Category: Semasa

  • Anak muda wajib keluar mengundi PRU15-Hadi Awang

    Anak muda wajib keluar mengundi PRU15-Hadi Awang

    PAS menggesa semua pengundi baharu berumur 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana itu adalah fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang beragama Islam.

    “Tanggungjawab mengundi kini bukan lagi fardu kifayah berdasarkan kepada situasi politik semasa.

    “Menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan (menyedarkan) kepada anak-anak muda berumur 18 tahun yang akan menjadi pengundi baharu ini untuk menunaikan tanggungjawab mengundi. Kerana ia adalah kewajipan fardu ain.

    “Ini kerana dalam suasana orang Islam dalam bahaya ketika ini, (keperluan untuk turun mengundi) sudah jadi fardu ain, bukan lagi fardu kifayah.

    “Kalau ada ulama nak cabar saya (berkenaan pandangan ini) saya sanggup lawan. Bacalah dalam kitab-kitab fiqah, dalam bab jihad. Kita memilih (pilihan raya sebagai medan) jihad secara damai, tidak mahu secara keras.

    “Malah, ulama mengatakan apabila Islam sudah berdaulat dan memerintah, maka ia jihad yang fardu kifayah. Namun, apabila Islam jatuh dan dalam bahaya, jihad itu menjadi fardu ain,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millenium Lubuk Merbau di Kuala Kangsar, semalam.

    Hadir sama Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria serta Timbalan Pesuruhjaya, Mohd Akmal Kamarudin.

    Pada bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, dijangka terdapat pertambahan seramai 7.8 juta pengundi baharu pada PRU15 akan datang.

    Katanya, daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, sekali gus menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34 peratus daripada keseluruhan pengundi.

    Sementara itu, Abdul Hadi berkata pengundi muda tidak seharusnya memandang ringan soal politik dan seterusnya menentukan pemimpin negara melalui pilihan raya.

    Ujar Ahli Parlimen Marang itu, amat malang sekiranya dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu atau umat Islam yang telah diberi ruang untuk mengundi pada pilihan raya, namun tidak berbuat demikian.

    “Ramai orang muda menganggap mengundi ini tidak penting, lalu mereka tidak keluar mengundi. Mereka mengatakan tidak perlu ambil tahu tentang hal politik.

    “Ada juga yang cakap sesiapa sahaja yang memerintah sekali pun, sama sahaja. Sebaliknya dia tidak sedar bahawa kuasa politiklah yang menentukan kedaulatan Islam,” katanya.

  • PRU-15 dijangka diadakan tahun depan – Anwar

    PRU-15 dijangka diadakan tahun depan – Anwar

    PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) mungkin diadakan tahun depan kerana tidak sesuai diadakan pada musim tengkujuh.

    Ketua Pembangkang itu berkata, kerajaan yang bertanggungjawab akan mengadakan PRU-15 dalam keadaan paling sesuai dengan mengambil kira semua faktor yang tidak membebankan rakyat.

    “Mana-mana kerajaan bertanggungjawab akan menetapkan tarikh dan masa yang sesuai serta tidak membebankan rakyat.

    “Sebab itu kita prihatin permasalahan banjir, saya kira kalau keadaan itu lebih terkawal itu keputusan Perdana Menteri dan Ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Jadi (jangka) mungkin tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Kangar, malam tadi.

    Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas masa paling sesuai untuk mengadakan PRU-15 selepas beberapa pemimpin terutama daripada UMNO menggesa kerajaan mengadakannya dengan kadar segera.

    Pada 22 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan adakah parti lawan benar-benar tidak mahu PRU-15 diadakan kerana bimbangkan banjir.

    Beliau mendakwa, parti lawan sengaja menggunakan alasan tersebut sebagai muslihat untuk mengelak daripada perlu berdepan dengan penentuan rakyat.

    Menurut beliau, majoriti rakyat hakikatnya sudah mengerti tentang agenda politik mereka yang songsang dan merosakkan serta tidak selari dengan nilai negara.

  • Gerai Prihatin anjuran Bersatu bantu ringan beban rakyat

    Gerai Prihatin anjuran Bersatu bantu ringan beban rakyat

    GERAI Prihatin anjuran parti Bersatu  membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang kian dihimpit masalah ekonomi sejak kebelakangan ini.

    Tinjauan SatuBerita di Gerai Prihatin mendapati, rata-rata pengunjung yang ‘menyerbu’ gerai-gerai tersebut berpuas hati dengan inisiatif parti itu dalam memastikan rakyat terus dibela dan menangani kos sara hidup yang mencabar ketika ini.

    Seorang pengunjung Gerai Prihatin, Muhd. Hishamudin, 43 berkata, gerai prihatin wajar diteruskan dan boleh diperbanyakkan lagi di kawasan pedalaman.

    “Kalau harga saya boleh kata jimat-sejimatnya, kalau belanja 10 ringgit boleh beli banyak barang disini, tapi kalau di kedai-kedai luar ia mungkin akan makan poket. Jadi insiatif ini yang sebenarnya sangat diperlukan rakyat,” katanya kepada SatuBerita.

    Manakala seorang lagi pengunjung, Luqman Zulkifli, 34, berkata, insiatif membantu rakyat tidak kira dalam apa cara sekali pun harus diteruskan kerana masih ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Ramai juga yang menganggur dan sebagainya, jadi untuk situasi sekarang, bantuan seperti makanan sangat dihargai rakyat kerana yang penting perut perlu dijaga, bukan duit semata-mata,” katanya.

    Sementara itu, seorang suri rumah, Khuzaimah Awang, 43, berterima kasih kepada pihak Bersatu yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat dengan menyediakan pelbagai insiatif meringankan beban rakyat.

    “Saya mahu program ini diteruskan untuk bantu rakyat yang sedang kesusahan ditambah pula dengan kos sara hidup makin tinggi.

    “Terima kasih kepada pihak Bersatu kerana sangat prihatin terhadap isu rakyat melalui pelbagai inisiatif, sumbangan demi kebaikan bersama untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

    Manakala bagi Siti Masyitah, 32, beliau sekeluarga amat gembira dan bersyukur dengan jualan prihatin yang murah lebih-lebih lagi dengan harga barangan keperluan di pasaran luar naik.

    “Ia sangat –sangat mebantu rakyat yang memang sedang susah. Dengan hanya register hari ini, saya dapat beras, telur dan extra sayur lagi, Alhamdulillah,” katanya yang hadir mengunjungi Gerai Prihatin bersama suaminya dan anak kecilnya. – SB

  • ‘Fokus banjir, masalah rakyat, sekarang bukan masa sesuai PRU-15’ – Muhyiddin

    ‘Fokus banjir, masalah rakyat, sekarang bukan masa sesuai PRU-15’ – Muhyiddin

    PILIHAN raya umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan pada masa terdekat kerana masih banyak perkara penting yang perlu difokuskan kerajaan khususnya dalam menangani masalah dihadapi rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata menteri daripada gabungan itu sudah menyatakan pendirian semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu agar kerajaan menumpukan kepada isu besar yang bakal dihadapi negara terutamanya bencana banjir yang dijangka melanda pada hujung tahun ini.

    “Kita sudah buat persiapan untuk menghadapi pilihan raya walaupun pimpinan kita memberi pandangan kepada rakan-rakan kita yang ada dalam Jemaah Menteri, masa belum sesuai kerana keadaan masih banyak yang memerlukan perhatian kita.

    “Seboleh mungkin tidak diadakan dalam tempoh yang terdekat ini, sekarang bukan masa yang sesuai… bila sampai masa kita hadapi pilihan raya,” katanya semasa ditemui media pada Majlis Ulangtahun Bersatu hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pendirian itu dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu isu banjir dan kebajikan rakyat seharusnya menjadi keutamaan dan bukan dengan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 sehingga menyusahkan rakyat.

    “Tak lama lagi nak banjir, itu harus menjadi fokus… ini telah pun saya maklumkan pada ahli-ahli jemaah menteri daripada daripada Bersatu dalam Perikatan Nasional, pendirian kitalah dan saya harap ini akan diberikan perhatian,” katanya lagi.

    Terdahulu, PN dalam satu kenyataan hari ini berkata semua Jemaah Menterinya tidak bersetuju jika PRU-15 diadakan semasa musim banjir.

    Jelasnya lagi, sebarang keputusan tarikh berhubung PRU-15 perlu dibincangkan dalam Kabinet dan tidak dibuat hanya atas permintaan oleh individu tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi sendiri.

  • Bersatu, PN komited wujudkan kerajaan stabil,bersih daripada rasuah- Muhyiddin

    Bersatu, PN komited wujudkan kerajaan stabil,bersih daripada rasuah- Muhyiddin

    PARTI Bersatu bersama-sama rakannya  di dalam Perikatan Nasional (PN) komited untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan bersih daripada elemen-elemen salah guna kuasa dan kemungkaran.

    Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli-ahli Bersatu mesti bangkit berjuang untuk memastikan kemenangan PN.

    ‘’Kemenangan ini penting untuk membolehkan Bersatu dan Perikatan Nasional menentukan hala tuju negara yang lebih baik,’’ katanya yang juga Pengerusi PN melalui catatan dalam Facebook beliau sempena UlangTahun Ke-6 penubuhan parti tersebut.

    Sempena sambutan ini, beliau mengingatkan seluruh ahli parti supaya sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam Perlembagaan parti. Antaranya  kata beliau ialah memerangi rasuah dan mewujudkan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti serta membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

    Muhyiddin berkata,  Bersatu amat prihatin dengan masalah kemiskinan yang kian meningkat selepas pandemik Covid-19.

    ‘’Negara kita juga dijangka berhadapan dengan masalah ekonomi yang lebih serius pada tahun hadapan akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka lebih perlahan,’’ katanya.

    Justeru kata beliau tanggungjawab Bersatu  ialah untuk membantu rakyat yang susah.

    ‘’Saya merakamkan penghargaan kepada Bahagian-Bahagian Bersatu di seluruh negara yang menganjurkan Jualan Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian dengan harga yang murah.

    ‘’Usaha ini tentulah tidak memadai. Namun, saya percaya ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan rakyat yang memerlukan, terutamanya golongan B60 yang semakin terhimpit dengan masalah inflasi.’’ Katanya.

  • Dari suka gaduh di sekolah, kini Jackson pemenang emas Sukma sukan tinju

    Dari suka gaduh di sekolah, kini Jackson pemenang emas Sukma sukan tinju

    MENYEDARI kecenderungannya bergaduh dan bertumbuk di sekolah tidak mendatangkan sebarang manfaat, atlet Sarawak Jackson Chambai Ikeh memutuskan untuk menyertai sukan tinju seawal usia 12 tahun.

    Hari ini pemuda berusia 21 tahun itu merangkul emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menerusi acara fly 48-51 kilogram (kg) di Kompleks Futsal Malaysia di sini.

    “Masa sekolah selalu gaduh, lagi-lagi masa itu berdarah panas asyik nak bertumbuk je. Bertumbuk di luar tak berguna, lebih baik saya main tinju.

    “Jadi 2013 saya mula main tinju dengan jurulatih pertama saya Joseph Harry,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

    Dalam pada itu, mengulas perlawanannya hari ini Jackson yang menjadikan petinju Kazakhstan Genandy Golovkin sebagai idolanya berkata beliau hanya fokus kepada strategi untuk membuat serangan balas terhadap pihak lawan.

    “Saya sangat puas hati pada pusingan pertama tapi pusingan kedua saya tak puas hati sebab pihak lawan suka peluk saya, jadi saya tak dapat nak buat serangan,” katanya.

    Jackson mempamerkan gerakan pantas untuk menundukkan pencabarnya dari Wilayah Persekutuan, Mohamad Hakimi Sumadi 5-0.

    Tempat ketiga menjadi milik Muhammad Aidil Ashraf Abdul Razak daripada Johor dan Muhammad Mukhriz Khan Muzafar Khan yang mewakili Pulau Pinang.

    Sementara itu, Sarawak turut muncul juara acara Feather 54-57kg menerusi jaguhnya Daeloniel Mcdelon Bong.

    Daeloniel yang dikenali sebagai Kilat Boy, menang mudah ke atas petinju Wilayah Persekutuan Alif Akmal Muhamad Asri 5-0, sementara gangsa menjadi milik Sheikh Rahmatullah Ibrahim daripada Pulau Pinang dan atlet Sabah, Mohammad Fairul Yee Abdullah. – BERNAMA

  • Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

    Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

    SEORANG bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, Sabah hari ini.

    Lapor Berita Harian, bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira pukul 1.05 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada pukul 2.38 pagi.

    Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

    “Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

    “Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya hari ini.

    Beliau tambah laporan itu berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    “Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

    Nor Rafidah meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes itu segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747.

  • Lelaki pecah kereta larikan sekotak tepung gandum diberkas

    Lelaki pecah kereta larikan sekotak tepung gandum diberkas

    SEORANG lelaki ditahan selepas memecah cermin sebuah kereta sebelum mencuri sekotak tepung gandum dalam kejadian di Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi tadi berlaku di hadapan rumah pemilik kereta terbabit yang berusia 30 tahun.

    Suspek katanya seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun yangmemecahkan cermin kereta pada bahagian tempat duduk pemandu dan melarikan sekotak tepung gandum.

    “Kejadian disedari jiran mangsa sebelum suspek melarikan diri. Mangsa dengan bantuan jiran kemudian mengejar suspek sebelum berjaya menahannya di Jalan Pulasan, Taman Kota Masai.

    “Sebatang spanar boleh laras yang digunakan untuk mencuri dan sekotak tepung gandum ditemukan ketika suspek ditahan,” katanya hari ini.

    Mohd Sohaimi dalam laporan itu berkata, mangsa kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan suspek serta barang-barang yang dirampas untuk tindakan lanjut.

    “Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama dan maklumat orang ramai hingga tertangkapnya suspek.

    “Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 September depan, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kalau berani minta PM bubar Parlimen, Wan Saiful beritahu Asyraf

    Kalau berani minta PM bubar Parlimen, Wan Saiful beritahu Asyraf

    SEORANG pemimpin Bersatu membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mencabar presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Asyraf boleh meminta Ismail untuk membubarkan Parlimen dan tidak perlu menuding kepada partinya.

    “Saya kadang-kadang malas nak layan pandangan ‘mangkuk’ ini.

    “Sebab kalau dia nak ‘tekan butang’, dia sendiri minta perdana menteri bubar. Apa nak suruh orang lain tekan butang,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.

    Tambahnya, jika Asyraf tidak berani berbuat demikian, beliau tidak perlu menyuruh Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Ismail.

    “Kalau tak berani, tidak perlu suruh orang. Kalau berani buat sendiri,” katanya.

    Pada 20 Sept lalu, Asyraf dalam kenyataan di Facebook berkata, jika Muhyiddin merasakan kerajaan hari ini tidak berjaya menguruskan ekonomi dan wujud keperluan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), maka bekas perdana menteri itu boleh mengarahkan anggota Kabinet Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan.

  • Lelaki bertindak kejam bunuh anjing terbiar dengan panah

    Lelaki bertindak kejam bunuh anjing terbiar dengan panah

    SEORANG lelaki bertindak kejam apabila tergamak membunuh anjing terbiar dengan menggunakan anak panah dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sekitar ibu negara.

    Menurut Harian Metro, kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah kawasan di Setapak, Wangsa Maju Rabu lalu.

    Perbuatan kejam itu dirakam seorang individu dan turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di media sosial.

    Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang lelaki memegang panah sebelum beberapa kali melepaskan anak panah ke arah anjing.

    SAFM dalam kenyataan bersama video yang dikongsi di Facebook memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu.

    “Menurut video yang dihantar, suspek kelihatan mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing terbiar.

    “Suspek tanpa membuang masa menembak anjing malang itu apabila dia mempunyai peluang. Anjing ini didapati mati dengan anak panah masih tertanam dalam mukanya,” kata SAFM.

    Tambah laporan itu lagi, SAFM meminta saksi kejadian untuk tampil supaya pesalah yang melakukan perbuatan zalim itu boleh ditangkap dan didakwa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tiada laporan polis diterima setakat ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan suspek.