Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEKTOR keusahawanan bakal menjadi tunjang utama ekonomi sosial rakyat negeri ini dalam meningkatkan semula kesejahteraan Johor pasca pandemik Covid-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sehubungan itu pelbagai inisiatif telah dilaksana bagi memastikan aspirasi itu dicapai menerusi Belanjawan Johor 2021.
Katanya, kerajaan negeri akan terus komited dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu bagi mencapai hasrat berkenaan.
“Antaranya adalah dalam bentuk bantuan dan latihan keusahawanan untuk dimanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Johor yang merangkumi 10.8 peratus PKS Malaysia, besar jumlahnya.
“Oleh itu, kerajaan negeri dan agensi dibawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) akan memberi yang terbaik untuk memudah cara dan membantu golongan usahawan PKS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Johor E-Marketplace 2.0 yang diadakan secara maya, di sini hari ini.
Hasni berkata, Johor perlu giat membangunkan potensi PKS agar dapat memberi nilai tambah terhadap proses kemajuan dan kemakmuran ekonomi, khususnya kepada usahawan Johor.
Jabatan, agensi keusahawanan dan perniagaan katanya, perlu meningkatkan kerjasama serta saling berkongsi kepakaran agar pemain industri tidak ketinggalan antara satu sama lain dalam usaha membina kompetensi selari dengan keperluan pasaran semasa.
“Fungsi dan peranan MPUNJ juga perlu ditambah baik supaya dapat menjadi pemangkin bagi Agenda Transformasi Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor,” ujarnya.
Tambah beliau, penyediaan platform pemasaran secara digital kepada golongan usahawan merupakan usaha dan pendekatan yang relevan dan sesuai pada masanya.
“Kesedaran pengguna dan peniaga terhadap perniagaan dalam talian ini nampaknya meningkat begitu drastik lebih-lebih lagi kesan daripada pandemik Covid-19.
“Untuk terus kekal relevan, pelbagai inisiatif disediakan bagi meningkatkan tahap kebolehtahanan platform ini antaranya pemberian baucar diskaun untuk menarik pengguna berbelanja dengan membeli produk PKS Johor,” katanya.
Leave a Reply