Category: Umum

  • Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    PELANCONG domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

    Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

    “Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

    Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

    Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

    Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

    Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

    Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu. 

    Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

    Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

    “Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

    Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

    Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.- BERNAMA

  • Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    HANYA 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

    “Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

    “Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

    “Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.- BERNAMA

  • PM galak anak muda terlibat perniagaan digital, ekonomi gig

    PM galak anak muda terlibat perniagaan digital, ekonomi gig

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan dan menggalakkan lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam perniagaan digital dan ekonomi gig.

    Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau berkata perniagaan berkenaan dilihat mampu menjana pendapatan yang baik ketika ini.

    Ismail Sabri berkata demikian susulan sesi diskusinya melalui sidang video bersama pengasas aplikasi Grab iaitu Anthony Tan dan Tan Hooi Ling yang bermula di Segambut.

    “Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan komitmen untuk bantu menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada anak muda, merancakkan lagi sektor ekonomi gig dan membuka platform kepada peniaga kecil di luar bandar,” katanya.

    Menurut Ismail Sabri, aspek-aspek lain seperti kebajikan dan keselamatan rakan penghantar turut dibincangkan dan diberi perhatian supaya menjadi keutamaan.- BERNAMA

  • Tubuh jawatankuasa khas Covid-19 di peringkat negeri-TMJ

    Tubuh jawatankuasa khas Covid-19 di peringkat negeri-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu satu ‘Special Task Force Covid-19’ ditubuhkan di peringkat negeri.

    Tunku Ismail akan mengetuai sendiri jawatankuasa khas tersebut bagi memantau dan menambah baik pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.

    “Jawatankuasa khas ini akan terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), kerajaan negeri, pakar-pakar profesional,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru, hari ini yang turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Menurut Tunku Ismail, penubuhan itu adalah selepas mengadakan pertemuan Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Dr. Dhesi Baha Raja di Royal Polo Club, Johor Bahru, hari ini.

    “Hasil daripada perjumpaan ini, saya telah menitahkan agar ditubuhkan jawatankuasa khas berkenaan,” ujar Tunku Ismail. – SB

  • Sektor keusahawanan PKS tunjang utama pulihkan ekonomi Johor

    Sektor keusahawanan PKS tunjang utama pulihkan ekonomi Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEKTOR keusahawanan bakal menjadi tunjang utama ekonomi sosial rakyat negeri ini dalam meningkatkan semula kesejahteraan Johor pasca pandemik Covid-19.

    Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sehubungan itu pelbagai inisiatif telah dilaksana bagi memastikan aspirasi itu dicapai menerusi Belanjawan Johor 2021.

    Katanya, kerajaan negeri akan terus komited dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu bagi mencapai hasrat berkenaan.

    “Antaranya adalah dalam bentuk bantuan dan latihan keusahawanan untuk dimanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Johor yang merangkumi 10.8 peratus PKS Malaysia, besar jumlahnya.

    “Oleh itu, kerajaan negeri dan agensi dibawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) akan memberi yang terbaik untuk memudah cara dan membantu golongan usahawan PKS ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Johor E-Marketplace 2.0 yang diadakan secara maya, di sini hari ini.

    Hasni berkata, Johor perlu giat membangunkan potensi PKS agar dapat memberi nilai tambah terhadap proses kemajuan dan kemakmuran ekonomi, khususnya kepada usahawan Johor.

    Jabatan, agensi keusahawanan dan perniagaan katanya, perlu meningkatkan kerjasama serta saling berkongsi kepakaran agar pemain industri tidak ketinggalan antara satu sama lain dalam usaha membina kompetensi selari dengan keperluan pasaran semasa.

    “Fungsi dan peranan MPUNJ juga perlu ditambah baik supaya dapat menjadi pemangkin bagi Agenda Transformasi Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor,” ujarnya.

    Tambah beliau, penyediaan platform pemasaran secara digital kepada golongan usahawan merupakan usaha dan pendekatan yang relevan dan sesuai pada masanya.

    “Kesedaran pengguna dan peniaga terhadap perniagaan dalam talian ini nampaknya meningkat begitu drastik lebih-lebih lagi kesan daripada pandemik Covid-19.

    “Untuk terus kekal relevan, pelbagai inisiatif disediakan bagi meningkatkan tahap kebolehtahanan platform ini antaranya pemberian baucar diskaun untuk menarik pengguna berbelanja dengan membeli produk PKS Johor,” katanya.

  • KKM perkenal laman sesawang COVIDNOW kongsi data pandemik-Khairy

    KKM perkenal laman sesawang COVIDNOW kongsi data pandemik-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) laman web baharu yang dikenali sebagai COVIDNOW bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi Covid-19 di negara ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, menerusi laman web berkenaan akan memaparkan data yang lebih mudah difahami serta diakses oleh masyarakat umum.

    “Saya berharap dengan data dan maklumat yang dikongsikan di COVIDNOW, masyarakat mempunyai pemahaman dan kesedaran yang lebih baik berkenaan situasi jangkitan Covid-19 dalam negara.

    “Selain itu, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku (behavioural change) dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus COVID-19,” katanya dalam sidang media Covid-19 di kementeriannya hari ini.

  • Sindiket penipuan telco tumpas- Ayob Khan

    Sindiket penipuan telco tumpas- Ayob Khan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SINDIKET penipuan pembelian pakej telefon bimbit tumpas dengan penahanan 14 individu tempatan di sekitar Iskandar Puteri, menerusi serbuan pada 1 September lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 38 tahun dicekup dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor itu antara pulul 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam.

    Katanya, modus operandi adalah dengan menggunakan nama pemilik akaun keldai bagi mendaftarkan talian syarikat telekomunikasi (telco) yang menawarkan pakej talian beserta telefon bimbit.

    “Sindiket yang beroperasi sejak awal Januari lalu juga menggunakan dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat pengesahan majikan yang mana dikeluarkan oleh sindiket sama dalam mengaburi pihak telco yang disasarkan.

    “Selepas pendaftaran dan identiti pemilik akaun keldai disahkan pihak telco, sindiket akan membuat pembayaran dengan menggunakan kad kredit milik individu lain, seterusnya telefon dan pakej yang didaftarkan diserahkan kepada ahli sindiket.

    “Telco mula menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan selepas usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej ditolak oleh bank,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Ayob Khan berkata, ini adalah pertama kali sindiket penipuan membabitkan pembelian pakej telefon bimbit, hasil siasatan dan semakan dengan telco yang terbabit mengesahkan sudah mengalami kerugian sebanyak RM8.6 juta, selain polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

    Katanya, kesemua suspek sudah direman dan polis sedang mengesan dalang sindiket dikenali Tan Boon Han, 38, dengan alamat terakhirnya di Jalan Tropika Diawan 2, Kampar Perak, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Sebarang maklumat bersabit kes penipuan boleh disalurkan kepada Pegawai Risikan atau Operasi
     Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Johor, Asisten Superintendan Timmy Anak Aheng di talian 019-777 3728.

  • 92 peratus tidak setuju Muhyiddin letak jawatan – Kajian

    92 peratus tidak setuju Muhyiddin letak jawatan – Kajian

    SATU kajian persepsi awam menunjukkan sebanyak 92 peratus responden tidak bersetuju Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri sebagai pilihan bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik dalam negara.

    Sebaliknya, sebahagian besar responden atau 49.3 peratus percaya Pilihan Raya Umum ke-15 patut diadakan, namun setelah pandemik Covid-19 terkawal.

    Kajian yang dilakukan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga mendapati, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu terus memerintah dengan sokongan Pakatan Harapan (PH) berasaskan satu persefahaman yang dipersetujui bersama.

    Hanya 16 peratus responden percaya pilihan raya umum perlu diadakan segera dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagai jalan menyelesaikan politik negara.

    Bertajuk Kajian Persepsi Awam terhadap Pengurusan Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Demokrasi di Malaysia, kajian tersebut dilakukan seluruh negara menggunakan tinjauan bersemuka membabitkan 2,627 responden.

    Hasil kajian pada bulan Mac dan April 2021 itu telah dibentangkan hari ini pada Siri Seminar Webinar IKMAS oleh Profesor Madya, Helen Ting dan Profesor Madya Andrew Kam.

    Sementara itu berhubung isu lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen, kajian itu mendapati majoriti responden setuju ahli Parlimen berkenaan sepatutnya meletak jawatan dan pemilihan semula diadakan.

    Sebanyak 34.5 peratus berpendapat wakil rakyat berkenaan tidak sepatutnya bertukar parti, 14 peratus bersetuju ahli Parlimen ‘lompat parti’ meneruskan tugas, dan lapan peratus berpendapat perbuatan tersebut hak ahli Parlimen berkenaan.

  • Muhyiddin gariskan lima tema utama pulihkan negara

    Muhyiddin gariskan lima tema utama pulihkan negara

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini menggariskan lima tema utama dalam melaksanakan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara mesti memupuk pertumbuhan inklusif untuk menjana pemulihan yang mapan dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap pasca pandemik global.

    ‘’Kita mesti menukar krisis kepada peluang untuk menstruktur dan memperbaharui ekonomi Malaysia untuk menambah baik daya saing di peringkat global,’’ katanya ketika berucapan sempena majlis penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara, di sini.

    Muhyiddin berkata, tema pertama ialah memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik dan bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

    ‘’Kita mesti melihat kepada keadaan emosi individu dan mereka yang secara langsung dijangkiti Covid-19 dan yang menderita kerugian teruk,’’ katanya.

    Tema kedua pula kata beliau, MPN mesti mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang memerlukan perhatian utama dan perlu membantu sektor-sektor itu untuk kembali beroperasi dengan tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam jangka masa pendek dan sederhana.

    ‘’Pada masa yang sama, kita perlu mengenal pasti dan memberi insentif yang sesuai untuk perniagaan yang berpotensi mencatat pertumbuhan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

    ‘’Kita juga mesti memperkukuhkan sektor-sektor strategik utama yang menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global. Ini akan secara langsung meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan dan lebih penting lagi, peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan muda,’’ katanya.

    Membentangkan tema ketiga bekas Perdana Menteri itu berkata,  mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mampan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan.

    Katanya, ia termasuk strategi untuk pembangunan infrastruktur fizikal dan digital selain melonjakkan komitmen terhadap dasar-dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

    ‘’ Ini akan membantu memperkuatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan kepada pelaburan langsung asing dan domestik,’’’ katanya.

    Seterusnya,  kata Muhyiddin , tema keempat ialah memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital.

    ‘’Semua infrastruktur ini perlu sebagai persediaan menghadapi Era Digital dan membantu memudah cara urusan individu dan perniagaan beroperasi semasa pandemik,’’ katanya.

    Berhubung tema kelima, beliau menjelaskan, MPN perlu memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini. ‘’Memandangkan pandemik ini telah memberi kesan yang buruk kepada kehidupan, jaringan keselamatan sosial perlu diperkukuhkan supaya kita dapat terus membina kehidupan, juga mengembalikan nilai dan maruah setiap rakyat Malaysia,’’ tegasnya.

    Muhyiddin menegaskan,  proses untuk pulih adalah perjalanan yang panjang dan mencabar serta masih ada banyak kerja menanti.

    ‘’Oleh itu, saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk bersatu hati dalam perang melawan Covid-19 dan membina semula negara kita yang tercinta. Kita perlu mengetepikan segala perbezaan dan mencari titik persamaan.

    ‘’Kita mesti bersama-sama menyelamatkan nyawa, ekonomi dan negara. Malaysia memerlukan anak watan untuk tampil mengembalikan kegemilangannya,’’ katanya.

    Beliau juga turut menekankan, tidak mahu lagi polemik politik dan perpecahan mengganggu gugat usaha murni kita dalam memerangi pandemik dan membina semula ekonomi.

    ‘’Kita mesti berganding bahu dalam semangat Keluarga Malaysia untuk mencapai matlamat bersama untuk mencapai masa depan yang lebih baik buat Malaysia,’’ katanya.

    Sambilk menjelaskan, tema-tema sudah tentu tidak begitu terperinci, Muhyiddin, menjemput para pemimpin industri, penggerak masyarakat sivil, ahli politik, pemimpin masyarakat dan golongan muda untuk berkongsi idea, supaya sama-sama dapat merangka pemulihan yang sejajar dengan kepentingan negara.

    ‘’Di samping itu, cadangan dan input dasar pemulihan yang diterima melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh akan juga dimasukkan ke dalam dasar-dasar pembangunan utama negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,’’ katanya.

  • KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan selain Baricitinib untuk merawat pesakit COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Hishamshah Mohd Ibrahim.

    Bercakap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemulihan Negara hari ini, Dr Hishamshah berkata ubat-ubatan itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan ubat yang kini digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dalam kategori kritikal.

    “Ia menjadi satu cabaran pada kita. Bagaimanapun Malaysia telah secara aktif terlibat dalam banyak ujian klinikal untuk rawatan COVID-19 dan telah mengambil bahagian dalam Ujian Solidariti untuk Rawatan COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Kita juga sedang menggunakan Baricitinib, sejenis ubat baharu dan kita sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan lain yang mungkin akan mendapat kebenaran penggunaan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dalam masa terdekat, serta kita sedang berbincang mengenai perkara itu dengan pihak pengeluar,” katanya pada sidang yang diadakan secara maya itu, anjuran Institut Strategik Bagi Asia Pasifik KSI.

    Sementara itu, Dr Hishamshah berkata KKM sedang meneliti kaedah untuk memudahkan golongan B40 mendapatkan kit ujian pantas antigen COVID-19.

    Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus  menyemak semula harga kit ujian kendiri itu bagi menjadikan kit tersebut mampu dimiliki semua pihak.

    Minggu lepas kerajaan menetapkan harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 pada RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 setiap set, berkuat kuasa 5 Sept lepas.- BERNAMA