Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PAS tidak akan berputus asa untuk terus mengajak UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam penyatuan umah dan menolak idea khemah besar untuk bersama-sama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti itu mahu parti-parti dari Sabah dan Sarawak turut sama dalam penyatuan umah secara menyeluruh.

Begitu juga katanya, usaha tersebut turut mahu melibatkan rakan-rakan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam perjuangan parti mereka.

“Penyatuan umah yang menyeluruh di mana semua pihak saling menghormati dan bertoleransi, sama-sama menjunjung perlembagaan negara dan menghormati status quo.

“Pas melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) terus berusaha dan menyeru ke arah penyatuan umah yang menyeluruh. Ini penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, fokus parti itu ketika ini adalah penyatuan umah seperti dinyatakan Pas Pusat yang bertegas menolak idea gabungan khemah besar.

“Pas menolak khemah besar kerana kita tidak lupa pengalaman berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara.

“Sehubungan itu, Pas Johor teguh bersama ketetapan Pas Pusat menolak idea khemah besar dan memberi fokus kepada penyatuan umah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here