Category: Umum

  • Vaksinasi remaja Pulau Pinang bermula esok

    Vaksinasi remaja Pulau Pinang bermula esok

    PELAJAR dan remaja berusia 16 dan 17 tahun di Pulau Pinang akan mula menerima vaksin esok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

    Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebagai permulaan vaksinasi itu akan membabitkan para pelajar yang beralamat tetap di Pulau Pinang tetapi berasrama penuh di negeri lain.

    Tambah beliau, janji temu para pelajar berkaitan akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera manakala ibu, bapa, waris atau penjaga perlu hadir bersama ketika mendapatkan vaksin.

    “Mereka juga dinasihatkan membawa dokumen-dokumen perlu terutamanya Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu Kon Yeow berkata, pada Khamis ini bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari pula, sesi vaksinasi membabitkan golongan pelajar sekolah berusia 16 hingga 17 tahun (tanpa komorbid) akan bermula di enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri itu.

    Jelasnya, PPV terbabit adalah masing-masing di SPICE Convention Centre; Tapak Ekspo Seberang Jaya; Vangohh Eminent Hotel;Dewan Perda Convention Centre; Dewan Millenium; Kepala Batas dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

    Tambah beliau, semua janji temu bagi golongan itu juga akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera.

    “Selain perlu hadir bersama-sama sepanjang proses pemberian vaksin, ibu, bapa, waris atau penjaga juga perlu memastikan semua dokumen pengenalan diri pelajar dan Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 adalah ditandatangani serta dibawa bersama,” katanya.

    Tambah beliau, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan komorbid, janji temu vaksinasi akan dijalankan di hospital-hospital terdekat dan makluman janji temu juga adalah menerusi aplikasi MySejahtera.

    “Dapatkanlah vaksin anda ke arah membentuk imuniti kelompok di Pulau Pinang. Penang Lawan Covid-19!” katanya.

  • SOP: Jabatan Kesihatan Terengganu keluar 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta

    SOP: Jabatan Kesihatan Terengganu keluar 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta

    JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta hasil pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jan lepas.

    Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu, Dungun merekodkan kompaun tertinggi iaitu 473 kes diikuti Kemaman (233), Setiu (85), Marang (74), Kuala Terengganu (60), Hulu Terengganu (53), Besut (44) dan Kuala Nerus (26).

    “Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menjaga jarak fizikal (281 kes), gagal daftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual (200 kes), gagal memakai pelitup muka (151 kes), menaiki kenderaan melebihi had penumpang dibenarkan (109 kes) dan majikan gagal kemas kini rekod pekerja (55 kes),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu hari ini.

    Ditanya mengenai pemeriksaan pematuhan SOP sepanjang Terengganu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara sejak 17 Sept lepas hingga semalam, Dr Kasemani berkata sebanyak 24 kompaun dikeluarkan bagi tempoh empat hari itu.

    “Jumlah kompaun yang dikeluarkan ialah RM49,500. Daripada 24 kompaun itu, 22 kes adalah kesalahan menaiki kenderaan lebih seorang di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan masing-masing satu kesalahan gagal daftar menerusi MySejahtera serta ingkar perintah kuarantin,” katanya.

  • PICK remaja mulai Khamis ini secara ‘walk-in’

    PICK remaja mulai Khamis ini secara ‘walk-in’

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) akan dilaksanakan secara ‘walk-in’ (jumpa terus) berjadual mulai Khamis ini, bagi memudah dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada remaja.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata sebanyak 156 pusat pemberian vaksin (PPV) Awam dan Integrasi di seluruh negara, telah dikenal pasti untuk tujuan itu dengan inisiatif bersama Kementerian Pendidikan.

    “Ini setelah mengambil kira PICK populasi dewasa yang hampir mencapai sasaran dan bilangan penerima vaksin di PPV Awam serta Integrasi telah menurun dan semua PPV di bawah CITF Induk juga dijangka akan berhenti beroperasi pada 15 Okt depan.

    “Pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual akan dilakukan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti dan akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan. Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 REMAJA (CITF-A) berkata pemberian vaksin PICK-Remaja secara ‘walk-in’ melibatkan semua kategori remaja termasuk mereka yang tidak bersekolah.

    “Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk ‘walk-in’ di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman. Bagaimanapun sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan.

    “Remaja yang menuntut di  Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang berumur di bawah 18 tahun, dibenarkan ‘walk-in’ ke semua  PPV  yang masih beroperasi pada ketika ini, dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS. Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka,” katanya.

    Tambahnya bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan ‘walk-in’ ke PPV Awam atau Integrasi.

    “Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk tujuan vaksinasi.

    Katanya Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa memastikan remaja yang akan divaksinkan mendapat rehat  pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan mengambil air secukupnya sebelum ke PPV serta mengawasi remaja supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin.

    Sebelum ini, PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara ‘outreach’ ke sekolah atau institusi secara berjadual, dan remaja dengan komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

    “Remaja yang akan menduduki peperiksaan utama yang bersekolah di sekolah asrama penuh atau asrama harian, janji temu dos pertama vaksin COVID-19 akan diberikan di klinik atau sekolah yang berhampiran tempat tinggal mereka, manakala vaksin dos kedua akan diberi di sekolah.

    “Remaja yang gagal hadir semasa janji temu di sekolah, akan diberi janji temu di klinik kesihatan swasta yang berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.

    PICK Remaja telah dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan semalam dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.

    Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah dan sehingga semalam, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.

    Bagaimanapun PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak, Labuan, Sabah, Kelantan, Kedah dan Johor dan sehingga semalam, seramai 308,186 remaja telah menerima  dos pertama vaksin COVID-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473), Kedah (19,453), Kelantan (17,413), Johor (16,019) dan Labuan (2,523).

  • 79.6 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap vaksinasi

    79.6 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap vaksinasi

    SERAMAI 18,648,795 individu atau 79.6 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut portal COVIDNOW.

    Selain itu, 93.1 peratus atau 22,097,565 individu daripada populasi dewasa di Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 289,618 dos suntikan vaksin diberikan semalam membabitkan 94,145 dos pertama dan 195,473 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 40,664,674 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    vaksinasi populasi dewasa Malaysia

    Sementara itu, portal berkenaan memaklumkan terdapat pertambahan 301 kes maut akibat COVID-19 dilaporkan setakat 11.59 malam 20 September, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 23,744.

    Jumlah itu merangkumi tujuh kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam (20 September), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’, bagaimanapun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – BERNAMA

  • Projek solar UiTM Terengganu jimat kos elektrik RM80,000

    Projek solar UiTM Terengganu jimat kos elektrik RM80,000

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PROJEK pemasangan Panel Solar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu Kampus Dungun dengan perbelanjaan RM6 juta bakal menjadi perintis kepada projek solar di institusi pengajian tinggi awam di negeri ini.

    Malah projek yang dimulakan pada Julai tahun lalu dan siap pada Disember merupakan satu kejayaan bagi universiti tersebut dalam membangunkan kemudahan penjanaan tenaga solar dan juga pembekalan tenaga elektrik penjanaan solar.

    Menurut Ketua Projek Tenaga Solar UiTM Cawangan Terengganu, Dr Ermeey Abd Kadir, penggunaan teknologi tenaga solar memberi banyak kelebihan termasuk dari segi penjimatan, penjanaan tenaga dan penyelidikan.

    Menurut beliau, sejak penggunaan solar, universiti itu dapat menjimatkan kos penggunaan elektrik di kampus antara RM50,000 hingga RM80,000 sebulan berbanding kos sebenar RM350,000 di mana ia bergantung kepada penggunaan.

    “Selain penjimatan elektrik antara 15 hingga 20 peratus, projek solar ini juga mampu menjana pendapatan sebanyak RM700,000 melalui eksport tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.

    Ermeey memberitahu demikian kepada media selepas meninjau lokasi projek panel solar di UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, hari ini.

    Turut hadir ialah Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof Dr Mazidah Puteh.

    projek solar UitM Terengganu
    KETUA Projek Tenaga Solar UiTM Cawangan Terengganu, Dr Ermeey Abd Kadir (kanan) bersama Dr Mazidah Puteh menunjukkan solar inverter yang dipasang pada bumbung letak kereta universiti itu ketika meninjau projek berharga RM6 juta yang siap pada Disember tahun lalu.

    Menurut Ermeey, projek pemasangan 3,885 panel solar di universiti itu membabitkan beberapa lokasi seperti dewan serbaguna, tempat letak kereta berbumbung dan juga di bahagian bumbung bangunan.

    Beliau berkata, tenaga solar berkapasiti 1.6MW itu mempunyai tempoh matang sehingga 25 tahun dan pihaknya bercadang melaksanakan projek sama di UiTM kampus Chendering dan kampus Bukit Besi pada tahun hadapan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM3 juta.

    Menurut beliau, pihaknya juga bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan mana-mana agensi milik kerajaan, swasta atau rakan institusi pengajian tinggi yang berminat menceburkan diri dalam penggunaan solar di tempat masing-masing.

    Sementara itu, Ermeey memberitahu, UiTM Cawangan Terengganu akan memperkenalkan satu program baharu melibatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sistem Pintar yang dijangka dimulakan dua tahun lagi.

    “Program pertama akan disertai 30 pelajar dan ia seiring dengan kehendak dan keperluan semasa di mana projek tenaga solar yang ada di sini juga akan menjadi salah satu aspek pembelajaran,” jelas beliau.

  • ”Saya tak didorong atau ditekan untuk tukar fikiran” – Azhar

    ”Saya tak didorong atau ditekan untuk tukar fikiran” – Azhar

    SPEAKER Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menafikan beliau ada menerima panggilan telefon daripada seorang “menteri kanan” supaya tidak membenarkan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mempengerusikan sidang Dewan Rakyat untuk sesi petang semalam.

    Beliau menjelaskan pertukaran saat akhir semalam untuk membatalkan Nga daripada mempengerusikan Dewan Rakyat adalah keputusannya saat akhir dan tidak didorong atau ditekan oleh mana-mana pihak.

    “Saya memang bagi Nga (Teluk Intan) pengerusikan Dewan Rakyat semalam. Tetapi saya tukar saat akhir.

    “Saya tak didorong atau ditekan untuk tukar fikiran. Saya guna kuasa saya untuk tukar fikiran. Tiada terima panggilan,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Puchong).

    Gobind sebelum itu meminta Azhar menjawab sama ada benar Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang meminta beliau untuk membatalkan keputusan untuk menjemput Nga pengerusikan Dewan Rakyat pada sesi petang semalam.

    Azhar juga berkata menurut Peraturan Mesyuarat 7(3), beliau mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana Ahli Parlimen untuk mempengerusikan Dewan Rakyat sementara sehingga kembalinya speaker Dewan Rakyat.

    Terdahulu, Gobind mencabar Azmin untuk menjawab sama ada benar atau tidak beliau menghalang Nga daripada mempengerusikan sesi persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Gobind berkata demikian selepas dilaporkan Nga telah diundang secara bertulis untuk mempengerusikan sidang itu oleh Azhar Harun semalam tetapi didakwa dihalang oleh seorang “menteri kanan Kabinet”.

    Sebelum itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut meminta Dewan Rakyat mendedahkan siapakah menteri kanan yang menghalang Nga untuk mempengerusikan Dewan Rakyat semalam.

    Katanya, perbuatan itu sangat memalukan dan menyalahgunakan kuasanya.

  • Kos haji dijangka meningkat berikutan peraturan Arab Saudi, kadar inflasi

    Kos haji dijangka meningkat berikutan peraturan Arab Saudi, kadar inflasi

    KOS menunaikan haji dijangka meningkat disebabkan kadar inflasi serta perkembangan terkini peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) susulan situasi COVID-19.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata ia termasuk ujian PCR dan suntikan vaksin untuk memasuki Arab Saudi, penjarakan fizikal di dalam bas, bilik penginapan serta khemah semasa menunaikan ibadah itu.

    “Bagaimanapun, Tabung Haji akan memaklumkan kos bagi musim haji 2022 apabila ia dimuktamadkan kelak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini, lapor BERNAMA.

    Beliau menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) sama ada kos mengerjakan haji dan umrah akan meningkat dalam fasa endemik COVID-19 selain peningkatan kos yang dijangkakan.

    Ahmad Marzuk berkata pada masa ini, Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menyemak kos haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu yang telah diperkenalkan Arab Saudi termasuk caj visa haji mulai 2020 dan kenaikan kadar cukai tambahan di negara berkenaan daripada lima ke 15 peratus yang bermula Julai tahun lepas. 

     Sementara itu, beliau berkata bagi musim haji 1443H/2022, TH telah memulakan persediaan dengan perancangan utamanya adalah pemilihan bakal haji yang tertakluk kepada kuota rasmi Malaysia serta beberapa kriteria pemilihan lain yang akan diumumkan Arab Saudi.

    Ahmad Marzuk berkata keutamaan menunaikan haji pada tahun depan akan diberi kepada mereka yang tahun giliran adalah pada 1441H/2020 dan masih tertangguh. 

    “Bagi bakal haji yang tahun giliran mereka adalah tahun ini, mereka akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya.

    Antara persiapan TH bagi musim haji 1443H/2022 ialah mengadakan pasca penilaian (post-mortem) urusan ibadat haji tahun ini untuk memahami dengan lebih mendalam SOP dan protokol kesihatan Arab Saudi, menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bagi menyeragamkan hukum haji dalam suasana wabak, menganjurkan Kursus Asas Haji secara dalam talian dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi urusan pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi bakal haji ketetapan Arab Saudi.

    TH juga sedang merangka lawatan ke Tanah Suci dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berkaitan peraturan urusan haji dan persiapan musim haji 1443H/2022.

    Ahmad Marzuk berkata demikian bagi menjawab soalan asal Rubiah mengenai persediaan kerajaan dalam urusan rakyat menunaikan haji dan umrah setelah hampir dua tahun negara tidak berpeluang menghantar jemaah ekoran COVID-19.

  • Harga ayam melambung, 49 notis dikeluarkan

    Harga ayam melambung, 49 notis dikeluarkan

    SEBANYAK 49 notis masing-masing 37 notis Pengesahan Maklumat Barangan/ Perkhidmatan (NPMB) dan 12 notis bertulis (NB) dikeluarkan kepada penternak, pemborong dan peniaga ayam di Pulau Pinang.

    Notis tersebut dikeluarkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang susulan kenaikan harga ayam sehingga RM10.50 sekilogram yang dilaporkan pengguna sejak beberapa minggu lalu.

    Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, para peniaga diberikan tempoh lima hari bagi notis NB dan dua hari bagi notis NPMB untuk membekalkan maklumat berhuhung kenaikan harga ayam itu untuk dianalisis pihaknya.

    Menurut beliau, analisis itu bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti punca kenaikan harga sekali gus memastikan ia bukan disebabkan tindakan cuba mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah. 

    “Kita telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk mengenal pasti punca kenaikan harga ayam di sekitar pasar awam di negeri ini.

    “Pemeriksaan dan pemantauan turut dijalankan oleh Seksyen Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang ke atas rantaian pembekalan ayam yang melibatkan penternak, pemborong dan peniaga di negeri ini.

    “Mana-mana pihak yang didapati cuba mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan tegas dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama penternak, pemborong dan peniaga bagi membantu menstabilkan harga ayam diperingkat rantaian pembekalan serta di pasar awam.

    Hasil perbincangan di semua peringkat yang terlibat jelas beliau, harga ayam di seluruh negeri menunjukkan penurunan selaras dengan komitmen kementerian dan penternak serta pemborong supaya peruncit boleh menjual ayam pada harga RM9.50 sekilo dipasar awam.

    Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, pihaknya juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 222 premis perniagaan di seluruh Pulau Pinang bagi memantau pematuhan harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (ujian sendiri) sejak 5 September lalu.

    Jelasnya, pemeriksaan itu bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling kit ujian sendiri Covid-19 itu iaitu RM16 di peringkat borong dan RM19.90 di peringkat runcit. 

    “Hasil pemeriksaan mendapati ada peniaga runcit di sekitar Seberang Jaya mampu menawarkan kit ujian sendiri itu pada harga RM16.50 sekotak,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya menasihatkan peniaga supaya berhemah serta beretika dalam perniagaan dengan menangani isu harga ayam serta mematuhi harga maksimum kit ujian sendiri Covid-19 yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

  • 5,103 lepasan politeknik ditawarkan ke universiti awam sesi 2021/2022

    5,103 lepasan politeknik ditawarkan ke universiti awam sesi 2021/2022

    KEJAYAAN pelajar politeknik melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam bergantung sepenuhnya kepada markah merit, bilangan tempat dan kelayakan calon, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Beliau berkata selain itu turut diambil kira adalah kecemerlangan dalam proses temu duga yang dilaksanakan di universiti awam bagi sesetengah program pengajian yang memerlukan kompetensi.

    “Pada sesi akademik 2021/2022, Kementerian Pengajian Tinggi menerima 7,652 calon lepasan Politeknik yang memohon dan layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam dan daripada jumlah itu 5,103 (67 peratus) ditawarkan tempat pengajian.

    “Bilangan ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 4,445 (62 peratus) dari 7,175 calon yang memohon pada sesi akademik 2020/2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai peluang pendidikan tinggi yang disediakan terutamanya ke universiti awam bagi lepasan diploma daripada politeknik tempatan kerana didapati ramai yang memperoleh keputusan cemerlang dari politeknik tidak mendapat tempat di menara gading tahun ini.

    Noraini berkata analisis kementerian itu mendapati kemungkinan calon tidak ditawarkan tempat di universiti awam atas beberapa faktor, antaranya persaingan sengit antara penuntut diploma, asasi, matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau calon tidak berjaya semasa sesi temu duga yang dilaksanakan.

    Pemilihan program yang sangat kompetitif dengan permintaan yang tinggi juga akan mengehadkan peluang calon untuk mendapat tempat di universiti awam, katanya.

    Beliau berkata secara umumnya pelajar politeknik disediakan untuk memenuhi keperluan industri, namun kementerian menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dan antara inisiatif kementerian adalah dengan menjalankan kerjasama artikulasi program Diploma Politeknik ke Program Ijazah Sarjana Muda Malaysian Technical University Network (MTUN).

    Noraini berkata dalam mengembangkan pendidikan politeknik, kolaborasi merentas Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak industri diperkukuhkan menerusi Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara. 

    “Bagi memastikan kokurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, Majlis Penasihat Industri ditubuhkan bagi memberi input dan berkongsi maklumat terkini tentang keperluan di industri,” katanya. 

  • Taliban: Malaysia ambil pendirian berhati-hati

    Taliban: Malaysia ambil pendirian berhati-hati

    Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum membuat keputusan mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan.

    Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan akan meneliti perkembangan semasa dengan mengambil kira pertimbangan tertentu,

    Menurut beliau, antara faktor yang diambil kira adalah tahap penerimaan rakyat Afghanistan terhadap penguasaan kerajaan Taliban.

    Saifuddin memberitahu, selain itu, kerajaan turut meneliti pendirian yang ditetapkan secara bersama melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

    “Selain itu, Malaysia juga percaya aspek keterangkuman amat penting bagi tujuan mencapai keamanan, namun kita dapati kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif.

    “Saya ingin jelaskan, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban, termasuk negara yang berjiran dengan Afghanistan.

    “Seperti Malaysia, negara itu juga sedang meneliti perkembangan di sana,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) yang ingin tahu sama ada Malaysia akan mengiktiraf Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban.

    Saifuddin menambah, sehingga kini hanya terdapat dua rakyat negara ini berada di Afghanistan yang sedang berkhidmat dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.

    “Mereka sudah melaporkan diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan berada dalam keadaan selamat.

    “Mereka juga membuat keputusan untuk kekal berada di sana bagi meneruskan tugas dan pada masa sama, terus mengambil segala langkah bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.