu Bakar berkata, buat masa ini di Perlis, PAS memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya memerlukan tambahan enam kerusi lagi untuk menguasai Perlis.

    “Kalau ada lapan kerusi boleh kuasai kerajaan negeri,” jelasnya.

  • UMNO yang kemaruk kuasa mahu jawatan TPM

    UMNO yang kemaruk kuasa mahu jawatan TPM

    UMNO yang sebenarnya kemaruk kuasa dan suka mengugut apabila menekan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada pemimpin mereka ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengingatkan perkara tersebut kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii yang disifatkannya sebagai ‘lupa sejarah’.

    “Mungkin beliau lupa sejak Oktober 2020 ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, banyak laporan berita mengenai tuntutan pihak UMNO berkenaan jawatan timbalan perdana menteri sehingga turut dibincangkan mesyuarat badan tertinggi parti tersebut,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Razlan yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak melayan sebarang ugutan mahupun desakan mana-mana pihak yang dilihat cuba mengganggu gugat perjalanan pentadbirannya.

    Muhammad Faiz menambah, sejarah membuktikan UMNO ketika itu bukan saja mengugut Muhyiddin malah menarik sokongan di saat negara dalam pemulihan pasca-Covid-19 demi menjatuhkan perdana menteri kelapan itu.

    “Antara alasan yang diberikan oleh beberapa pemimpin kanan UMNO sehingga kini ialah kononnya Umno perlu berkuasa mutlak dan menjadi ketua dalam kerajaan Malaysia.

    “Apakah itu bukan kemaruk jawatan dan kuasa?” soalnya.

    Beliau memberitahu, UMNO sangat menghormati hak prerogatif perdana menteri, namun sebagai kerajaan yang dibentuk bersama, rundingan dengan ketua-ketua parti perlu dibuat dalam menentukan kedudukan menteri.

    Muhammad Faiz berkata, ini termasuk isu Datuk Zuraida Kamaruddin selepas Ahli Parlimen Ampang itu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    “Tiada siapa sebenarnya dari Bersatu yang mengugut, memaksa atau mahu mengajar perdana menteri berkenaan hal ehwal barisan Jemaah Menterinya.

    “Namun dalam situasi kerajaan yang dibentuk secara bersama dan musyawarah, adalah suatu kelaziman untuk seseorang Perdana Menteri berunding dengan ketua-ketua parti yang membentuk kerajaannya bagi mengekalkan keharmonian dan kerjasama.

    “Apa yang disuarakan di media dari pihak kami ialah sekadar permohonan agar ia dipertimbangkan oleh Perdana Menteri,” jelasnya.

    Menurut beliau, dalam kes Zuraida, Perdana Menteri wajar berunding dengan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kerana ia melibatkan kuota kerusi menteri dari parti itu yang telah ‘dikhianati’.

    “Kuota itu pula adalah hasil perjanjian bersama ketika membentuk kerajaan persekutuan dari Perikatan Nasional atau yang dipanggil kerajaan Keluarga Malaysia pada hari ini.

    “Parti PBM yang disertai Zuraida itu tidak tergolong dalam kelompok parti yang membentuk kerajaan sekarang,” katanya.

    Malah, kata Muhammad Faiz, PBM juga tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan kerajaan.

  • Pas tidak putus asa ajak UMNO, Bersatu, parti politik lain dalam penyatuan ummah

    Pas tidak putus asa ajak UMNO, Bersatu, parti politik lain dalam penyatuan ummah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAS tidak akan berputus asa untuk terus mengajak UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam penyatuan umah dan menolak idea khemah besar untuk bersama-sama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti itu mahu parti-parti dari Sabah dan Sarawak turut sama dalam penyatuan umah secara menyeluruh.

    Begitu juga katanya, usaha tersebut turut mahu melibatkan rakan-rakan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam perjuangan parti mereka.

    “Penyatuan umah yang menyeluruh di mana semua pihak saling menghormati dan bertoleransi, sama-sama menjunjung perlembagaan negara dan menghormati status quo.

    “Pas melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) terus berusaha dan menyeru ke arah penyatuan umah yang menyeluruh. Ini penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, fokus parti itu ketika ini adalah penyatuan umah seperti dinyatakan Pas Pusat yang bertegas menolak idea gabungan khemah besar.

    “Pas menolak khemah besar kerana kita tidak lupa pengalaman berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara.

    “Sehubungan itu, Pas Johor teguh bersama ketetapan Pas Pusat menolak idea khemah besar dan memberi fokus kepada penyatuan umah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

  • Bersatu Bahagian Kangar tidak lumpuh – Abu Bakar

    Bersatu Bahagian Kangar tidak lumpuh – Abu Bakar

    BADAN Pimpinan Negeri BERSATU Perlis menafikan parti itu kini bermasalah dengan ramai pemimpin dan ahlinya didakwa meninggalkan parti selepas hilang kepercayaan kepada barisan kepemimpinan negeri.

    Ketuanya, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan ahli BERSATU bahagian Kangar dan Arau keluar parti seperti didakwa dalam laporan media hanya membabitkan dua daripada tiga bahagian di negeri itu dan jumlah yang meninggalkan parti itu bukan seperti yang dilaporkan.

    Justeru, beliau yang juga Ketua Bahagian Kangar menafikan BERSATU bahagian itu kini lumpuh selepas 1,000 ahli dilaporkan meninggalkan parti itu.

    “Selepas kita teliti semula, tidak sampai 50 ahli bahagian Kangar dan Arau yang keluar parti. Di bahagian Kangar hanya kira-kira 20 ahli keluar parti termasuk Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kangar, Shaharani Husin dan bakinya dari bahagian Arau.

    “Ketua Srikandi Bahagian Kangar, Normi Aziz masih bersama kita dan tidak ada yang menjadi pemangku jawatannya seperti dilaporkan. Ketua Armada Kangar (Hafis Yahya) juga masih bersama kita dan tidak meletakkan jawatan. Jadi dakwaan kata BERSATU Kangar lumpuh itu tidak benar kerana ketika ini hanya membabitkan tiga cabang saja di bahagian itu,” katanya menurut laporan BH Online.

    Beliau mengulas laporan media yang menyatakan BERSATU Bahagian Kangar yang didakwa lumpuh selepas hampir semua ahli jawatan kuasa serta ketua di lapan cawangan di sini, meletak jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

    Lebih parah, hampir 1,000 ahli di bahagian berkenaan dikatakan turut mengikut jejak langkah sama selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah.

    Naib Ketua BERSATU Bahagian Arau, Sharif Abdul Razak turut mengumumkan peletakan jawatannya.

    Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, tindakan ahli keluar parti adalah perkara biasa yang berlaku membabitkan semua parti termasuk BERSATU dan perkara itu tidak menjejaskan parti.

    Setiap hari juga, katanya, BERSATU Perlis menerima banyak permohonan masuk dan kini sedang giat menambahkan jumlah ahli serta menyusun semula penubuhan lebih banyak cawangan.

    “Mana-mana parti pun akan ada masalah. Saya akui sebelum ini wujud masalah di cawangan dan kita sudah pun memperbaikinya dan merapatkan semua jentera parti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat,” katanya.

  • Apa yang orang bimbang sangat dengan Bersatu? – Muhyiddin

    Apa yang orang bimbang sangat dengan Bersatu? – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan laporan tidak berasas oleh sebuah portal kononnya dua pemimpin Bersatu iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon akan meninggalkan parti itu.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu tidak dibincangkan langsung ketika ketiga-tiga mereka bertemu pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Bersatu baru-baru ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga hairan mengapa pihak tertentu sengaja menimbulkan spekulasi terhadap ‘parti yang kecil seperti Bersatu’.

    “Saya rapat dengan Datuk Seri Azmin, dia adalah menteri yang datang dari Bersatu dan kita kerap berbincang, bukan soal keluar masuk, soal masa depan.

    “Datuk Rashid Hasnon, saya sambut hari raya hari itu bersama dengan beliau jugak, tak ada cerita pasal soal tu, cerita pasal makan ketupat sahaja.

    “Jadi, maksud saya tadi bahawa mungkin desas-desus itu tidak berasas. Kenapalah orang nak beri tumpuan, sasaran kepada Bersatu?

    “Apa yang bimbang sangat dengan Bersatu ni, parti kecil aje,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi MPN yakin bahawa spekulasi tidak berasas seperti yang dilaporkan oleh portal terbabit tidak akan berlaku.

    Sementara itu, Muhyiddin masih berahsia tentang identiti pemimpin dari Bersatu yang bakal diketengahkan sebagai calon pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

    “Bila sampai masa nanti, saya tengok muka dia baru atau lama,” katanya secara berseloroh.

    Beliau sekali lagi menegaskan bahawa jawatan yang disandang Zuraida itu merupakan kuota milik Bersatu.

    “Zuraida dulu duduk situ sebagai ahli Bersatu. Sejak dulu kuota itu milik Bersatu,” jelasnya.

    Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu dengannya selepas berjumpa dengan Zuraida.

    Kedudukan Zuraida selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjadi tanda tanya selepas beliau keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

  • Bersatu tidak bincang kedudukan Ismail Sabri sebagai PM

    Bersatu tidak bincang kedudukan Ismail Sabri sebagai PM

    TIADA perbincangan berkaitan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu lepas.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu hanya membincangkan mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan masalah dihadapi rakyat pada masa ini.

    “Tidak ada bincang kedudukan Perdana Menteri. Kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan mahu kerajaan yang stabil supaya boleh fokus masalah rakyat dan bukannya masalah peribadi politik

    “Kami berbincang tentang persiapan menghadapi pilihan raya dan masalah kos sara hidup, masalah harga makanan tinggi dan cara mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin di Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta di sini hari ini.

    Menteri Belia dan Sukan itu mengulas laporan media yang memetik sumber mendedahkan antara perkara disebut dalam mesyuarat itu adalah Bersatu boleh menukar kerajaan Ismail Sabri tanpa mengadakan pilihan raya sekiranya mendapat sokongan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, Bersatu sentiasa mengutamakan masalah rakyat dan dakwaan bahawa perkara berkenaan antara cadangan dikemukakan oleh kalangan pemimpin parti adalah tidak benar.

    “Kalau ada ura-ura perbincangan lain itu bohong. Bersatu tidak bincang berkaitan politik. Bersatu bincang masalah rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • Bersatu gesa kerajaan bendung kenaikan harga makanan

    Bersatu gesa kerajaan bendung kenaikan harga makanan

    BERSATU menggesa kerajaan mengambil langkah yang komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian yang mencukupi.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, fokus utama mesti diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Justeru, Bersatu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan oleh parti termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksakan di beberapa kawasan.

    “Program ini mampu menjana pendapatan penduduk di samping menyediakan bekalan sayuran dan makanan dengan harga yang murah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan media tersebut dikeluarkan susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

    Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat MPT Bersatu menetapkan persidangan cawangan parti diadakan mulai 19 Ogos hingga 18 September diikuti persidangan bahagian mulai 8 hingga 9 Oktober, Perhimpunan Agung Sayap pada 10 hingga 11 November dan Perhimpunan Agung Tahunan mulai 12 hingga 13 November.

    “Manakala urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” jelasnya.

    Beliau turut memaklumkan, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai Ahli MPT yang baharu.

  • Semua parti perlu terbuka untuk bincang bersama

    Semua parti perlu terbuka untuk bincang bersama

    SEMUA parti politik perlu bersikap terbuka untuk duduk berbincang bersama-sama bagi menentukan masa depan rakyat, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, perbincangan antara parti politik bukan hanya menumpukan tentang soal untuk menang pilihan raya semata-mata, malah tanggungjawab lebih besar menanti dalam menentukan hala tuju negara.

    “Untuk kepentingan rakyat ini biarlah kita mempunyai sikap yang terbuka. Maknanya apa? Maknanya kita boleh duduk, bincang semata-mata untuk menentukan masa depan rakyat.

    “Jadi selalunya kita membincangkan perkara-perkara seperti ini, bukan hanya nak membincangkan soal pilihan raya, tapi nak membincangkan soal kepentingan bagaimana nak menentukan masa depan negara yang lebih baik, cara mana, strategi bagaimana… apa semua itu harus difikirkan bersama-sama kalau benar-benar mahu berkecimpung dalam politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar ala Madinah peringkat Parlimen Tangga Batu anjuran Bersatu Bahagian Tangga Batu, di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di Melaka malam ini.

    Hadir sama ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Mengulas mengenai idea kerjasama ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Hamzah berkata, semua parti politik mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai perkara tersebut.

    Kata Hamzah, apa yang penting adalah matlamat dan tujuan berpolitik adalah demi kepentingan rakyat. – BERNAMA

  • UMNO yang terlebih dahulu anggap PN sebagai musuh – Faiz

    UMNO yang terlebih dahulu anggap PN sebagai musuh – Faiz

    UMNO yang terlebih dahulu mengisytiharkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu sebagai musuh parti itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Faiz Na’aman.

    Memetik laporan FMT, beliau mempersoalkan apa yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa PN berdendam terhadap BN.

    Dendam apa yang beliau maksudkan itu?

    “Takkanlah beliau jangka Bersatu perlu terus berkhayal untuk bekerjasama dengan BN pula menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedangkan UMNO sendiri yang terang-terang mahu membalas dendam atas kejatuhan mereka ditolak majoriti rakyat pada PRU lalu,” katanya kepada FMT.

    Baru-baru ini, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kesediaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan “sesiapa sahaja” untuk menjatuhkan BN berunsur dendam dan akan menyebabkan parti itu ditolak pengundi.

    Malah, Faiz menambah, UMNO turut memusuhi PAS di Kelantan di mana tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Amanah Kelantan merancang kerjasama untuk menguasai Kelantan selepas PRU-15.

    “Apa tindakan UMNO terhadap Ku Li? Mana Muafakat Nasional mereka?” soalnya.

    Pada masa yang sama, beliau hairan dengan ‘nada’ Annuar terhadap Muhyiddin yang kini berubah berbanding ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet kerajaan PN dahulu.

    “Dahulu, ketika berada di bawah kepimpinan PM8 (Muhyiddin), nadanya defensif berhubung pembentukan kerajaan PN ketika itu. Sekarang dilihat bagaikan mencurah cuka ke dalam luka antara Bersatu dan UMNO,” katanya.

  • PRU-15: Rundingan Bersatu dan parti lain memberangsangkan

    PRU-15: Rundingan Bersatu dan parti lain memberangsangkan

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun rundingan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih di peringkat awal, tetapi ia sudah menunjukkan tanda memberangsangkan.

    “Kita memang sudah mula (berunding), tapi kita tak buat apa-apa pengumuman kerana masih di peringkat awal.

    “Dalam pertemuan awal pun dah ada petanda yang agak memberangsangkan. Mereka (parti lain) ada persediaan untuk berbincang, cuma kita belum selesai lagi cara macam mana nak bentuk dalam satu persefahaman untuk mengelakkan pertembungan.

    “Maka, saya fikir pimpinan parti lain seharusnya boleh berfikiran sama dan saya fikir mereka sudah menunjukkan reaksi agak positif, tapi belum lagi kita perhalusi macam mana cara jalinan kerjasama itu nak dilaksanakan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur.

    Tambah Muhyiddin, rundingan dengan parti lain bertujuan memastikan tiada pertandingan banyak penjuru bagi memudahkan saingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

    “Kita bersedia untuk duduk berbincang dengan mana-mana parti bagi mencari formula, baik parti yang kita sehaluan atau sepemikiran, dengan erti kata lain, kalau tak ada gabungan antara parti, maka undi berpecah.

    “Walaupun BN dan UMNO bukan parti yang berpengaruh seperti dulu, tetapi mereka parti yang mempunyai jumlah undi sedikit lebih daripada kita, sebab itu mereka cipta kejayaan (dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini).

    “Kita perlu mencari formula menang-menang supaya akhirnya dapat berhadapan pilihan raya umum menentang BN satu lawan satu.”

    Ditanya sama ada Bersatu sedia bekerjasama dengan PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan, beliau tidak menjawab secara jelas, sebaliknya memaklumkan pendirian parti itu sejak dulu mengamalkan sikap terbuka untuk menjalin kerjasama dalam apa jua bentuk.

    “Persefahaman ini penting untuk mengelakkan perpecahan undi sebagaimana yang kita saksikan berlaku di PRN Melaka dan Johor.”

    Jumaat lalu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, gabungan itu sedia berunding dengan mana-mana parti untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU15.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub kemudian menggesa kepimpinan PH tidak terus menutup ruang perbincangan dengan semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15, termasuk PAS dan Bersatu.