Category: Semasa

  • Rafizi tegur Muda dedah sasaran kerusi PRU-15

    Rafizi tegur Muda dedah sasaran kerusi PRU-15

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegur Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar yang mendedahkan sasaran kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Perkara ini sepatutnya dibincangkan secara tertutup dan bukan didedahkan kepada umum dan kena bincang tertutup. Nanti bising (kecoh) lagi,” katanya dalam satu status yang dimuat naik dalam Twitter miliknya, hari ini.

    Beliau turut berkongsi laporan media kenyataan Tarmizi yang menyatakan Muda dan DAP Negeri Sembilan menjalin kerjasama bagi memperkasa gerak kerja bersama di negeri itu.

    Tarmizi dilapor berkata, MUDA menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Pilah selain meneliti beberapa kerusi berpotensi lain.

    Rafizi menasihatkan semua parti di semua peringkat agar mengelak dedahkan mengenai kerusi yang akan dipertandingkan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha melawan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    “Nasihat saya kepada semua parti di semua peringkat, elakkan umum kerusi mana yang nak ditandingi dan lain-lain.

    “Tidak membantu. Fokus lawan BN dan PN, tunjukkan kenapa rakyat tidak wajar undi mereka,” tambahnya menurut laporan Astro Awani.

    Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sebulat suara bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dilapor berkata, gabungan itu masih belum membincangkan penyertaan Muda.

  • Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

    Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

    POLIS telah menahan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap anaknya, pada Rabu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, permohonan reman telah diperoleh daripada mahkamah sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

    “Polis membuat tangkapan pada 2.25 petang dan turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisa.

     “Saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Semalam, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikan mangsa.

    Dalam satu kenyataan terdahulu, Wan Azlan berkata, mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya.

    Kejadian itu dipercayai berlaku sejak 2013 sehingga 2017.

    Tambah Wan Azlan, mangsa turut menyatakan kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun dan ketika itu mereka tinggal di kawasan Subang Jaya.

    Baru-baru ini, pelakon berusia 15 tahun menerusi satu temu bual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Lelaki itu juga didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelakon remaja itu termasuk melakukan onani di hadapannya.

    Malah dia dikatakan mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama.

    Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.

  • Tindakan Pas timbul persoalan siapa musuh bakal ditentang PN dalam PRU-15

    Tindakan Pas timbul persoalan siapa musuh bakal ditentang PN dalam PRU-15

    Muhyiddin minta penjelasan Pas malam ini soal kerjasama dengan UMNO,

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan dan tindakan Pas mahu meneruskan kerjasama serta mengadakan ‘rundingan tidak rasmi’ dengan UMNO menimbulkan persoalan mengenai musuh yang bakal ditentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN itu berkata, ia memandangkan  UMNO sudah memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

    “Kita sudah tubuh PN. Pas bersama kita, jadi kita nak dapat penjelasan Pas macam mana kita nak menghadapi PRU? Adakah akan tentang BN? Bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, dikaitkan dengan pimpinan BN.

    “Apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana hala tuju kita ke depan,” katanya pada majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendedahkan ada rundingan tidak rasmi antara parti itu dan pemimpin UMNO tertentu bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU-15.

    Selain itu, Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-68 turut meluluskan usul, meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

    Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau akan meminta penjelasan daripada pimpinan Pas dalam mesyuarat PN malam ini berhubung keputusan dan tindakan parti itu.

    Beliau berkata, tindakan pimpinan Pas menjalankan rundingan dengan UMNO mengenai kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak dimaklumkan kepada PN.

    “Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini. Saya akan minta Presiden atau Setiausaha Agung Pas untuk beri sedikit penjelasan, kalau ya ada perundingan atau perbincangan (dengan UMNO).

    “Apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku. Perkara ini saya akan bangkitkan, kerana sekarang ini saya tak boleh nak komen kerana hanya dengar dari media sahaja,” katanya.

    Muhyiddin seterusnya menegaskan, parti dalam PN sewajarnya berbincang terlebih dahulu dengan rakan komponen supaya tidak dilihat berbeza pendirian, yang berisiko menjejaskan masa depan PN.

    “Bila saya mengadakan rundingan dengan mana pemimpin politik seperti yang pernah saya buat dulu, saya akan maklum (pada parti komponen PN) dan saya dapatkan pandangan sama ada wajar atau tidak.

    “Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian. Tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.

  • Khalid,KiniTV dapat kebenaran merayu kos saman oleh Tajuddin Rahman

    Khalid,KiniTV dapat kebenaran merayu kos saman oleh Tajuddin Rahman

    AHLI  Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dan KiniTV Sdn Bhd mendapat kebenaran merayu untuk menuntut kos daripada  Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas saman fitnah oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu terhadap mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.

    Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara membenarkan permohonan Khalid dan portal video KiniTV dalam prosiding dalam talian hari ini.

    Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S. Nantha Balan dan hakim Mahkamah Tinggi,Datuk Lim Chong Fong memutuskan terdapat merit dalam permohonan tersebut.

    Peguam Datuk Sankara Narayan dan K. Shamuga, masing-masing mewakili Khalid dan KiniTV, ketika dihubungi oleh Bernama, mengesahkan bahawa mahkamah telah memberikan kebenaran untuk merayu kepada anak guam mereka.

    Bagaimanapun, seorang lagi peguam Khalid, Jaden Phoon Wai Ken, menghadiri prosiding hari ini.

    Menurut Sankara, peguam Tajuddin, Muzzammil Merican, yang menghadiri prosiding tersebut, tidak membantah permohonan oleh Khalid dan KiniTV.

    Susulan keputusan tersebut, Shanmuga berkata Khalid dan KiniTV mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.

    Bagaimanapun, menurutnya, syarikat akhbar The New Starits Times Press (M) Berhad, yang turut dinamakan dalam saman Tajuddin itu, tidak memfailkan permohonan kebenaran merayu untuk menuntut kos.

    Sementara itu, seorang lagi peguam Tajuddin, Datuk Hasnal Rezua Merican, ketika dihubungi, berkata anak guamnya tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnahnya pada 22 Feb lalu.

    Saman fitnah itu ditolak tanpa sebarang sebarang perintah mengenai kos.

     Pada 26 April, 2017, Tajuddin memfailkan samanh dengan mendakwa Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.

    Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NST melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 November 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama.

    Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di YouTube yang boleh diakses oleh orang ramai.

    — BERNAMA

  • Kes Shahrir Samad: RM118,485 didepositkan atas nama syarikat kereta

    Kes Shahrir Samad: RM118,485 didepositkan atas nama syarikat kereta

    MAHKAMAH Tinggi dalam perbicaraan kes bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad pada Rabu diberitahu, bahawa cek berjumlah RM118,485 telah didepositkan ke dalam akaun Public Bank atas nama sebuah syarikat kereta.

    Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Berhad Cawangan Taman Sentosa, Johor Bahru, Seah Yeow Hwee, 59, berkata, berdasarkan salinan penyata bank, terdapat kemasukan wang tersebut ke dalam akaun Public Bank pada 27 Disember 2013.

    “Saya sahkan ini adalah salinan imej cek Public Islamic Bank atas nama Sutera Auto Sdn Bhd berjumlah RM118,485 bertarikh 21 Dis 2013.
    “Berdasarkan cop pada bahagian belakang cek tersebut, saya sahkan bahawa cek ini didepositkan ke dalam akaun Public Bank atas nama Sutera Auto Sdn Bhd,”” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Pada prosiding sebelum ini, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd, Rozana Khalid memberitahu mahkamah, bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

    Dalam pernyataan pembukaan sebelum ini, pihak pendakwaan akan membuktikan Shahrir terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada Najib dan dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui sekeping cek bertarikh 27 November 2013.

    Sementara itu, Yeow Hwee yang telah berkhidmat di Public Bank Berhad selama 38 tahun itu bersetuju dengan peguam Syahrul Syazwan Salehin, yang mewakili Shahrir, bahawa berdasarkan salinan cek dan penyata bank, transaksi RM118,485 berlaku tanpa sebarang masalah.

    Syahrul Syazwan: Berdasarkan dokumen iaitu salinan cek dan penyata bank, tiada sebarang isu dibangkitkan dalam transaksi ini (RM118,485) berkenaan dengan pengubahan wang haram pada ketika itu?

    Yeow Hwee: Tiada apa-apa yang mencurigakan.

    Dalam pada itu seorang lagi peguam yang mewakili Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros memohon agar pihak pendakwaan menyediakan pernyataan saksi bagi saksi yang bakal dipanggil dan diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan, berikutan dua saksi yang memberi keterangan tidak disertakan dengan penyataan berkenaan.

    “Kami juga mohon agar lebih ramai saksi dapat dipanggil (pada hari perbicaraan) supaya proses (perbicaraan) dapat disegerakan,” katanya.

    Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin meminta pihak pendakwaan mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan memanggil enam lagi saksi untuk memberi keterangan dan tiga daripadanya adalah saksi penting.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim, Muhammad Jamil bersambung 3 Oktober ini.

  • Lelaki redah arus deras selamatkan tiga adik dan jiran di Baling

    Lelaki redah arus deras selamatkan tiga adik dan jiran di Baling

    TINDAKAN pantas dan berani seorang lelaki berenang menyeberangi arus deras berjaya menyelamatkan tiga adik-beradiknya serta seorang jiran yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Padang Empang, di Baling semalam.

    Mohd Nazrol Ramli, 30, berkata ketika mula hujan kira-kira pukul 6 petang, dia dan adik-beradiknya sedang memindahkan perabot serta barangan lain ke tingkat atas rumah kerana bimbang dinaiki air.

    “Belum sempat mengalihkan semua barang, kira-kira pukul 7 malam air deras tiba-tiba datang dan membentuk dua laluan seperti sungai menyebabkan rumah saya dan enam rumah lain terkepung oleh air.

    “Masa itu, saya dan tiga adik-beradik lelaki serta seorang jiran perempuan terkepung tidak boleh ke mana-mana. Penduduk kampung juga menjerit meminta kami keluar daripada rumah kerana bimbang dirempuh kayu balak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

    Menurutnya dia kemudian membawa seorang demi seorang adik-beradik serta jirannya menyeberangi arus deras ke kawasan selamat.

    Mohd Nazrol berkata mujur ketika kejadian isterinya, Illiyani Che Mee, 32, dan anak mereka, Nor Ammara Faeqa, 1, terlebih dahulu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang bersama jiran yang lain.

    “Ketika menyeberangi arus deras itu, beg saya yang ada telefon dan duit habis basah..tapi waktu itu saya cuma fikir tentang nyawa sahaja. Hari ini bila balik rumah, sedih tengok barang yang tak sempat dipindahkan habis rosak, tikar getah yang baru dipasang juga dipenuhi selut,” katanya.

    Rosnani Sahak menunjukkan kawasan yang dilanda banjir di Kampung Padang Empang Baling.

    Seorang lagi mangsa, Rosnani Sahak, 44, berkata banjir kali ini tidak seteruk berbanding pada 4 Julai lepas, namun tetap trauma lebih-lebih lagi apabila mengenang rasa letih dan penat ketika banjir pertama dahulu belum habis lagi.

    “Ini kali ketiga rumah saya dilanda banjir. Paling teruk pada 4 Julai lepas, kali kedua tak berapa teruk dan kali ini air naik sampai paras pinggang manakala selut setinggi lutut. Bila kali ketiga dilanda banjir kilat, mental dan fizikal rasa tak berdaya,” katanya yang tinggal di Kampung Iboi sejak lima tahun lepas.

    Bagi Abdul Rahman Ahmad, 70, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa memandangkan kejadian banjir semakin kerap berlaku di kawasan itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian besar akibat kerosakan harta benda.

    “Saya minta kerajaan buat benteng yang lebih elok dan kukuh di sepanjang sungai bagi mengelak limpahan air apabila hujan lebat ,” katanya.

    Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata setakat pukul 4 petang ini, 128 mangsa daripada 36 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus.

    — BERNAMA

  • Selepas kalah kepada Dinamo, Chelsea pecat Tuchel

    Selepas kalah kepada Dinamo, Chelsea pecat Tuchel

    CHELSEA memecat Thomas Tuchel susulan kekalahan mengejut 1-0 di tangan Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Juara-Juara pagi tadi.

    Pemilik baharu, Todd Boehly tidak membuang masa untuk menyingkirkan jurulatih dari Jerman itu hanya selepas tujuh perlawanan musim ini, dan 100 hari dalam tempoh pentadbirannya menggantikan Roman Abramovich.

    Chelsea berada di tangga keenam dalam Liga Perdana dan berdepan permulaan yang menyedihkan bagi kempen Liga Juara-Juara, dengan Tuchel disingkirkan beberapa jam selepas kekalahan 1-0 mereka di Croatia, perlawanan ke-100 dia sebagai pengurus.

    Dalam satu kenyataan Chelsea menulis: “Bagi pihak semua orang di Chelsea FC, kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Thomas dan kakitangannya atas segala usaha mereka sepanjang bersama Kelab.

    “Thomas sepatutnya mendapat tempat dalam sejarah Chelsea selepas memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super dan Piala Dunia Kelab pada zamannya di sini.

    “Memandangkan kumpulan pemilikan baharu mencecah 100 hari sejak mengambil alih kelab, dan sambil meneruskan kerja keras untuk membawa kelab ke hadapan, pemilik baharu percaya ia adalah masa yang sesuai untuk melakukan peralihan ini.”

    Sportsmail difahamkan bos Brighton, Graham Potter adalah sasaran utama, manakala Mauricio Pochettino yang tidak terikat dengan mana-mana jawatan juga sedang dalam pertimbangan Chelsea. – AGENSI

  • Kes Najib,Arul Kanda pinda Laporan Audit 1MDB: Pendakwa selesai kemuka saksi

    Kes Najib,Arul Kanda pinda Laporan Audit 1MDB: Pendakwa selesai kemuka saksi

    PIHAK pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini selesai mengemukakan kesnya selepas memanggil 16 saksi.

    Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini selepas selesai pemeriksaan balas terhadap Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan ke-15.

    “Kami dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan 18 saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

    Antara saksi yang ditawarkan ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

    Hakim Mohamed Zaini kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis mereka pada 7 Okt, hujah balasan pada 14 Okt dan hujah secara lisan pada 28 Okt.

    Peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Arul Kanda berkata pihaknya akan mengemukakan hujah bertulis berhubung sama ada indemniti patut ditawarkan kepada anak guamnya.

    Mohamed Zaini  berkata beliau akan memutuskan sama ada Arul Kanda akan diberikan pembebasan penuh atau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) pada akhir kes pendakwaan.

    “Saya percaya itu adalah cara yang paling tepat untuk melakukannya,” kata hakim.

    Kes pendakwaan mengambil masa 43 hari, bermula pada 18 Nov 2019 dengan mendengar keterangan beberapa saksi utama termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

    Pada 24 Jun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan itu mengikut Seksyen 63(1) akta SPRM.

    Di bawah Seksyen 63(3) Akta SPRM, mana-mana saksi yang dikehendaki memberikan keterangan di bawah subseksyen 1, berhak menerima perakuan indemniti di bawah meterai mahkamah, dan perakuan tersebut hendaklah menjadi penghalang kepada semua prosiding undang-undang mengenai perkara tersebut.

    Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Tular wali usia 14 tahun sebak nikahkan kakak

    Tular wali usia 14 tahun sebak nikahkan kakak

    TIADA siapa menyangka seorang remaja berumur 14 tahun sanggup menggalas tanggungjawab menjadi seorang wali kepada kakak sulungnya yang selamat dinikahkan Ahad lalu.

    Peristiwa tersebut dirakam dan dimuat naik oleh ibunya dengan nama @azzaasha di aplikasi TikTok, hari ini.

    Rakaman itu memaparkan remaja lelaki terbabit kelihatan gementar ketika membaca lafaz ijab kepada pasangan kakaknya.

    Namun selepas lafaz nikah dibacakan oleh abang iparnya, remaja itu tidak dapat menahan sebak.

    “Alhamdulillah selesai pernikahan anakanda sulung, dinikahkan oleh adiknya,” katanya dalam video tersebut, hari ini.

    Sementara itu, video tular berdurasi seminit 24 saat itu turut mendapat perhatian warganet yang rata-rata terharu dengan remaja berkenaan yang sanggup menggalas tanggungjawab seberat itu pada usia muda.

    “Siapa nangis, kita ‘gang’.”

    “Menitis air mata, sama umur dengan anak kedua saya,” kata warganet yang memberikan komen pada video tersebut, lapor Sinar Harian.

  • Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

    Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    “AH long mengugut supaya mengesan bekas pekerja kami atau melangsaikan hutangnya dengan kadar segera.”

    Itu kata dua yang diterima pengurus sebuah kedai cermin kereta di Taman Johor Jaya, Johor Bahru kerana bekas pekerjanya, Cheah Wei Keong menghilangkan diri selepas meminjam wang ah long.

    Menurut Tay Poi Kiang, 53, ugutan tersebut turut disusuli dengan tindakan apabila kedai cermin kereta tersebut disimbah cat merah.

    “Kejadian ini disedari sekumpulan pekerja kami pada jam 5.45 petang Isnin lalu apabila mendapati premis dicemari dengan cat merah.

    “Malah terdapat nota ditinggalkan di hadapan premis perniagaan berkenaan bertujuan menuntut hutang dan juga tercatat nama salah seorang bekas pekerja dan nombor kad pengenalan lelaki itu,” katanya.

    Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadu masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di premis perniagaan berkenaan, pada Rabu.

    Poi Kiang berkata, susulan itu pihaknya bertindak menghubungi nombor telefon tersebut menerusi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan.

    Menerusi perbualan itu pihaknya dimaklumkan bahawa ah long tersebut sebenarnya memburu Wei Kiong kerana tidak melunaskan hutang.

    “Kami dimaklum dia meminjam SGD800 (RM2,554) dan memiliki rekod pinjaman lain namun mereka enggan beritahu tarikh pinjaman itu dilakukan.

    “Mereka juga menyatakan memiliki maklumat beberapa ahli keluarga Wei Kiong yang berasal dari Pulau Pinang termasuk nombor pendaftaran kereta, nombor telefon dan alamat,” katanya.

    Poi Kiang berkata, walaupun pihaknya menjelaskan bekas pekerja mereka sudah lama berhenti kerja lapan tahun lalu pada 2014 dan tidak memiliki sebarang maklumat berkaitan lelaki berkenaan, ah long tidak mempedulikannya.

    Susulan itu dia membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 5 September lalu selain mengadu masalah itu kepada Cai Tung.

    “Kejadian seumpama ini adalah serius dan perlu diambil tindakan kerana terdapat banyak kes ceti haram bebas melakukan apa saja bagi menuntut hutang,” katanya.

    Tambahan pula kata Poi Kiang, mereka turut mengancam individu yang tidak membuat pinjaman dan seolah-olah menunjukkan mereka berkuasa melakukan apa sahaja bagi menuntut hutang.

    “Ketika bekerja di premis perniagaan ini, Wei Kiong yang berusia 30 tahun ketika itu tinggal di tingkat atas bangunan rumah kedai ini dan mungkin membuat pinjaman dengan menjadikan alamat kami sebagai rujukan,” katanya.