Category: Umum

  • Bayaran BKP RM500 dibuat mulai 26 Oktober

    Bayaran BKP RM500 dibuat mulai 26 Oktober

    BAYARAN Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 secara sekali bayar akan disalurkan kepada mereka yang layak mulai esok.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM434 juta demi memberi manfaat kepada seramai 870,000 individu yang hilang pendapatan tahun ini.

    Menurut beliau, semakan status kelulusan boleh dibuat melalui portal BKP (bkp.hasil.gov.my:Semak Status BKP(Check Layak & Tarikh Bayaran) – SemakanStatus) bermula esok.

    “Kerajaan menyedari keluhan ramai yang kehilangan punca pendapatan mengenai kesukaran meneruskan kehidupan seharian.

    “Selari dengan dasar kerajaan, tiada ahli Keluarga Malaysia yang akan tersisih dan kerajaan akan memastikan kemakmuran ekonomi akan dinikmati bersama,” katanya dalam hantaran Facebook, malam ini.

    Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus membantu dan menyantuni Keluarga Malaysia dengan inisiatif serta apa jua bentuk bantuan yang dapat meringankan beban mengharungi waktu-waktu sukar ini.

    BKP merupakan inisiatif yang diluluskan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu golongan B40 yang terjejas akibat kehilangan pendapatan semasa krisis pandemik.

    Berdasarkan maklumat dalam portal BKP, tiada syarat kelayakan rasmi dikeluarkan setakat ini oleh mana-mana pihak kerajaan.

    Namun, jika kelayakan adalah sama seperti syarat kelayakan bantuan berkenaan yang diumumkan sebelum ini, syarat kelayakan adalah seperti berikut :

    Penerima bantuan adalah untuk mereka yang berumur antara 21 hingga 60 tahun.

    Pembayaran BKP ke akaun penerima selepas pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang dibuat melalui:
    Sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
    Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

    Untuk maklumat lanjut, penerima bantuan tersebut juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

  • Isu kapal peronda: Zahid beri keterangan kepada PAC

    Isu kapal peronda: Zahid beri keterangan kepada PAC

    BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh Kementerian Pertahanan melibatkan nilai lebih RM9 bilion.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menjawat jawatan Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013, telah memberikan penjelasan hampir dua jam berhubung isu kapal peronda itu yang merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF).

    Beliau berkata, Ahmad Zahid merupakan saksi keenam yang dipanggil PAC untuk isu ini, selain Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Muez Abdul Aziz, bekas Panglima Tentera Laut Jen (B), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Low Kok Chiang.

    “PAC memandang serius isu ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Isu tersebut telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada 2019.

    Wong berkata bagi melengkapkan siasatan isu itu, PAC turut bercadang mengadakan lawatan ke limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS di Lumut, Perak dalam masa yang akan ditetapkan. – BERNAMA

  • Yakinkan rakyat mereka ada tempat dalam Keluarga Malaysia

    Yakinkan rakyat mereka ada tempat dalam Keluarga Malaysia

    RAKYAT perlu diberi keyakinan bahawa setiap mereka mempunyai tempat dalam keluarga besar Keluarga Malaysia, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

    Justeru baginda bertitah semangat Keluarga Malaysia itu perlu disemarakkan menerusi amalan budaya terbuka, sedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, selain menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah.

    “Suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya,” titah baginda pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara hari ini.

    Antara yang hadir pada istiadat itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Mohd Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

    Menggunakan analogi orkestra yang besar, Sultan Nazrin bertitah setiap instrumen memiliki bunyi tersendiri, dengan gaya mengeluarkan bunyi yang berlainan, sama ada secara tiupan, gesekan, petikan, tekanan atau pukulan, malah tidak ada instrumen dianggap tidak penting.

    “Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan. Pemimpin yang bijaksana boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan seorang pemimpin orkestra,” titah baginda.

    Baginda bertitah, konsep keluarga bukanlah asing kerana telah sedia berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa, serta menyifatkan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri ialah sebuah keluarga besar.

    Sehubungan itu baginda bertitah, menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan tanggungjawab seadil-adilnya.

    “Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang pelbagai,” titah baginda.

    Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menteri atas segala kerjasama sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.

    Penghargaan turut dizahirkan Sultan Nazrin kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu baginda membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum baginda membuat sesuatu keputusan.

    “Begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan Beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa Beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara.

    “Semoga hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami – saling menghormati,” titah baginda.

    Sultan Nazrin menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom

    Baginda yang melaksanakan tugas Yang di-Pertuan Agong bermula pada 18 Sept lepas akan menamatkan tugas baginda itu pada 12 tengah malam nanti. – BERNAMA

  • PM zahir penghargaan kepada Sultan Nazrin

    PM zahir penghargaan kepada Sultan Nazrin

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

    Perdana Menteri berkata, segala pandangan, nasihat dan buah fikiran yang telah dizahirkan baginda telah banyak membantu dan sentiasa menjadi pedoman serta ingatan buat beliau dan rakan Jemaah Menteri dalam memastikan pentadbiran negara sentiasa berada di landasan tepat.

    “Sememangnya inilah azam kerajaan baharu di bawah pimpinan patik pada hari tatkala mengangkat sumpah memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan warkah menjunjung kasih pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Bendahara, Istana Negara hari ini.

    Sultan Nazrin menamatkan tugas menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

    Baginda yang melaksanakan tugas itu pada 18 Sept lepas akan menamatkan tugas berkenaan pada 12 tengah malam nanti.

    Ismail Sabri berkata, beliau juga akan terus berusaha memulihkan permasalahan rakyat serta memantapkan ekonomi negara terutamanya berhubung hala tuju negara dalam era pandemik COVID-19.

    Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dikurniakan taufik dan hidayah serta dilanjutkan usia untuk terus bersemayam atas takhta pemerintahan Perak dengan segala kemuliaan dan kedaulatannya. – BERNAMA

  • Kerajaan bentang usul ungkai Ordinan Darurat

    Kerajaan bentang usul ungkai Ordinan Darurat

    KERAJAAN hari ini membentangkan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat bagi dibahas Ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian berkaitan di Dewan Rakyat.

    Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

    Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan usul itu berkata, Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

    “Kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.

    Wan Junaidi berkata, Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu dalam mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.

    Ini kerana katanya gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan peningkatan kes positif dan jumlah kematian naik begitu mendadak.

    Beliau berkata, sehingga semalam, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 2,426,050 kes dengan 77,305 kes aktif dan 28,354 kematian.

    Wan Junaidi berkata, melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih telah dibuat untuk menempatkan dan menguruskan pesakit positif COVID-19 dan pesakit selain pesakit COVID-19.

    “Bagi tujuan ini, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) di bawah milikan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diambil alih,” katanya.

    Selain itu, menurutnya sejak Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dikuat kuasa bermula 12 Mac hingga 7 Okt lepas, 30 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Ordinan itu bagi tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai COVID-19 serta Proklamasi Darurat. – BERNAMA

  • DAN 2.0 pacu transformasi sektor agromakanan negara

    DAN 2.0 pacu transformasi sektor agromakanan negara

    STRATEGI pemodenan dan pertanian pintar merupakan pemacu perubahan utama dalam menjayakan transformasi sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

    “Dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini.

    “Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini,” katanya dalam rakaman ucapannya ketika melancarkan dasar berkenaan hari ini yang disiarkan melalui media sosialnya.

    keberhasilan kebahagiaan
    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Jelas Ismail Sabri, DAN 2.0 dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan negara dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

    “Keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan,” katanya dan menambah bahawa pertanian pintar juga merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

    Ismail Sabri berkata, fokus transformasi sistem makanan negara yang akan dilaksanakan melalui DAN 2.0 turut telah dibentangnya pada Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Sept lepas.

    Mengulas sejarah pertanian negara, Perdana Menteri berkata sektor ini telah melalui beberapa proses transformasi sejak merdeka sehingga kini dan sepanjang 64 tahun ini, ia tidak pernah dipinggirkan dalam sebarang pelan pembangunan negara malah semakin ditumpukan.

    “Misalnya pada 1974, buat julung kalinya kerajaan ketika itu melancarkan Rancangan Buku Hijau yang bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan. Usaha sedemikian diteruskan dari setahun ke setahun secara terancang.

    “Ini termasuklah penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) yang bertujuan menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing,” katanya.

    Beliau berkata, sistem makanan negara perlu terus diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik COVID-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

    Ini menurutnya termasuk meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.

    Perdana Menteri berkata, melalui kerangka DAN 2.0 berserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

    Mengenai DAN yang dilancarkan sebelum ini, beliau berkata prestasinya ternyata begitu membanggakan.

    Setelah dilancarkan, katanya sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus pada 2020, peningkatan hampir 100 peratus berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010.

    Jumlah eksport bahan makanan menurutnya juga meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh yang sama.

    “Ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri. Demi meneruskan kejayaan Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan pada 2011 itu, maka pada hari ini DAN 2.0 telah digubal,” katanya. – BERNAMA

  • Bapa Ahli Parlimen Cameron Highlands meninggal dunia

    Bapa Ahli Parlimen Cameron Highlands meninggal dunia

    BAPA kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor, meninggal dunia awal pagi semalam.

    Allahyarham Datuk Mohd Nor Abdullah, 87, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Baling, Kedah, kira-kira 2.30 pagi akibat komplikasi buah pinggang, diabetes, darah tinggi dan juga jantung.

    Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Gobek, Pengkalan Hulu, kira-kira 2 petang semalam.

    Allahyarham Mohd Nor adalah antara 10 anggota pertama berkhidmat dalam Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq yang ditubuh dan diperkenalkan Special Air Service (SAS) British pada tahun 1956. – BERNAMA

  • PRN Melaka: Aktiviti, perhimpunan, majlis sosial dilarang

    PRN Melaka: Aktiviti, perhimpunan, majlis sosial dilarang

    SEBARANG aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa esok hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata, ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

    Beliau berkata, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM), antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster COVID-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Katanya, KKM menjangka aktiviti ini akan banyak diadakan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

    “Memandangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes COVID-19 baharu yang dilaporkan, aktiviti itu akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” katanya.

    Isnin lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

    Jelas Khairy, larangan ini selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Empat yang terkini.

    Tegasnya, sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya.

    Ia juga menurutnya, berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, menjadikan aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

    Subperaturan 10(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan. – BERNAMA

  • Sisa toksik: JAS Johor tunggu laporan penuh MYSA

    Sisa toksik: JAS Johor tunggu laporan penuh MYSA

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor akan melaksanakan siasatan terperinci selepas menerima laporan penuh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengenai Johor sebagai salah satu negeri yang dikenal pasti dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram.

    Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan penuh berkenaan dan sebarang tindakan atau proses hanya boleh diambil selepas meneliti laporan tersebut.

    “Laporan penuh itu penting bagi membolehkan siasatan susulan dilakukan termasuk mengenal pasti lokasi sebenar yang dimaksudkan di dalam laporan berkenaan.

    “Saya juga telah merujuk ibu pejabat (JAS) dan mereka juga memaklumkan sedang menunggu maklumat sama daripada agensi itu.

    “Sekiranya laporan sudah diperoleh, JAS Johor akan terus memulakan siasatan secara terperinci di kawasan yang didakwa,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan, di sini hari ini.

    Turut bersama dalam operasi itu ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

    MYSA hari ini dilaporkan mendedahkan empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti mempunyai banyak kawasan yang dijadikan tempat buangan sisa toksik haram di negara ini.

    Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya pada 2019.

    Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah dilaporkan berkata, sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu telah dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan seterusnya.

    Sementara itu, Mohd. Famey menjelaskan JAS Johor tidak mempunyai akses terhadap teknologi satelit bagi menggunakan cerapan imej satelit untuk mengenal pasti kawasan pembuangan sisa toksik haram di negeri ini.

    “Namun, kita membuat pemantauan menggunakan dron bagi melakukan risikan terhadap kawasan pencemaran termasuk tapak pembuangan sisa toksik haram,” katanya.

  • Kanak-kanak mati lemas jatuh dalam Sungai Tawau

    Kanak-kanak mati lemas jatuh dalam Sungai Tawau

    KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh dari jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut semalam, ditemukan lemas pada 8.19 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stepen berkata, pihaknya menemui mayat Mohd Alif Amuddin tersangkut di akar kayu di tepi sungai, kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Kami menyambung operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada 8 pagi dan selepas beberapa minit operasi bermula, salah seorang anggota SAR ternampak mayat mangsa di pokok bambu di tepi sungai,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Julius, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Semalam dilaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.45 petang dan operasi SAR terus dijalankan sebelum ditangguhkan pada 6.06 petang.

    Sementara itu bapa mangsa, Amuddin Mustapah, 40, berkata ketika kejadian mangsa bersama tiga kanak-kanak lain bermain di rumah datuknya yang berdekatan sungai.

    “Namun ketika bermain saya difahamkan Alif tergelincir dari tepi jambatan dan masuk ke dalam sungai, kawan-kawannya yang melihat kejadian meminta bantuan orang ramai,” katanya sambil menahan sebak.

    Sebelum kejadian, Amuddin berkata, anaknya yang merupakan kanak-kanak yang aktif dan petah bercakap itu meminta izin untuk bermain di rumah datuknya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka. – BERNAMA