PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyuarakan hasrat menjadi calon pada PRU-15, namun segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Sebenarnya ramai bukan saya saja sentiasa teringin menjadi calon. Kalau kita mempunyai keinginan untuk berkhidmat, maka kena ada keinginan untuk menjadi calon.

“Itu keinginan. Tetapi sama ada menjadi calon mewakili parti, maka parti yang menentukan, bukan kita,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 hari ini.

Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan.

Terdahulu semasa berucap dalam majlis itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau masih tegak berdiri ingin menjadi calon walaupun sudah lapan kali menyertai pilihan raya.

“Sebab kata orang, politik adalah suatu bidang yang boleh memberi kenikmatan. Masuk politik nak keluar payah.” katanya.

Ditanya mengenai peratus kemenangan parti itu di Ketereh, Annuar berkata, ia bergantung kepada pendirian rakyat di kawasan itu dan beliau yakin terhadap keputusan yang akan diambil oleh pengundi nanti.

“Para pengundi di Ketereh cukup bijak dan saya percaya kali ini sama juga. Cuma sesiapa yang menjadi calon nanti perlu berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan rakyat.

“Setakat ini… Ketereh itu insyaallah…orang Ketereh semua baik-baik belaka,” tambahnya.

Annuar menjadi wakil rakyat Ketereh selama dua penggal selepas menang atas tiket BN pada PRU13 dan PRU14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here