Tag: AUKUS

  • AUKUS: Hishammuddin nafi kerajaan ikut arahan China

    AUKUS: Hishammuddin nafi kerajaan ikut arahan China

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan dakwaaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan mengikut arahan China, susulan cadangannya untuk mendapatkan pandangan kuasa besar itu.

    Beliau menegaskan, cadangan tersebut hanya mahu mendapatkan maklum balas dan pandangan republik itu berkenaan pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.

    Jelas Hishammuddin, cadangan itu adalah supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif.

    “Tidak akanlah kementerian disalahkan apabila kita nak jumpa China dapatkan maklum balas dan apa tindakan republik itu terhadap AUKUS.

    “Malaysia baik dengan dua-dua pihak, China atau pun Amerika Syarikat, saling menghormati. Tidak ada yang boleh laga-lagakan hubungan baik negara dengan dua kuasa besar itu.

    Hishammuddin diberi tabik hormat semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    “Namun, kemesraan kita itu tidak bermakna kita akan berkompromi terhadap kedaulatan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    Rabu lalu, Hishammuddin dilaporkan memaklumkan Malaysia akan mendapatkan pandangan China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung isu pembentukan AUKUS.

    Hishammuddin dilaporkan berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke negara republik itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

    Hari ini, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) dilaporkan mendakwa bahawa cadangan Malaysia mendapatkan pandangan China itu, sebagai menerima arahan daripada kuasa besar itu.

    Sementara itu, Hishammuddin turut menafikan dakwaan kerajaan akan memansuhkan ‘MyTravel Pass’ dalam masa terdekat seperti yang dilaporkan sebuah portal berita dan perkara itu tidak benar.

    Jelas beliau, pada waktu ini tumpuan kerajaan adalah untuk kebenaran rentas negeri.

    “Bagaimana kita nak fikirkan rentas negara, apabila rentas negeri pun belum kita putuskan. Namun saya tidak menafikan bahawa perancangan untuk melihat ‘MyTravel Pass’ serta pendekatan lebih baik untuk rentas negara sudah difikirkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Insya-Allah, kita akan bentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Endemik yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan, bagi memperincikan SOP rentas negeri dan negara,” katanya.

    Skim MyTravel Pass diperkenalkan kerajaan ketika negara dilanda wabak COVID-19, yang memerlukan rakyat tempatan membuat permohonan sebelum dibenarkan ke luar negara.

    Skim terbabit dikatakan rumit kerana prosesnya mengambil masa sehingga 14 hari, sebelum permohonan itu dimaklumkan sama ada diluluskan atau ditolak.

  • AUKUS: Negara lain mesti hormat pendirian Malaysia

    AUKUS: Negara lain mesti hormat pendirian Malaysia

    KEMENTERIAN Pertahanan menegaskan bahawa negara-negara lain mesti menghormati pendirian Malaysia dan mematuhi undang-undang negara ini berhubung kapal selam berkuasa nuklear dan kapal perang yang memasuki perairan negara.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penegasan itu adalah selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

    Menurut beliau, sebagai anggota ASEAN, Malaysia akan sentiasa mempertahankan prinsip mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

    Tambah Hishammuddin, Malaysia turut mempertahankan pendiriannya dalam Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    “Pendirian saya tentang Laut China Selatan sentiasa konsisten sejak menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, kita mesti mengelakkan pertembungan luar jangka, salah perhitungan dan insiden yang tidak diingini di laluan laut yang penting ini, dan semua perkara hendaklah diselesaikan secara aman dan konstruktif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan semalam berkata, pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    Hishammuddin berkata, beliau akan menegaskan semula pendirian Malaysia dan menyampaikan pandangan Perdana Menteri kepada Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton melalui panggilan telefon esok.

    “Pada masa yang sama, Malaysia dan Australia akan meneruskan kerjasama pertahanan yang kukuh, terutamanya di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) serta Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada 2022,” jelasnya.

    Beliau menambah, Malaysia dan Australia juga akan bekerjasama melalui Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut disertai UK, New Zealand dan Singapura.

    Menurut Hishammuddin, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah sambutan ulang tahun ke-50 FPDA dan Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 21 Oktober ini.

  • Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    MALAYSIA menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini berkata pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    “Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” menurut kenyataan itu.

    Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Ismail Sabri telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Scott Morrison semalam yang memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala AUKUS, yang bertujuan untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

    Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    Kedua-dua pemimpin, menurut kenyataan itu turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

    “Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

    “Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif,” menurut Pejabat Perdana Menteri.– BERNAMA