Category: Umum

  • Perlis tidak kenakan denda terhadap pasangan nikah di Thailand

    Perlis tidak kenakan denda terhadap pasangan nikah di Thailand

    PASANGAN yang bernikah di Thailand dan ingin mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Perlis tidak akan dikenakan sebarang denda, namun mereka perlu mengemukakan dokumen lengkap bagi tujuan tersebut.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis Ruzaini Rais berkata pasangan terlibat perlu mendapatkan sijil pengesahan perkahwinan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand terlebih dahulu bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan mereka di negeri ini.

    Beliau berkata sekiranya berlaku pernikahan di Thailand, pasangan terlibat pula tidak mendapatkan sijil pengesahan berkenaan, permohonan bagi mendaftarkan pernikahan itu dianggap tidak lengkap dan menyukarkan proses selanjutnya.

    “Ramai pasangan yang berkahwin di sana tidak mendapatkan sijil pengesahan ini kerana syarat ditetapkan kerajaan Thailand adalah pihak terlibat perlu bermalam sehari di sana sebelum diberikan dokumen itu.

    “Dan bila pasangan itu tidak mendapatkan sijil pengesahan pernikahan, ia menyukarkan mereka untuk mendaftarkan pernikahan di Perlis,” katanya kepada pemberita di pekarangan pintu masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar hari ini.

    Terdahulu, sewaktu sesi soal jawab lisan, Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) bertanyakan Rozaimi mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi mempermudahkan proses buat pasangan yang bernikah di Thailand untuk mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri ini.

    Menurut Mohd Ridzuan, terdapat banyak kes pasangan tidak mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini sehingga menyebabkan anak-anak turut terkesan antaranya tidak dapat mendaftar untuk persekolahan.

    Dalam pada itu, Rozaimi berkata mahkamah syariah di Perlis juga tidak mewajibkan pihak yang ingin berpoligami untuk memaklumkan perkahwinan mereka kepada isteri pertama, namun maklumat yang dikemukakan itu seharusnya lengkap.

    “Jika maklumat tidak lengkap dan meragukan, mahkamah syariah akan memanggil isteri pertama bagi mendapat pengesahan,” katanya.

    — BERNAMA

  • KDN tandatangani MoU, lapan kontrak bernilai RM2.596 bilion

    KDN tandatangani MoU, lapan kontrak bernilai RM2.596 bilion

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan lapan kontrak dengan syarikat tempatan dengan nilai keseluruhan RM2.596 bilion.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata MoU dan kontrak berkenaan merupakan terjemahan kepada komitmen kerajaan, yang meletakkan aspek keselamatan nasional sebagai agenda utama.

    “Ini khususnya dalam perancangan perolehan, bagi memastikan aset-aset keselamatan negara sentiasa berada dalam mod kesiapsiagaan yang tinggi. Ia membuktikan kerajaan sentiasa memberi keutamaan mengenai keselamatan dalam negara.

    “Apabila sesuatu perancangan selesai, kita (KDN) akan bagi kontrak dan tandatangani (MoU). Ia bukti kita bukan hanya bercakap mengenai perancangan, malah kita lantik kontraktor untuk teruskan agenda kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis MoU dan kontrak berkenaan, yang diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, di sini, hari ini

    MoU dan kontrak berkenaan ditandatangani antara Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mewakili KDN, dan Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusof Ismail serta wakil-wakil syarikat tempatan.

    Hamzah berkata daripada lapan kontrak itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tiga kontrak bernilai RM249 juta, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) satu kontrak bernilai RM124 juta dan Jabatan Imigresen menerima empat kontrak bernilai RM2.22 bilion.

    Menurutnya, antara kontrak berimpak tinggi ialah Perolehan Peralatan Satelit X-Band untuk PDRM, Projek Naik Taraf Sistem Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk Jabatan Imigresen.

    — BERNAMA

  • Individu hilang status lengkap vaksin masih boleh makan di restoran, masuk pejabat

    Individu hilang status lengkap vaksin masih boleh makan di restoran, masuk pejabat

    INDIVIDU yang hilang status lengkap vaksin bermula 1 April kerana tidak mendapat dos penggalak masih boleh melakukan aktiviti sama seperti mereka yang lengkap divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Antara aktiviti itu ialah makan di restoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.

    “Sehubungan itu, pemilik-pemilik premis perlu pastikan bahawa hanya pelanggan atau pengunjung yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seperti diumumkan sebelum ini, semua penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas akan kehilangan status vaksinasi lengkap dalam aplikasi MySejahtera sekiranya belum menerima dos penggalak.

    Bagaimanapun katanya, maklumat sejarah vaksin primer yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera masih kekal.

    Khairy berkata seseorang individu diiktiraf sebagai lengkap vaksinasi dos primer apabila memenuhi kriteria seperti bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

    Selain itu, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan.

    Beliau berkata bagi pengembara dari luar negara yang akan memasuki Malaysia, mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya pengembara yang menerima vaksinasi lengkap (lengkap vaksinasi dos primer dan dos penggalak) dibenarkan memasuki premis berkenaan.

    “Pemakluman SOP terbaharu ini bagaimanapun bukan bermaksud penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun dan ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak,” katanya.

    Khairy berkata data penilaian yang dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 menurun sehingga 20 peratus bagi dua dos vaksin Pfizer dan 48 peratus bagi dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas vaksinasi primer.

    Menurutnya pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya boleh mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan COVID-19.

    “Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan dan menggalakkan individu yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya dengan segera,” katanya.

    — BERNAMA

  • Nurulhidayah Zahid pertahan pensyarah UiTM marah pelajar B40

    Nurulhidayah Zahid pertahan pensyarah UiTM marah pelajar B40

    DATUK Nurulhidayah Ahmad Zahid mempertahankan tindakan seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tular kerana memarahi pelajarnya yang tidak menggunakan komputer riba semasa mengikuti kuliah dalam talian.

    Anak perempuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berpandangan, walaupun pelajar terbabit adalah orang susah, dia seharusnya bertanggungjawab.

    Berikut adalah catatan penuh beliau dalam Instagram miliknya:

    “Pendapat saya, Prof tu marah sebab dah Semester 5 takda laptop. Yer la org susah tapi sebagai pelajar, seharusnya bertanggungjawab juga dan letakkan perkara yang utama sebagai priority. Saya ni ada jugak pensyarah yang saya tak suka tapi takda la sampai nak aibkan pensyarah. Dah dia pensyarah dia marah la student yang dia rasakan tak ambik serius dan ambik mudah dalam hal pembelajaran.

    Zaman sekarang laki marah bini masuk SOCMED. Bini marah laki masuk SOCMED. Gaduh laki bini, sakit hati semua nak letak kat SOCMED. Kena marah dengan pensyarah pun masuk SOCMED.

    “Budak zaman ni jam. Divert la rasa sedih dan kecewa tu kepada satu tenaga untuk membakar semangat. Kalau betul nak ilmu tak akan share atau aibkan pensyarah mcm tu.

    “Reality lagi teruk. Habis kalau kau kena marah dengan boss nanti pun letak kat SOCMED ker macamana? Kau rasa nanti majikan nak tak ambik pekerja mcm tu? Sikit2 letak kat SOCMED.

    “Pendapat saya, pensyarah tu tak menghina B40 pun. Saya berpendapat, dia kata macam tu sebab beyond kecewa. Terlalu kecewa.

    “Ramai jer org B40 yang berjaya. Ramai jer orang mak pak yang meninggal masa kecik, masa belajar dan berjaya. Dan ramai juga yang buat part time kerja untuk beli laptop. Ramai jer yang boleh bantu belikan laptop – NGO, wakil2 kerajaan, ADUN, wakil rakyat.

    “Hendak seribu daya. Itu maksud pensyarah tu sebenarnya.

    “Yang penting utamakan yang utama dan kesungguhan kita untuk mencapai apa yang kita mahukan.”

    nurulhidayaj hatta dolmat

    Hantaran tersebut seterusnya menerima teguran daripada netizen dan salah seorang daripada mereka ialah pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat.

    Kata Hatta: “Hatta pernah lalui zaman macam ni kak long, tak semua orang senang, masa Hatta belajar Hatta pun takde laptop, tapi apa yang lecturer Hatta buat dia takde marah Hatta sebab takde laptop dia just nak Hatta habiskan thesis dengan pinjamkan laptop dia untuk Hatta habiskan thesis. Ada cara pedekatan yang lebih baik dengan student ni kalau betul lecturer fahami perangai student Hatta pun bukan student baik dulu. Alhamdulillah Hatta lepas degree n thesis thank you to lecturer en Anas from @uitm.official.”

    Manakala, netizen lain mengecam tindakan Nurulhidayah yang mempertahankan penghinaan yang dilemparkan oleh pensyarah terbabit kepada golongan B40.

    “Nak tegur tu tak salah, tapi jangan sampai menghina. Tu je point dia. Tak kisah kau B40 ke T20 ke M40 ke tetap kau kena hormat orang”

    “Bole marah tapi jangan la sampai cakap ‘saya tak boleh duduk dengan B40’.. itu sh tahap menghina.. lain macam dah kalau dengar pun”

    “Nasib tak semua sama kklong, kita sendiri tak tahu keadaan budak tu macam mana. Sama la macam kita pun, semua benda nak share kat socmed, semua benda nak viral.”

    “Awak golongan kayangan bole la cakap macam tu”

    Ruangan komen di bawah hantaran Instagram Nurulhidayah tersebut telah pun ditutup.

  • Kerajaan BN Pahang mesti segera selesai masalah air

    Kerajaan BN Pahang mesti segera selesai masalah air

    KERAJAAN negeri Pahang digesa supaya segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, isu air yang sering dibangkitkan oleh wakil rakyat, harus diambil serius oleh kerajaan negeri kerana beberapa kawasan kerap mengalami masalah tekanan air rendah dan air keruh.

    “Selain itu, saya ingin menegur kerja-kerja yang dilakukan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ketika membaiki paip pecah di bawah tanah, kadang-kadang jalan diturap semula dengan keadaan yang tidak memuaskan. Ini menyebabkan jalan rosak dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

    Terdahulu, wakil rakyat DAP itu bertikam lidah dengan Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak (BN-Benta) yang mendakwanya sebagai berbohong apabila beliau berkata ADUN pembangkang tidak dilibatkan dalam sebarang mesyuarat selain tidak disalurkan informasi melibatkan isu semasa dan berkaitan rakyat.

    “ADUN Ketari berbohong, saya mencabar Ketari bahawa beliau tidak dapat informasi yang tepat daripada pihak kerajaan,” kata Mohd Soffi.

    Malah, beberapa wakil rakyat pembangkang turut meminta Mohd Soffi menarik balik kenyataan itu yang dianggap sangkaan jahat terhadap ahli dewan lain, bagaimanapun Timbalan Speaker Datuk Seri Mohamed Jaafar meminta perbahasan diteruskan.

    Sementara itu, Andansura Rabu (PAS-Beserah) ketika mencelah perbahasan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan) mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari penyelesaian secara tuntas masalah bekalan air negeri ini.

    “Hampir kesemua wakil rakyat bercakap soal yang sama (isu air), jika belum ada, tubuh pasukan khas bagi mencari penyelesaian isu air dalam tempoh masa setahun hingga tiga tahun.

    “Kemukakan penyelesaian supaya rakyat tahu apa yang kita sedang buat, libatkan kepakaran teknikal dan ekonomi kerana penyelesaian ini turut melibatkan sumber pembiayaan,” katanya.

    Persidangan bersambung esok. – BERNAMA

  • Kerajaan Terengganu siasat dakwaan isu jual tanah kepada Vincent Tan

    Kerajaan Terengganu siasat dakwaan isu jual tanah kepada Vincent Tan

    KERAJAAN negeri Terengganu akan menyiasat dakwaan berhubung isu penjualan tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, penjualan tanah milik kerajaan adalah satu isu yang besar dan siasatan terperinci akan dijalankan.

    Beliau berkata, rekod itu boleh diperiksa, tanah itu daripada mana, diambil, dibeli dan sebagainya.

    Malah katanya, semua itu ada dalam rekod tetapi pihaknya belum lagi lihat dan difahamkan difahamkan telah dilapor kepada polis.

    “Jadi biar pihak polis menjalankan siasatan (dan) kita pun nak tahu juga keadaan sebenarnya, sebab jarang kerajaan jual tanah ini, kalau individu jual tanah memang berlaku,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tahun Semarak Dakwah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

    Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, seorang individu mendakwa bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menggadai tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada Vincent.

    Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menafikan perkara berkenaan dan memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan jutawan berkenaan sepanjang menjadi Menteri Besar.

    Beliau telah membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman pada 28 Mac lalu.

    Menurut Ahmad, sepanjang menjadi Menteri Besar, beliau tidak pernah menyerahkan mana-mana tanah milik kerajaan negeri kepada Vincent seperti dakwaan seorang individu menggunakan nama Razak Bidin di laman sosial Facebook

    Ahmad berkata, beliau telah membuat carian dengan Pejabat Tanah Daerah dan mendapati tidak ada pun tanah kerajaan yang diserahkan kepada jutawan berkenaan, melainkan jika dia membeli tanah di Pulau Redang dan disenaraikan nama kepada orang perseorangan.

  • Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    KERAJAAN bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

    “Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keputusan memberikan pengecualian bayaran tol melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat yang ditutup sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

    “Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, sempena pembukaan semula sempadan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

    “Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, bagi memastikan perjalanan lancar, PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi berkaitan juga giat melakukan persiapan akhir termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di lebuh raya PLUS.

    “Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, bermula 1 April juga, semua pengembara yang lengkap vaksinasi dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA

  • UiTM akan ambil tindakan ke atas pensyarah

    UiTM akan ambil tindakan ke atas pensyarah

    UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan mengambil tindakan terhadap seorang pensyarahnya yang tular mengherdik pelajar dipercayai semasa sesi pembelajaran dalam talian yang tidak mempunyai komputer dan memperlekehkan golongan B40.

    Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor berkata, pensyarah berkenaan telah dikenalpasti sebagai seorang pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar yang mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).

    Katanya, pihak universiti sedang meneliti tindakan sewajarnya ekoran video tular itu, manakala pelajar berkenaan sudah dibantu dari segi peralatan.

    “Saya difahamkan, insiden terbabit berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuat naik semalam. Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba).

    “[…] Tindakan akan diambil, tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil. Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya,” katanya lapor Berita Harian.

    Dalam perkembangan berkaitan, UiTM mengesahkan telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

    “UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak,” kata UiTM dalam satu kenyataan hari ini.

    Menerusi kenyataan itu, Roziah dipetik berkata bahawa UiTM ada menyediakan pelbagai dana buat pelajar kurang berkemampuan, kerana memahami kekangan dan kesulitan dihadapi pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

    Bekiau turut menyeru pelajar yang berdepan masalah untuk berhubung dengan pihak fakulti dan universiti bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

  • MPP UiTM gesa tindakan terhadap pensyarah didakwa perlekeh B40

    MPP UiTM gesa tindakan terhadap pensyarah didakwa perlekeh B40

    MAJLIS Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia mendesak pengurusan tertinggi universiti itu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap seorang pensyarah yang didakwa menghina golongan B40.

    Dalam klip video yang tular di media sosial, pensyarah wanita terbabit dilihat memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan seolah-olah memperlekeh golongan berpendapatan rendah.

    Malaysiakini melaporkan, Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan berkata, tindakan pensyarah itu tidak wajar, bahkan UiTM sendiri dibina atas dasar membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

    “Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B-40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak.

    “Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti ini,” katanya dalam kenyataan.

    Terdahulu, video klip berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan seorang pensyarah bertaraf profesor memarahi seorang mahasiwa kerana menggunakan telefon bimbit dan bukan komputer riba ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.

    Pensyarah wanita itu dilihat bertanya mengenai ibu bapa pelajar itu, di mana pelajar tersebut menjawab bapanya tidak bekerja dan ibunya sudah tiada.

    “Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Harga lapan ratus saja beli komputer. Apa masalah kau? Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” kata pensyarah tersebut.

    Mengulas lanjut, Rasydan berkata, pensyarah berkenaan sepatutnya memahami keadaan negara yang masih dilanda pandemik menyebabkan hampir semua rakyat Malaysia berhadapan kesulitan ekonomi.

    “Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya sedia maklum mengenai rakaman video berkenaan dan telah berhubung dengan pihak UiTM untuk mendapatkan penjelasan.

    “Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini. Saya telah berhubung dengan pihak @uitmofficial untuk meminta penjelasan mereka,” katanya.

  • Kelantan tak pernah jual tanah kepada rakyat, cuma lupuskan

    Kelantan tak pernah jual tanah kepada rakyat, cuma lupuskan

    KERAJAAN negeri Kelantan tidak pernah menjual tanah kepada rakyat sebagaimana yang didakwa, sebaliknya melupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat.

    Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah berbuat sedemikian.

    Sebaliknya kata beliau, kerajaan negeri lupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat dengan mengenakan bayaran premium tertentu. Jika rasa mahal, mereka boleh membuat rayuan untuk pengurangan.

    “Apa yang pasti, kita tidak jual tanah kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) berhubung dasar kerajaan dalam soal pemberian tanah berikutan terdapat dakwaan mengatakan kerajaan negeri Kelantan menjual tanah kepada rakyat.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pengurangan bayaran premium tanah kepada rakyat di negeri itu.

    Menurut beliau, mana-mana penduduk yang merasakan bayaran premium perlu dibayar itu tinggi, mereka boleh membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan.

    “Boleh buat cadangan mengikut keadaan orang yang membuat rayuan. Kadang-kadang kita terkena dengan mereka yang sudah berduit.

    “Namun mereka yang kurang berkemampuan boleh membuat dengan mengemukakan sebab tertentu sebelum rayuan terbabit diangkat untuk perbincangan.

    “Menerusi perbincangan itu, kita akan membuat keputusan berapa banyak pengurangan yang dikenakan kepada pemohon,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri).