SEORANG pemimpin Bersatu membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mencabar presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Asyraf boleh meminta Ismail untuk membubarkan Parlimen dan tidak perlu menuding kepada partinya.

“Saya kadang-kadang malas nak layan pandangan ‘mangkuk’ ini.

“Sebab kalau dia nak ‘tekan butang’, dia sendiri minta perdana menteri bubar. Apa nak suruh orang lain tekan butang,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.

Tambahnya, jika Asyraf tidak berani berbuat demikian, beliau tidak perlu menyuruh Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Ismail.

“Kalau tak berani, tidak perlu suruh orang. Kalau berani buat sendiri,” katanya.

Pada 20 Sept lalu, Asyraf dalam kenyataan di Facebook berkata, jika Muhyiddin merasakan kerajaan hari ini tidak berjaya menguruskan ekonomi dan wujud keperluan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), maka bekas perdana menteri itu boleh mengarahkan anggota Kabinet Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here