Tag: Bersatu

  • 3 ahli Bersatu tanding bebas patut tarik diri

    3 ahli Bersatu tanding bebas patut tarik diri

    prn sarawak

    AHLI Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menasihati tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak agar mengikut jejak langkah Datuk Ali Biju dan menarik diri.

    Beliau berkata, mereka sepatutnya akur dengan persefahaman antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Persefahaman itu menyaksikan Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak.

    “Kita di peringkat parti mendengar nasihat Presiden dan beliau telah mengarahkan semua ahli parti supaya membantu serta menyokong calon-calon Gabungan Parti Sarawak,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Kampung Pichin, Serian hari ini.

    Willie diminta mengulas tindakan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak, Datuk Ali Biju semalam yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sebagai calon Bebas dan berikrar memberi sokongan penuh kepada calon GPS iaitu Friday Belik.

    Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, ahli Bersatu sepatutnya bekerjasama supaya wujud kesinambungan yang akan membawa kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat persekutuan.

    “Dari segi demokrasi, hak mereka untuk bertanding tidak boleh dinafikan kerana mereka boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas… itu hak mereka… tetapi kita perlu melihat dari segi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang lebih luas dalam senario politik pada masa hadapan,” katanya.

    Difahamkan ahli Bersatu lain yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).

    Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA

  • Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Balik Pulau membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan oleh sebuah portal yang disifatkan tidak tepat dan palsu mengenai Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Balik Pulau, Rosmady Mat Abu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, jam 2.00 petang tadi.

    Beliau berkata, kandungan artikel tersebut adalah tidak lain ingin menjatuhkan kredibiliti Menteri Kanan Pendidikan itu selain berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan (KPM) keseluruhannya.

    Katanya artikel yang disiarkan pada 21 Nov lepas bertajuk “Gempar! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid” jelas tidak benar dan berniat jahat serta boleh mencemarkan reputasi KPM.

    “Diharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan serius ke atas pemilik portal terlibat kerana menyebarkan berita palsu dengan harapan tidak menimbulkan kegusaran awam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini. – BERNAMA

  • Bersatu Kelantan hantar 700 petugas kempen PRN Melaka

    Bersatu Kelantan hantar 700 petugas kempen PRN Melaka

    prn melaka

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan akan menghantar 700 petugas bagi membantu kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 Nov ini.

    Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kumpulan itu melibatkan tenaga penceramah yang berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk politik, agama dan ekonomi.

    “Kumpulan ini akan dihantar sebelum hari penamaan calon secara berperingkat dan bergilir-gilir sehingga hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh di Pasir Puteh, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata ahli Bersatu Kelantan yang akan dihantar ke Melaka juga diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sehingga membangkitkan kemarahan penduduk dan menghormati budaya masyarakat setempat.

    “Bersatu Kelantan akan berkampung di dua kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan Bukit Katil sebagaimana ditetapkan oleh Bersatu Melaka,” katanya.

    PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov. – BERNAMA

  • Hishamuddin yakin pertahan kerusi Bersatu di Telok Mas

    Hishamuddin yakin pertahan kerusi Bersatu di Telok Mas

    prn melaka

    KETUA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika beliau dicalonkan.

    Beliau yang terkenal sebagai orang lama di kawasan itu yakin pengundi akan memilihnya mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri itu nanti.

    “Saya bersedia dan yakin memperolehi kemenangan di N23 Telok Mas.

    “Selaku orang lama dan berpengalaman di Kota Melaka serta keluarga besar di Kampung Alai saya yakin pengundi akan memilih saya dan PN.

    “Selaku Ketua Bahagian Kota Melaka yang telah bekerja membawa jenama Abah PN sepanjang PKP masyarakat telah mengenali saya dengan dekat,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

    Kerusi DUN Telok Mas dimenangi oleh calon Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walau bagaimanapun, keahlian Noor Effandi dalam Bersatu digugurkan setelah beliau bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menyatakan sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik Melaka.

    Hishamuddin berharap para pengundi khususnya di DUN Telok Mas dapat menilai sikap ahli politik sama ada mahu memilih wakil rakyat yang tamak merebut kuasa atau yang sentiasa memberi khidmat.

    “Rakyat dapat nilai mereka yang tamak kuasa dan mereka yang sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat, terutamanya menerusi bantuan dan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara dilanda wabak COVID-19.

    “Saya harap dapat memberikan khidmat sepenuhnya kepada rakyat di negeri Melaka, khususnya di DUN Telok Mas. Saya bersedia,” kata Hishamuddin lagi.

  • 5,000 jentera Bersatu Johor sedia gempur PRN Melaka

    5,000 jentera Bersatu Johor sedia gempur PRN Melaka

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor bersedia menghantar lebih 5,000 petugas dan jurukempen ke Melaka sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri itu.

    Maklumat itu dikongsi oleh aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    “Johor sahaja sedia menghantar lebih 5,000 petugas dan jurukempen jika PRN diadakan namun ia berdasarkan kesesuaian dan keputusan akhir pucuk pimpinan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam hantaran mengenai Majlis Penutup Pemukiman Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor yang diadakan selama tiga hari di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson.

    Sesi perkongsian bersama Badrul Hisham Shaharin pada program Pemukiman Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. – Gambar: Facebook Che’Gu Bard

    Dalam majlis ringkas itu juga diikat persetujuan untuk Bersatu Negeri Sembilan dan Bersatu Johor bagi menghantar petugas dan menyelaras tugasan bersama selaku negeri-negeri yang berjiran dengan Melaka.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang turut menghadiri majlis tersebut menerima 213 borang keahlian parti dan borang penubuhan cawangan dalam Bersatu Bahagian Port Dickson daripada Amiruddin Wahab.

    Seperti yang dijelaskan oleh Amiruddin, kesemua ahli baharu Bersatu terbabit bukan terdiri daripada bekas ahli UMNO.

    “Sebaliknya, mereka melihat Bersatu sebagai parti masa depan bagi mengembalikan maruah politik bumiputera di negara ini,” katanya.

    Pemimpin-pemimpin lain yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Bersatu Negeri Sembilan merangkap Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Hanafi Mohd Zain dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Bersatu Johor, Datuk Ariss Samsudin.

    Peserta program pemukiman terdiri daripada ketua dan timbalan ketua Bersatu bahagian dari sekitar Johor.

  • PRN Melaka: Bersatu sedia berunding dengan parti lain

    PRN Melaka: Bersatu sedia berunding dengan parti lain

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa bersedia mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik dalam merangka kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan BH, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, partinya mengamalkan politik mesra dan kasih sayang.

    Menurut beliau, Bersatu juga tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

    “Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

    “Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

    Walau bagaimanapun, difahamkan, pucuk pimpinan UMNO masih belum membincangkan mengenai cadangan kerjasama dengan Bersatu atau mana-mana parti lain.

    Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berpandangan, penolakan kerjasama antara UMNO dan Bersatu itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti itu.

    “Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili.

    “Saya percaya masyarakat, terutamanya orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

    “Sebaliknya mengerat dan merapatkan saf dan pada masa yang sama mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili,” jelasnya.

  • Individu kecam perkauman terhadap Kisona letak jawatan dalam parti

    Individu kecam perkauman terhadap Kisona letak jawatan dalam parti

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa individu yang melemparkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton wanita negara, S Kisona telah meletak jawatan dalam parti.

    “Saya dapat makluman, pemimpin itu telah menghantar surat perletakan jawatannya dalam Bersatu Bahagian Pasir Puteh.

    “Dia juga telah membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Terdahulu, individu berkenaan menerima kritikan selepas melemparkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Kisona ketika pemain itu beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Sementara itu, Pemuda MIC hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

    Setiausahanya, Andrew David berkata kenyataan seumpama itu tidak boleh dimaafkan.

    “Menang dan kalah adalah sebahagian daripada permainan. Kami mengecam tindakan sedemikian perlu dipandang serius.

    “Kami harap seluruh rakyat Malaysia perlu tolak pandangan tidak sihat oleh individu-individu sepertinya,” katanya.

  • Tolak kerjasama Bersatu, UMNO gali lubang kubur sendiri

    Tolak kerjasama Bersatu, UMNO gali lubang kubur sendiri

    ENTAH apa yang bermain dalam fikiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila mengumumkan partinya sudah membuat keputusan muktamad untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Apakah beliau benar-benar yakin bahawa tindakan itu akan menjamin kemenangan UMNO di sebahagian besar kerusi yang bakal ditandinginya?

    Kenyataan populis sebegitu sebenarnya memberi harapan palsu kepada ahli-ahli akar umbi UMNO yang setia dengan parti walaupun selepas mengalami prestasi buruk pada PRU-14.

    Sikap angkuh pucuk pimpinan UMNO boleh menyebabkan ahli-ahli UMNO tidak dapat melihat hakikat sebenar situasi politik negara menjelang PRU-15 yang bakal menyaksikan tentangan yang lebih sengit daripada Pakatan Harapan (PH).

    Memang benar, rejim PH mempunyai rekod prestasi yang sangat corot semasa 22 bulan menguasai pentadbiran negara dahulu, namun dari segi politik mereka masih lagi bersepakat.

    Di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gerak kerja mereka dilihat lebih tersusun dan fokus dalam memanipulasi persepsi rakyat lebih-lebih lagi golongan muda yang mudah terperdaya dengan dakyah palsu pembangkang.

    Melihat kepada keputusan PRU-14, mana-mana gabungan politik yang ingin mematahkan serangan PH dalam kempen PRU-15 mesti bersepakat agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih.

    Dalam hal ini, secara khususnya, UMNO yang di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dan Bersatu atau PAS di bawah tiket PN tidak boleh bertembung sesama sendiri.

    Jika ketiga-tiga parti tidak mahu beralah, sokongan daripada pengundi yang tidak memihak kepada PH akan terpecah dua sekali gus mengurangkan kebarangkalian untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

    Sifir politik pilihan raya ini amat mudah difahami, namun pucuk pimpinan UMNO seolah-olah tidak mengendahkannya.

    Mungkin mereka masih terperangkap dalam mentaliti ‘warlord’ sehingga menyebabkan mereka menganggap apa sahaja keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk parti.

    Malah, pandangan yang berbeza daripada pemimpin-pemimpin parti yang lain serta akar umbi yang mahu melihat parti-parti politik Melayu dan Islam bekerjasama dalam PRU-15 ditolak ke tepi begitu sahaja.

    Ada pemimpin UMNO yang tidak berani menegur keputusan yang di luar semangat Muafakat Nasional (MN) itu semata-mata kerana takut nama mereka tidak akan dicalonkan pada PRU-15.

    Sikap penakut itu mesti diubah kerana tidak guna mereka dapat menjadi calon apabila parti gagal menjadi sebahagian daripada gabungan yang membentuk kerajaan.

    Lebih malang lagi, UMNO terpaksa menjadi pembangkang sekali lagi sekiranya rejim PH berkuasa semula.

    Masih belum terlambat bagi pucuk pimpinan UMNO yang masih berfikiran waras untuk melakukan perubahan drastik dalam usaha membuka semula jalan menuju ke meja rundingan bersama Bersatu dan PN.

    Jika ada pemimpin yang berdepan masalah peribadi termasuk kes mahkamah, nasihatkanlah mereka supaya bercuti agar tumpuan parti untuk menghadapi PRU-15 tidak terganggu.

    Lebih baik kalau pemimpin-pemimpin terbabit secara sukarela berundur secara terhormat bagi membolehkan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa menerajui parti sehingga pemilihan diadakan.

    Pengorbanan mereka itu pasti disanjung tinggi dan dihargai oleh akar umbi UMNO yang semakin bimbang apabila parti membuat keputusan yang diumpamakan seperti menggali lubang kubur sendiri.

  • Erwan mohon sertai UMNO, Bersatu Putrajaya tidak terjejas

    Erwan mohon sertai UMNO, Bersatu Putrajaya tidak terjejas

    TINDAKAN bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir memohon untuk kembali menyertai UMNO tidak akan menjejaskan bahagian itu, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, akar umbi dan kepimpinan Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan susulan tindakan Erwan, jawatan ketua bahagian itu kini dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian, Fathul Azam Hashim.

    “Tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya memohon untuk kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bersatu Putrajaya kerana beliau telah pun meletakkan jawatannya pada 10 Okt tahun lepas setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, media memetik Erwan sebagai berkata beliau telah keluar dari Bersatu dan kembali menyertai UMNO berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

  • PAS mesti jadi ejen penyatuan UMNO, Bersatu

    PAS mesti jadi ejen penyatuan UMNO, Bersatu

    SETAKAT ini masih belum nampak sebarang tanda UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Situasi itu agak membimbangkan bagi orang Melayu dan umat Islam kerana kegagalan kedua-dua parti tersebut bekerjasama bakal memberi ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

    Mereka tidak sanggup lagi hidup menderita seperti yang dialami selama 22 bulan regim PH menguasai negara selepas PRU-14 dahulu.

    Cukuplah sekali sahaja PH memerintah negara dan majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam pasti tidak mahu mimpi ngeri itu berulang.

    Malangnya, pemimpin-pemimpin Melayu seolah-olah masih tidak sedar tentang malapetaka yang bakal menimpa bangsa dan ummah sekiranya mereka masih terus bercakaran sesama sendiri.

    Semua mahu menegakkan benang masing-masing dan tidak mahu beralah dalam usaha mencapai kata sepakat bagi memperkukuhkan strategi melawan PH.

    Mungkin ego yang sangat besar dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan menyebabkan mereka bersikap tidak rasional dan tidak matang.

    Keadaan yang merugikan orang Melayu dan umat Islam ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Api yang mula membakar mesti dipadamkan.

    Dalam hal ini, PAS dilihat boleh memainkan peranan sebagai ejen penyatuan dua parti Melayu yang serumpun tetapi tidak sehaluan itu.

    Komitmen itu telah ditegaskan sebelum ini oleh Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Kesediaan PAS menjadi ‘pendamai’ dalam hubungan UMNO dan Bersatu yang agak dingin itu seharusnya disambut baik oleh kedua-dua parti.

    PAS selama ini telah menunjukkan teladan yang baik dalam menjaga hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

    Dalam banyak perkara, PAS sentiasa bersedia untuk berkompromi dan memilih jalan perdamaian dalam menangani sebarang isu yang timbul bersama sekutu-sekutu politiknya.

    Pendekatan sedemikian tidak menjadikan PAS dianggap lemah, malah sebaliknya menjadikan parti tersebut dilihat semakin matang dalam berpolitik.

    Kematangan yang ditunjukkan oleh PAS itu sepatutnya dicontohi oleh UMNO dan Bersatu dalam mencari titik persamaan yang boleh mempertautkan kedua-dua parti.

    Rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam sentiasa memerhatikan perangai mereka yang tak ubah seperti kanak-kanak berebut gula-gula yang sebenarnya cukup untuk semua orang jika dibahagikan secara adil dan saksama.

    Justeru, PAS perlu meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu bahawa tiada siapa pun yang akan menang dalam pertelagahan yang memperlihatkan sifat kebudak-budakan mereka.

    Jika PAS berjaya menyempurnakan misi mendamaikan UMNO dan Bersatu, insya-Allah gabungan yang menyaksikan kerjasama ampuh ketiga-tiga parti politik boleh menang selesa dalam PRU-15.