Category: Umum

  • Buli di berek bujang tentera, Hishammuddin arah siasat

    Buli di berek bujang tentera, Hishammuddin arah siasat

    DAKWAAN seorang individu bahawa adiknya yang dipukul dan dibuli di berek bujang di sebuah kem tentera mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Melalui tangkap layar yang dikongsi dalam Twitter ‘Pedoq, what is this behavior?’ individu terbabit mendakwa insiden itu berlaku setiap hari dan wang gaji adiknya habis kerana diberikan kepada anggota-anggota tentera yang lebih senior.

    Menurutnya, adiknya perlu membeli barang keperluan untuk 12 hingga 14 anggota tentera yang lain di berek bujang tersebut.

    Namun, dia mendakwa, adiknya takut untuk membuat laporan manakala kes-kes serupa yang dilaporkan kepada pihak atasan sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawad selama 45 minit.

    Selain itu, adiknya bimbang akan berdepan tindak balas daripada anggota-anggota tentera yang lebih senior yang tinggal bersamanya di berek bujang berkenaan.

    Sehubungan itu, pengadu yang meminta identitinya dirahsiakan meminta pemilik akaun Twitter tersebut membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi adiknya.

    Walau bagaimanapun, lokasi kem tentera terbabit tidak dinyatakan.

    berek bujang tentera
    Tangkap layar mesej daripada pengadu.

    Sementara itu, Hishamuddin melalui laman Facebook miliknya meminta individu berkenaan supaya menghubungi beliau atau pejabatnya untuk memberi maklumat lanjut.

    “Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.

    Beliau menambah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga telah diarah untuk menelitti perkara itu secara peribadi.

    “Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

  • Muhyiddin cadang Jawatankuasa Kabinet tangani isu kenaikan harga barang ditubuh

    Muhyiddin cadang Jawatankuasa Kabinet tangani isu kenaikan harga barang ditubuh

    * Perikatan Nasional anjur Gerai Prihatin Rakyat di seluruh negara

    SATU Jawatankuasa Kabinet perlu ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, Tan Sri Muhyiddin Yasssin.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

    ‘’Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna.

    ‘’Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hemat saya akan menjejaskan proses pemulihan negara. Rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turun padang meninjau harga barang di Putrajau mengakui terdapat peningkatan harga barangan keperluan harian ketika ini, namun kata beliau kenaikan yang berlaku bukan berpunca daripada peniaga sebaliknya disebabkan kos yang ditanggung di pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin dalam kenyataan tersebut memberitahu,MPN dalam sidang-sidang yang lepas telah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor-sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula, terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran (supply) untuk memenuhi pemintaan (demand) yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

    Dalam hal ini, kata beliau, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan (liquidity) yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diberikan penekanan khusus oleh MPN.

    ‘’Sehubungan itu, MPN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan.

    ‘’Jawatankuasa ini yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang,’’ katanya.

    Beliau memberitahu,  MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini.

    ‘’Langkah ini dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran. Jawatankuasa ini yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN,’’ katanya.

    Muhyiddin berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

    ‘’Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar,’’ katanya.

    Sementara itu Muhyiddin, bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini, beliau selaku Pengerusi Perikatan Nasional memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

    ‘’Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat,’’ katanya.

  • Harga racun serangga melambung hingga 199 peratus

    Harga racun serangga melambung hingga 199 peratus

    HARGA racun serangga meningkat sehingga 199 peratus iaitu RM66 kepada RM197.50, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Beliau berkata, selain itu harga racun kulat juga mencatatkan peningkatan 20.77 peratus; racun siput hampir 20 peratus; baja sebatian Tiara Blue sebanyak 19.4 peratus; Agrobridge 19.1 peratus; dan NPK Blue 14.5 peratus.

    “Memang benar kenaikan yang ketara ini berlaku, disebabkan oleh harga pasaran dunia yang di luar kawalan MAFI dan ini memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran yang ditanggung oleh petani.

    “…(Sebagai) alternatif, langkah yang perlu diambil oleh kerajaan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menggalakkan pengurangan kebergantungan kepada baja kimia, kita menggalakkan petani untuk beralih kepada pertanian organik umpamanya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kaedah alternatif dalam mengurangkan dan usaha jangka panjang menghapuskan penggunaan baja dan racun sintetik tanpa menjejaskan produktiviti, malah meningkatkan hasil pengeluaran.

    Ronald berkata, antara langkah yang diambil termasuk pengaplikasian teknologi efektif mikroorganisme (EM), menggalakkan penggunaan semula bahan sisa pertanian seperti pereputan jerami padi, baja organik serta memperkenalkan penggunaan sisa pertanian jerami padi sebagai medium tanaman.

    “Namun, ini adalah langkah jangka panjang dan kita masih tidak dapat lari daripada kebergantungan penggunaan baja kimia dan cara pertanian konvensional yang diamalkan petani di negara kita,” katanya. – BERNAMA

  • Harga barang naik, KPDNHEP beri sebulan cari penyelesaian

    Harga barang naik, KPDNHEP beri sebulan cari penyelesaian

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh dan berterusan bagi menangani isu kenaikan harga barangan dan makanan.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi penyelesaian jangka masa pendek, kementerian memperkenalkan program Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

    Beliau berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program itu di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara secara berperingkat.

    “Buat masa ini kementerian mencadangkan program ini dibuat dua kali sebulan, tapi ada permintaan supaya dibuat lebih kerap. Jualan Keluarga Malaysia ini adalah langkah jangka pendek supaya pengguna boleh pergi ke tempat seperti ini membeli dengan harga yang lebih kurang daripada pasaran yang dikatakan tinggi.

    “Kita juga perlu melihat bagaimana untuk menangani masalah ini (kenaikan harga) untuk jangka panjang. Kita risau juga kalau kita tidak ada perancangan yang lebih menjurus kepada penyelesaian jangka panjang takut ini (kenaikan harga) boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya dalam temu bual program Selamat Pagi Malaysia di TV1 yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari KPDNHEP hari ini.

    Program Jualan Keluarga Malaysia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini, pada 5 petang ini.

    Mengulas lanjut, Nanta berkata kenaikan harga barangan dan makanan disebabkan beberapa faktor antaranya aktiviti perniagaan seperti restoran dan kedai makan yang mula beroperasi sepenuhnya selepas kelonggaran diberikan kerajaan yang menyebabkan permintaan barangan asas meningkat secara mendadak.

    “Begitu juga faktor keluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang yang kurang kerana lazimnya hujung tahun musim tengkujuh dan industri itu kekurangan tenaga buruh asing yang telah memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran untuk menampungnya.

    “Kita juga difahamkan ada sayur-sayuran yang diimport dari negara asing, tapi apabila diimport dari negara asalnya harganya sudah tinggi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Nanta berkata KPDNHEP mengalu-alukan individu yang kehilangan kerja atau perniagaan berikutan pandemik COVID-19 supaya menceburi industri francais.

    Beliau berkata potensi industri itu amat besar kerana berasaskan perniagaan yang sudah sedia ada dan mudah untuk memulakannya selain mempunyai pasaran yang luas.

    “…untuk membuka cawangan (francais) contohnya, kita (KPDNHEP) boleh bantu, kerana kita telah diberikan peruntukan dalam bajet untuk mengembangkan francais,” katanya. – BERNAMA

  • Cuti tambahan WP esok bukan kelepasan am bergaji wajib

    Cuti tambahan WP esok bukan kelepasan am bergaji wajib

    HARI kelepasan am tambahan bagi seluruh Wilayah Persekutuan esok sempena kejayaan KL City FC merangkul gelaran juara Piala Malaysia bukan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan media, hari ini.

    Walau bagaimanapun, beliau menggalakkan majikan di sektor swasta memberi cuti am bergaji kepada pekerja-pekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

    Pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan.

    Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

    Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan media hari ini mengumumkan bahawa bank pusat itu dan semua bank termasuk cawangan-cawangannya di Kuala Lumpur akan dibuka dan beroperasi seperti biasa esok.

    “Sehubungan itu, urus niaga pasaran kewangan dalam pasaran pertukaran asing, pasaran wang dan pasaran bon melalui kaunter juga akan terus beroperasi pada hari tersebut,” jelas BNM.

  • Covid-19:Enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah positif

    Covid-19:Enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah positif

    ENAM enam pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Ipoh dikesan positif Covid-19.

    Pengetua MRSM Sultan Azlan Shah, Mohd. Khairul Anuar Shafie berkata, pelajar berkenaan semuanya melibatkan pelajar Tingkatan Lima.

    “Pelajar Tingkatan Lima yang lain juga telah menjalani ujian saringan dan Alhamdulillah semua negatif,” katanya mengesahkan mengenai perkara tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, pihak sekolah sentiasa memperingatkan pelajar supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Katanya, pihak pengurusan sekolah memohon sokongan ibu bapa pelajar dalam menangani situasi ini secara bersama.

  • 65 pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya positif Covid-19

    65 pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya positif Covid-19

    SERAMAI 65 pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya didapati dijangkiti Covid-19.

    Perkara itu dimaklumkan menerusi ciapan di laman Twitter Radzi Jidin Comms @DRJComms iaitu laman Twitter rasmi pasukan komunikasi Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Menurut ciapan yang dikeluarkan malam ini, Radzi telah hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau situasi yang berlaku di sekolah berasrama penuh (SBP) itu.

    “Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” demikian menurut ciapan itu.

    Pada 9 Okt lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka mula beroperasi pada 31 Okt lepas.

    Operasi institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah berdasarkan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 18 Okt lepas. –  BERNAMA

  • Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah – Radzi

    Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mendapati sebahagian besar murid sudah biasa melakukan ujian kendiri saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Radzi yang meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 di sini hari ini bagi melihat pengoperasian sekolah dan hari pertama pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah berpuas hati dengan proses berkenaan.

    “Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini mula memahami tentang kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah.

    “Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik, murid dapat mematuhi arahan yang diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada media.

    Sehubungan itu, Radzi berkata KPM yakin proses tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya hingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Dis ini.

    Mengenai pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran dilaksanakan pada setiap minggu pada Rabu, Radzi berkata seramai 28 daripada 280 murid di SK Bandar Sri Damansara 3 dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

    Pada 27 Nov lepas, KPM memaklumkan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

    Sehari sebelum itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula 29 Nov. – BERNAMA

  • KeTSA sasar Kinabalu sebagai Geopark Global UNESCO kedua di Malaysia

    KeTSA sasar Kinabalu sebagai Geopark Global UNESCO kedua di Malaysia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyasarkan untuk menjadikan Tapak Geopark Kinabalu di Sabah sebagai Geopark Global kedua di negara ini yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam masa terdekat.

    Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak kini giat berusaha ke arah itu agar kawasan tersebut dapat menuruti jejak Langkawi yang sudah pun diiktiraf sebagai tapak UNESCO Global Geopark pertama negara pada 1 Jun 2007.

    “Banyak keajaiban di puncak Gunung Kinabalu yang tidak diketahui umum. Keajaiban tersebut sememangnya membantu melayakkan Kinabalu untuk mendapat pengiktirafan UNESCO.

    “Satu daripada keajaaiban itu adalah kesan glasier di Puncak Kinabalu yang berusia beberapa juta tahun. Perkara itu dimaklumkan kepada saya oleh Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Kelestarian Luggp 2021, Projek Konservasi Alam One Tourist One Tree (1T1T) dan Projek Orang Langkawi di Hotel Aloft, Pantai Tengah, di Langkawi, hari ini.

    Sebelum ini Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin turut mendedahkan bahawa Tapak Geopark Kinabalu dijangka akan mendapati pengiktirafan tersebut apada tahun depan.

    Sementara iu Takiyuddin berkata, kementeriannya turt merancang untuk menyenaraikan Gunung Raya di Langkawi sebagai Taman Geoforest Granite pertama di negara ini.

    “Langkah tersebuta akan membolehkan Gunung Raya tersenarai sebagai satu daripada Geopark kebangsaan,” ujarnya.

  • PAC syor kerajaan tidak bayar aplikasi MySejahtera

    PAC syor kerajaan tidak bayar aplikasi MySejahtera

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar kerajaan tidak membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    Memetik laporan Bernama, PAC turut menyarankan agar kerajaan mengambil alih pengoperasian aplikasi itu tanpa melibatkan apa-apa kos tambahan memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara.

    Selain itu, mengambil maklum bahawa kerajaan akan mula membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera mulai April tahun ini walaupun pada asalnya ia dibangunkan secara konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR), PAC berpandangan konsep berkenaan telah digunakan sebagai suatu mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan sepatutnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, PAC mendapati urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan.

    Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan yang didapati munasabah.

    Bagaimanapun, katanya, PAC mendapati harga premium iaitu peningkatan antara 16.78 hingga 18.12 peratus perlu dibayar kerajaan dalam pembelian sebahagian vaksin Sinovac, antaranya akibat kelewatan syarikat Pharmaniaga dalam penghantaran pada April, Mei dan Jun 2021 serta atas keperluan mendesak dalam tempoh tersebut.

    “PAC berpendapat kerajaan harus berpegang kepada harga sama seperti yang termaktub dalam perjanjian awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    PAC hari ini membentangkan laporan berhubung perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

    Dalam pada itu, PAC mendapati kerajaan tidak mampu meletakkan wang tempahan kepada syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk tempahan awal tanpa maklumat klinikal disebabkan sumber kewangan yang terhad.

    Menurut PAC, ini merupakan satu daripada faktor Malaysia tidak mendapat bekalan vaksin dengan lebih cepat, namun proses perolehan vaksin bertambah proaktif dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada Oktober 2020.

    PAC juga mendapati jumlah peruntukan RM3 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) yang diumumkan MOF semasa pembentangan Bajet 2021 tidak diambil kira dalam keseluruhan anggaran perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion.