Category: Umum

  • Pengeluaran tender balak di HSK: Peka anggap PH hipokrit

    Pengeluaran tender balak di HSK: Peka anggap PH hipokrit

    SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kekecewaan mereka terhadap pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) di negeri terbabit.

    Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dalam satu kenyataan berkata, ketika negara dilanda pelbagai bencana alam akibat kegagalan pengurusan hutan, Negeri Sembilan sepatutnya melindungi khazanah alam negeri supaya menjadi benteng perlindungan daripada ancaman pemanasan global dan perubahan iklim yang menjana cuaca ekstrim sekarang.

    “Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim boleh dikatakan hipokrit kerana membiarkan pembalakan di negeri pentadbiran mereka,” kata Peka, lapor Malaysiakini hari ini.

    Peka berkata, sebelum ini Anwar selaku ketua pembangkang pernah meminta NGO berkaitan alam sekitar menghantar soalan berkaitan kepadanya untuk dibangkitkan di Dewan Rakyat.

    Anwar juga kata Peka, pernah menjemput NGO alam untuk menghadiri Simposium Pemanasan Global dan Perubahan Iklim di Parlimen, namun pada masa sama Negeri Sembilan yang ditadbir PH sendiri mempromosikan tender “mengeluarkan balak di hutan simpan kekal” di negeri berkenaan.

    Mengiringi kenyataan Peka itu ialah iklan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengenai notis bertarikh 5 Okt lalu yang mempelawa tawaran kontrak untuk mengeluarkan balak dari beberapa petak di hutan simpan Lenggeng dan hutan simpan Gapau.

    Notis itu menyatakan, tender tersebut melibatkan kawasan seluas 94.66 hektar atau bersamaan dengan lebih 130 padang bola sepak.

    Menurut notis tersebut, tender berkenaan adalah untuk membuka laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan di antara Kampung Ganu dan Ulu Beranang.

    Tawaran untuk tender berkenaan hendaklah dikemukakan sebelum tengah hari 26 Okt ini.

  • ‘Peluru BN’: Bukti niat jahat hasil siasatan buku Tommy

    ‘Peluru BN’: Bukti niat jahat hasil siasatan buku Tommy

    BEKAS Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata pengakuan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencemarkan hasil siasatan terhadap buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

    Ia susulan kenyataan Ismail Sabri mengenai keinginannya supaya laporan hasil siasatan pasukan petugas khas itu digunakan sebagai ‘peluru Barisan Nasional’ (BN) untuk menyerang Pakatan Harapan (PH), kata Ambiga menurut Mkini.

    Beliau dipetik sebagai berkata serangan terhadap bekas peguam negara berkenaan adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah terjadi sebelum ini.

    Ambiga juga menganggap langkah diambil Ismail Sabri tersebut sebagai suatu bentuk serangan ke atas pentadbiran sistem kehakiman negara.

    “Untuk mengakui ia (laporan siasatan) memang disediakan untuk menjadi peluru politik membuktikan wujud niat jahat di sebaliknya.

    “Sebarang siasatan yang dijalankan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penindasan politik,” kata Ambiga melalui Twitter yang dipetik MKini.

    Dalam perhimpunan BN di Bagan Datuk semalam, Ismail Sabri mengakui dia bersetuju menyahklasifikasi laporan siasatan Putrajaya terhadap buku Thomas, My Story: Justice in the Wilderness, agar ia boleh dijadikan ‘peluru politik’ bagi menyerang PH, lapor Mkini.

    Beliau mengakui telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar, untuk menyiarkan laporan itu di laman web kerajaan.

    “Saya dah beri ‘peluru’… contohnya kita sudah dedahkan kepada umum tentang laporan oleh jawatankuasa khas, menyiasat Tommy Thomas.

    “Saya dah beri peluru banyak-banyak. Saya sudah minta kepada menteri undang-undang supaya keluarkan dalam laman web Menteri Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara terperinci mengenai apa dilakukan dan kesalahan-kesalahan oleh Tommy Thomas,” katanya menurut Awani.

    Sebelum ini, laporan 822 muka surat itu dibentangkan kepada Kabinet pada 30 September lalu selepas pasukan petugas itu menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan dalam buku Tommy.

    Antara lain, Tommy didakwa tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan satu-satunya penyelesaian yang diambilnya untuk menangani kelemahannya ialah melantik peguam luar.

    Pasukan itu juga berpendapat Tommy mungkin melanggar undang-undang dan peraturan termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Kanun Keseksaan Malaysia, Akta Suruhanjaya Rasuah, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

    Susulan itu, Polis Diraja Ma­laysia (PDRM) dilapor mencadangkan Tommy didakwa di mahkamah, dan telah mengemukakan empat kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhu­bung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara itu.

  • Tak jadi lawan anak murid, Anwar kembali ke Permatang Pauh?

    Tak jadi lawan anak murid, Anwar kembali ke Permatang Pauh?

    TEKA-teki kerusi Parlimen bakal ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal terjawab tidak lama lagi selepas difahamkan beliau sudah memuktamadkan keputusannya.

    Presiden PKR itu sebelum ini masih mengintai kerusi Parlimen yang sesuai untuk ditandinginya, malah terdapat cabaran agar beliau bertanding di tempat anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk tetapi tidak diambil serius disebabkan mahu menjaga hubungan baik antara kedua-dua mereka.

    Terbaharu, sebuah portal melaporkan Anwar hampir pasti tidak akan kekal bertanding di Port Dickson sebaliknya bakal kembali ke kerusi lamanya di Permatang Pauh pada PRU-15 ini.

    “Sebagai calon perdana menteri, mereka (ahli strategi PKR) sedar perlu ada simbol untuk menunjukkan Anwar mempunyai sokongan orang Melayu.

    “Dengan memilih Permatang Pauh, Anwar bukan sahaja menunjukkan beliau akan kembali ke kawasan pengundinya, bahkan mendapat sokongan Melayu,” menurut laporan MalaysiaNow yang memetik sumber dalaman berhubung keputusan untuk meletak Anwar di Permatang Pauh.

    Untuk rekod, Anwar sebelum ini dikatakan berhasrat bertanding di kerusi Tambun dan juga tempat bekas Timbalan Presiden PKR di Gombak.

    Bagaimanapun, kerusi tersebut berisiko memandangkan penyandang kedua-dua kerusi tersebut dilihat masih berpengaruh dan mempunyai penyokong kuat.

    Walaupun terdapat pelbagai spekulasi berhubung kerusi mana Anwar akan bertanding, terdapat juga cadangan yang mahu Ketua Pembangkang itu melawan anak muridnya di Bagan Datuk.

    Umum mengetahui hubungan baik kedua-dua cikgu dan anak murid tersebut, ia memandangkan sebelum ini tular klip audio mesra mereka berbincang strategi politik semasa mahu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Permatang Pauh, kerusi luar bandar di Pulau Pinang, dianggap sebagai kubu tradisi Anwar.

    Beliau membuat penampilan sulung di Parlimen sebagai pemimpin muda UMNO pada 1982 selepas menang di kerusi itu.

    Selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998, kerusi itu ditandingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tahun berikutnya.

    Wan Azizah kekal mempertahankan kerusi itu sehingga 2008, selepas beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk membenarkan suaminya bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

    Pada pilihan raya 2018, ketika Anwar sedang menjalani hukuman penjara kedua atas kesalahan liwat, kerusi itu ditandingi oleh anak sulungnya Nurul Izzah.

    Namun, pada tahun yang sama presiden PKR yang mendapat pengampunan diraja tidak kembali ke kerusi tersebut sebaliknya memaksa Pilihan Raya Kecil Port Dickson bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula di Parlimen pada 2018.

  • Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

    Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

    “SAYA bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya tidak kira bangsa dan agama kerana mereka faham dan tahu saya dizalimi,” kata guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam reaksinya selepas didapati tidak bersalah oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap tiga pertuduhan ke atasnya.

    Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli menjelaskan, maksud dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya, walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri.

    Beliau yang kini tular berikutan lantang membicarakan kepincangan sistem pendidikan di negara ini bagaimanapun berkata, perjuangannya untuk merubah silibus pembelajaran yang dakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai akan diteruskan.

    “Itu adalah perjuangan asal saya dan saya mahukan perubahan dalam pendidikan. ‘Kerosakan’ itu perlu dibaiki tetapi bukan semuanya ‘rosak’, kerana masih ada yang baik lagi.

    “Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili saya dalam kes ini,” kata guru sekolah rendah di Gombak, Selangor itu lapor Harian Metro.

    Sementara itu, satu surat daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendedahkan yang mana ia memutuskan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Fadli didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

    Surat berkenaan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

    Cikgu Fadli, guru sekolah rendah di Gombak, Selangor tiga hari lalu berkongsi surat tindakan diterimanya di Facebook, susulan kelantangan beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan keupayaan pelajar.

    Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

  • Aplikasi  ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

    Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

    SEBANYAK 576 sekolah termasuk di pedalaman di seluruh negara akan terlibat dalam program rintis aplikasi ‘Reading Progress’ bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata program rintis yang bermula hari ini itu melibatkan seramai 1,088 guru. 

    “Aplikasi ini akan digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam BI dengan baik. 

    “Melalui pendekatan itu, murid-murid boleh merekodkan audio dan video atau kedua-duanya sekali apabila membaca dalam BI, selain sistem ini akan membantu mereka melihat apakah perkataan, cara sebutan dan sebagainya. 

    “Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan penyusunan struktur ayat yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di Shah Alam hari ini.

    Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian konsep dan usaha pendigitalan pendidikan serta memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan.

    Beliau berkata aplikasi itu juga akan memudahkan tugas guru dalam membuat penilaian tahap kemampuan murid.

    Radzi berkata pihaknya menjangkakan penggunaan aplikasi itu diperluas ke semua sekolah menjelang awal tahun hadapan, selain aplikasi dalam Bahasa Melayu bakal menyusul.

    “Kementerian juga akan memperluaskan dalam Bahasa Melayu sekiranya aplikasi telah tersedia dalam Microsoft yang dijangka pada tahun depan.

    “Semua ini merupakan pendekatan bagi memudahkan pembelajaran dan memastikan lebih cekap serta berkesan,” katanya. – BERNAMA

  • KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik seorang warga Palestin seperti dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika benar ejen Mossad memasuki Malaysia.

    Katanya, kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

    Beliau berkata, jika terdapat mana-mana rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

    “Sesiapa saja yang masuk ke negara kita, mereka perlu ada dokumen sah. Jadi, bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

    “Akhirnya, kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Terdahulu, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa perisik Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percaya merupakan aset Briged Hamas al-Qassam baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, tindakan perisik terbabit menyesuaikan taktik supaya tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka dan aset tempatan dipercayai direkrut untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

    Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas pukul 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

    Pada 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammad Al-Batsh yang merupakan warga Palestin ditembak mati individu dipercayai ejen Mossad.

  • Annuar masih teringin jadi calon PRU-15

    Annuar masih teringin jadi calon PRU-15

    PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyuarakan hasrat menjadi calon pada PRU-15, namun segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

    “Sebenarnya ramai bukan saya saja sentiasa teringin menjadi calon. Kalau kita mempunyai keinginan untuk berkhidmat, maka kena ada keinginan untuk menjadi calon.

    “Itu keinginan. Tetapi sama ada menjadi calon mewakili parti, maka parti yang menentukan, bukan kita,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 hari ini.

    Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan.

    Terdahulu semasa berucap dalam majlis itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau masih tegak berdiri ingin menjadi calon walaupun sudah lapan kali menyertai pilihan raya.

    “Sebab kata orang, politik adalah suatu bidang yang boleh memberi kenikmatan. Masuk politik nak keluar payah.” katanya.

    Ditanya mengenai peratus kemenangan parti itu di Ketereh, Annuar berkata, ia bergantung kepada pendirian rakyat di kawasan itu dan beliau yakin terhadap keputusan yang akan diambil oleh pengundi nanti.

    “Para pengundi di Ketereh cukup bijak dan saya percaya kali ini sama juga. Cuma sesiapa yang menjadi calon nanti perlu berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan rakyat.

    “Setakat ini… Ketereh itu insyaallah…orang Ketereh semua baik-baik belaka,” tambahnya.

    Annuar menjadi wakil rakyat Ketereh selama dua penggal selepas menang atas tiket BN pada PRU13 dan PRU14.

  • Inisiatif KSKK kurang stigma, bantu bekas penagih kekal pulih

    Inisiatif KSKK kurang stigma, bantu bekas penagih kekal pulih

    PELAKSANAAN inisiatif Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan  (KSKK) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diharap mampu mengurangkan stigma dan membantu mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah kekal pulih, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

    Beliau berkata sokongan keluarga terbukti berkesan membantu bekas klien AADK apabila tahap pengekalan kepulihan berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September lepas, selepas komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur diperkenalkan pada 2020. 

    Peratusan itu lebih baik berbanding hanya 20 peratus pada 2015. 

    “Menerusi KSKK, klien AADK boleh memilih seorang individu dipercayai sama ada ahli keluarga atau rakan, untuk menyertai instrumen sokongan yang menyediakan ruang berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan mereka tidak kembali menagih atau relaps. 

    “Selain itu, penyertaan dalam program seperti ini juga memberikan isyarat positif bahawa klien terlibat berazam untuk berubah dan komuniti disarankan untuk menerima kembali mereka yang telah pulih serta mengiktiraf keupayaan mereka untuk berfungsi secara produktif dalam masyarakat,” katanya. 

    Hamzah berkata demikian semasa berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, turut melibatkan pelancaran KSKK disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.  

    Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan  Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon. 

    Mengulas mengenai program keluarga aspirasi kepulihan, Hamzah berkata ia adalah sebahagian daripada komponen dalam model rawatan dan pemulihan digunakan AADK, yang dilaksanakan sejajar dengan perubahan trend penyalahgunaan dadah. 

    “Perubahan trend daripada dadah jenis organik kepada sintetik menyebabkan AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan tough and rugged kepada pendekatan lebih holistik dan prihatin,” katanya. 

    Pendekatan itu, menurut Hamzah merangkumi aspek biologi, psikologi sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarga, dikenali sebagai Model i – Pulih AADK. – BERNAMA 

  • Takiyuddin sangkal berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun

    Takiyuddin sangkal berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun

    MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini menafikan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita dalam tempoh 15 tahun kebelakangan.

    Penafian Takiyuddin itu termasuk dakwaan beliau bernikah dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Setiausaha Agung Pas itu menegaskan, perkahwinan merupakan isu yang sangat peribadi bagi setiap individu.

    “Saya nak beritahu bahawa dalam tempoh 10 tahun ataupun 15 tahun sebelum ini saya tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan sesiapa saja.

    “10 tahun itu dua kali pilihan raya, 15 tahun itu tiga kali (pilihan raya). Saya… saya tak pernah mendirikan rumah tangga dengan siapa-siapa saja,” kata Takiyuddin lapor Astro Awani.

    Penafian Takiyuddin itu dibuat susulan laporan media mendakwa beliau
    berteka teki mengenai status perkahwinannya dengan seorang ahli politik dari Selangor.

    Seperti dilaporkan Astro AWANI, Takiyuddin berkata, isteri beliau merupakan seorang pengundi di Malaysia.

    “My wife is a voter in Malaysia, so she’s considered as a politician, a voter is a politician (isteri saya seorang pengundi di Malaysia, jadi dia dianggap sebagai ahli politik, seorang pengundi adalah seorang ahli politik),” katanya.

  • “Saya pernah dipanggil ‘barua’,” kata Azhar Harun

    “Saya pernah dipanggil ‘barua’,” kata Azhar Harun

    YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, kefahamannya tentang Perlembagaan dan undang-undang negara mendorongnya bertindak sewajarnya bagi memastikan urusan dalam Dewan Rakyat lancar dan efisyen.

    Katanya, pengalaman tiga dekad karier sebagai peguam diakui sedikit sebanyak memudahkan tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

    “Selama 31 tahun saya beramal sebagai peguam; saya banyak mengendalikan kes Perlembagaan.

    “Oleh itu saya tahu apa yang boleh saya buat dan apa yang saya tak boleh buat,” katanya, memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai peguam itu juga telah membentuk hubungan akrab antara beliau dengan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak yang membantunya berurusan dengan lebih mudah.

    “Saya bertuah kerana saya punyai rakan-rakan rapat dan sahabat di sebelah sini dan juga di sebelah sana.

    “Oleh kerana itu, proses engagement saya dengan mereka agak senang, saya boleh ajak sahaja mereka berbincang di luar sambil minum kopi,” kata Azhar Azizan.

    Maka beliau melihat segala yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hanyalah sebahagian daripada kerja yang perlu dihadapi dan ia tidak menjejaskan hubungan di luar.

    Disebabkan itu, beliau tidak pernah mengambil apa sahaja yang dilemparkan kepadanya ketika persidangan di dalam Dewan secara peribadi.

    “Malah saya pernah dipanggil ‘barua’ pun, tapi saya tak pernah mengambilnya secara peribadi dan itu menyenangkan tugas saya.”