Tag: Annuar Musa

  • Teruskan muafakat, tidak perlu berpatah arang – Annuar

    Teruskan muafakat, tidak perlu berpatah arang – Annuar

    KERAJAAN Persekutuan akan terus mendukung semangat muafakat dan kerjasama dalam kalangan parti gabungan yang membentuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata dasar kerjasama rentas sempadan kepartian termasuk dengan pembangkang akan terus dilaksana khasnya bagi perkara berkaitan kepentingan rakyat.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pendekatan seperti tidak menghalang parti-parti gabungan bersaing secara demokratik di peringkat negeri dengan terus memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan.

    “Hak dan kebebasan setiap parti gabungan terus dihormati. Inilah ‘orde baru’ politik masa kini yang lebih matang, lebih luas dan lebih terbuka. Tidak perlu berpatah arang berkerat rotan,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.

    Menerusi catatan di akaun Twitternya pula, Annuar menggesa parti politik Melayu, bumiputera dan Islam terlebih dahulu berusaha memperkukuh muafakat dan kerjasama untuk mampu terus memimpin selari dengan apa yang ditunjukkan dalam sejarah perjuangan Islam.

    “Malah muafakat dengan pihak lain disusuli setelah kita berpadu,” katanya. – BERNAMA

  • UMNO yang rugi kalau tolak politik muafakat

    UMNO yang rugi kalau tolak politik muafakat

    APA jua pendirian yang disuarakan UMNO tidak boleh melihat kepada kepentingan parti sahaja tetapi harus melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang memimpin kerajaan dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

    Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sekiranya kerjasama itu ditolak ia akan merugikan parti.

    “Politik muafakat, perbincangan dan inklusiviti ini perlu diberi perhatian serius oleh UMNO,” katanya kepada media selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun Bersatu.

    Annuar berkata, beliau berpandangan UMNO tidak harus melupakan betapa pentingnya kerjasama dengan banyak pihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Perdana Menteri memerlukan sokongan dan hubungan baik dengan banyak pihak dan tidak seharusnya satu PRN atau Pilihan Raya Kecil boleh menggugat konsep Keluarga Malaysia dan inklusiviti yang dianjurkan beliau,” katanya.

    Annuar berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini akan memutuskan pendirian Ahmad Zahid berhubung PRN Melaka.

    “Apapun saya fikir UMNO harus lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana kenyataan yang dikeluarkan daripada pendapat individu boleh membawa masalah kepada parti.

    “Dalam parti elok amalkan budaya berunding supaya dapat sesuatu keputusan itu berasaskan kepada konsultasi bagi mengelakkan pandangan peribadi kerana ia didorong oleh sentimen tertentu yang merugikan,” katanya. – BERNAMA

  • Tiada syor cukai baharu bidang e-dagang – Annuar

    Tiada syor cukai baharu bidang e-dagang – Annuar

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak bercadang untuk mengesyorkan sebarang bentuk cukai baharu bagi bidang e-dagang, Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian itu mahu memberikan galakan kepada orang ramai menyertai bidang e-dagang.

    “Dasar percukaian di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan biasanya apa-apa dasar berkaitan percukaian akan diumumkan pada sesi belanjawan setiap tahun.

    “Namun begitu, setakat ini tiada sebarang bentuk cukai baharu yang disyorkan kementerian (KKMM) malah kita ingin berikan galakan kepada penyertaan bidang e-dagang ini. Jadi, tiada sebarang bentuk cukai baharu yang ingin dicadangkan kementerian,” katanya pada sesi soal jawab.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator N. Balasubramaniam sekiranya kerajaan bercadang mengenakan cukai kepada mereka yang berniaga secara dalam talian.

    Sementara itu, Annuar berkata, langkah utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kesalinghubungan dapat mencapai 100 peratus untuk rakyat, selain menjaga kualiti kesalinghubungan itu.

    “Banyak tempat ada kemudahan jalur lebar tetapi kualiti rendah, maka program kerajaan sekarang ditumpukan kepada ‘roll out’ program JENDELA (Jalinan Digital Negara) bagi memastikan 98 peratus daripada kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G dan kita berpindah daripada bekalan 3G.

    “Ini program-program yang sedang berjalan dan juga Point of Presence (PoP)…sekolah-sekolah yang mendapat bekalan secara tidak stabil, sekarang ada program fiberization untuk 4,000 sekolah terpilih,” katanya.

    Beliau berkata, terdapat juga program lain yang telah dijalankan bagi membolehkan usaha berkenaan diperluas ke kawasan desa dan luar bandar, antaranya kempen e-dagang untuk perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) yang dilaporkan memberi manfaat kepada 204,262 pesertanya.

    Selain itu, Annuar berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk menggerakkan program penggalakan terhadap penguasaan sistem pembayaran teknologi kewangan (Fintech), e-dagang termasuk aplikasi lain melalui program berterusan dan tersusun selain menambah jumlah pusat digital ekonomi di seluruh negara.

    “Usaha-usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan anak-anak muda kita menguasai bidang-bidang ini (ekonomi e-dagang),” katanya.

    Beliau menjawab soalan asal Balasubramaniam yang ingin tahu usaha kerajaan membentuk ruang ekonomi yang luas dengan melibatkan kerjasama anak muda dalam ekonomi e-dagang secara maya dan digital melalui Fintech secara dalam talian. – BERNAMA

  • KKMM lancar dua pakej akses internet Keluarga Malaysia

    KKMM lancar dua pakej akses internet Keluarga Malaysia

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini melancarkan dua pakej kemudahan akses Internet iaitu Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.

    Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata pakej itu bagi membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses internet serta memiliki peranti pintar mampu milik terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dalam kalangan rakyat negara ini.

    Beliau berkata pakej diskaun itu akan bermula 15 Okt depan, berlangsung selama enam bulan dan tempoh pelanjutan dibincang sebelum dua bulan tamat promosi.

    “Di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ia adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah. Dengan hanya RM10 sebulan (dibayar untuk tiga bulan sebanyak RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga bulan. 

    “Turut diberikan data 1GB (jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta internet asas tanpa had. Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet,” katanya.

    Annuar berkata demikian pada sidang media pengumuman pakej diskaun perkhidmatan telekomunikasi untuk pelajar universiti di sini hari ini.

    Beliau berkata bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data. 

    “Bagi data 20GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video ataupun permainan dalam talian. Ia boleh membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan hiburan. 

    “Pakej ini memudahkan pelanggan remaja dan pelajar, yang kini tidak perlu lagi menambah nilai setiap bulan. Remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar,” katanya.

    Sementara itu, Annuar berkata kerajaan juga sedar tentang keperluan alat peranti pintar oleh setiap keluarga agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

    Beliau berkata melalui Pakej Peranti Keluarga Malaysia, rakyat Malaysia boleh memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma.

    “Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan. Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama,” katanya.

    Annuar turut berharap agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan khidmat internet mereka.

    Beliau berkata masyarakat mahukan kesalinghubungan lebih baik, harga mampu milik dan memastikan penyampaian lebih berkualiti lebih-lebih lagi semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan Internet untuk pelbagai urusan seperti aktiviti pembelajaran, e-dagang dan juga hiburan.

    Kerajaan, katanya bertanggungjawab memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses pada kos yang berpatutan untuk memanfaatkan internet dan beliau telah bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk berbincang mengenai cara-cara membantu rakyat dalam jangka masa pendek.- BERNAMA

  • Percepat proses kelulusan geran, bantuan untuk PKS digital

    Percepat proses kelulusan geran, bantuan untuk PKS digital

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meminta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) supaya menyegerakan proses meluluskan geran dan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digital.

    Annuar berkata, lebih RM40 juta yang diperuntukkan bagi tujuan tersebut perlu diluluskan tahun ini.

    “Saya tekankan supaya setiap permohonan mesti diproses dan dibuat keputusan dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari,” kata Musa menerusi ciapan di Twitter rasminya, hari ini.

    MDEC, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, antara lain merupakan pengurus program untuk Geran Automasi Pintar (SAG), geran sepadan yang bertujuan membantu PKS dalam industri perkhidmatan untuk meningkatkan dan menambah baik perniagaan melalui digitalisasi.

  • Ismail Sabri perlu berani ambil langkah luar biasa

    Ismail Sabri perlu berani ambil langkah luar biasa

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disarankan supaya bertindak berani mengambil langkah-langkah luar biasa bagi menstabilkan politik negara sekali gus memulihkan keyakinan pelabur serta memastikan ekonomi berkembang semula.

    Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara langkah yang boleh diambil oleh pentadbiran Ismail Sabri adalah memudahkan urusan pelaburan dan perniagaan serta memberi insentif yang terbaik kepada sektor perniagaan.

    Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mencadangkan agar pentadbiran Ismail Sabri menghapuskan segala bentuk kerenah birokrasi yang menyulitkan para peniaga, pelabur dan pemaju.

    “Usaha yang khusus bagi membentuk suasana kondusif serta mesra perniagaan perlu diwujudkan.

    “Peluang pekerjaan perlu diwujudkan agar anak muda dapat segera masuk ke sektor produktif.

    “Ruang penglibatan anak muda dan wanita perlu segera diberi keutamaan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Dari segi politik pula, Annuar berkata, satu aspek penting yang perlu dijayakan Ismail Sabri adalah muafakat kerajaan-pembangkang secara formal serta melaksanakan transformasi pentadbiran yang bermakna.

    Beliau percaya Perdana Menteri akan segera menjemput Ketua Pembangkang untuk menyusuri gagasan tersebut.

    “Parti-parti politik pembangkang boleh memulakan budaya yang sihat dan positif dan menukar budaya membangkang dengan cara yang tidak konstruktif.

    “Apapun kata orang, ‘it takes two to tango’. Ini bermakna budaya politik parti pemerintah juga perlu turut berubah,” jelasnya.

  • Perkukuh semula MN, jemput kembali Bersatu

    Perkukuh semula MN, jemput kembali Bersatu

    MUAFAKAT Nasional (MN) yang menyaksikan kerjasama politik antara UMNO dan PAS bakal diperkukuhkan kembali dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Keyakinan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

    Malah, beliau yakin bahawa usaha memperkukuhkan semula MN itu boleh dilakukan dengan menjemput kembali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menambah, masanya sudah tiba untuk tiga parti tersebut memperkukuhkan semula MN serta melibatkan parti-parti lain untuk membentuk satu gabungan inklusif.

    “Saya boleh bagi pandangan peribadi sebab sudah tidak ada jawatan besar dalam parti, tapi pandangan saya sebagai orang lama dalam politik saya rasa ini peluang terbaik untuk perkukuh semula MN secara inklusif.

    “Bila saya kata inklusif ia tak cukup setakat itu, saya terlibat menulis piagam MN dalam itu terkandung hasrat tidak tertunai sebelum ini iaitu membentuk satu muafakat yang meluas mesti merangkumi pelbagai kaum dalam negara.

    “Gunalah peluang ini ke arah politik matang, ambil pengajaran bahawa politik tidak stabil tidak membawa keuntungan kepada sesiapa, semua pihak harus kembali duduk semeja,” katanya.

    Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelepasan perjalanan Sukarelawan Rumah Prihatin untuk penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Merbok dan Jerai.

    Sementara itu, Annuar dalam laman Facebook memberitahu, seramai 30 sukarelawan dan dua buah lori terlibat dalam program penyampaian bantuan tersebut.

    Bantuan berupa pakaian, sejadah, telekung, kain pelekat, baju, bakul makanan dan wang tunai.

  • Annuar calon pemimpin terkanan BN sebagai PM

    Annuar calon pemimpin terkanan BN sebagai PM

    AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan mencalonkan seorang pemimpin terkanan dari Barisan Nasional (BN) sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.

    Walau bagaimanapun, Annuar yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan tidak menyebut nama pemimpin kanan BN tersebut.

    “Saya baru terima surat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan Ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calon Perdana Menteri Kesembilan,untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    “Saya akan tunaikan tanggungjawab saya,setelah saya merujuk kepada pimpinan parti saya,serta kawan kawan dari parti sahabat.

    “Yang pasti, saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti BN, dan mohon agar turut disokong oleh kawan-kawan Ahli Parlimen pelbagai parti yang lain,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Setiausaha Agung BN itu turut menyeru semua pihak agar melupakan perkara yang lalu dan memandang ke hadapan dengan memperkasakan semula perpaduan parti.

    Beliau juga mengajak ke arah usaha memperkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu, bumiputera serta rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

    “Doakan yang terbaik buat Malaysia dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kepada Allah kita berserah. Daulat Tuanku,” jelasnya.

    Semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan surat akuan yang menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya pukul 4 petang, esok.

    Arahan itu terkandung dalam notis daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen hari ini.

    “Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoiti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” katanya.