Category: Umum

  • Sanusi mohon maaf kepada penduduk terkesan tragedi banjir di Baling

    Sanusi mohon maaf kepada penduduk terkesan tragedi banjir di Baling

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini secara terbuka memohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas akibat tragedi banjir dan kepala air yang berlaku di Kupang, di sini 4 Julai lepas.

    Beliau berkata permohonan maaf itu dibuat atas sifat kemanusiaan serta rasa tanggungjawab yang dipikulnya sebagai ketua kerajaan berhubung kejadian yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu yang hamil empat bulan.

    Katanya, permohonan maaf itu juga adalah mewakili kerajaan negeri semasa serta pentadbiran sebelum ini sekiranya wujud kesilapan secara tidak langsung yang dikatakan menjadi sebab kepada tragedi yang berlaku pada minggu lepas.

    “Sebagai manusia, atas sifat kemanusiaan…bagi pihak kerajaan negeri sekarang ini, saya mohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas.

    Tiada siapa berniat untuk mendatangkan bencana kepada sesiapapun tetapi kesannya di luar jangkaan… takkan nak berkeras sampai bila-bila, orang sudah hadapi bencana walaupun pada pandangan kita, kita dah ambil keputusan yang terbaik,” katanya dalam sidang media di Baling  hari ini.

    Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Sewa Rumah kepada 17 mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bencana banjir dan kepala air di Pejabat Daerah Baling.

    Muhammad Sanusi berkata, permohonan maaf itu bukanlah bermaksud beliau mengakui keseluruhan kesilapan berpunca daripada kerajaan negeri semasa, sebaliknya ia dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

    “Tidak bermaksud saya mengakui kesilapan secara keseluruhannya, tidak ada siapa yang minta bencana ini terjadi, termasuklah tragedi yang berlaku di Gunung Jerai, Yan tahun lalu…bagi pihak kerajaan negeri, kita minta maaf kerana sebagai kerajaan kita patut melindungi rakyat.

    Kita tak dapat jangka perkara itu akan berlaku…saya tidak fikir siapa yang salah, cuma sebagai manusia setinggi manapun kedudukan dan pangkat kita, kita sangat kerdil sebagai makhluk dan sangat terbatas, atas kelemahan-kelemahan sebagai manusia, kita minta maaf tak dapat melindungi rakyat sepenuhnya,” katanya.

    Terdahulu, pada majlis itu kesemua 17 keluarga yang rumah mereka musnah dalam tragedi berkenaan, masing-masing menerima wang ihsan tunai RM3,000 sebagai bantuan sewa rumah dan utiliti untuk tempoh enam bulan.

    — BERNAMA

  • Rampas arak tidak bercukai di persisir pantai

    Rampas arak tidak bercukai di persisir pantai

    SEORANG lelaki tempatan ditahan bersama 327.24 liter minuman keras tidak bercukai di kawasan pesisir pantai Tanjung Kupang, Iskandar Puteri pada pukul 1 tengah hari semalam

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan semasa anggotanya membuat pemantauan di kawasan itu selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan

    “Setelah ditahan dan diperiksa dijumpai pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai kastam di bahagian tempat duduk belakang dan but belakang kenderaan. Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM131,728,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, penyeludupan minuman keras sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

    “Masyarakat diminta segera menghubungi dan berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu penyeludupan. Penyeludup adalah musuh negara. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221,” katanya.

  • Jemaah haji Malaysia pulang mulai 17 Julai

    Jemaah haji Malaysia pulang mulai 17 Julai

    JEMAAH  haji Malaysia akan pulang ke tanah air bermula 17 Julai ini dan berlepas dari Jeddah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata penerbangan terakhir pula dijangka pada 12 Ogos iaitu selepas kumpulan jemaah terbabit selesai menziarahi Madinah.

    “Seramai 14,305 jemaah negara telah mengerjakan haji dan mereka terdiri daripada 85 peratus di bawah pakej muassasah dan 15 peratus di bawah pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH).

    “Tahniah saya ucapkan kepada pengurusan TH yang telah melaksanakan peranan mengendalikan jemaah haji Malaysia dengan cemerlang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

    Idris berkata tamat musim haji tahun ini, TH akan terus membuat persiapan untuk musim haji tahun 2023 dan beliau yakin agensi itu akan mempertingkatkan perkhidmatan serta menambah baik gerak kerja demi kebaikan jemaah.

    Katanya, beberapa perkara telah dibincangkan bersama kerajaan Arab Saudi terutama membabitkan kos mengerjakan ibadah itu yang naik secara mendadak baru-baru ini.

    “Pada minggu lepas saya dapat berjumpa dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan di dalam pertemuan itu juga saya berkongsi kerisauan jemaah dan juga TH tentang kenaikan kos menunaikan haji.

    “Kos haji pada tahun ini yang pada mulanya dianggarkan sebanyak RM25,540 sebenarnya telah naik kepada RM28,000 bagi seorang jemaah. Ini disebabkan beberapa caj baru dan peningkatan kos sedia ada oleh syarikat pengurusan muassasah serta agensi-agensi lain di Arab Saudi,” katanya.

    Keadaan inflasi yang berlaku di seluruh dunia turut menjadi kerisauan beliau terutama dalam urusan ibadah haji dan pihak TH perlu menerima realiti bahawa kenaikan kos berlaku setiap tahun.

    Bagaimanapun, Idris berkata dalam masa sama TH perlu mencari jalan supaya bayaran ibadah itu tidak membebankan bakal haji Malaysia.

    “Apa yang pasti ialah kita akan meneruskan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah yang memerlukan, tetapi kepada bakal haji yang memang mampu saya syorkan untuk membayar penuh kos haji atau kalau mahu boleh pilih pakej swasta,” katanya.

    — BERNAMA

  • Arab Saudi umum permohonan visa umrah 1444 Hijrah dibuka mulai hari ini

    Arab Saudi umum permohonan visa umrah 1444 Hijrah dibuka mulai hari ini

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan permohonan visa umrah 1444 Hijrah bagi jemaah luar negara dibuka mulai hari ini.

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) memetik kenyataan kementerian itu pada Rabu melaporkan, jemaah umrah dari dalam dan luar Arab Saudi akan mengerjakan ibadah umrah dan ziarah Masjid Nabawi mulai 30 Julai ini.

    Syarat permohonan visa umrah boleh disemak di portal kementerian menerusi pautan https://haj.gov.sa/en/InternalPages/Umrah.

    Bagi agensi umrah dan ziarah dari luar Arab Saudi yang ingin memohon lesen perkhidmatan umrah, maklumat lanjut boleh didapati di laman https://umralicense.haj.gov.sa.

    Syarikat agensi umrah dan ziarah juga diingatkan untuk melampirkan dokumen pendaftaran perniagaan, keahlian IATA dan dokumen-dokumen berkaitan.

    Menurut kenyataan itu, pemohon visa juga disyaratkan telah mengambil vaksinasi COVID-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain menpunyai sijil lengkap vaksinasi yang diperakui sah negara masing-masing bagi menjamin pencegahan penularan COVID-19.

    — BERNAMA

  • Duta Indonesia persoal Malaysia tak hormati MoU

    Duta Indonesia persoal Malaysia tak hormati MoU

    DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mempersoal tindakan kerajaan Malaysia yang tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani kedua-dua negara berkenaan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada April lalu.

    Menurut beliau, dalam MoU itu secara jelas menyatakan pengambilan pekerja Indonesia perlu dilakukan menerusi sistem satu saluran yang diputuskan oleh kedua-dua negara.

    Hermono berkata, menerusi sistem itu, pihak Indonesia akan mendapat maklumat terperinci sekali gus menangani isu-isu yang sebelum ini dilihat telah menindas PDI.

    “Apabila digunakan sistem (yang dibangunkan) Malaysia, ini sangat membahayakan pekerja-pekerja Indonesia dan sangat merugikan pekerja-pekerja Indonesia. Kita (Indonesia) juga tidak mengetahui siapa majikan mereka, kita tidak mengetahui apakah mereka memiliki kontrak pekerjaan, jika pun memiliki kontrak pekerjaan, adakah ia selari dengan apa yang disepakati dalam MoU?

    “Jadi di sini isunya adalah apabila pengambilan pekerja domestik dari Indonesia mengguna sistem kini, ia sangat berisiko bagi pekerja Indonesia dan kita pun tidak tahu siapa majikan mereka, di mana mereka bekerja, bagaimana mereka digaji, bagaimana mereka diperlakukan, kita tidak tahu. Jadi ini sangat merugikan kepentingan Indonesia dalam hal ini, iaitu kepentingan untuk memberi perlindungan.

    “Sebelum ini kita dapati banyak kes di mana PDI ada yang tak dibayar bertahun-tahun, ada yang sampai 17 tahun tidak dibayar, selain ada yang diperlakukan secara tidak manusiawi. “Jadi, Indonesia ingin isu-isu ini diselesaikan dengan semangat yang baik antara kedua negara,” katanya kepada Niaga AWANI hari ini.

    Hermono berkata, keputusan membekukan kemasukan pekerja itu bukanlah sesuatu yang mudah kepada Indonesia.

    Ia kerana, beliau ingin hubungan antara Indonesia dan Malaysia berdasarkan pada prinsip saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain lantaran kedua negara memiliki kepentingan yang sangat besar dalam isu ini.

    “Pemerintah Indonesia dengan sangat terpaksa menghentikan sementara waktu menghantar seluruh pekerja Indonesia ke Malaysia melibatkan seluruh sektor, tidak hanya pekerja domestik sahaja.

    “Indonesia terpaksa mengambil keputusan ini kerana kami mendapati Malaysia tidak menghormati MoU yang ditandatangani di Jakarta, di hadapan kedua pemimpin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Joko Widodo.

    “Sebetulnya, isu ini mudah sahaja. Kami (Indonesia) bertanya, mengapa pihak Malaysia tidak menghormati MoU yang sudah disepakati dan ditadatangani di hadapan kedua pemimpin.

    “Jadi kami sangat kecewa dan berharap hubungan Malaysia-Indonesia ini dibangun berdasarkan saling menghormati, saling percaya dan saling menguntungkan kedua belah pihak,” ujarnya.

    Justeru pihaknya meminta Malaysia menghormati MoU yang ditandatangani, demi memastikan isu-isu berkaitan PDI dapat ditangani secara holistik oleh kedua-dua pihak.

  • Jangan kaitkan TH dalam isu kartel, visa furada

    Jangan kaitkan TH dalam isu kartel, visa furada

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) tiada kaitan langsung dengan isu kartel atau visa furada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, adalah tidak wajar agensi itu dipersalah kerana TH sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menjaga nama baik Malaysia malah sentiasa mengutamakan kebajikan jemaah haji.

    Idris berkata, bagi membuktikan TH tidak melakukan sebarang kesalahan, pihaknya sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bila-bila masa.

    “Apabila musim haji tiba, akan ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan. Kita tidak mahu apabila berlaku perkara begini, beban itu ditanggung oleh TH. Pengurusan lesen haji di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH) juga perlukan syarat ketat.

    “TH akan selidik semua syarikat yang nak masuk PJH. Jadi tak timbul soal kartel, kita bersedia jika SPRM masuk siasat. Kita buka pejabat 25 jam untuk tengok isu kartel ini,” katanya kepada pemberita di Makkah hari ini.

    Beliau berkata, TH sentiasa memantau perkembangan syarikat berdaftar di bawah PJH bagi memastikan mereka layak serta mempunyai reputasi dan kewangan yang baik.

    Idris juga berkata, beliau tidak mahu saban tahun perkara sama berlaku seperti insiden yang menimpa 380 bakal jemaah haji baru-baru ini sedangkan orang ramai telah diperingat tentang risiko haji furada.

    “Tak sepatutnya kejadian sebegini berlaku sedangkan negara lain memuji negara kita, jemaah juga memuji perkhidmatan yang diberi oleh TH. Janganlah ada yang memfitnah dan mereka-reka cerita. Mungkin ada sedikit kelemahan TH (dalam operasi) tetapi janganlah cuba meletakkan beban pada TH,” katanya.

    Beliau berkata, selepas kembali ke tanah air, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bagi membincangkan isu haji furada, umrah serta strategi melaksanakan pengawasan lebih ketat.

    Beliau turut menasihati orang ramai yang berhasrat melaksanakan ibadah haji dan umrah supaya berhati-hati termasuk pemilihan syarikat pelancongan kerana pakej haji swasta bukanlah sesuatu yang murah.

    “Pastikan ejen yang dipilih mempunyai sejarah atau rekod prestasi yang baik dan boleh dipercayai. Kalau perlu pergi melawat pejabat dan tengok sendiri operasi mereka. Jangan hanya tumpu kepada harga yang menarik dan berurusan melalui telefon sahaja walaupun yang mengesyorkan itu kawan baik kita.

    “Begitu juga dengan badal haji. Kita perlu faham bahawa syarat untuk rakyat Arab Saudi sendiri tunai haji adalah ketat dan mereka perlu ambil pakej yang harganya paling rendah RM12,000. Jadi kalau ada tawaran badal haji yang terlalu rendah, jangan gopoh, periksa dahulu siapa yang akan melaksanakan badal haji ini,” katanya.

    Berdasarkan rekod, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat yang ditetapkan antaranya berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut serta memiliki rekod Bank Negara melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS). – BERNAMA

  • Isu subsidiari Petronas: Aset dan kedaulatan negara masih terpelihara

    Isu subsidiari Petronas: Aset dan kedaulatan negara masih terpelihara

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa semalam, Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang telah dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (Perintah Penggantungan) berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan ‘successors-in-interest’ kepada Sultan Jamalul Kiram II melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

    Menurut beliau, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

    Wan Junaidi berkata, Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

    “Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

    Semalam, Akhbar Financial Times melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris Kesultanan Sulu yang menuntut US$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

    Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset terbabit yang didaftarkan di Luxembourg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih US$2 bilion (RM8.8 bilion).

    Pada 11 Julai 2022, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

    Beliau menambah, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.

    “Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

    “Berikutan itu, kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan Partial Award on Jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr Stampa,” jelasnya.

    Wan Junaidi memberitahu, berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

    Menurut beliau, Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.

    “Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf Partial Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr. Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.

    “Kerajaan Malaysia telah mencabar Perintah Exequatur yang diperolehi secara ex parte tersebut dan Kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh Perintah Penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

    “Ini bermakna pihak Penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperolehi pada 29 September 2021,” jelasnya.

    Wan Junaidi berkata, bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.

    Selain itu, katanya, prosiding jenayah terhadap Dr Stampa juga difailkan oleh kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding bagi perkara ini masih berjalan.

    “Berikutan kejayaan kerajaan Malaysia mendapatkan Perintah Penggantungan Final Award pada 12 Julai 2022, kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

    “Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

  • KXP: Penamatan ECK tiada kaitan Musang King di Gunung Inas

    KXP: Penamatan ECK tiada kaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh BADLISHAH MAT

    KUMPULAN Syarikat ECK (ECK) sudah tidak lagi terlibat dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

    Beliau menegaskan, usaha sama tersebut ditamatkan bukan kerana syarikat berkenaan memiliki kaitan dengan penanaman durian Musang King di Gunung Inas seperti didakwa sesetengah pihak.

    Sebaliknya Muhammad Sanusi berkata, penamatan itu disebabkan syarikat berkenaan tidak dapat memenuhi syarat dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.

    Katanya, salah satu syarat yang gagal dipenuhi ECK adalah mereka gagal menyediakan deposit yuran komitmen yang berjumlah 125 peratus daripada RM2.1 bilion untuk pengambil alihan tanah

    “Itu adalah perkara asas dan apabila tanah tak dapat diambil, maka projek itu tak ‘jalanlah’. Tetapi kita tak berniat nak batalkan projek tersebut. Apabila khidmat mereka ditamatkan, kita cari orang lain pula untuk buat usaha sama bagi laksanakan projek tersebut.

    “Yang pastinya penamatan usaha sama bersama ECK ini tiada kaitan dengan ladang duriang Musang King di Gunung Inas atau kejadian kepala air serta banjir yang berlaku.

    “Saya buat keputusan tamatkan usaha sama dengan ECK pada Mei sedangkan kejadian banjir baru berlaku minggu lepas, macam mana boleh kata ada kena mengena?” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir semalam mendakwa, ECK telah membeli syarikat Aman Mega Sdn. Bhd. yang kemudian dibenarkan menanam durian Musang King ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN), pada era Ahmad Bashah menjadi Menteri Besar.

    Menurut Mukhriz, Sanusi kemudiannya menganugerahkan projek KXP kepada ECK sebelum anugerah itu dibatalkan berikutan ketidak mampuan syarikat berkenaan melaksanakan projek mega tersebut.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat tujuh atau lapan syarikat yang menunjukkan minat untuk meneruskan projek KXP seperti dihasratkan kerajaan negeri.

    “Mereka sudah hantar kertas cadangan dan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. akan buat penilaian serta usaha wajar (due diligence) bagi memilih syarikat yang layak. Kita akan laksanakan proses pemilihan paling menyakinkan sebab projek ini melibatkan pelaburan besar,” katanya.

  • ”Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi” -Sanusi

    ”Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi” -Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau enggan terlibat dalam permainan tuduh-menuduh antara dua bekas Menteri Besar negeri itu berhubung isu Musang King di Kupang, Baling.

    Beliau enggan mengulas lanjut dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah kerana perkara itu tidak membawa manfaat kepadanya dan rakyat.

    “No komen. Saya tak mahu terlibat dalam blame game. Hangpa (kamu) duk heret saya masuk blame game. I won’t play. Saya tak mahu mencari salah orang. Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi,” katanya selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Semalam, Mukhriz mendakwa bahawa penanaman durian Musang King di Gunung Inas yang dikaitkan dengan tanaman durian Musang King dibuat Ahmad Bashah ketika menjadi Menteri Besar pada 2016 hingga 2018.

    Justeru, beliau meminta agar kedua-dua pemimpin itu tidak bercakaran antara satu sama lain, sebaliknya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah rakyat yang dihadapi.

    “Tak ada faedah apa (cari) siapa bersalah. Dah bersalah jadi apa? Adakah orang yang rumah runtuh akan terbina semula rumah dia bila kita jumpa orang yang bersalah (tetapi) kita kena usahakan nasib mereka terbela,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang secukupnya kepada jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan tragedi kepala air dan banjir lumpur sebelum membuat rumusan terhadap punca kejadian itu di Kupang.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan memberi sebarang tempoh masa kepada pihak terbabit termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan tugas mereka.

    “Ya, kita bagi masa yang cukuplah kepada jabatan ini. Saya tak tahu (berapa lama), terpulanglah kepada jabatan, free and easy. Kerana kalau kita bagi sebab (punca) apa pun, penduduk tak akan dapat balik kepada kedudukan asal.

    “Orang desak saya buat rumusan cepat (untuk) katakan Musang King itu penyebab kepada banjir. Tetapi tak boleh begitu kerana sebagai ketua kerajaan saya kena dengar laporan jabatan dan agensi yang ada kepakaran khusus dalam bidang berkaitan.

    “Kalau saya mendahului mereka, tiba-tiba dapatan (hasil siasatan) jabatan dan agensi berlainan, akan flip flop. Kerajaan tak boleh begitu kerana kena guna dapatan agensi dan jabatan kita. Saya tak boleh pakai jabatan netizen punya pandangan,” katanya.

  • Polis selesai kes pukul, samun lelaki di bawah flat dalam masa 24 jam

    Polis selesai kes pukul, samun lelaki di bawah flat dalam masa 24 jam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menyelesaikan kes seorang lelaki dipukul dan disamun sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah flat di Pasir Gudang, semalam dalam masa tidak sampai 24 jam.

    Kejadian berlaku pada pukul 4.05 pagi di bawah flat tersebut ketika mangsa yang berusia 23 tahun berjalan berseorangan diri untuk pulang ke rumahnya di flat berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak: “Mangsa dipukul sekumpulan suspek tanpa senjata dan barangan peribadi milik mangsa dirampas.

    “Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir dan sakit di bahagian bahu kanan.

    “Barangan yang dirampas termasuk sebuah telefon bimbit jenis Vivo V2, dompet mengandungi kad pengenalan mangsa dan wang tunai SGD 460 (RM1,449),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan bertindak atas maklumat pada pukul 6.07 petang, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan.

    Beliau berkata, lima warga tempatan diberkas sekitar Pasir Gudang yang berusia antara 20 hingga 32 tahun dan semakan rekod mendapati tiga suspek memiliki empat rekod jenayah lampau.

    Tambah Sohaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh hingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan.

    “Semua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 KPJ selama lima hari mulai 13 Julai hingga 17 Julai depan,” ujarnya.

    Pihaknya berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh kurang 24 jam selepas mangsa membuat laporan polis.