Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SINDIKET penipuan pembelian pakej telefon bimbit tumpas dengan penahanan 14 individu tempatan di sekitar Iskandar Puteri, menerusi serbuan pada 1 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 38 tahun dicekup dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor itu antara pulul 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam.

Katanya, modus operandi adalah dengan menggunakan nama pemilik akaun keldai bagi mendaftarkan talian syarikat telekomunikasi (telco) yang menawarkan pakej talian beserta telefon bimbit.

“Sindiket yang beroperasi sejak awal Januari lalu juga menggunakan dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat pengesahan majikan yang mana dikeluarkan oleh sindiket sama dalam mengaburi pihak telco yang disasarkan.

“Selepas pendaftaran dan identiti pemilik akaun keldai disahkan pihak telco, sindiket akan membuat pembayaran dengan menggunakan kad kredit milik individu lain, seterusnya telefon dan pakej yang didaftarkan diserahkan kepada ahli sindiket.

“Telco mula menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan selepas usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej ditolak oleh bank,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Ayob Khan berkata, ini adalah pertama kali sindiket penipuan membabitkan pembelian pakej telefon bimbit, hasil siasatan dan semakan dengan telco yang terbabit mengesahkan sudah mengalami kerugian sebanyak RM8.6 juta, selain polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

Katanya, kesemua suspek sudah direman dan polis sedang mengesan dalang sindiket dikenali Tan Boon Han, 38, dengan alamat terakhirnya di Jalan Tropika Diawan 2, Kampar Perak, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat bersabit kes penipuan boleh disalurkan kepada Pegawai Risikan atau Operasi
 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Johor, Asisten Superintendan Timmy Anak Aheng di talian 019-777 3728.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here