PILIHAN raya umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan pada masa terdekat kerana masih banyak perkara penting yang perlu difokuskan kerajaan khususnya dalam menangani masalah dihadapi rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata menteri daripada gabungan itu sudah menyatakan pendirian semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu agar kerajaan menumpukan kepada isu besar yang bakal dihadapi negara terutamanya bencana banjir yang dijangka melanda pada hujung tahun ini.

“Kita sudah buat persiapan untuk menghadapi pilihan raya walaupun pimpinan kita memberi pandangan kepada rakan-rakan kita yang ada dalam Jemaah Menteri, masa belum sesuai kerana keadaan masih banyak yang memerlukan perhatian kita.

“Seboleh mungkin tidak diadakan dalam tempoh yang terdekat ini, sekarang bukan masa yang sesuai… bila sampai masa kita hadapi pilihan raya,” katanya semasa ditemui media pada Majlis Ulangtahun Bersatu hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pendirian itu dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu isu banjir dan kebajikan rakyat seharusnya menjadi keutamaan dan bukan dengan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 sehingga menyusahkan rakyat.

“Tak lama lagi nak banjir, itu harus menjadi fokus… ini telah pun saya maklumkan pada ahli-ahli jemaah menteri daripada daripada Bersatu dalam Perikatan Nasional, pendirian kitalah dan saya harap ini akan diberikan perhatian,” katanya lagi.

Terdahulu, PN dalam satu kenyataan hari ini berkata semua Jemaah Menterinya tidak bersetuju jika PRU-15 diadakan semasa musim banjir.

Jelasnya lagi, sebarang keputusan tarikh berhubung PRU-15 perlu dibincangkan dalam Kabinet dan tidak dibuat hanya atas permintaan oleh individu tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here