PARTI Bersatu bersama-sama rakannya  di dalam Perikatan Nasional (PN) komited untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan bersih daripada elemen-elemen salah guna kuasa dan kemungkaran.

Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli-ahli Bersatu mesti bangkit berjuang untuk memastikan kemenangan PN.

‘’Kemenangan ini penting untuk membolehkan Bersatu dan Perikatan Nasional menentukan hala tuju negara yang lebih baik,’’ katanya yang juga Pengerusi PN melalui catatan dalam Facebook beliau sempena UlangTahun Ke-6 penubuhan parti tersebut.

Sempena sambutan ini, beliau mengingatkan seluruh ahli parti supaya sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam Perlembagaan parti. Antaranya  kata beliau ialah memerangi rasuah dan mewujudkan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti serta membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

Muhyiddin berkata,  Bersatu amat prihatin dengan masalah kemiskinan yang kian meningkat selepas pandemik Covid-19.

‘’Negara kita juga dijangka berhadapan dengan masalah ekonomi yang lebih serius pada tahun hadapan akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka lebih perlahan,’’ katanya.

Justeru kata beliau tanggungjawab Bersatu  ialah untuk membantu rakyat yang susah.

‘’Saya merakamkan penghargaan kepada Bahagian-Bahagian Bersatu di seluruh negara yang menganjurkan Jualan Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian dengan harga yang murah.

‘’Usaha ini tentulah tidak memadai. Namun, saya percaya ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan rakyat yang memerlukan, terutamanya golongan B60 yang semakin terhimpit dengan masalah inflasi.’’ Katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here