Category: Sukan

  • Ulsan Hyundai tidak ambil mudah pertemuan dengan JDT malam ini

    Ulsan Hyundai tidak ambil mudah pertemuan dengan JDT malam ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELAB gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC tidak mengambil mudah cabaran menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua Kumpulan I Piala Juara-juara Asia (ACL), pada malam ini.

    Pengendali Ulsan Hyundai FC, Hong Myung Bo berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan gandingan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva yang mewakili JDT dan akan mencari jalan bagi merantai kelibat penyerang import itu.

    Beliau akan memikirkan cara terbaik bagi mematikan gerakan gandingan penyerang import Harimau Selatan itu bagi membolehkan anak buahnya bermain dengan lebih baik seterusnya meneruskan misi memburu kemenangan pertama.

    Bekas jurulatih Korea Selatan itu berkata, tumpuan lebih akan diberikan kepada penyerang kelahiran Brazil itu setelah Bergson pernah mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Korea ketika bersama pasukan Suwon Bluewings dan Busan IPark sebelum ini.

    “Apa yang kami dapati, kedua-dua penyerang import ini mempunyai kombinasi yang baik antara satu sama lain selain bijak melakukan gerakan yang boleh mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

    “Jadi, kami perlu ada perancangan yang rapi untuk mengekang kemaraan mereka berdua dan berhati-hati ketika merantai pergerakan mereka, kita tidak mahu pasukan terjerat dengan muslihat tipu helah mereka.

    “Untuk perlawanan menentang JDT ini, kami perlu memberi konsentrasi sepenuhnya kerana mungkin mereka akan tampil dengan corak permainan yang berbeza ketika menentang Guangzhou FC sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

    Myung Bo turut bertekad untuk menjadikan Harimau Selatan sebagai mangsa pertama mereka setelah kempunan mengutip tiga mata ketika hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Kumpulan I.

    Katanya, kecuaian di akhir minit permainan menyebabkan pasukan lawan berjaya memperoleh gol penyamaan ketika perlawanan hampir tamat untuk mencuri satu mata dari tangan mereka.

    “Tidak dinafikan kami sedikit kecewa gagal meraih tiga mata pada perlawanan pertama, bagaimanapun keputusan tersebut tidak menjejaskan moral dan persediaan pemain untuk mengutip tiga mata ketika berdepan JDT,” ujarnya.

    Tambahnya, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Kawasaki Frontale atau melakukan pertukaran untuk memastikan pemain yang diturunkan adalah cergas sepenuhnya.

    Dalam pada itu, pemain pertahanan Ulsan Hyundai, Lim Jong-eun berkata, pemain perlu memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sekali gus merencatkan peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

    “Kami sepasukan akui JDT adalah sebuah pasukan yang berkualiti, jadi kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka sebaliknya melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan berjaya meraih kemenangan,” ujarnya.

  • JDT akui berdepan cabaran getir berdepan Ulsan Hyundai FC

    JDT akui berdepan cabaran getir berdepan Ulsan Hyundai FC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengakui akan berdepan cabaran getir menentang kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC pada aksi kedua Kumpulan I Piala Juara-juara Asia (ACL), pada malam ini.

    Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, anak buahnya sudah bersiap sedia daripada semua aspek meskipun sedar pertemuan itu bukan tugas mudah buat skuada Harimau Selatan.

    Jelasnya, ini kerana lawan mereka kali ini adalah pasukan yang bermain pada tahap tinggi selain diperkuatkan beberapa pemain import yang berkualiti mampu mengubah keputusan perlawanan.

    Walaupun begitu katanya, mereka sudah bersedia dengan corak permainan fizikal yang akan ditunjukkan lawan serta cuba menyaingi kekuatan kelab tersebut selain mengintai peluang untuk mencipta kejutan.

    “Ulsan Hyundai adalah pasukan yang bagus, kuat dan bertenaga, mereka akan mampu mempamerkan aksi terbaik apabila bermain di gelanggang terbaik seperti Stadium Sultan Ibrahim. Pada perlawanan pertama, mereka bermain pada waktu petang, mungkin faktor cuaca mengekang mereka pamer aksi sebenar mereka.

    “Bagaimanapun, kami sudah bersedia pada setiap aspek malah akan menunjukkan kepada mereka kemampuan JDT mengekang kemaraan serta menyaingi mereka. Sudah tentu ini menjadi perlawanan sukar buat kami, tetapi itulah alasan kami berada di kejohanan ini, mencabar kemampuan pasukan.

    “Kami sukar untuk menempa rekod baharu dan mencabar keupayaan diri, jika sebelum ini kita tidak pernah menewaskan pasukan dari Jepun dan Korea Selatan, rekod itu sudah dicipta setelah menewaskan Kashima Antlers dan Suwon Bluewings sebelum ini, kami perlu tahu untuk mencabar diri kami,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.

    Katanya, gandingan penyerang import, Bergson Da Silva dan Fernando Forrestieri akan terus menjadi sandaran mengintai peluang merobek kubu lawan bagi meneruskan rentak kemenangan setelah menewaskan Guangzhou FC 5-0 pada aksi pembukaan Jumaat lalu.

    Bergson yang kembali menemui sentuhan jaringan pada kejohanan itu katanya, dilihat mampu menggalas tanggungjawab sebagai mesin gol pada perlawanan penting seperti ini kerana mempunyai kualiti yang ada pada seorang penyerang berbisa.

    “Bergson dilihat mampu membentuk gandingan yang baik dengan Forrestieri, jadi apabila keadaan berjalan lancar dan berkesan, saya cuba untuk tidak masuk campur. Saya cuma hanya akan memberi sokongan serta memberikan keyakinan kepadanya kerana dia sudah cukup terbaik.

    “Bergson merupakan seorang pemain yang berskil tinggi, berkualiti dan bijak mencari ruang serta bermain secara berpasukan. Beliau juga mampu bermain pada tahap tinggi dan mampu mencipta gol di saat kami memerlukan,” katanya.

    Ditanya mengenai barisan pertahanannya, beliau masih belum dapat memberi kata putus sama Shahrul Saad dan Matthew Davies sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.

  • Piala Thomas 2022: Minimum lima pemain perseorangan dibawa – Hendrawan

    Piala Thomas 2022: Minimum lima pemain perseorangan dibawa – Hendrawan

    SEKURANG-KURANGNYA lima pemain perseorangan lelaki perlu dibawa untuk menyertai kejohanan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, yang dijadual berlangsung pada 8-15 Mei ini.

    Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang memberikan pengecualian kepada semua pasukan untuk mempunyai 12 pemain bagi Piala Thomas dan Uber berbanding 10 sebelum ini susulan COVID-19, memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk menyenaraikan pemain yang benar-benar layak beraksi dalam kejohanan berprestij itu.

    “Sampai hari ini masih pilih siapa akan main, kita perlu tunggu keputusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann dan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky.

    “Katanya 12 orang boleh disenaraikan…ini bermakna sekurang-kurangnya perseorangan lelaki ada lima, kalau kelmarin ada empat…dengan lima pemain akan ada lebih banyak pilihan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di sini.

    Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan barisan pemain yang membantu negara menjulang kejuaraan sulung Kejuaraan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lepas, Hendrawan berharap hanya pemain terbaik disenaraikan walaupun ada dalam kalangan mereka sudah tersenarai ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, dari 12-23 Mei ini.

    Hendrawan berkata, hanya Choong Hann sahaja yang boleh mengulas mengenai langkah menukar pemain perseorangan yang tersenarai ke Sukan SEA pada saat akhir untuk beraksi di Piala Thomas.

    “Dari pengalaman lalu boleh tukar dengan pemain ranking lebih rendah (untuk Sukan SEA) namun sehingga kini masih belum ada lagi keputusan muktamad,” katanya.

    Terdapat seorang pemain iaitu Lim Chong King yang tersenarai dalam skuad BATC akan mewakili negara pada temasya Sukan SEA Hanoi.

    Sementara itu, Rexy pula mahu membawa enam pemain untuk skuad beregu negara pada Piala Thomas 2022.

    “Untuk beregu lelaki kita mahu bawa enam pemain, terserah kepada kem perseorangan untuk bawa enam, biar mereka membuat keputusan,” katanya.

    Malaysia diundi bersama juara 2014 yang juga pilihan kedua, Jepun, bersama England dan New Zealand dalam saingan Kumpulan D Piala Thomas 2022.- Bernama

  • Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Korea hari ini.

    Lebih manis, pasangan Malaysia itu meraih kejuaraan tersebut selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Palma, Suncheon.

    Merupakan pertemuan kali ketiga buat kedua-dua pasangan itu, Kian Meng-Pei Jing beraksi cemerlang untuk melebarkan rekod dua kemenangan sebelum ini apabila sekali lagi menundukkan pasangan Korea Selatan itu dengan straight set.

    Turun selaku wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada kejohanan itu, Kian Meng-Pei Jing ternyata unggul apabila sentiasa berada di hadapan sebelum mencatat kemenangan 21-15 di set pertama.

    Ketinggalan satu set, Sung Hyun-Hye Won cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun usaha mereka gagal apabila pasangan Malaysia itu terus mendominasi perlawanan untuk merekodkan kemenangan 21-18.

    Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul beregu Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Korea. – BERNAMA

  • Southgate: Maguire kena boo ‘tidak masuk akal’

    Southgate: Maguire kena boo ‘tidak masuk akal’

    JURULATIH England, Gareth Southgate berkata tindakan penyokong England untuk boo Harry Maguire ‘tidak masuk akal’ selepas pasukannya meraih kemenangan 3-0 dalam pertemuan dengan Ivory Coast dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi.

    Ejekan bergema di Wembley Stadium selepas nama Maguire disebut ketika pengumuman keselebasan utama sebelum perlawanan bermula.

    Maguire, 29 sedang melalui kesukaran di kelabnya Manchester United namun mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pasukan antarabangsa di bawah Gareth Southgate dan pengurus tersebut tidak terhibur dengan tindakan penyokong tuan rumah .

    “Ia tidak kelakar,” kata  Southgate.

    Kapten Manchester United tersebut bermain untuk England buat kali yang ke 42 namun sentuhan pertamanya untuk perlawanan tersebut disambut dengan ejekan daripada sebahagian penyokong.

    “Saya tidak faham apa faedahnya . Kami merupakan sebuah pasukan .Saya rasa mereka [penyokong] tidak tahu untuk jawab apa jika kamu tanya kenapa mereka bertindak begitu. Ia merupakan perbuatan sekelompok. Terdapat satu bahagian stadium yang cuba bersorak untuk Maguire,” sambung Southgate.

    Ketika ditanya oleh Sky Sports tentang kejadian tersebut, Southgate berpendapat bahawa Maguire bermain dengan baik untuk England dan ejekan daripada penyokong ‘tidak masuk akal’.

    Pengurus England juga menyalahkan media sosial dan bekas pemain lain kerana mempengaruhi pendapat penyokong sekaligus menyebabkan tindakan sebegitu.

    Rakan sepasukan Maguire seperti Jordan Henderson dan Jack Grealish juga memberikan sokongan sepenuhnya kepada pemain 29 tahun tersebut.

    “Saya tidak faham apa yang terjadi malam ini. Harry merupakan sebuah pemain yang  penting untuk kami,” kata Henderson.

    “Diejek di rumahnya sendiri tanpa sebab? Apa yang sudah berlaku kepada kami semua? Kejadian seperti ini tidak patut berlaku. Sebagai pemain yang sentiasa mempunyai keinginan untuk menang bersama England, saya bersyukur berkongsi bilik salinan sama bersama Maguire. Kami semua mempunyai pendapat sama,” katanya.

    Grealish berkata, kejadian tersebut ‘merepek’ dan menyifatkan Maguire pemain yang penting untuk negara.

    “Harry merupakan pemain yang hebat untuk negara ini – dalam Piala Dunia dan Euro2020, dia bermain dengan sangat baik,” katanya.

    England pulang dengan kemenangan selepas gol daripada Ollie Watkins, Raheem Sterling dan Tyrone Mings membawa pasukan tersebut berlayar melepasi Ivory Coast dalam perlawanan persahabatan tersebut.

  • MOM batal keahlian MDSB

    MOM batal keahlian MDSB

    MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengesahkan telah membatalkan keahlian ahli bersekutunya, Malaysian Dance Sport Berhad (MDSB), selaras perlembagaan majlis itu.

    Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia berikutan MDSB telah hilang pengiktirafannya daripada persekutuan antarabangsa iaitu World DanceSport Federation (WDSF).

    Di bawah artikel 24.2 perlembagaan MOM, ahli berdepan kehilangan status keahliannya jika tidak lagi menjadi ahli persekutuan antarabangsa.

    “Keputusan ini diambil setelah mendapat konsultasi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), WDSF dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM di Putrajaya, hari ini.

    Mohamad Norza berkata, perkembangan itu bagaimanapun tidak menjejaskan nasib atlet sukan itu yang dijadual membawa cabaran negara di temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi Mei ini dengan mereka akan bertanding di bawah naungan MOM.

    Katanya, setakat hari ini jumlah kontinjen negara ke temasya Sukan SEA Vietnam adalah seramai 884 orang terdiri daripada 604 atlet dan 280 pegawai.

    Sementara itu, mesyuarat hari ini turut meluluskan pelantikan doktor pasukan kontinjen Malaysia ke tiga temasya sukan utama tahun ini iaitu Dr. Ahmad Munawwar Helmi Salim bagi Sukan SEA Vietnam, Dr. Kamarul Hashimy Hussein (Sukan Komanwel Birmingham) dan Dr. Azril Syazwan Mohd Ali (Sukan Asia Hangzhou).

    Dalam pada itu, mesyuarat turut meluluskan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara Abdul Rashid Yaakob sebagai Ketua Kontinjen baharu ke temasya Sukan Perpaduan Islam Ke-5 Konya 2022 menggantikan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin yang menarik diri.

    Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza berkata MOM menyeru Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula ekosistem kewangan bagi membolehkan lebih banyak sumber kewangan dapat disalurkan bagi tujuan pembangunan sukan negara. – Bernama
     

  • Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

    Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

    PASANGAN beregu wanita profesional negara Lim Chiew Sien-Vivian Hoo meneruskan rentak kecemerlangan apabila mengejutkan pilihan keenam untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel.

    Pada aksi suku akhir berlangsung awal pagi tadi, gandingan itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pasangan dari India, Ashwini Ponnappa-Reddy N.Sikki 22-20, 23-21 dalam tempoh 54 minit.

    Chiew Sien-Vivian bermula baik di set pertama apabila mendahului 7-2, namun sebaik pihak lawan mendapat rentak aksi bertukar menjadi sengit hingga mata terikat 20-20 sebelum dua mata terakhir berjaya diraih wakil negara untuk kemenangan set pertama.

    Momentum itu diteruskan Chiew Sien-Vivian pada set kedua yang turut menyaksikan perlawanan berlangsung sengit sekali gus memaksa pasangan negara mengerah segala kudrat untuk menoktahkan kejayaan 23-21.

    Menanti mereka di pentas separuh akhir yang dijadual berlangsung 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) adalah pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Stoeva Gabriela-Stoeva Stefani, yang merupakan pilihan ketiga.

    Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir selepas cemerlang mengatasi pasangan Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-12.

  • Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    PEMAIN perseorangan wanita negara, S Kisona mencipta kejutan apabila menewaskan bekas pemain nombor satu dunia Saina Nehwal dari India pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel.

    Pada perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Kisona mencatat kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 sekali gus menempah slot ke suku akhir.

    Di set pertama, Kisona bermula dengan baik setelah mendahului 15-12, namun Saina tidak menunggu lama untuk bangkit menyamai kedudukan 15-15 sebelum berjaya mengatasi pemain negara 21-17.

    Pada set kedua, kedua-dua pemain saling mengejar mata sehingga terikat 8-8 sebelum Kisona beraksi dengan lebih agresif sekali gus berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13.

    Di set penentuan, Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia diikat pemain ranking 23 dunia itu dengan kedudukan 6-6 sebelum Kisona mendominasi permainan sehingga menoktahkan kejayaan 21-13.

    Di suku akhir, Kisona akan membuat perhitungan dengan lawan dari Thailand Supanida Katethong yang dijadual berlangsung pada 9 malam waktu tempatan, hari ini.

    Sementara itu, tiga pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masing-masing berjaya mengiringi Kisona ke pentas suku akhir.

    Turut mara ke peringkat lapan terbaik itu adalah dua pasangan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Vivian Hoo dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing selepas cemerlang mengatasi lawan masing-masing. – BERNAMA

  • Penyokong England ‘bergembira’ rai   Itali gagal ke Piala Dunia

    Penyokong England ‘bergembira’ rai   Itali gagal ke Piala Dunia

    PENYOKONG-penyokong England bergembira  dalam  media sosial selepas Itali gagal ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas tewas dalam kepada Macedonia Utara awal pagi ini.

    Selepas England tewas kepada Itali dalam perlawanan akhir Euro 2020, penyokong England membalas dendam apabila itali ‘tersungkur’ di tangan Macedonia Utara hasil jaringan Aleksandar Trajkovski pada minit 92.

    Penyokong England menjadikan kata-kata  Leonardo Bonucci “It’s coming Rome! (Ia akan pulang ke Rome)” ketika perlawanan akhir Euro 2020 untuk menyindir Itali.

    Seorang netizen berkata ‘Bukankah mereka kata ia akan pulang ke Rome?’ dan ada yang berkata, “Hei, Itali. Ini hanya peringatan mesra,” bersama gambar Leonardo Bonucci menjerit yang tertulis ‘You’re going home (Kamu akan balik)’.

    Kekalahan Itali memungkinkan media-media sosial dibanjiri jenaka-jenaka mengutuk juara Euro 2020 itu antara gambar Bonucci yang juga ketua pasukan Itali  menarik baju pemain England Bukayo Saka.

    Ada juga berkata kali terakhir Itali layak bermain dalam Piala Dunia ialah Rickie Lambert yang pencen 5 tahun lalu, bermain dalam pertandingan tersebut.

    Penyokong bola sepak di seluruh dunia menyatakan kegagalan Itali untuk bertanding dalam Piala Dunia yang akan datang merupakan satu ‘bencana’ manakala Gary Lineker berpendapat ia ‘satu kejatuhan besar’.

  • Pogba akui murung ketika era Mourinho

    Pogba akui murung ketika era Mourinho

    BINTANG Manchester United Paul Pogba akui beliau menghadapi kemurungan ketika kelabnya di bawah jagaan Jose Mourinho.

    Ketika sesi temubual bersama La Figaro, Pogba, 29 berkata tempoh bersama pengurus Portugis tersebut membuat beliau mempersoalkan dirinya selepas dibuang dari jawatan naib kapten pasukan.

    “Saya sudah banyak lalui kemurungan sepanjang kerjaya saya, tetapi saya tidak bercakap tentangnya. Kadang-kadang, kamu tidak tahu kamu murung. Kamu hanya mahu bersendirian, berkeseorangan, dan ini semua merupakan tanda-tandanya,” kata beliau.

    Pemain Perancis itu berkata kemurungannya bermula ketika bermain di bawah Jose Mourinho di Manchester United.

    “Kamu mula mempersoalkan diri kamu, kamu mula berfikir jika semuanya salah kamu sebab kamu tidak pernah mengalami perkara sebegini seumur hidup,”katanya.

    Mourinho memberitahu Pogba bahawa beliau tidak akan menjadi kapten pasukan lagi di bawah pengurusannya dan keputusan itu kerana masalah pendirian pemain tengah tersebut.

    Pogba berkata, beliau berbincang dengan bekas-bekas pemain ketika itu kerana mereka mempunyai banyak pengalaman.

    “Saya tidak mahu detik-detik negatif buat saya lupa pencapaian saya tetapi ia tidak semestinya senang untuk berbuat begitu.Saya berborak banyak dengan Uncle Pat (Patrice Evra) dan pemain bola sepak lain yang pernah melalui pengalaman yang sama kerana mereka amat memahaminya,” katanya.

    Pemain 29 tahun tersebut juga berkata bahawa gaji pemain bola yang tinggi tidak semestinya membuat mereka bahagia.

    “Patutkah saya bahagia selalu hanya kerana gaji saya besar? Itu bukan cara kehidupan. Namun, dalam bola sepak itulah realitinya. Kami bukan superhero, kami hanya manusia,” katanya.

    Semalam, Pogba mengesahkan pingat Piala Dunia beliau dicuri selepas perompak memecah masuk rumahnya ketika anak-anak sedang tidur dan akan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat tentang jenayah tersebut.